Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails

Rabu, 13 Oktober 2010

Kuliah Ringkas Pada Budak Kurier

Saya sering membeli buku secara online dan menggunakan perkhidmatan sebuah syarikat kurier yang memberi perkhidmatan yang mana bayaran untuk penghantaran tersebut dijelaskan semasa barang diterima. Seringkali wang lebihan bayaran saya hadiahkan sahaja kepada budak kurier, contohnya apabila bayarannya berjumlah 69, saya berikan 70 dirham maka dapatlah dia 1 dirham, adakala bayarannya 135, saya berikan wang 100 dan 50 maka lebihan 15 dirham dapatlah untuk dirinya.

Setelah beberapa bulan saya tidak membeli buku baru, kelmarin saya menerima tempahan yang saya buat beberapa hari sebelumnya. Seperti biasa budak kurier yang sama melakukan penghantaran kerumah, akan tetapi kali ini berlaku kejadian yang mana membuatkan saya menulis artikel ini untuk dikongsi dengan rakan-rakan sekalian.



Budak kurier: Assalamualaikum Encik, ini pesanan untuk encik dan kosnya 120 dirham.

Saya membuka dompet dan mendapati ada sekeping wang 20 dirham dan selebihnya beberapa keping wang kertas 100 dirham, terdetik didalam hati saya, "alamak tiada pulak lebihan nak bagi kat dia ni, tak mengapalah, lain kali". 

Saya: Waalaikumsalam, ini wangnya 120, terimakasih ya.

BK: Sila tandatangan disini, errr... tiada tip ke untuk saya hari ini?

Saya tersentak seketika kerana lebihan wang yang sebelum ini kerapkali saya sedekahkan kepadanya seolah-olah dianggap sebagai suatu kemestian.

Saya: Mengapa saya mesti beri tip kepada kamu? Bukankah kamu sudah diberi gaji?

BK: Errr... tak mengapalah, terimakasih, saya pergi dulu.

Saya: Saudara... rezeki sebenar datangnya dari Allah SW dan bukan dari manusia lain, manusia lain itu hanyalah sebagai perantaraan sahaja. 

BK: Baiklah encik, saya pergi dulu, banyak lagi kurier yang perlu saya hantar. 

Budak kurier itu terus berlalu walaupun ada lagi yang ingin saya sampaikan kepadanya. Mungkin terkejut agaknya dengan "kuliah" saya dan membuat keputusan untuk berlalu dengan segera. Apakah sebenarnya yang saya maksudkan rezeki sebenarnya datang dari Allah SW dan manusia lain itu hanyalah sebagai perantaraannya sahaja?

1. Bayaran untuk kos penghantaran tersebut bergantung kepada jumlah berat buku yang saya tempah secara online itu, saya tidak tahu berapa berat buku yang ditempah, maka kos penghantaran tersebut selalunya hanya diketahui semasa pesanan tersebut tiba. 

2. Saya tidak tahu dominasi duit kertas apa yang akan tinggal didalam dompet saya sebelum budak kurier itu sampai. Mungkin saya ada wang kecil dan mungkin tidak. Dalam kejadian diatas, agak tidak arif untuk "bersedekah" 80 dirham (dengan memberi kepadanya 2 keping wang 100 dirham) kepada seseorang yang punyai pekerjaan tetap. Bagi saya lebih baik saya sedekahkan kepada mereka yang fakir miskin. 

Siapa yang sebenarnya yang mampu menentukan 2 faktor diatas yang mana akan menjamin yang budak kurier tersebut dapat rezeki lebih pada masa tersebut? Tidak lain tidak bukan hanyalah Allah SW. Dia (Allah SW) jualah yang menentukan jumlah berat buku yang saya tempah yang mana ianya diluar kawalan saya dan begitu jugalah dengan wang kecil yang akan tersimpan didalam dompet saya. Jika pagi tersebut saya terfikir ingin membeli sarapan diluar, maka jumlah wang tentu akan berbeza jika saya memilih untuk masak sendiri sarapan dirumah.

Pada pendapat saya jika budak kurier tersebut melakukan kerjanya dengan ikhlas, bersyukur kepada Allah dengan gaji yang sudah terjamin akan diterimanya setiap akhir bulan, rezeki lebih insyaallah akan diberikan oleh Allah SW (kerana takwa). Jika kita ingat rezeki datangnya dari insan lain yang mana dalam kejadian diatas, budak kurier tersebut tanpa segan silu meminta dari saya seolah-olah ianya satu kemestian, syarat atau undang-undang, beliau hanya membuatkan rezekinya bertambah sempit, contohnya saya menjadi tawar hati untuk menghadiahkan kepadanya lebihan wang pada penghantaran yang akan datang.

Budak kurier tersebut tidak punyai kuasa untuk memastikan saya senantiasa memberinya "tip", akan tetapi bagaimana pula dengan manusia yang mengambil "tip" secara paksa dari insan lain hanya kerana mereka punyai sistem atau kuasa untuk melakukannya?, contohnya;

1. Apa? kamu berminat nak beli barang ni? tak mengapa, disebabkan kamu tak mampu nak beli secara tunai, aku belikan untuk kamu dan aku beri kamu masa untuk membayarnya tetapi aku jual kepada kamu  berganda dari harga asal, tetapi jika kamu tidak mampu bayar, harta kamu akan dirampas dan akan dilelong (macam biasa dengar je cerita ni...). Ini untuk memastikan kebajikan pemegang saham kami, kebajikan kamu kami tak peduli. Risiko hanya kepada kamu, risiko kami tiada atau kami minimumkan.

2. Apa, nak aku tauliahkan projek ini kepada kamu? tak mengapa, pastikan 10% dari jumlah kontrak itu nanti masuk ke akaun aku ya. Aku yang punya kuasa untuk meluluskan suatu projek ini, tak setuju  ramai lagi kontraktor yang sedang menunggu. 

Allah SW menghalalkan perniagaan, mengharamkan riba', penipuan dan penindasan kerana apa? Kerana melalui riba', penipuan dan penindasan, manusia menutup pintu risiko, yang mana melalui risiko itulah Allah SW akan membuatkan sesetengah insan akan untung dan sesetengah insan lain akan rugi dan dari situ nanti kekayaan akan tersebar secara adil sesama manusia. Rezeki yang halal bukannya datang dari "sistem perniagaan" yang meminjam wang (berselindung disebalik jual beli) dan dengan peminjam yang di"pukau" bahawa sistem mereka itu halal, terpaksa membayar balik pinjaman yang diberikan berganda dari jumlah asal. Dan jika perniagaan tersebut tidak punyai risiko, (peminjam gagal bayar, harta akan dilelong) maka itu bukan perniagaan akan tetapi penindasan.

Apabila manusia dengan bongkaknya menyalah gunakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka dengan memastikan rezeki lebih mereka didalam genggaman mereka sendiri, mereka menolak Allah SW sebagai pemberi rezeki dan menganggap kuasa ditangan mereka itulah pemberi rezeki. Tiada risiko bagi mereka kerana mereka sentiasa untung dan yang rugi hanyalah rakyat jelata yang menjadi "keldai" bekerja keras membayar cukai yang mana disebabkan kuasa mereka itu, duit rakyat akan masuk ke kocek mereka. Sebab itulah mereka yang korup senantiasa mahu kekal berkuasa dan melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka kekal berkuasa baik dari kawalan media, undi hantu, undi pos, politik wang dan sebagainya. 

Apabila rezeki ditentukan oleh sistem dan kuasa, maka berlakulah ketidak adilan dan pelbagai masaalah sosial akan timbul. Manusia tidak lahir sebagai pencuri, persekitaran yang membentuk manusia tersebut menjadi pencuri dan manusia kebanyakan tanpa menyedarinya secara tidak langsung membantu melahirkan generasi pencuri tersebut, bagaimana? mereka menjadi penyokong kepada sistem atau kuasa yang menyebabkan ketidak-adilan penyebaran rezeki itu semakin berleluasa. Buka mata dan lihatlah keadaan sekeliling, dari rumah yang dahulunya tingkap dua bilah yang boleh dibuka begitu sahaja semasa tidur dimalam hari, bertukar kepada tingkap bergril dan yang terbaru pula warga nepal atau bangla menjadi jaga mengawal kawasan perumahan. Mengapa ini terjadi? Tiada yang percuma didunia ini dan ini lah harga yang terpaksa kita bayar apabila ekonomi tidak lagi manusia serahkan kepada Allah SW untuk menentukannya, sebaliknya melalui kuasa dan sistem ciptaan manusia itu sendiri.

Apa yang ingin saya sampaikan disini adalah rezeki yang sebenar datangnya dari Allah SW, pekerjaan yang kita lakukan hanyalah sebagai mekanisma untuk rezeki tersebut sampai kepada kita. Hanya pekerjaan yang dilakukan dengan ikhlas, memberi nilai, memberi kebaikan kepada insan lain sahajalah yang boleh dianggap rezeki yang halal, bukan dari sistem atau kuasa yang menindas insan lain. Bekerjalah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, Allah SW itu tahu apa yang tersimpan dihati dan akan senantiasa memberi kelimpahan rezeki kepada mereka yang benar-benar bertakwa. Banyak faktor yang mempengaruhi bagaimana rezeki akan sampai atau pergi dari kita dan siapalah kita manusia yang kerdil ini yang mampu mengawalnya. Serahkan kepada Allah SW, nescaya akan perolehi ketenangan hidup didunia dan kegembiraan sejati diakhirat kelak, insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share
"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas