Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails

Sabtu, 11 Disember 2010

Islamik Kah Perbankan Islamik?


Banyak maklumat baru yang saya perolehi dari seminar Riba' pada awal bulan lepas. Sebelum ini saya telah pun menulis artikel mengapa saya kata pinjaman perbankan Islam haram, dan dari komen-komen oleh pembaca, dapat di lihat pelbagai reaksi yang menyokong dan menentang. Apa yang membakar lagi semangat dan meneguhkan lagi pendirian saya ini (pembiayaan bank Islam haram) adalah apabila mendengar penceramah pertama dipersidangan tersebut Dr. Umar Vadillio dengan lantangnya menyatakan bahawa perbankan islamik itu "double" haram. Diikuti pula oleh Sheikh Imran Hosein yang bersependapat sedemikian. Pada hari kedua pula Dr. Aziuddin dari KUIS pula menyatakan perbankan islam "triple" haram. Disini saya ingin berkongsi maklumat dan mengajak rakan-rakan merenung kembali berfikir samada islamikkah perbankan islamik itu dengan amalan-amalan perniagaan yang mereka lakukan dan juga mengapa tokoh-tokoh dipersidangan riba' ini menyatakan sedemikian.

Perbankan Islam Menghalalkan Apa Yang Haram.

Didalam artikel saya sebelum ini, saya sudah pun memberikan sebab mengapa saya kata pinjaman perbankan islam itu haram, jika anda adalah pembaca baru dilaman blog ini, sila baca artikel tersebut beserta komen-komennya terlebih dahulu. Dr. Umar Vadillio dengan lantangnya menyatakan perbankan islam adalah dua kali (double) haram dan patut ditutup, kerana apa? kerana menurut beliau perbankan Islam telah menghalalkan apa yang haram iaitu mengenakan riba' dan mengaburinya dengan proses jual beli. Apa yang perbankan islam lakukan adalah menukarkan nama sahaja keatas urus niaga tetapi sebenarnya ianya adalah aktiviti yang sama iaitu riba' dan penindasan. 

Saya ingin menarik perhatian rakan-rakan sekalian kepada satu hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa diakhir zaman dimana pengaruh dajjal telah bermaharaja lela, apa yang kelihatan amat berbeza dari realiti sebenar, baginda mengumpamakannya dengan air sungai yang sejuk dan juga api, apa yang kelihatan sejuk seperti air sungai adalah api yang panas dan sebaliknya, jadi mungkin apa yang dilihat suatu yang positif dari perbankan islam ini adalah sebenarnya api yang sedang membakar umat Islam yang terpengaruh dengannya? Tidak cukup hanya dengan mata fizikal dan ilmu dunia sahaja untuk melihat realiti sebenar di akhir zaman ini, perlu ada usaha lain untuk melihatnya.


Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.       Surah Al Imran 3:92

Perbankan Islam Juga "Mencipta" Wang Tanpa Sandaran.

Sebelum ke persidangan riba' yang lepas saya menganggap bahawa hanya wang deposit penyimpan didalam perbankan islamik sahaja yang akan dipinjamkan kepada peminjam, contohnya jika jumlah keseluruhan deposit penyimpan adalah 1 juta ringgit, maka hanya sejumah itu sahaja yang akan digunakan untuk membiayai pembelian untuk peminjam, akan tetapi apabila mendengar penjelasan dari pembentangan kertas kerja oleh beberapa panel dipersidangan ini, maka tiadalah lagi keraguan akan ketidak islamiknya perbankan islam itu pada diri saya. Didalam buku terbaru Real Money karangan Prof Ahamed Kameel Mydin Meera dari UIA juga jelas membangkitkan perihal aktiviti perbankan islam ini yang mana jelas bersekongkol dengan perbankan konvensional merosakkan keseluruhan masyarakat, hanya sebahagian kecil sahaja yang mendapat manafaat darinya iaitu pekerja dan pemegang saham bank tersebut (dan juga kerajaan dari cukai yang diperolehi). Asas perbankan konvensional dan islamik adalah sama iaitu mencipta wang baru menerusi pinjaman melalui sistem pecahan simpanan (fractional reserve sistem), perbezaannya adalah perbankan Islam menggunakan wang yang baru dicipta itu tadi untuk tujuan yang kononnya berlandaskan "shariah", majoritinya adalah melalui konsep ijarah yang mana pinjaman diberikan menerusi proses membelikan sesuatu aset bagi pihak peminjam dan menjualkannya kembali dengan harga yang berlipat kali ganda.

Lihat contoh berikut, katakan terdapat 2 rumah yang sama harganya katakanlah RM300,000 dibiayai dengan pinjaman dan pembiayaan, iaitu satu secara konvensional dan satu lagi secara "islamik" untuk tempoh 20 tahun, katakanlah kadar faedah adalah 6% yang mana digunakan terus oleh bank konvensional tetapi bagi perbankan islamik ianya juga akan digunakan sebagai asas perkiraan harga rumah yang akan dijual semula kepada peminjam. Kedua-dua bank islamik dan konvensional akan "mencipta" wang sebanyak RM300,000 melalui kira-kira perakaunan menggunakan sistem pecahan simpanan (fractional reserve system) dan wang yang baru dicipta ini bukanlah deposit dari penyimpan. Bank konvensional akan meminjamkan wang tersebut manakala islamik bank pula akan membeli rumah dan menjualkannya semula kepada peminjam 

Bayaran bulanan bagi kedua-duanya adalah RM2,149.29 (untuk memudahkan perkiraan, selalunya bayaran bulanan perbankan islamik lebih mahal dari konvensional) untuk selama 20 tahun. Perbankan Islam akan meletakkan RM515,830.59 sebagai harga jualan rumah tersebut kepada peminjam. Perbezaan sebanyak RM215,830.59 dikira sebagai bunga bagi perbankan konvensional dan keuntungan bagi perbankan islamik. Kedua-dua bank mencipta RM300,000 dengan hanya kira-kira perakunan akan tetapi keuntungan bagi pihak perbankan islamik telah pun tersedia. Supaya anda lebih memahaminya lagi mari kita lihat baki pinjaman selepas 10 tahun. 

Menerusi perbankan konvensional baki selepas 10 tahun adalah sebanyak RM193,594.77 manakala bagi pembiayaan islamik pula adalah RM257,914.80. Disini dapat dilihat akan perbezaan baki yang mana bagi perbankan islamik lebih banyak dari perbankan konvensional sebanyak RM64,320.03. Dan jika peminjam mahu menjelaskan pembiayaan tersebut pada masa tersebut, peminjam perbankan terpaksa membayar harga yang lebih kecuali mendapat ihsan diskaun dari pihak bank. Mungkin sebab itu jugalah hampir kesemua perbankan konvensional berlumba-lumba membuka bahagian perbankan islamik kerana mereka tahu ianya lebih memberi dan menjamin keuntungan. Mungkin ada yang berkata sekurang-kurangnya jika BLR naik peminjam perbankan islamik akan terjamin, ini tidak seperti yang disangkakan sebenarnya kerana keuntungan perbankan islamik sudah pun terjamin jika kita lihat dari perkiraan diatas. Perbankan islamik sebenarnya lebih menjaga kebajikan mereka sendiri berbanding peminjam dan ini yang gagal dilihat oleh kebanyakan masyarakat.

Masaalah terbesar sekarang ini sebenarnya lebih terletak kepada bagaimana wang pembiayaan itu yang "dicipta" "out of thin air" iaitu atas angin dan tidak berdasarkan suatu yang punyai nilai, hanya bersandarkan kepada janji peminjam untuk membayar balik. Jika RM1000 dipinjamkan pada kadar 10% setahun, selepas setahun RM100 yang dikenakan dianggap riba', bagaimana pula dengan RM1000 yang dicipta tanpa bersandarkan suatu yang bernilai dan secara automatiknya memberikan kuasa membeli tanpa risiko 10 kali lebih banyak dari riba' itu sendiri, bukankah itu riba' yang lebih besar? Ini yang wajib difikirkan semula oleh seluruh masyarakat lebih-lebih lagi oleh cerdik pandai islam yang menyokong perbankan islamik itu sendiri.

Pada pendapat saya, syariahnya perbankan islam itu hanya dilihat dari sudut hubungan antara pelabur dan juga pihak bank sahaja, manakala kebajikan pihak peminjam mahupun masyarakat samada sedikit ataupun tidak langsung diambil kira. Tidak kiralah samada bank islam membeli rumah dan menjualnya semula dengan harga yang lebih tinggi kepada peminjam ataupun bank konvensional meletakkan pembayaran pinjaman beserta faedah, dalam kedua-dua kes jumlah wang yang terpaksa dipulangkan kembali kepada bank oleh peminjam akan senantiasa tidak mencukupi kerana ianya melebihi jumlah wang yang dikeluarkan pada asalnya. Akibat dari ini masyarakat terpaksa bersaing sesama sendiri untuk mengumpul sejumlah wang yang mungkin bagi membayar balik pinjaman, contohnya jika 100 ribu dipinjamkan dan 110 ribu terpaksa dipulangkan, dari mana datangnya 10 ribu itu tadi? Ianya tidak wujud kecuali lebih banyak lagi pinjaman diberikan yang mana melaluinya wang baru akan dicipta. Apa terjadi apabila masyarakat terpaksa bersaing untuk mengaut sebanyak mana wang yang mungkin untuk membayar balik hutang yang berganda banyaknya dari jumlah asal? Masyarakat akan menjadi lebih pentingkan diri sendiri, kedua ibu bapa terpaksa keluar bekerja, anak-anak semakin terabai dan pelbagai lagi masaalah sosial. Pastinya anda seorang yang buta matanya jika tidak nampak keadaan ini berlaku kepada masyarakat kita hari ini? Bandingkan kemajuan masyarakat islam Malaysia khasnya dan sedunia amnya selama berbelas tahun perbankan islamik ini bertapak, adakah masyarakat islam semakin maju? Ya semakin maju meninggalkan Islam dan bukan sebaliknya.

Bagaimana pula dengan inflasi yang mengurangkan kuasa membeli masyarakat dengan penciptaan wang tanpa sandaran yang dilakukan oleh perbankan islamik ini? Bukankah itu satu penganiayaan dan penindasan kepada semua golongan masyarakat baik Islam atau tidak dan golongan manakah yang paling teruk merasakan bahana inflasi itu? Tidak lain tidak bukan mereka yang kurang bernasib baik terutamanya golongan miskin. Bagi yang berjawatan, berpangkat, punyai kerja tetap dan naik gaji saban tahun, itu tidak jadi masaalah. Sebab itulah boleh saya katakan kebanyakan mereka yang beriya-iya menyokong perbankan islamik ini adalah muslim dari golongan sebegini. Mereka tidak dapat melihat kesan sebenar tindakan institusi perbankan baik islamik atau konvensional ini kepada keseluruhan masyarakat. Maaf saya katakan mereka ini seolah-olah sudah dibutakan oleh keselesaan mereka sendiri.

Perbankan Itu Bukanlah Satu Perniagaan

Jika kita lihat pada pandangan kebanyakan masyarakat moden hari ini, rata-rata menganggap sistem perbankan itu adalah satu perniagaan tetapi tidak pada pendapat saya, ini adalah kerana dari penjelasan diatas tadi secara jelas ianya adalah institusi riba' yang di"halal"kan, oleh siapa?, oleh pemerintah hasil dari benih yang disemai oleh penjajah British sebelum memberi kemerdekaan fizikal, walaupun penjajahan kolonial itu telah lama berlalu namun sebenarnya negara dan rakyat masih dijajah secara halus, baik dari segi ekonomi dan juga jajahan minda. Walaupun ada contoh yang menyatakan terdapat individu Islam yang bertindak sebagai bank pada awal zaman kebangkitan Islam, persoalan yang patut difikirkan adalah adakah ketika itu wang kertas yang digunakan, dan juga adakah penciptaan wang baru menerusi kira-kira perakaunan diamalkan? Sudah tentunya tidak, jadi tidak bolehlah contoh tersebut diberikan untuk asas melabelkan bank sebagai satu perniagaan.

Perniagaan melibatkan risiko antara semua pihak, ini amat penting kerana dari sudut Islam itu sendiri, apa jua tindak-tanduk kita didunia ini mestilah menjaga kepentingan semua umat manusia baik secara langsung atau tidak dan inilah asas kepada tujuan ibadah dan juga perundangan islam. Adakah wujud risiko didalam sistem perbankan? Apabila disebut risiko didalam perniagaan bank ini, selalunya dirujuk risiko antara pihak bank dan juga pihak pelabur, pihak pelabur menanggung risiko akan keupayaan bank untuk memastikan keuntungan dari pelaburan mereka, bagaimana pula dengan risiko kepada peminjam? Ambil contoh projek perumahan terbengkalai yang risikonya hanya ditanggung oleh peminjam. Walaupun pemaju gulung tikar, bank akan tetap cuba memaksa si peminjam agar melunaskan wang yang telah pihak bank keluarkan (walaupun ia tidak wujud secara nyata, hanya kira-kira akaun sahaja). Jadi nampaknya tiada risiko bagi pihak bank dalam hubungannya dengan peminjam. Maka apabila risiko hanya ditanggung oleh satu pihak, kekayaan hanya akan mengalir kesatu arah sahaja. Pihak bank akan semakin kaya dan peminjam akan semakin miskin dan ini bukanlah perniagaan, buktinya lihatlah betapa gahnya bangunan milik institusi perbankan pada hari ini.

Salah satu sifat riba' adalah terciptanya keupayaan membeli (purchasing power) atau nilai tanpa mengambil apa jua risiko, maka apabila bank mendapat keuntungan dengan peminjam membayar balik walaupun barang tidak sampai ke peminjam contohnya kes rumah terbengkalai, ternyatalah bank mendapat keupayaan membeli (keuntungan) atau nilai tanpa risiko, maka ianya adalah riba'. Jadi proses contohnya rumah dibelikan oleh bank islam dan dijual semula pada peminjam hanyalah helah semata-mata, tujuannya tetap sama dengan bank konvensional iaitu mendapatkan "purchasing power" atau nilai tanpa mempunyai risiko ataupun risikonya dikurangkan seminimum mungkin. Hanya Allah SW sahaja yang boleh mencipta sesuatu dari sesuatu yang tidak wujud (create something out of nothing), bank mencipta wang menerusi kira-kira perakaunan iaitu menerusi pinjaman, bank tanpa mereka sedari (atau mungkin sedar) juga telah bertindak sebagai tuhan.

Tanpa sedar kebanyakan manusia yang meminjam dibank baik konvensional atau islamik menjadi hamba kepada mereka, manusia sepatutnya menjadi hamba hanya kepada Allah SW. Sistem ekonomi ini adalah perhambaan baru yang tidak kelihatan dikalangan masyarakat, pertamanya kerana sejak dari awal lagi ianya dianggap suatu yang normal (norma kehidupan), kedua kerana melalui sistem ekonomi ini banyak kesenangan dan kemewahan (nikmat dunia) dapat dikecapi dengan cepat contohnya tanpa perlu menunggu lama mengumpul wang manusia boleh mendapatkan barangan diluar kemampuan tunai dan ketiganya kerana tiada atau kurang pendedahan maklumat mengenai sistem perbankan itu sendiri.

Manusia yang diperhambakan ini rata-rata terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk mengeluarkan produk atau perkhidmatan, akan tetapi mereka yang bekerja keras itu tadi bukanlah sebenarnya penerima utama usaha mereka tadi tetapi sebaliknya pihak yang punyai keistimewaan memberikan pinjaman, pihak yang mencipta wang tanpa sandaran iaitu pihak bank. Amat malang sekali perkataan islamik pada bank tidak menggambarkan semangat islam sebenarnya berteraskan keadilan kepada semua umat manusia. Selama berbelas tahun perbankan Islam bertapak di negara kita adakah kualiti kehidupan masyarakat khasnya umat Islam semakin baik terutamanya iman? Kehidupan umat manusia akhir zaman hari ini kebanyakannya telah terjerumus kearah mengejar materialistik, ini jelas kelihatan dengan kecenderungan untuk mengejar wang dan harta, persaingan mendapatkan pekerjaan ataupun keuntungan dalam perniagaan, semua ini pula menjurus kepada masyarakat yang semakin tidak bermoral, semakin nipis iman, semakin kurang masa untuk keluarga, saudara-mara dan masyarakat yang mana ini pula menghasilkan generasi baru yang semakin hilang nilai moral, lebih terpengaruh dengan gejala luar dan sebagainya.

Ramai yang memberi alasan bagaimana bank boleh berfungsi jika mereka tidak mengambil keuntungan dari usaha mereka? Bagaimana hendak membayar gaji pekerja dan juga memberi pulangan kepada penyimpan? Untuk menjawabnya saya ajukan soalan, adakah bayaran yang dikenakan oleh bank setampil dengan usaha yang mereka lakukan? Adakah dengan hanya mencipta wang menerusi kira-kira akaun mereka berhak mengenakan bayaran berganda dari pinjaman yang diberikan? Pada pendapat saya perkhidmatan kesihatan yang sepatutnya diswastakan sepenuhnya dan khidmat bank dikendalikan oleh kerajaan dengan mengenakan bayaran perkhidmatan yang paling minimum. Hampir kesemua penyakit masyarakat moden hari ini datangnya dari stress, dan boleh dikatakan hampir kesemua stress ini datangnya dari hal berkenaan dengan wang baik secara langsung atau tidak, jadi sekiranya punca stress ini diminimakan bukankah punca penyakit dapat dikurangkan? Ini menghasilkan masyarakat yang lebih sihat. Apabila manusia bebas dan tidak diperhambakan maka akan lahirlah generasi yang lebih cemerlang. Kebebasan adalah asas kepada kreativiti dan kreativiti pula asas kepada penghasilan idea dan produk baru yang mana akan kembali semula memberi manafaat kepada manusia itu sendiri.

Melalui sistem perbankan ini juga kekayaan dengan mudahnya berpindah dari pihak yang mempunyai keistimewaan atau kuasa untuk mencipta wang tanpa perlu membanting tulang. Lihat senario ini, apabila peminjam tidak mampu membayar balik pinjaman contohnya pinjaman rumah, apa tindakan yang akan pihak bank lakukan? Mereka akan mendapatkan perintah mahkamah untuk merampas rumah tersebut. Bank yang pada asalnya mencipta wang hanya melalui kira-kira akaun akhirnya menjadi pemilik harta yang sebenar, bukan lagi wang yang bersandarkan hutang. Apabila rumah itu dilelong, bank kemudiannya akan punyai wang nyata iaitu tidak dicipta melalui hutang. Amat malang lagi jika rumah yang dilelong tidak cukup membiayai baki hutang, jika peminjam punyai tanah, tanah itu juga akan berpindah milik kepada bank akhirnya. Ini bermakna bank dengan hanya menaip data kira-kira didalam sistem akaun bank lama kelamaan akan menjadi "raja" yang berkuasa. Menerusi mekanisma perbankan inilah kekayaan berpindah secara bathil, penipuan menerusi muslihat yang tidak kelihatan oleh pemikiran yang tenggelam dengan hiburan muzik, filem, permainan video, facebook dan sebagainya.

Kesan buruk sistem perbankan moden hari ini tidak dapat dilihat hanya dari sudut yang sempit, hanya kerana memiliki pekerjaan yang tetap, gaji yang melayakkan untuk mendapat pinjaman, manusia merasakan tiada salahnya membayar sejumlah wang setiap bulan sebagai balasan kepada perbankan Islam yang telah membelikan rumah atau kereta bagi pihak mereka dan menjualkannya semula dengan harga yang lebih tinggi. Kesan buruknya harus dilihat dari sudut keseluruhan masyarakat. Pertamanya apabila kita meminjam dari bank, nilai wang akan semakin cair, dan ini yang dinamakan inflasi, keduanya jumlah wang yang terpaksa dipulangkan kembali kepada bank sentiasa melebihi jumlah wang yang telah dikeluarkan maka wujudlah persaingan, didalam sistem kewangan sekarang ini hidup manusia ibarat permainan kerusi musik, apabila musik berhenti (ekonomi jatuh) pasti akan ada yang kecundang (bankrap). Sebab itulah Allah sw mengishtiharkan perang terhadap riba' kerana kesannya adalah kepada keseluruham masyarakat dan bukan kepada satu individu sehaja.
Kemiskinan, segalanya berkemungkinan membawa kepada kekufuran.                         (Baihaqi dan Tabarani)
Lihatlah kesan buruk yang diberikan oleh inflasi, jika beberapa tahun dahulu simiskin boleh membeli sebungkus nasi lemak dengan 50 sen, sekarang terpaksa membayarnya dengan seringgit, bukankah ini satu penindasan, dan rata-rata simiskin adalah mereka yang paling teraniaya didalam sistem ekonomi moden ini kerana kurangnya upaya mereka untuk meminta gaji yang lebih tinggi (tiada kelayakan sijil, ijazah dll.) apatah lagi mendapatkan pinjaman dari bank (contohnya tiada slip gaji atau penyata bank). Simiskin ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, sudahlah sedikit wang yang ada pada mereka nilainya semakin menurun, mereka juga tersepit antara persaingan pelanggan-pelanggan bank yang bersaing untuk mengaut wang sebanyak mungkin untuk membayar balik pinjaman kerana jumlah wang yang ada dalam kitaran sentiasa kurang dari wang yang terpaksa dibayar balik kepada bank. Apabila mereka sedar mereka semakin kalah dan semakin miskin, maka jalan akhirnya adalah mendapatkan wang tersebut secara paksa iaitu mencuri. Secara tidak langsung masyarakat sendiri yang mencipta pencuri, lihatlah kebanyakan kawasan perumahan sekarang ini terpaksa dikawal, siapa yang harus disalahkan jika bukan diri sendiri? Fikir-fikirkanlah pula rumah yang terpaksa dikawal itu adakah rumah yang dibeli secara tunai atau secara pinjaman? Tiada bezanya dengan penjara, cuba anda fikir-fikirkan, penjara dihuni oleh pencuri dan diluar penjara adalah orang yang dicuri atau teraniaya, didalam kawasan perumahan berpagar dan dikawal, didalamnya juga adalah "pencuri" dan diluar pula adalah golongan yang teraniaya. "Pencuri" yang saya maksudkan adalah mereka yang bersubahat bersama-sama dengan pihak bank menurunkan nilai wang kepada seluruh masyarakat dan yang paling menerima kesannya adalah simiskin menerusi penciptaan wang melalui pinjaman (fractional reserve system) dan juga menyebabkan persaingan didalam masyarakat berlumba merebut wang yang tidak pernah cukup dalam masyarakat,jadi siapa pencuri yang lebih besar sebenarnya?

Hanya riba' sahaja dosa yang Allah SW mengishtiharkan perang terhadapnya dan perumpamaan besarnya dosa riba' walaupun yang paling kecil adalah umpama berzina dengan ibu sendiri, kerana apa? Kerana ianya melibatkan seluruh masyarakat dan bukan hanya bank dan peminjam sahaja. Jadi melihat kepada kesan buruk secara halus kepada masyarakat yang dilakukan oleh perbankan Islam ini maka tiada bezanya dengan perbankan konvensional yang mengamalkan riba' secara terbuka.

Tiada yang percuma didunia ini, setiap nikmat yang dinikmati ada harga yang terpaksa dibayar, salah satu falsafah fizik kuantum adalah manusia itu sendiri mencipta realiti kehidupannya, malangnya rata-rata umat manusia tanpa sedar mencipta realiti kehidupan mereka itu dan menyalahkan insan lain apabila musibah berlaku kepada mereka, contohnya pencuri yang jelas kelihatan sedangkan mereka tanpa sedar dan secara halus mencuri nilai dari manusia lain dengan membantu menambahkan inflasi dan juga persaingan. Etika sebenar ekonomi Islam adalah kekayaan beralih dari golongan kaya kepada golongan miskin melalui zakat dan sedekah akan tetapi menerusi sistem ekonomi moden yang berasaskan riba ini jelas menyebabkan keadaan sebaliknya, dan ini jelas juga berlaku dalam perbankan islamik. 

Tidak guna mengemukakan masaalah tanpa cuba memberikan jalan penyelesaiannya, didalam dunia moden yang telah diselimuti oleh riba' ini teramat sukar untuk kita semua lari darinya, inilah yang digambarkan oleh hadis Nabi SAW akan debu atau wap riba' yang akan menimpa seluruh umat manusia. Pada pendapat saya langkah pertamanya adalah seluruh umat Islam wajib berusaha untuk kembali kepada penggunaan wang sunnah, iaitu wang yang punyai nilai sebenar (intrinsic value) seperti logam bernilai atau komoditi atau paling tidak pun wang kertas itu sendiri disandarkan dengan suatu yang bernilai. Penggunaan wang contohnya emas ini adalah untuk urusan harian dan bukan untuk simpanan semata-mata seperti yang dilakukan oleh masyarakat hari hari ini yang mana tentulah mereka yang bernasib baik dan mempunyai wang sahaja yang mampu membelinya. Apa guna menyimpan emas jika tiap ketika kita takut akan kehilangannya, bukankah berusaha mencapai keadilan ekonomi kepada seluruh masyarakat itu lebih patut diutamakan, barulah tidur malam lebih lena walaupun tingkap terbuka luas. Keduanya pula adalah mengembalikan kuasa mencipta wang kepada masyarakat dan bukan kepada sesetengah pihak sahaja iaitu bank, contohnya jika petani menanam padi, beras yang dihasilkan boleh menjadi wang baru samaada ianya ditukarkan dengan emas atau wang yang disandarkan dengan emas keluaran bank yang dikendalikan oleh kerajaan atau sebagai kemasukan debit didalam akaun kewangannya yang mana ianya akan digunakan oleh petani itu tadi untuk membeli barangan lain contohnya ayam dari penternak pula.

Persoalan seterusnya adalah adakah kerajaan yang memimpin kita pada hari ini berminat untuk melakukan perubahan kearah keadilan sosial ini? Pada pendapat saya mereka tidak berminat untuk melakukannya, kerana apa? Kerana saya tidak nampak pemimpin yang ada sekarang ini "nawaitu" adalah lillahita'ala. Rata-rata insan yang saya jumpa dan beriya-iya menyokong kepimpinan sekarang ini juga adalah mereka yang mendapat kesenangan dunia dengan sokongan mereka terhadap pemimpin mereka. Hanya pemimpin yang takutkan Allah SW sahaja yang mampu melakukannya dan bukan pemimpin yang takutkan isteri. Jika untuk memimpin isteri menjadi lebih soleh contohnya dengan bertudung pun tidak mampu, janganlah pula kita nak harapkan pemimpin sebegini untuk melakukan suatu yang lebih besar lagi kearah menyelamatkan ummah. Hanya sistem khilafah sahaja jalan penyelesaiannya. Demokrasi? Samalah juga dengan sistem perbankan ciptaan barat yang penuh penipuan, tiada demokrasi dizaman moden ini sebenarnya, yang ada hanyalah manipulasi menerusi kawalan minda dengan pengawalan media, pendidikan dan sebagainya.

Adakah Perubahan Boleh Dijalankan Dengan Mendadak?

Tiada tamadun yang terbina dalam masa setahun dua akan tetapi yang pasti semuanya bermula dari minda, dari kesedaran akan kebathilan dan juga keinginan yang kuat untuk berubah, moga insyaallah adalah hendaknya generasi baru yang akan sedar dan mampu melihat dengan mata keimanan dan apabila mereka ini bangkit menjadi pemimpin satu hari nanti insyaallah akan mampu mengubah dengan tangannya. Jadi buat masa ini apa yang boleh dilakukan? Tidak mampu dengan tangan maka dengan bersuara dan menyatakan ketidak setujuan dengannya, dan inilah yang cuba saya lakukan dengan artikel saya ini disamping berusaha untuk memberi kesedaran. Harap rakan-rakan juga berusaha bersama menjadi agen perubahan dengan menjadi penyebar ilmu, paling tidak pun ungkitkan perbincangan mengenai perkara ini kepada rakan-rakan yang lain bila ada kelapangan untuk berbual, bukankah tindakan anda itu ibarat menanam saham akhirat berbanding dengan borak kosong.

Saya juga telah pun bertaubat tidak akan lagi meminjam dari bank dan meminimakan sebanyak mungkin wang yang disimpan didalam bank kerana wang yang disimpan itu juga akan digunakan oleh pihak bank sebagai syarat simpanan (reserve requirement) untuk memberi pinjaman baru, ini secara tidak langsung bersubahat dengan pihak bank mencipta wang baru dan menambahkan lagi inflasi, beban yang kembali kepada diri saya sendiri dan juga kepada seluruh masyarakat. Mungkin akan ada yang merungut bagaimana nak hidup dizaman moden ini jika tidak meminjam? Saya sudahpun memberi contoh menyewa dan kemudiannya membeli secara tunai rumah dalam artikel saya yang lepas. Bagaimana dengan kenderaan? Nampaknya terpaksalah bersusah-susah dahulu dengan pengangkutan awam sebelum bersenang-senang kemudian akan tetapi dengan cara generasi baru yang rata-rata dibesarkan dengan kesenangan mudah (contohnya mainan semuanya tersedia dialam kotak dan tidak seperti generasi dahulu yang membuat mainan sendiri) dan kehidupan yang diselimuti kemewahan, maka tepuk dada, guna frontal lobe dan tanyalah iman.

Hidup didunia ini ibarat kita berjalan kaki pulang kerumah, perjalanan yang jauh dan sukar dengan panas terik dan hujan lebat. Sedang kita berjalan itu ada insan yang mahu memberi kemudahan menumpangkan kita dengan kenderaannya akan tetapi dengan syarat iaitu sebahagian dari kawasan rumah kita mesti diserahkan kepadanya. Kerana tidak sanggup bersusah payah maka kita pun bersetuju, lepas beberapa ketika tuan punya kenderaan sampai ke destinasi akan tetapi kita masih belum sampai dan kembali semula berjalan, keadaan yang sama berulang kembali dengan ada insan lain yang mahu menumpangkan. Lama kelamaan kerana kita mahukan kesenangan dan tidak mahu bersusah-payah, akhirnya rumah kita akan tergadai. Perbuatan berjalan kaki itu adalah kehidupan kita didunia ini, rumah yang dimaksudkan itu adalah syurga yang telah dijanjikan oleh Allah SW bagi mereka yang kekal mengikut perintahNya dan insan yang memberi tumpang itu adalah syaitan yang memperdayakan manusia.
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah Akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan kesyurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan didunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Surah Al Imran 3:185.
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
 Telah pun saya jelaskan sebaik mungkin dan terpulanglah kepada rakan-rakan sekalian untuk menilai, nilaikanlah ianya ikut akal dan bukan ikut rasa. Saya hanyalah penyampai yang mencuba sebaik-baiknya untuk berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran, apa yang saya harapkan adalah agar rakan-rakan dapat melihat perkara ini dari sudut keseluruhan kesan kepada masyarakat dan tidak hanya faedah kesenangan dunia kepada diri sendiri sahaja. Apabila saya melihat masyarakat kita semakin hari semakin rosak akhlaknya dan semakin nipis imannya, saya banyak berfikir mengapa dan hasil kajian dan penelitian, sistem kewangan dan perbankan baik islamik atau tidak inilah salah satu punca utamanya dan saya tidak mampu menahan diri dari lantang bersuara. Ribuan ampun dan maaf jika artikel saya ini mengguris hati sesetengah pihak, lumrah ubat itu pahit dan manis itu racun maka fikirkanlah. Moga kesedaran akan sampai jua akhirnya, insyaallah. Jadi Islamikkah perbankan islamik? Terpulanglah pada anda kembali untuk menentukannya.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Isnin, 8 November 2010

Nota Dari Persidangan Riba'

Alhamdulillah, selesai sudah persidangan yang amat bermakna bagi diri saya, ianya juga sepatutnya menjadi satu persidangan yang amat penting bagi seluruh umat Islam, akan tetapi melihat pada berita utama di TV pada malam harinya dan begitu juga dengan akhbar tempatan pada keesokan hari, mereka yang mengawal media dinegara kita ini nampaknya menganggap ianya suatu yang tidak penting. Disini saya ingin berkongsi serba sedikit isi kandungan perbincangan di persidangan tersebut agar usaha kearah hidup yang tidak lagi diperangi oleh Allah SW ini (akibat riba') akan dapat dicapai walau tanpa sokongan media massa kebanyakan.

Dr Mahathir Mohammad telah memberikan ucapan pembukaan, beliau membangkitkan isu mengenai ekonomi dunia hari ini yang seolah-olah tiada kawalan dan disebabkan bebasnya ahli ekonomi seperti bank, syarikat pelaburan dan sebagainya untuk melakukan urusniaga sesuka hati seperti memberi pinjaman tanpa mengambil kira risiko dan sebagainya, maka kegawatan ekonomi terutama dibarat hari ini terjadi. Terdapat satu fakta yang dikemukakan oleh beliau yang amat menarik perhatian saya iaitu mengenai urusniaga tukaran wang asing (forex). Menurut beliau urusniaga forex pada masa kini bernilai sebanyak 4 trillion USD sehari, lebih banyak berbanding semasa krisis matawang pada tahun 1997. Jumlah itu bersamaan dengan nilai pengeluaran produk dan perkhidmatan bagi negara Jerman dalam jangka masa setahun, akan tetapi jumlah tersebut telah memberi manafaat kepada negara dan masyarakat negara Jerman itu sendiri dari segi ekonomi sedangkan apakah sumbangan urusniaga forex? Selain dari mengkayakan pengurus forex dan juga pelabur kaya, sumbangan kepada sektor pekerjaan, perniagaan dan ekonomi negara secara amnya hampir tiada.

Bagi kebanyakan penceramah yang lain pula hampir kesemuanya bersetuju bahawa pergolakan ekonomi dunia hari ini adalah kerana sistem kewangan yang diguna pakai itu sendiri adalah suatu penipuan. Terdapat 3 isu utama yang dibincangkan didalam persidangan ini iaitu:
  1. Wang kertas yang diguna pakai hari ini yang tidak disandarkan dengan nilai sebenar samada emas atau perak.
  2. Keistimewaan yang telah diberikan kepada bank baik konvensional atau pun islamik untuk "mencipta" wang mengikut sistem pecahan simpanan (fractional reserve) menerusi kaedah perakaunan mereka.
  3. Riba', bunga atau kadar faedah yang terbina didalam sistem ekonomi moden itu sendiri yang merupakan bisa yang tersembunyi dan melumpuhkan hampir seluruh golongan masyarakat akan tetapi mengkayakan segolongan kecil yang lain. 
 Berapa ramaikah dikalangan kita yang sedar bahawa wang kertas yang kita gunakan setiap hari ini adalah satu penipuan? Mengapa satu penipuan? Kerana wang kertas sebenarnya tidak mempunyai nilai. Wang kertas hari ini dicipta dengan hutang dan bukan berdasarkan kepada komoditi seperti emas dan perak. Akan tetapi mengapa ianya diterima pakai? Kerana ianya termaktub didalam undang-undang negara apa yang dipanggil "legal tender law", dan siapa yang menciptanya? Tidak lain tidak bukan British laknatullah yang telah menjajah negara kita dan hanya setelah dua benih syaitan disemai kedalam sistem pemerintahan negara, baru itulah kemerdekaan diberikan. Dan benih syaitan itu adalah undang-undang "legal tender" yang menjadikan wang kertas sebagai medium pertukaran dan juga pemerintahan sekular yang meletakkan undang-undang ciptaan manusia lebih agung dari undang-undang Allah SW.

Kebanyakan ulamak perbankan tersohor menggunakan fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa pada 1986 yang mana telah membenarkan penggunaan wang kertas. Akan tetapi jika 14 tahun dahulu kita boleh membeli teh tarik dengan hanya 50 sen akan tetapi pada hari ini lebih dari seringgit, maka tibalah masanya ulamak hari ini perlu mengishtiharkan wang kertas adalah haram. Apabila diishtiharkan haram, pasti akan ada usaha yang lebih serius dan bersungguh-sungguh untuk menghentikan penggunaannya atau paling tidak pun menyandarkan ianya kepada suatu komoditi yang mempunyai nilai. Allah SW tidak akan mengubah sesuatu kaum itu jika mereka sendiri tidak mahu berubah, maka sudah sampai masanya untuk fatwa baru dikeluarkan mengenai wang kertas ini.

Antara saranan lain didalam persidangan tersebut adalah membenarkan wang secara bebasnya dicipta oleh semua manusia (free money), ini bukan bermaksud sesiapa sahaja boleh mencipta wang kertas dan mengedarkannya akan tetapi menarik keistimewaan bank atau tidak bergantung lagi kepada mereka untuk mencipta wang (menerusi sistem pecahan simpanan). Setiap individu yang mengusahakan suatu barangan, komoditi atau perkhidmatan, menerusi sistem dan prasarana sedia ada dizaman ini, beliau boleh "mencipta wang" didalam sistem melalui aliran kredit atau debit didalam sistem tersebut. Sistem ini kemukakan oleh Prof. Ahamed Kameel Mydin Meera menerusi sistem yang dipanggil Multilateral Payment System yang mana nilai untuk barangan dan perkhidmatan itu berasaskan nilai emas dan perak. Sistem sebegini bukanlah suatu yang baru, nama lain untuk sistem ini adalah LETS (Local Exchange Trading System) yang telah banyak digunakan dinegara luar seperti di Australia, Kanada dan Switzerland. WIR Bank di Switzerland telah menggunakan sistem ini dari tahun 1934 hingga kehari ini.

Disebabkan dua unsur iaitu wang kertas dan penciptaan mudahnya oleh bank maka dapat riba' berkembang biak. Apabila nilai wang tidak lagi berada didalam wang, nilai wang boleh dimanipulasi, dan bank pula dengan mudahnya mencipta wang menerusi pinjaman dan kemudiannya mengenakan riba' atas wang yang sebenarnya tidak wujud, bank ibarat lintah yang menyedut darah semua umat manusia baik secara langsung atau tidak, baik bank konvensional atau pun islamik. Secara langsung adalah dengan memaksa peminjam membayar balik dengan jumlah yang berganda, secara tidak langsung pula adalah dengan menurunkan nilai wang itu sendiri atau mencairkannya melalui penciptaan wang baru, maka teh tarik yang dahulunya 50 sen dah naik lebih seringgit. Kebanyakan masyarakat mengeluh mengenai harga barang yang semakin meningkat, ini tanggapan yang salah, sebenarnya bukan barang yang semakin mahal, nilai wang yang semakin menurun. Harga emas yang semakin meningkat dipasaran dunia hari ini adalah petunjuk untuk nilai sebenar dollar US yang semakin hilang nilainya akibat dicetak tanpa bersandarkan apa-apa nilai yang nyata.

Riba' adalah punca utama masalah sosial, dari tamaknya manusia menipu, makan rasuah, rompakan, pecah rumah dan ragut, kerosakan akhlak muda-mudi disebabkan ibu bapa sibuk bekerja hinggalah kepada kemusnahan alam sekitar baik dari perlancongan atau mengkomoditikan segala sumber alam yang boleh diperolehi untuk membayar balik riba' yang berganda akibat pinjaman bank ataupun bersaing untuk mengaut lebih wang akibat turunnya nilai wang (lebih banyak wang diperlukan untuk membayar barang yang sama, rujuk teh tarik), sebab itu lah Allah SW mengishtiharkan perang terhadap mereka yang terlibat dengan riba' malah dosanya lebih teruk dari berzina. Ketika Nabi SWA dinaikkan kelangit ketika Israk dan Mikraj, baginda melihat manusia yang perutnya dipenuhi ular dan apabila baginda bertanya kepada Jibrail AS siapa mereka lantas Jibrael menjawab, mereka adalah golongan yang memakan riba' (Ahmad, Ibn Majah). 

Benih syaitan yang disemai oleh penjajah telah tumbuh subur menjadi pokok besar yang sukar ditebang, bertambah malang lagi apabila kapak penebang hanya berada ditangan kerajaan (dengan menggubal undang-undang), maka rakyat semua perlulah terlebih dahulu sedar dan bersama meminta pemerintah menebang pokok syaitan tersebut. Hampir semua manusia diakhir zaman ini telah bergelumang dengan riba' terutamanya pinjaman rumah dan kereta. Baik islamik atau tidak, keduanya sama sahaja, cuma bezanya satu ikut pintu depan dan satu lagi ikut pintu belakang. Saya sendiri sudah terjebak didalam kancah riba' dan sedang berusaha sedaya upaya untuk keluar darinya. Atas kesedaran ini jugalah saya berusaha untuk menyedarkan rakan-rakan yang lain akan bahaya dan besarnya dosa akibat riba' ini. 

Salah seorang penceramah dipersidangan itu adalah Prof. Aziuddin Ahmad dari KUIS, apa yang memeranjatkan saya beliau adalah seorang ahli fizik, sempat saya berbual seketika dengan beliau dan berkongsi pandangan bagaimana melihat kehidupan didunia ini dari sudut fizik kuantum, alhamdulillah kami mempunyai pandangan yang serupa. Dari sudut fizik kuantum, kita semua berkait melalui ruang tenaga yang tidak kelihatan, apa yang kita lakukan mempengaruhi insan lain dan ianya akan berbalik kepada diri kita sendiri. Semua larangan Allah SW adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri, malangnya akibat bisikan syaitan dan percayakan dunia yang sementara ini, manusia beralih dari fitrah yang dilahirkan sebagai muslim kepada sayangkan dunia dan bencikan akhirat. Insyaallah usaha saya memerangi riba' ini akan berterusan hinggalah ke akhir hayat. Walau pun hanya seorang sahaja insan yang akan sedar dari penulisan saya ini, ianya sudah memadai, harapan saya agar peringatan ini berterusan kepada rakan-rakan yang lain agar dunia yang sementara ini boleh menjadi aman dan sentosa.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Rabu, 13 Oktober 2010

Kuliah Ringkas Pada Budak Kurier

Saya sering membeli buku secara online dan menggunakan perkhidmatan sebuah syarikat kurier yang memberi perkhidmatan yang mana bayaran untuk penghantaran tersebut dijelaskan semasa barang diterima. Seringkali wang lebihan bayaran saya hadiahkan sahaja kepada budak kurier, contohnya apabila bayarannya berjumlah 69, saya berikan 70 dirham maka dapatlah dia 1 dirham, adakala bayarannya 135, saya berikan wang 100 dan 50 maka lebihan 15 dirham dapatlah untuk dirinya.

Setelah beberapa bulan saya tidak membeli buku baru, kelmarin saya menerima tempahan yang saya buat beberapa hari sebelumnya. Seperti biasa budak kurier yang sama melakukan penghantaran kerumah, akan tetapi kali ini berlaku kejadian yang mana membuatkan saya menulis artikel ini untuk dikongsi dengan rakan-rakan sekalian.



Budak kurier: Assalamualaikum Encik, ini pesanan untuk encik dan kosnya 120 dirham.

Saya membuka dompet dan mendapati ada sekeping wang 20 dirham dan selebihnya beberapa keping wang kertas 100 dirham, terdetik didalam hati saya, "alamak tiada pulak lebihan nak bagi kat dia ni, tak mengapalah, lain kali". 

Saya: Waalaikumsalam, ini wangnya 120, terimakasih ya.

BK: Sila tandatangan disini, errr... tiada tip ke untuk saya hari ini?

Saya tersentak seketika kerana lebihan wang yang sebelum ini kerapkali saya sedekahkan kepadanya seolah-olah dianggap sebagai suatu kemestian.

Saya: Mengapa saya mesti beri tip kepada kamu? Bukankah kamu sudah diberi gaji?

BK: Errr... tak mengapalah, terimakasih, saya pergi dulu.

Saya: Saudara... rezeki sebenar datangnya dari Allah SW dan bukan dari manusia lain, manusia lain itu hanyalah sebagai perantaraan sahaja. 

BK: Baiklah encik, saya pergi dulu, banyak lagi kurier yang perlu saya hantar. 

Budak kurier itu terus berlalu walaupun ada lagi yang ingin saya sampaikan kepadanya. Mungkin terkejut agaknya dengan "kuliah" saya dan membuat keputusan untuk berlalu dengan segera. Apakah sebenarnya yang saya maksudkan rezeki sebenarnya datang dari Allah SW dan manusia lain itu hanyalah sebagai perantaraannya sahaja?

1. Bayaran untuk kos penghantaran tersebut bergantung kepada jumlah berat buku yang saya tempah secara online itu, saya tidak tahu berapa berat buku yang ditempah, maka kos penghantaran tersebut selalunya hanya diketahui semasa pesanan tersebut tiba. 

2. Saya tidak tahu dominasi duit kertas apa yang akan tinggal didalam dompet saya sebelum budak kurier itu sampai. Mungkin saya ada wang kecil dan mungkin tidak. Dalam kejadian diatas, agak tidak arif untuk "bersedekah" 80 dirham (dengan memberi kepadanya 2 keping wang 100 dirham) kepada seseorang yang punyai pekerjaan tetap. Bagi saya lebih baik saya sedekahkan kepada mereka yang fakir miskin. 

Siapa yang sebenarnya yang mampu menentukan 2 faktor diatas yang mana akan menjamin yang budak kurier tersebut dapat rezeki lebih pada masa tersebut? Tidak lain tidak bukan hanyalah Allah SW. Dia (Allah SW) jualah yang menentukan jumlah berat buku yang saya tempah yang mana ianya diluar kawalan saya dan begitu jugalah dengan wang kecil yang akan tersimpan didalam dompet saya. Jika pagi tersebut saya terfikir ingin membeli sarapan diluar, maka jumlah wang tentu akan berbeza jika saya memilih untuk masak sendiri sarapan dirumah.

Pada pendapat saya jika budak kurier tersebut melakukan kerjanya dengan ikhlas, bersyukur kepada Allah dengan gaji yang sudah terjamin akan diterimanya setiap akhir bulan, rezeki lebih insyaallah akan diberikan oleh Allah SW (kerana takwa). Jika kita ingat rezeki datangnya dari insan lain yang mana dalam kejadian diatas, budak kurier tersebut tanpa segan silu meminta dari saya seolah-olah ianya satu kemestian, syarat atau undang-undang, beliau hanya membuatkan rezekinya bertambah sempit, contohnya saya menjadi tawar hati untuk menghadiahkan kepadanya lebihan wang pada penghantaran yang akan datang.

Budak kurier tersebut tidak punyai kuasa untuk memastikan saya senantiasa memberinya "tip", akan tetapi bagaimana pula dengan manusia yang mengambil "tip" secara paksa dari insan lain hanya kerana mereka punyai sistem atau kuasa untuk melakukannya?, contohnya;

1. Apa? kamu berminat nak beli barang ni? tak mengapa, disebabkan kamu tak mampu nak beli secara tunai, aku belikan untuk kamu dan aku beri kamu masa untuk membayarnya tetapi aku jual kepada kamu  berganda dari harga asal, tetapi jika kamu tidak mampu bayar, harta kamu akan dirampas dan akan dilelong (macam biasa dengar je cerita ni...). Ini untuk memastikan kebajikan pemegang saham kami, kebajikan kamu kami tak peduli. Risiko hanya kepada kamu, risiko kami tiada atau kami minimumkan.

2. Apa, nak aku tauliahkan projek ini kepada kamu? tak mengapa, pastikan 10% dari jumlah kontrak itu nanti masuk ke akaun aku ya. Aku yang punya kuasa untuk meluluskan suatu projek ini, tak setuju  ramai lagi kontraktor yang sedang menunggu. 

Allah SW menghalalkan perniagaan, mengharamkan riba', penipuan dan penindasan kerana apa? Kerana melalui riba', penipuan dan penindasan, manusia menutup pintu risiko, yang mana melalui risiko itulah Allah SW akan membuatkan sesetengah insan akan untung dan sesetengah insan lain akan rugi dan dari situ nanti kekayaan akan tersebar secara adil sesama manusia. Rezeki yang halal bukannya datang dari "sistem perniagaan" yang meminjam wang (berselindung disebalik jual beli) dan dengan peminjam yang di"pukau" bahawa sistem mereka itu halal, terpaksa membayar balik pinjaman yang diberikan berganda dari jumlah asal. Dan jika perniagaan tersebut tidak punyai risiko, (peminjam gagal bayar, harta akan dilelong) maka itu bukan perniagaan akan tetapi penindasan.

Apabila manusia dengan bongkaknya menyalah gunakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka dengan memastikan rezeki lebih mereka didalam genggaman mereka sendiri, mereka menolak Allah SW sebagai pemberi rezeki dan menganggap kuasa ditangan mereka itulah pemberi rezeki. Tiada risiko bagi mereka kerana mereka sentiasa untung dan yang rugi hanyalah rakyat jelata yang menjadi "keldai" bekerja keras membayar cukai yang mana disebabkan kuasa mereka itu, duit rakyat akan masuk ke kocek mereka. Sebab itulah mereka yang korup senantiasa mahu kekal berkuasa dan melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka kekal berkuasa baik dari kawalan media, undi hantu, undi pos, politik wang dan sebagainya. 

Apabila rezeki ditentukan oleh sistem dan kuasa, maka berlakulah ketidak adilan dan pelbagai masaalah sosial akan timbul. Manusia tidak lahir sebagai pencuri, persekitaran yang membentuk manusia tersebut menjadi pencuri dan manusia kebanyakan tanpa menyedarinya secara tidak langsung membantu melahirkan generasi pencuri tersebut, bagaimana? mereka menjadi penyokong kepada sistem atau kuasa yang menyebabkan ketidak-adilan penyebaran rezeki itu semakin berleluasa. Buka mata dan lihatlah keadaan sekeliling, dari rumah yang dahulunya tingkap dua bilah yang boleh dibuka begitu sahaja semasa tidur dimalam hari, bertukar kepada tingkap bergril dan yang terbaru pula warga nepal atau bangla menjadi jaga mengawal kawasan perumahan. Mengapa ini terjadi? Tiada yang percuma didunia ini dan ini lah harga yang terpaksa kita bayar apabila ekonomi tidak lagi manusia serahkan kepada Allah SW untuk menentukannya, sebaliknya melalui kuasa dan sistem ciptaan manusia itu sendiri.

Apa yang ingin saya sampaikan disini adalah rezeki yang sebenar datangnya dari Allah SW, pekerjaan yang kita lakukan hanyalah sebagai mekanisma untuk rezeki tersebut sampai kepada kita. Hanya pekerjaan yang dilakukan dengan ikhlas, memberi nilai, memberi kebaikan kepada insan lain sahajalah yang boleh dianggap rezeki yang halal, bukan dari sistem atau kuasa yang menindas insan lain. Bekerjalah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, Allah SW itu tahu apa yang tersimpan dihati dan akan senantiasa memberi kelimpahan rezeki kepada mereka yang benar-benar bertakwa. Banyak faktor yang mempengaruhi bagaimana rezeki akan sampai atau pergi dari kita dan siapalah kita manusia yang kerdil ini yang mampu mengawalnya. Serahkan kepada Allah SW, nescaya akan perolehi ketenangan hidup didunia dan kegembiraan sejati diakhirat kelak, insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Rabu, 8 September 2010

Eid Mubarak

Assalamualaikum


Bersempena Hari Raya yang mulia ini, saya Helmis, isteri dan keluarga sekelian mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua rakan-rakan, pengunjung dan pembaca blog SyurgaDiDunia ini terutama buat pembaca/pengikut setia yg sentiasa menjadi pendorong dan perangsang untuk saya terus berkongsi ilmu2. Moga Aidilfitri yang mulia ini menjadi titik permulaan hidup yang baru setelah berjuang melawan nafsu selama sebulan kita berpuasa, insyaallah.

Wassalam


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Rabu, 1 September 2010

Puasa - Menjadi Insan Baru


Tahukah anda bahawa dalam setiap saat, sebanyak hampir satu juta sel-sel didalam tubuh badan manusia mati? Dan pada masa yang sama juga hampir sejumlah yang sama dihasilkan kembali. Baik dari sel-sel darah, sel lapisan perut, tulang, otot, kulit dan sebagainya saban hari berganti baru, malah hasil dari kajian juga menunjukkan sejumlah besar debu rumah adalah datangnya dari sel kulit yang mati. Jadi saban hari, hampir keseluruh sel didalam tubuh badan manusia bertukar ganti, maka boleh kita katakan selepas beberapa minggu seseorang manusia itu sebenarnya mampunyai tubuh badan yang baru. Akan tetapi apakah dengan mempunyai sel-sel baru didalam tubuh badan ini akan memberikan perbezaan didalam kehidupan seseorang itu?

Setiap kali kita mempunyai fikiran (thought) samada gembira, marah atau sedih dan sebagainya, otak akan merembeskan pelbagai kimia emosi yang sepadan dengannya, dan kimia emosi ini akan menghujani sel-sel diseluruh tubuh badan kita, ini membuatkan kita merasakan (feel) emosi atau perasaan yang datangnya dari fikiran tadi. Fikiran yang terhasil diotak ini dalam erti kata lain menyebabkan sejumlah jaringan neuron menjadi aktif dan ini menyebabkan otak mengeluarkan /merembeskan kimia emosi yang mana ini membuatkan kita dapat merasakan apa yang kita fikirkan.

Contohnya katakanlah seseorang itu mengalami keadaan yang mana menyebabkan dia menjadi marah, setiap sel-sel didalam tubuh badan mereka akan dihujani dengan kimia emosi tersebut. Maka seseorang itu akan "rasa" akan kemarahan tersebut. Degupan jantung dan nafas semakin kencang, kaki dan tangan seolah-olah menjadi semakin ringan dan sebagainya, hasil dari rembesan kimia emosi itu tadi. Jika sel-sel tubuh kerap dihujani dengan kimia emosi yang sama (marah) maka sel-sel tubuh menjadi terbiasa dengan keadaan tersebut, mungkin boleh juga kita katakan selesa dengannya. Maka apabila sel-sel ini membahagi membentuk sel-sel yang baru, sel-sel yang baru juga telah dikondisi untuk siap sedia menerima kimia emosi yang sama. (lebih banyak "receptor" di permukaan sel untuk kimia emosi tersebut). 

Untuk mengekalkan keselesaan ini atau apa yang disebut "homeostasis", sel-sel didalam tubuh badan akan senantiasa menantikan kedatangan kimia emosi tersebut (ketagih), sel-sel akan senantiasa menghantar signal keotak seolah-olah meminta seseorang itu agar marah atau mencari sebab untuk membolehkan kemarahan terjadi, maka fikiran negatif mula timbul, menjadi tidak selesa dan seolah-olah ada sesuatu yang tak kena dan mulalah mencari jalan untuk marah contohnya dengan mencari kesilapan orang lain. Manusia rata-rata tanpa sedar tidak mengetahui bahawa kebanyakan tingkah laku dan perbuatan mereka itu hanyalah kerana mahu memenuhi apa yang asalnya ketagihan sel-sel didalam tubuh badan mereka sendiri terhadap kimia emosi tertentu. Ini juga apa yang dipanggil minda separuh sedar yang mengawal hampir kesemua kehidupan seharian seseorang itu. Kita boleh panggil ianya tabiat, sikap, perangai, tingkahlaku, peel dan sebagainya.

Mengapa ini terjadi? Faktor utamanya adalah kerana seseorang itu gagal untuk menjadi menjadi pemerhati yang hebat, memerhatikan (dengan sedar) apa yang bermain dikepala mereka setiap masa (yang mana kebanyakannya adalah "laungan" dari sel-sel tubuh badan mereka yang ketagihkan kimia emosi tertentu) dan menggunakan frontal lobe mereka untuk menganalisa apakah fikiran yang bermain dikepala mereka itu akan membawa kebaikan atau keburukan kepada mereka, adakah ianya untuk kebaikan roh mereka atau sel-sel tubuh badan mereka. Manusia lebih kerap membiarkan tubuh badan mereka (sel-sel) berfikir untuk diri mereka dengan cara melayani ketagihan sel-sel mereka terhadap kimia emosi tertentu. Mereka lebih memberi makan kepada tubuh badan mereka, menjadi hamba kepada sel-sel tubuh badan mereka sendiri. Mekanisma ini sama juga untuk keadaan hidup yang lain seperti nafsu syahwat, cemburu, risau, perasaan tidak dihargai, takut, sedih dan sebagainya. Mekanisma yang sama juga dengan ketagihan terhadap dadah, arak, rokok dan sebagainya, cuma bezanya kimia ini datang dari luaran dan bukan dari otak. Mekanisma yang sama juga jika seseorang itu sudah terbiasa melakukan kebaikan, contohnya ringan tulang, penyabar, suka menggembirakan insan disekeliling, pemurah dan sebagainya.

Disini saya ingin mengaitkan pula dengan berpuasa, bagaimana berpuasa itu akan menjadikan seseorang itu seorang insan yang baru. Kita guna contoh yang sama iaitu seorang yang mudah marah. Kita semua tahu bahawa ketika puasa seseorang itu wajib juga menahan sabarnya dari mudah marah, dan apabila ia boleh dilakukan (tidak mudah melenting terhadap stimulasi dari sekitarnya baik dari manusia lain ataupun keadaan sekitar seperti cuaca dan masa), maka sel-sel tubuh badan mereka tidak lagi dihujani kimia emosi yang sama. Apabila ini terjadi,  sel-sel didalam tubuh badan manusia itu akan menghantar signal keotak (permintaan) meminta agar mereka mendapat kimia emosi tersebut (marah), akan tetapi jika seseorang itu boleh menjadi pemerhati yang hebat, maka dia tahu fikiran yang bermain dikepala mereka (untuk marah) akan tidak dilayan, maka apabila dia tidak melayannya maka sel-sel mereka seolah-olah diajar bahawa akulah tuan engkau (roh kepada tubuh badan) dan bukan sebaliknya. Dan apabila sel-sel itu membahagi, sel-sel yang baru tidak akan lagi meminta atau ketagihkan kimia emosi yang sama.

Kajian sains menunjukkan bahawa lebih kurang sebulan lamanya diperlukan untuk pil anti-kemurungan berkesan dan jangka masa ini juga agak sama dengan dengan proses pembentukan sel-sel hippocampus (bahagian otak yang membantu pembelajaran) yang baru (neurogenesis) terbentuk. Jika kita kaitkan pula dengan puasa, maka nampak jelas mengapa Allah SW memerintahkan puasa itu selama sebulan. Ini membolehkan sel-sel tubuh badan kita berganti dengan sel-sel yang baru (contohnya bahagian hippocampus diotak), maka generasi sel-sel yang baru ini tidak lagi akan ketagihkan kimia emosi yang sama baik untuk marah, murung, nafsu dan sebagainya. Ini tidak secara langsung membentuk generasi sel-sel baru didalam tubuh badan kita, sel-sel didalam tubuh badan manusia yang berjumlah labih 50 trillion ini akan akur bahawa kita adalah pemimpin mereka dan bukan menjadi hamba melayan ketagihan mereka. Jika kita kaitkan pula dengan solat terawih yang berulang-ulang, apabila ianya dilakukan dengan ikhlas maka, sel-sel didalam tubuh badan kita akan dihujani dengan kimia emosi yang baru iaitu sukakan solat. Sukakan solat dan ikhlas akan tersemat didalam minda searuh sedar kita.

Kemenangan melawan nafsu di bulan ramadhan ini pada pendapat saya adalah kemenangan kita membuktikan siapa sebenarnya yang berkuasa, siapa sebenarnya yang memimpin tubuh badan kita ini. Seluruh sel-sel didalam tubuh badan kita ini yang bergabung membentuk minda separuh sedar dan minda separuh sedar ini yang mengawal hampir keseluruhan hidup kita sehari-hari, jadi teramat pentinglah kita memelihara maklumat yang samai kepada mereka ini. Berpuasalah dengan ikhlas dan jujur, kita boleh berbohong dengan manusia lain akan tetapi tidak kepada sel-sel didalam tubuh badan kita ini kerana kimia emosi kepura-puraan itu juga akan sampai kepada mereka. Sia-sialah mereka yang berpuasa tetapi masih dengan sikap yang sama samada tidak solat, mudah marah, tidak sabar, boros dan sebagainya, puasa mereka hanyalah sekadar laar dan dahaga dan mereka tetap kalah melawan nafsu hasil dari laungan sel-sel tubuh badan mereka sendiri.

Ketahuilah bahawa maha pengasihnya Allah SW itu memberikan semua faedah amal ibadat yang dierintahkan kepada manusia itu kembali kepada diri mereka sendiri, cuma manusia itu sahaja yang semakin leka dengan pembohongan dunia yang sementara ini, terpedaya dan menjadi hamba kepada sel-sel tubuh badan mereka sendiri. Adakah sel-sel tubuh badan mereka bersalah? Tidak kerana mereka tidak tahu keadaan sebenar selain dari dunia tubuh manusia itu sendiri, manusia itu sendiri yang memberi maklumat kepada sel-sel dari apa yang bermain difikiran mereka. Jika Allahuakbar selalu difikiran, insyallah amat mudahlah hidup seseorang itu untuk mendekati Allah. Jika wang ringgit, harta, kedudukan dan kroni yang memenuhi fikiran, sel-sel didalam tubuh badan mereka juga akan dihujani dengan informasi yang sama maka keseluruhan hidup seseorang itu akan menjurus kearah itu.

Jadilah pemerhati yang hebat, perhatikan apa yang bermain difikiran. Solatlah dengan khusyuk kerana itulah latihan untuk menjadi pemerhati yang hebat kepada fikiran (thought)  kita sendiri. Lebih mudah kita memerhatikan apa yang terngiang-ngiang dikepala maka akan lebih mudahlah kita untuk menjadi pemimpin, pemimpin kepada lebih 50 trillion sel-sel yang membentuk tubuh badan kita ini agar lebih dekat kepada Allah SW, insyallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Selasa, 24 Ogos 2010

Beberapa Fakta Riba'


1. Tahukah anda bahawa, riba', kadar faedah, dan bunga itu adalah benda yang sama?

2. Tahukah anda bahawa riba' adalah punca utama menyebabkan perbezaan jurang ekonomi yang mana mereka yang miskin menjadi semakin miskin dan yang kaya menjadi semakin kaya?

3. Tahukah anda bahawa riba' juga salah satu penyebab jatuhnya empayar Ottoman?

4. Tahukah anda karangan William Shakespeare bertajuk "Merchant of Venice" berkisar mengenai pengambilan riba?

5. Tahukah anda bahawa Allah SW dan Rasulnya mengishtiharkan perang terhadap mereka yang mengambil riba'? (Surah Al Baqarah 2:279)





6. Tahukah anda bahawa mengambil riba', memberi riba', merekod dan menjadi saksi kepada urusan riba itu dosanya adalah sama? (Sahih Muslim)

7. Tahukah anda bahawa larangan riba' juga terdapat didalam Kitab Injil? (Leviticious 25:35-7, Exodus 22:24, Deutronomy 23:19-20 dll.)

8. Tahukah anda bahawa terdapat 70 jenis riba'? Dan yang paling kecil dosanya adalah seperti berzina dengan ibu sendiri? (Ibnu Majah, Baihaqi)

9. Tahukah anda bahawa menerima satu dirham (wang perak) riba' dengan menyedarinya, dosanya lebih besar dari berzina 36 kali? (Ahmad)

10. Tahukah anda bahawa semasa israk mikraj, Nabi SAW melihat mereka yang makan riba' perutnya dipenuhi dengan ular? (Ahmad, Ibn Majah)

11. Tahukah anda bahawa akan tiba masanya tidak ada seorang pun didunia ini yang terkecuali dari riba', jika dia tidak terlibat dengan riba' sekalipun debu atau wap riba' akan kena padanya (Sahih Abu Daud)

Rujukan: The Prohibition of Riba In The Quran & Sunnah oleh Sheikh Imran Hossein


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Jumaat, 30 Julai 2010

Tiada Yang Percuma DiDunia Ini.

Udara yang kita semua sedut dengan kadar purata 12 sedutan seminit ini, adakah ianya percuma? Jika dilihat pada perspektif kasar, ya, memang ianya seolah-olah percuma kerana kita tidak perlukan wang atau duit membayarnya. Akan tetapi adakah segala yang kita nikmati didunia ini semestinya berurusan dengan wang atau duit? Bagaimana jika saya katakan udara yang kita sedut ini tidak percuma? Mungkin ada yang setuju dan mungkin ada yang kata tidak.

Bagaimana pula dengan mereka yang mengambil hak insan lain secara sedar atau tidak, contohnya dengan mengambil rasuah, mencuri, makan harta anak yatim, menipu dan mana ini adalah secara langsung. Yang terselindung pula adalah riba' samada faedah dari bank ataupun saham tidak halal yang mana manusia mengambil hak insan lain samada secara paksa (riba' dengan Along) ataupun secara sukarela (riba' atau pembiayaan jual beli dengan bank).

Bagaimana pula dengan skim cepat kaya atau yang berselindung disebalik MLM dengan menjual produk sambil memperdayakan ahli mencari ahli yang lain dan kemudiannya yang menjadi mangsa selalunya adalah mereka yang berada dibawah sekali dalam tingkat piramid? Malah ada syarikat yang menggunakan konsep ini sambil menjual barangan berunsurkan Islam.

Tiada yang percuma didunia ini dan apa yang dinikmati dan nampak seolah-olah percuma itu sebenarnya ada harga yang mesti dibayar. Disini saya akan membawa rakan-rakan sekalian untuk kembali merenung dan berfikir dari asas kehidupan itu sendiri hinggalah kepada mengapa Allah melarang kita mengambil hak orang lain samada mencuri, mengambil rasuah, makan harta anak yatim dan terutamanya riba' yang mana Allah dan rasul mengishtihar perang terhadap mereka yang berbuat demikian.



Sebelum wujudnya wang samada kepingan emas, perak ataupun wang kertas, bagaimanakah caranya manusia mendapatkan barang keperluan contohnya makanan? Manusia harus berusaha mencarinya kerana ianya tidak datang bergolek didepan mata. Ada yang mencarinya dihutan dengan memetik buah-buahan ataupun memburu. Makin lama muncul pula pengkhususan dimana manusia mengusahakan sawah atau ladang. Bagaimana pula jika manusia inginkan barangan lain selain dari apa yang diusahakannya? Maka muncul pula situasi dimana manusia mula bertukar-tukar barangan (barter).

Ini bermakna, jika saya ada mahukan sesuatu contohnya beras, maka saya perlu berusaha menanamnya atau mencari sesuatu yang berguna, punyai nilai dan dikehendaki oleh manusia lain contohnya seberkas kayu api, dan saya juga perlu berusaha mencari sesiapa yang punyai beras dan mahukan kayu api. Apabila bertemu maka saya harus berbincang dan bersetuju mengenai kadar pertukaran, mungkin seberkas kayu api saya itu boleh saya tukarkan dengan secawan beras. Saya juga harus berakad untuk menyempurnakan urusan seumpama jual beli ini. Jika tidak dengan bertukar barangan, saya boleh juga menukar beras itu dengan skil yang ada pada diri saya, contohnya menuai padi untuk pemunya sawah dan kemudiannya dia mengupah saya dengan sejumlah beras.

Ini bermakna, jika saya tidak punyai apa-apa iaitu suatu yang bernilai atau skil berguna yang memberi perkhidmatan kepada manusia lain, maka tidak mungkin saya akan memperolehi sesuatu barangan lain kecualilah jika saya menjadi peminta sedekah ataupun mencuri. Semua harus didahulukan dengan usaha dan usaha memerlukan tenaga, saya mesti punyai suatu yang bernilai dahulu sebelum boleh ditukarkan dengan suatu yang bernilai dan tukaran itu juga mestilah setanding dengan barang yang mahu ditukar dan disusuli pula dengan persetujuan (akad) untuk proses tersebut.

Sekarang saya cuba kaitkan pula proses ini dengan fizik, usaha memerlukan tenaga dan ini bermakna tanpa melibatkan tenaga, sesuatu hasil (barang atau perkhidmatan) tidak akan diperolehi. Menurut teori relativiti Einstein, berdasarkan formula E=MC2, tenaga dan jirim (mass) adalah dua benda yang sama tetapi dalam bentuk yang berbeza dan kedua-duanya saling bertukar. Ini bermakna dari tenaga yang kita keluarkan, ia berubah manjadi suatu yang nyata, jelas dan fizikal (jirim). Menurut hukum pengekalan tenaga (Law of conservation of energy) pula, tenaga didalam suatu sistem tertutup itu tidak boleh dihasilkan atau dimusnahkan, ia hanya boleh berubah dari satu bentuk kepada satu bentuk yang lain samada melalui kinetik, induksi, konveksi ataupun radiasi.

Allah menjadikan matahari sebagai punca utama tenaga didunia ini dan dari tumbuh-tumbuhan, tenaga mathari tersebut bertukar menjadi sesuatu yang berguna untuk umat manusia, baik untuk makanan mahupun barang diguna pakai, dari makanan ruji seperti gandum dan beras hinggalah kepada minyak yang mana ianya adalah hasil dari reputan tumbuh-tumbuhan dan dinasour beribu-ribu tahun dahulu yang juga mendapat tenaga dari matahari. Tenaga tersimpan dalam bentuk suatu yang wujud (jirim) ataupun gelombang seperti gelombang bunyi ataupun gelombang haba. Tenaga berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain dan pertukaran ini nampak seperti suatu yang boleh dikawalsecara mutlak sedangkan pada hakikatnya itu tidak dapat dicapai sama sekali dimana jika dilihat dari sudut sub-atomik, ianya hanyalah kemungkinan dan kebarangkalian sahaja. Einstein sehingga akhir hayatnya tidak dapat menerima hakikat bahawa dunia sub-zarah memang terbukti suatu yang tidak boleh ditentukan hingga ungkapan beliau "Tuhan tidak bermain dadu" masih diungkapkan didalam kebanyakan buku falsafah fizik. Jadi adakah Allah SW "bermain dadu" dan membiarkan dunia tenaga atau sub-zarah ini dengan ketidak tentuan?

Sejak lebih 300 tahun dahulu kebanyakan kita diasuh dengan fizik klasik yang dikemukakan oleh Newton berdasarkan asas yang diberikan oleh Descartes, Galileo, Kepler dan Copernicus, dan melaluinya konsep sesuatu yang berlaku ada penyebabnya (causality), dengan menggunakan hukum gerakan Newton, kehidupan didunia ini boleh dikira baik dari perlanggaran biji guli hinggalah kepada menerbangkan roket keangkasa. Manusia percaya kepada suatu yang jelas, yang nampak, yang boleh diuji dan dikaji, maka dalam bab mengambil rasuah, makan riba', mencuri dan sebagainya ini, manusia percaya dengan kuasa, kebijaksaaan, kelicikan dan sebagainya yang ada pada diri mereka, mereka dapat mengira, mengagak dan mengawal harta atau wang ringgit yang didapati dengan cara tidak sah itu. Akan tetapi dunia yang jelas memang boleh dikawal, diagak dan sebagainya, tidak didalam dunia zarah sub-atomik.

Pada pendapat saya menerusi pengamatan dan penelitian, Allah tidak membiarkan dunia zarah sub-atomik ini dengan ketidak tentuan, Allah telah pun meletakkan undang-undang tertentu tetapi tidak disebut secara langsung kepada umat manusia. Ini kerana Allah SW mahu menguji hambanya dan mahukan hambaNya yang berfikir akan tetapi diakhir zaman ini amat kurang sekali umatnya yang berbuat demikian kerana telah tenggelam dengan hiburan, kesenangan dan kemewahan. Cuma mereka yang benar-benar beriman sahaja yang tidak perlu tahu mengapa Allah SW memerintahkan sedemikian kerana mereka yakin dan percaya apa yang diperintahkan Allah itu ada hikmahnya. Manusia akhir zaman dengan punyai ilmu yang sedikit bongkak bangun menentang apa yang diperintahkan Allah dengan alasan sudah jumud, menindas dan menyalahi hak kebebasan memilih, hak individu dan sebagainya. 

Allah maha adil, itulah undang-undang atau hukum yang menidakkan ketidaktentuan dunia sub-zarah atau dunia tenaga. Setiap apa yang kita nikmati baik dari udara yang disedut, wang dan kekayaan yang diperolehi mestilah secara adil. Jika kita tidak menjaga alam sekitar (tumbuh-tumbuhan) bahananya adalah perubahan cuaca dunia. Jika kita mendapat kekayaan dengan mengambil hak insan lain, terjadilah pelbagai penyakit sosial masyarakat terutamanya kecurian, penipuan, rasuah dan sebagainya dan ia akan berbalik kepada diri kita sendiri. Semua yang kita nikmati ini ada tanggungjawab dan harga yang terpaksa dan perlu dibayar.

Bermula dengan pertukaran barang, kemudiannya emas atau komoditi sebagai wang hinggalah kepada penggunaan kertas yang mewakili wang, jika difikirkan secara mendalam, wang sebenarnya hanyalah mewakili sebanyak mana tenaga yang kita usahakan dan tenaga ini bertukar bentuk dari usaha atau kerja kepada wang dan kemudiannya dari wang itu kita mendapat sesuatu yang lain. Contohnya kita bekerja dan hasil dari kerja itu kita mendapat gaji dalam bentuk wang, dan dengan wang itu kita boleh mendapatkan khidmat usaha manusia lain ataupun barangan yang diusahakan oleh orang lain. Semuanya berbalik kepada usaha dan usaha itu asalnya dari tenaga. Dan melalui interaksi sesama manusia inilah (jualbeli dan perkhidmatan), tenaga berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain. Persoalannya, adakah tenaga yang kita perolehi (yang diwakili oleh wang itu) benar-benar milik kita?

Apabila kita hanya mengambil tenaga dari insan lain contohnya dengan riba' iaitu memberi pinjaman dan mengambil faedah lebih dari yang dipinjamkan, insan yang meminjam itu terpaksa memberikan tenaga yang diperolehinya (dari usahanya sendiri) kepada kita tanpa timbal balas yang adil, perumpamaan yang saya boleh berikan adalah ibaratkan diri kita secawan air yang mana dari tenaga insan lain (yang kita paksa mereka berikan kepada kita) maka suhu kita (air) tersebut akan meningkat. Maknanya tenaga dari insan lain beralih kepada diri kita dan diri kita mempunyai lebih tenaga (suhu tinggi dari persekitaran). Ini boleh dilihat dengan mereka yang kaya raya dimana mereka lebih bertenaga dan berkuasa sedangkan yang miskin lemah dan tidak punyai tenaga hatta untuk menanggung diri sendiri sekalipun.

Dan ini yang dapat kita lihat keadaan didunia ini sekarang dimana perbezaan yang ketara antara yang kaya dan yang miskin. Akan tetapi Allah itu maha adil dan zarah sub-atomik yang mana ianya merupakan gumpalan tenaga (quanta) ini akur kepada perintah Allah. Tenaga ini akan keluar dan kembali semula kepada pemunya asal tenaga tersebut. Rujuk kembali kepada perumpaman secawan air itu tadi, jika suhu persekitaran rendah berbanding suhu air tersebut, lama kelamaan suhu air didalam cawan itu akan kembali kepada suhu persekitaran. Jika kita letak air tersebut didalam thermos sekalipun lama kelamaan suhunya tetap akan turun juga menyamai persekitaran dan ini yang cuba dilakukan oleh mereka yang kaya dengan hasil usaha insan lain (riba', rasuah, menipu dan sebagainya).

Perumpamaan memasukkan air tersebut kedalam thermos adalah dengan memasang grill pada rumah, meletakkan pengawal keselamatan ataupun alat penggera yang mana manusia cuba menghalang tenaga (wang ringgit) tersebut kembali kepada pemunya asal, akan tetapi tenaga itu tetap akan lari dengan cara lain samada hilang ketenangan dan kegembiraan, dan manusia perlu mengeluarkan wang (tenaga yang disimpan) untuk mencarinya (ketenangan) ataupun hilang kesihatan yang mana akan hilang juga wang (tenaga yang disimpan) untuk mengubatinya. Apabila ekonomi masyarakat berasaskan riba', rasuah ataupun penipuan, maka ketidak adilan akan berlaku maka suhu yang kaya akan semakin meningkat dan suhu yang miskin akan semakin rendah. Bagi miskin yang tidak beriman mereka akan merompak, dan bagi kaya yang tidak beriman mereka akan cuba menghalang wang yang mereka perolehi secara tidak adil itu dengan pelbagai sistem dan alat keselamatan.

Kekayaan atau kemewahan yang sebenarnya adalah apabila seseorang manusia itu memberi sesuatu yang memberi lebih nilai kepada insan lain, yang akan menaikkan suhu atau tenaga insan lain. Contohnya jika saya bukukan artikel blog ini dan menjualnya dengan harga sepuluh ringgit dan hasil dari pembacaan artikel saya itu pembeli buku saya itu menjadi lebih positif hidupnya dan lebih beriman (insyaallah) maka tenaga (wang) yang saya perolehi dari pembeli itu akan menaikkan suhu diri saya (makin kaya) dan pada masa yang sama suhu pembeli juga akan meningkat hasil dari perubahan cara berfikir dan juga cara hidup yang lebih baik. Barulah keadilan wujud disini dan kedua-dua pihak iaitu saya dan pembeli buku saya mendapat kebaikan dari urusniaga tersebut. Wang yang saya perolehi akan kekal pada diri saya kerana jumlah tenaga saya dan masyarakat sekitar menjadi sama.

Bagaimana pula jika saya mendapat kekayaan dengan mengambil rasuah? Apakah nilai yang telah saya berikan kepada insan lain? Tenaga didalam diri saya akan meningkat akan tetapi persekitaran semakin rendah. Bagaimana pula dengan cara menipu? Bagaimana pula dengan cara memanipulasikan harga barangan contohnya menyorok gula atau beras dengan harapan harga akan naik dan kemudian baru menjualnya? Bagaimana pula dengan mengumpul kekayaan dengan riba'? Tenaga (wang ringgit) yang saya dapati itu tidak akan kekal dan akan mengalir keluar dengan pelbagai cara dan sudah semestinya dengan kepayahan dan kesusahan. Dan inilah janji Allah bagi mereka yang hanya mahu mengambil tetapi tidak mahu memberi (rujuk Surah Al-Lail 92:8-10).

Semua larangan Allah itu adalah kerana Allah itu maha penyayang dan tidak mahu hambaNya mendapat kesusahan baik didunia mahupun diakhirat, akan tetapi manusia semakin hari tidak percayakan Allah dan apatah lagi tamadun manusia itu sendiri tidak pernah meminta manusia untuk bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku keatas diri mereka dan menganggap apa yang terjadi keatas diri mereka hanyalah kerana mereka adalah mangsa dan manusia lain itu penyebabnya. Fizik kuantum telah melenyapkan tanggapan ini dan meletakkan apa yang terjadi didalam hidup manusia itu adalah hasil dari perbuatan mereka sendiri (rujuk Surah Ar-Rum 30:41).

Hasil dari urusan sehari-harian samada kerja ataupun urusan jualbeli, amat sukar untuk mempastikan apa yang kita perolehi itu benar-benar milik dan hak kita. Contohnya masa kerja yang kita sepatutnya berikan adakah benar-benar kita telah berikan kepada majikan kita dengan sepenuhnya? Begitu juga dalam urus niaga jual beli, mungkin ada terkurang timbangan yang mana mungkin tanpa sedar kita telah menganiaya insan lain. Maka disinilah pada pendapat saya kelebihan zakat yang mana zakat itu yang kita berikan akan menaikkan kembali suhu persekitaran dan kekayaan yang kita perolehi itu akan benar-benar dirahmati Allah SW dan zarah sub-atomik (tenaga) yang kita perolehi itu akan kekal bersama kita dan tidak lari mengalir keluar.

Begitu jugalah dengan bersedekah yang mana apabila kita memberi kepada insan lain, ini juga akan memberi tenaga (melalui sedekah itu tadi) kepada insan lain lantas menaikkan "suhu" tenaga mereka, maka barulah kita akan mendapat masyarakat yang hidup aman dan harmoni. Hidup sebenarnya adalah untuk memberi dan apabila kita memberi itu balasan itu hanyalah dari Allah (Surah Al Lail 92:5-7) maka akan Allah permudah jalan bagi kita. Allah SW telah memberi perumpaan bahawa mereka yang bersedekah dan mengharapkan balasan hanya dari Allah itu pula adalah umpama biji benih yang kemudiannya menumbuhkan tujuh tangkai (Surah Al Baqarah 2:261), bagaimana tenaga ini akan kembali kepada kita? Jika anda telah membaca artikel Fizik Dosa dan Pahala, anda pasti akan memahaminya. Seluruh makhluk, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan gunung-ganang berzikir dan akur kepada perintah Allah dan melalui mereka jugalah tenaga yang kita berikan kepada insan lain akan kembali semula kepada kita.

Udara yang kita sedut ini tidak percuma, sebaliknya ianya adalah proses pertukaran antara kita manusia dan juga tumbuh-tumbuhan yang mengambil karbon dioksida dan memberikan kita oksigen untuk hidup. Semua ini telah berlaku secara adil dengan ketentuan Allah dan apabila manusia tidak sayangkan alam sekitar dan memusnahkannya, maka kesan buruk itu jugalah yang menimpa manusia itu kembali. Begitulah juga dengan hubungan antara manusia dengan manusia yang lain, mestilah dilakukan dengan seadil-adilnya, jika tidak penyakit masyarakat akan berlaku dan dunia secara sendirinya berubah menjadi neraka. Tiada yang percuma didunia ini, semuanya ada harga yang terpaksa dibayar. Celakalah mereka yang mengambil hak insan lain dan tidak menyumbang untuk menaikkan taraf hidup (suhu dan tenaga) insan lain. Moga artikel ini dapat menerbitkan pemikiran baru bagaimana kita semua melihat dunia ini, insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Isnin, 21 Jun 2010

Antara Judi dan Syirik.

Beberapa minggu lalu negara dikejutkan dengan langkah kerajaan meluluskan lesen judi kepada sebuah syarikat swasta untuk membendung gejala judi haram, jika rujuk pada kata-kata tokey judi yang mendapat kelulusan tersebut, ini adalah supaya kerajaan mendapat hasil berbanding dengan judi yang dilakukan secara haram. Dan alhamdulillah, nampaknya Allah telah meletakkan bukti kukuh atas dasar apakah golongan yang memerintah berpegang, masihkah ada diantara kita yang masih buta mata fizikal dan mata hatinya?

Beberapa tahun dahulu negara kita juga kecoh akan tuduhan kafir mengkafir antara parti politik, bagi kita rakyat kebanyakan yang tidak terlibat didalam politik secara langsung, mungkin ada yang tahu, mungkin juga ada yang tidak tahu atau mungkin juga ada yang tidak mahu tahu mengapa kafir mengkafir ini berlaku. Alhamdulillah, sedutan dari ceramah Sheikh Imran Hossein ini barangkali akan membuka minda kita semua. Jika sudah syirik, maka sama sahajalah dengan golongan kafir yang akan kekal selama-lamanya didalam neraka.



Bahagian kedua sedutan ceramah ini.



Rasanya tidak perlu saya membicarakan akan keburukan judi ini apatah lagi wang tersebut akan digunakan oleh pemerintah untuk "memberi makan" kepada rakyat jelata. Inilah antara sebab yang kaya menjadi semakin kaya kerana rakyat yang dibuai mimpi indah dengan janji-janji kemenangan yang besar akan menyertainya sedangkan tiada syarikat judi yang dibuka jika keuntungan berlipat kali ganda tidak akan diperolehi oleh mereka. Ini belum termasuk dengan iman rakyat yang semakin hari semakin nipis dek penangan pembangunan negara dengan judi.

Banyak lagi contoh larangan Allah yang diperlekehkan oleh pemerintah, contohnya riba' baik pinjaman oleh rakyat mahupun pinjaman kerajaan dari bank luar, begitu juga dengan arak yang berleluasa dan sebagainya. Apabila kita mensyirikkan Allah maka kita sudah tergolong antara mereka yang akan kekal di neraka. Pada pendapat saya, kita semua juga turut terbabit secara tanpa sedar dalam mensyirikkan Allah SW ini, moga kita semua bertaubat dan kembali menegakkan syiar Islam dinegara kita ini agar negara yang kita cintai ini benar-benar sebuah negara Islam dan bukan negara sekular bertopengkan Islam, amin.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Selasa, 15 Jun 2010

Negara Akan Bankrap Tetapi Yang Kaya Semakin Kaya?

Pada suatu hari, seorang ayah memanggil isteri dan tiga orang anak-anaknya berkumpul dan menceritakan masalah kewangan keluarga yang melanda keluarga mereka.

Ayah: Anak-anak sekalian, mulai esok ayah terpaksa memotong duit belanja sekolah harian kamu, keadaan ekonomi sekarang teruk jadi kita harus berjimat cermat kerana jika tidak ayah mungkin tak boleh nak bayar duit ansuran rumah dan kereta, keluarga kita akan jatuh bankrap. Rumah dan kereta kita akan ditarik oleh bank jika ayah tidak melakukan "tindakan tidak popular ini".

Anak bongsu: Ok ayah, rumah kita besar... cantik... tak nak pindah rumah flat dulu, kereta import yang ayah baru beli tu pun sayang jugak tapi sempit sikit la dari wira lama ayah dulu tapi ayah cakap kan biar sempit asal ada gaya.

Anak no 2: Tapi minggu lepas ayah baru beli set golf baru, camna lak kami kena jimat tapi ayah tak payah?

Ayah: Ayah kan main golf untuk bisnes jadi kenalah pastikan ayah "up to date" dengan peralatan baru, barulah ayah boleh setaraf dangan kenalan bisnes ayah.

Anak sulong: Tapi Ah Kau cakap ayah selalu kalah dengan ayahnya masa main golf, pastu kalah ribu-ribu ringgit pulak tu, dia dengar ayah dia kata ayah bukannya pandai main, tukar set golf pun sama je, mengapa ayah bertaruh dipadang golf? Bukankah itu judi?

Ayah: Hish, banyak soallah kamu ni....
Si ayah naik berang dengan kata-kata dari anak sulong yang sudah matang dan boleh berfikir.
Ayah: Kamu budak mana tau hal orang dewasa, ayah bertaruh tu dah jadi "trend" golfer masa kini, baru lah ada semangat nak main. Dah jangan banyak cakap. Milah... esok potong duit sekolah budak ni separuh.


Isteri: Abang, takkanlah sampai begitu sekali, kalau teruk sangat bisnes abang tu eloklah kita pindah balik rumah flat lama kita, lagi pun rumah tu dah habis bayar, ni kita berhutang balik dengan bank, saya terbaca didalam internet bila pinjam dengan bank ni kita jadi hamba bank, mungkin elok abang jual rumah dua tingkat kita ni je.


Suami: Ish, jangan keliru dengan apa orang kata dalam internet tu, kan kita guna pembiayaan islamik, mana pulak jadi hamba, kita setuju dengan harga jualan. Dah jangan banyak soal.

Kisah diatas mungkin suatu yang agak bodoh dan terlampau untuk diberikan contoh akan tetapi itulah lebih kurang gambarannya keadaan negara kita sekarang ini yang mana kesenangan sedikit yang dinikmati oleh rakyat akan ditarik balik dengan ugutan negara akan jatuh bankrap. Adakah itu suatu yang logik? Cuba tukarkan watak dan situasi diatas dengan situasi negara kita sekarang.

Ayah = kerajaan
Anak-anak dan isteri = rakyat dan pembangkang
Set golf = projek mewah
Bertaruh dipadang golf = pemerintahan yang korup
Pinjaman rumah/kereta = Hutang luar negara dari bank dunia, bank jepun dan sebagainya untuk menjalankan projek mewah

Pada skala kecil, inilah keadaan keluarga dengan ayah yang tidak bertanggungjawab, pada skala besar pula inilah sikap pemimpin yang mementingkan diri sediri dan juga kroni, mengenepikan kepentingan rakyat jelata walaupun acapkali mereka mendabik dada sebagai pimpinan berjiwa rakyat. Agak hairan juga mengapa pengumuman ini dilakukan oleh "machai" kepada "ayah" dan bukannya "ayah" sendiri. Ohh... "ayah" pemimpin berjiwa rakyat jadi tak boleh berbuat demikian, nanti tak popular pulak.
Saya berpeluang kembali ketanah air dua minggu lepas kerana tugas dan semasa menginap di hotel, akhbar The Star telah di sediakan untuk saya di bilik. Amat terkejut apabila membaca berita muka depan bagaimana rakyat diugut oleh kerajaan bahawa negara akan bankrap jika tindakan tidak popular iaitu pemberian subsidi terpaksa di berhentikan secara berperingkat-peringkat. Alasannya adalah kerana negara menanggung hutang yang banyak disebabkan pemberian subsidi jadi jika subsidi tidak diberhentikan maka negara akan bankrap.

Timbul persoalan di minda saya, angkara siapakah yang menyebabkan lebihan hutang ini terjadi jika bukan tindakan mereka sendiri iaitu pemimpin negara yang memerintah? Jika mereka memimpin menggunakan akal berdasarkan hukum Allah dan bukan menggunakan nafsu iaitu meminjam dari negara luar (yang pastinya berlandaskan riba') dan kemudiannya berjoli sakan dengan projek mewah, maka perkara ini tidak akan terjadi dan rakyat masih boleh menikmati kesenangan tempias dari hasil negara seperti minyak dan eskport utama yang lain seperti kelapa sawit. Inilah balasannya apabila kita mengingkari larangan Allah terhadap riba'. Riba' bukan hanya rakyat meminjam dari bank, kerajaan meminjam dari bank luar baik barat atau jepun, semua itu berlandaskan riba'.

Akan tetapi disebabkan pemimpin kita lebih mengutamakan kemajuan yang nampak iaitu bangunan tinggi pencakar langit dan sebagainya sedangkan kemajuan yang didalam iaitu iman makin tenggelam, maka kebinasaan lah nampak gayanya jalan yang sedang ditujui, baik binasa moral, sosial mahupun binasa ekonomi. 




Yang lebih membuat saya bertambah sedih, sedang dimuka depan akhbar memaparkan rakyat biasa terpaksa mengikat perut, dalam muka 6 dalam akhbar yang sama didalam ruangan StarBiz, terdapat lapuran menyatakan bahawa kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia naik sebanyak 42% berbanding setahun yang lalu. Jadi logik kah bahawa negara akan bankrap sedangkan mereka yang kaya semakin kaya, bukannya sejuta dua, lapuran dari Forbes Asia ini menunjukkan kenaikan jumlah keseluruhan kekayaan golongan ini adalah dari 36 billion USD kepada 51 billion USD. Mengapakah ini terjadi?

Jawapannya adalah kerana ekonomi kita, malah ekonomi serata dunia adalah berdasarkan ekonomi riba' yang mana kekayaan tidak lagi berkitar didalam masyarakat dan hanya tertumpu kepada golongan tertentu iaitu golongan kaya sahaja, buktinya sudah cukup jelas dengan lapuran Forbes Asia tersebut umpama gajah didepan mata maka sebab itulah terjadinya keadaan golongan miskin semakin miskin dan terpaksa mengikat perut sedangkan golongan kaya semakin kaya.

Siapa yang harus dipersalahkan? Siapa lagi jika bukan kita sendiri, pertama kerana memilih pemimpin yang memimpin dengan niat bukan "Lillahitaa'la", niat memimpin hanyalah "lilla fulus" atau "lilla kuasa dan kroni". Dan kedua kerana kita memberi kuasa kepada mereka yang berada di "tingkat atas" dan dengan kuasa tersebut jugalah mereka gunakan untuk memastikan pemimpin yang korup sentiasa menang didalam pilihanraya dengan memancing undi dengan wang, gasakan dari media massa dan banyak lagi cara untuk memastikan pemimpin korup terus kekal agar kepentingan bisnes mereka senantiasa terjamin. Mengapa saya kata kita memberi kuasa kepada mereka yang kaya ini? Bagaimana pula caranya kita menyokong mereka?

Apabila kita membeli barang dengan riba' baik konvensional atau pun riba' islamik, apa yang terjadi kita memberi tenaga kita kepada mereka dalam bentuk wang ringgit iaitu lebihan dari wang yang dipinjam. Hasilnya makin terkumpullah kekayaan mereka kerana yang memberi "tenaga" dan "kuasa" kepada mereka ini bukanlah seorang dua, malah kesemua umat masyarakat baik menyumbang kepada golongan "teratas" ini dari pembelian rumah, kereta, kad kredit dan apa sahaja pembelian ansuran yang menyebabkan kita terpaksa membayar lebih.

Sebab itulah Allah amat melarang riba malah mengistiharkan perang dengan mereka yang terlibat dengan riba', kerana apa? Kerana kita akan menyebabkan mereka yang tamak akan menjadi semakin kaya dan mereka akan gunakan kekayaan mereka itu untuk kembali menindas rakyat kebanyakan. Jadi janganlah ingat apabila kita meminjam, apabila kita rela membayar lebih, kita hanya melibatkan diri kita sahaja, sebenarnya konsep riba' ini harus dilihat dari sudut keseluruhan (wholism).

Akan tetapi melihat dari sudut keseluruhan itu juga belum cukup untuk membolehkan kita nampak kesannya pada diri sendiri ataupun pada insan-insan yang lain, perlu ada "nur" kurniaan Allah agar dapat ianya menerangi penglihatan supayakita dapat kita melihatnya dengan mata hati dan bukan hanya dengan mata fizikal sahaja. Dajjal bermata satu bukan bermaksud bukan sahaja bermaksud dia buta sebelah mata, mengikut kuliah Sheikh Imran Hossein ianya adalah sebagai simbolik agama yang bermaksud dajjal buta mata hati. Jika manusia hari ini hanya melihat dunia dengan mata fizikal iaitu apa yang jelas kelihatan dan tidak lagi dapat melihat dengan mata hati, maka manusia itu juga sudah tergolong menjadi pengikut dajjal tanpa mereka sedari.

Ramai pemimpin semasa berkempen dipilihanraya menyatakan mereka pemimpin berjiwa rakyat dan akan menjaga kebajikan rakyat. Melihat pada lapuran Forbes Asia sudah terbuktilah mereka ini memang pemimpin berjiwa rakyat, bukan rakyat miskin tetapi berjiwa rakyat yang kaya. Buktinya sudah cukup jelas yang mana rakyat kaya semakin kaya dan rakyat miskin harus mengikat perut.

Jika mereka membesar dengan makanan disuap dengan sudu garpu emas dan perak, kesekolah dengan berjemput pemandu dan pengawal peribadi, hidup rumah besar dan mewah dengan hawa dingin sepanjang masa, makan makanan paling enak yang boleh dibeli dengan wang, adakah apabila mereka dewasa dan menjadi pemimpin, golongan sebegini akan kenal erti keperitan hidup yang ditanggung oleh rakyat miskin? Makan nasi dengan ikan masin, kesekolah berjalan kaki sahaja dengan kadangkala tidak punya wang saku, rumah atap nipah yang bocor ketika hujan. Tidak pernah wujud sebarang cantuman neuron didalam otak mereka ini (orang kaya) yang merakam dan mengaitkan erti sebenarnya kepayahan dan penderitaan sebenar menjadi orang miskin maka apabila mereka mereka berkuasa dan menyatakan mereka pemimpin berjiwa rakyat, semasa memikirkan untuk membuat keputusan, jaringan neuron diotak mereka hanya lebih mengaitkan pengalaman rakyat kaya. Rakyat miskin hanyalah untuk memancing undi sahaja. Hampir kesemua tindakan mereka secara tanpa sedar (melalui minda separa sedar) akan lebih memilih untuk menjaga kepentingan golongan seperti mereka sahaja.

Jadi adakah maksud saya mereka dari golongan berada tidak boleh menjadi pemimpin atau mereka yang miskin apabila menjadi pemimpin itu tidak akan korup? Tidak, bak saya katakan dalam artikel sebelum ini, hidup ini penuh kebarangkalian dan kemungkinan sahaja. Untuk memastikan kita mendapat kejayaan dunia dan akhirat, wajiblah kita memilih pemimpin yang niat memimpin hanyalah kerana Allah. Dan apabila memimpin kerana Allah maka, undang-undang Allah akan ditegakkan, dan apabila undang-undang Allah ditegakkan maka baru ketika itulah kebajikan semua golongan manusia baik yang islam atau tidak akan terjamin sepenuhnya.

Undang-undang Allah itu untuk kebaikan semua umat manusia, hanya minda manusia sahaja yang terpedaya dengan "basuhan" dari barat melalui media seperti TV dan filem malah menerusi sistem pendidikan itu sendiri yang menyebabkan manusia menjadi jauh dari Islam, sedangkan yang mengaku Islam itu sendiri menolak hukum Allah, apatah lagi yang bukan Islam.




Klip diatas adalah sedutan dari *filem Zeitgeist Addendum yang menceritakan rahsia sebenar disebalik kehidupan didunia ini baik dari segi kewangan, politik, kerakusan korporat barat, terrorist dan beberapa isu lain lagi. John Perkins adalah bekas penjenayah ekonomi yang bekerja bagi pihak CIA untuk menjaga kepentingan korporat Amerika, antara tugas beliau adalah memujuk pemimpin dunia dari negara yang banyak sumber asli agar mengambil pinjaman dari bank dunia atau menerima bantuan dari badan kewangan antarabangsa untuk membuat projek besar yang kononnya membantu menaikkan ekonomi negara tersebut akan tetapi pada masa yang sama akan menyebabkan negara tersebut dibebani dengan hutang luar yang teruk. Walaupun projek yang dibiayai kononnya untuk rakyat, kebanyakan yang mendapat manafaat besar adalah syarikat Amerika dan juga segelintir pihak dinegara tersebut sahaja.

Mendengar penjelasan beliau mengenai bagaimana penjenayah ekonomi ini bekerja, mungkinkah pemimpin negara kita juga telah termakan pujuk rayu penjenayah ekonomi ini? Maka tak hairanlah  jika negara kita dibebani hutang luar yang banyak dan akan bankrap tidak lama lagi. Dari klip diatas, agaknya ada tak dikalangan tokoh pemimpin kita yang sanggup mati hanya kerana tidak mahu korup? Bekas Presiden Panama Omar Torijos tetap tidak mahu korup walaupun tahu beliau akan mati disebabkan kejujuran beliau sebagai pemimpin berjiwa rakyat miskin. Golongan yang di"atas" tidak mahu pemimpin yang jujur dari berkuasa membela nasib rakyat miskin, mereka hanya mahukan golongan terbawah ini iaitu rakyat miskin terus menjadi hamba kepada rakyat kaya. Perhambaan fizikal sudah lama berlalu, perhambaan kewangan sedang rancak berlaku baik konvensional mahupun islamik dan rata-rata kebanyakan kita masih lena dibuai mimpi materialistik.

Dengan melihat pada situasi sekarang ini, Berkesempatankah agaknya kita menikmati kehidupan dengan berlandaskan Islam sepenuhnya? Mungkin sempat, mungkin tidak. Akan tetapi kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh dan mengikut sahaja apa yang ditentukan oleh pemimpin korup yang membawa negara kemajuan dunia tetapi kehancuran masaalah sosial, moral apatahlagi akhirat. Khilafah harus dikembalikan agar kegemilangan Islam itu kembali bersinar dibumi Allah ini, dan jika tidak berkesempatan untuk kita melihatnya semasa hayat, sekurang-kurangnya didepan Allah nanti kita boleh menyatakan bahawa kita telah pun mencuba melakukannya.

Bangun dan sedarlah rakan-rakan sekalian, dunia ini akan menjadi "syurga" jika semua manusia dapat melihat dunia ini dari sudut yang berbeza, dari sudut hati yang penuh dengan keimanan takutkan Allah dan sayangkan semua manusia sejagat. Kita dahagakan insan-insan yang boleh dengan jujur mengungkapkan "I love you so much all the people", kita bukanlah berasingan, kita semua berkait, kita telah ditipu dengan menganggap ruang yang wujud antara kita sebagai ruang pemisah sedangkan dari sudut paling halus iaitu dunia subatomik, kita semua berkait, kita semua saling "bersentuhan". Sayangilah diri insan lain sepertimana anda ingin disayangi, apa yang anda mahukan untuk diri anda, itu juga sepatutnya di berikan kepada insan lain dan bukan mengambil kesempatan, menghambakan dan mengaut keuntungan maksimum, menjadi kaya dan senang tanpa mempedulikan penderitaan insan lain. Insyaallah moga kita semua akan berusaha untuk menjadi umat yang lebih penyayang. Amin.

ps; *Filem Zeitgeist ini harus ditonton dengan berhati-hati kerana ia dibuat oleh atheis yang menolak agama. Jika mereka benar-benar mendalami Islam dan tidak hanya memahami Islam menerusi media massa, pasti mereka akan mengambil Islam sebagai jalan hidup.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share
"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas