Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails

Rabu, 13 Jun 2012

Bahana "Gula-gula" Pemimpin


Sejak kebelakangan ini kita selalu membaca dan mendengar berita sifat murah hatinya pihak kerajaan memberikan hadiah dan saguhati kepada rakyat kebanyakan dalam usaha untuk mengurangkan beban rakyat. Akan tetapi mengapa hanya sejak akhir-akhir ini sahaja bantuan sedemikian diberikan, bagi yang "tidak buta dan jelas penglihatannya" amatlah memahaminya kerana pilihanraya yang akan menjelang tidak lama lagi jadi ianya boleh dianggap sebagai "gula-gula" pemimpin untuk memancing undi rakyat. Disaat ekonomi dunia sedang tenat lebih-lebih lagi apabila negara-negara maju seperti Amerika, Eropah dan juga Jepun dilanda masaalah kewangan yang kritikal, dari mana pula kerajaan mendapat wang yang begitu besar untuk menjadi begitu pemurah itu? Adakah negara kita ini mempunyai jumlah simpanan wang yang banyak? Tidak mungkin kerana tidak lama dahulu rakyat sudah pun digerunkan dengan amaran bahawa kerajaan akan bankrup jika harga barangan tidak dinaikkan? Pernahkah kita berfikir dengan cara apakah sebenarnya kerajaan mendapatkan wang untuk berbelanja apatah lagi dengan mudahnya memberikan gula-gula tersebut? Terdapat berbagai cara pihak kerajaan mendapatkan wang untuk pembangunan negara, pembangunan rakyat dan juga pembangunan harta pemimpin itu sendiri apatah lagi jika mahu mempertahankan Putrajaya "at all cost" (biar apa pun harga yang terpaksa dibayar". Disini ingin saya berkongsi sedikit maklumat mengenai cara biasa dan juga kebarangkalian cara lain bagaimana wang tersebut boleh diperolehi dan implikasinya kepada kita semua sebagai rakyat.


1. Cukai
Cukai adalah cara utama dan kebiasaannya bagi kebanyakan kerajaan didunia mendapatkan sumber pendapatannya (lebih tepat "dana" kerana duit rakyat bukan pendapatan tetapi amanah). Sebahagian dari pendapatan rakyat diambil contohnya dari wang gaji, keuntungan perniagaan, lesen dan sebagainya dikumpulkan sebagai dana untuk menggerakkan jentera kerajaan menjalankan aktivitinya baik dari gaji kakitangan kerajaan termasuklah pak menteri, sultan dan kerabatnya hinggalah kepada pembinaan jalanraya, sekolah dan sebagainya. Akan tetapi pihak pemimpin hari ini rata-ratanya sudah lupa bahawa wang tersebut adalah wang rakyat dan bukannya kepunyaan mereka sendiri. Mereka hanya diamanahkan oleh rakyat untuk menggunakan wang tersebut sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat. Akan tetapi adakah itu telah dilaksanakan sepenuhnya? 

Amat jijik saya melihat nota ini terpampang di pam-pam minyak kerana apa yang cuba diutarakan disini adalah kononnya kerajaan telah membantu memberikan subsidi kepada rakyat agar harga minyak menjadi rendah lantas mengurangkan beban rakyat. Persoalannya bukankah wang tersebut sebenarnya adalah wang rakyat, jadi membanggakan usaha "menolong rakyat" dengan cara tersebut adalah suatu tidak munasabah kerana wang subsidi itu juga adalah wang rakyat. Ramai rakyat yang melihat usaha kerajaan ini sebagai langkah kepimpinan yang baik, kerana apa? Kerana mereka lupa yang duit subsidi itu adalah duit mereka sendiri sebenarnya. Pertolongan yang juga memberi manafaat kepada mereka ini diagung-agungkan sedangkan laba besar yang mereka perolehi dari pembaziran, korup dan sebagainya disembunyikan.

"Eh, bukan duit aku la, aku mana bayar cukai, gaji aku kecik je..." Mungkin itu kalimah yang akan keluar dari rakyat berpendapatan rendah, akan tetapi mereka lupa sebenarnya cukai jalan, bayaran lesen memandu, malah tol yang mereka bayar itu akan kembali juga kepada kerajaan dalam bentuk cukai menerusi cukai kepada syarikat tol itu sendiri dan juga cukai pendapatan kepada bos-bos pondok tol itu sendiri.

Apa akan jadi kepada masyarakat jika wang cukai digunakan sebagai "gula-gula" kepada rakyat?. Kesannya mungkin tidak kelihatan serta-merta, akan tetapi selepas pilihanraya apabila kerajaan sudah tidak punyai wang lagi untuk menggerakkan jenteranya, maka sudah tentulah kadar cukai perlu dinaikkan, jika masa diperlukan untuk mengutip cukai dari rakyat, langkah segeranya adalah dengan meminjam wang dari pihak luar (samalah macam manusia akhir zaman ini yang nak semua cepat, meminjam tanpa mengira halal haram riba') akan tetapi mengaburinya dengan pinjaman untuk membangunkan projek-projek tertentu. Dan siapa yang akan menanggung hutang tersebut? Dan apabila pihak kerajaan sedar negara akan bankrap, siapa yang akan diugut jika bukan rakyat? Masaalahnya ramai manusia hari ini otaknya seperti otak ikan, walaupun mulut dah robek dek mata kail sebelumnya, bila nampak umpan, masih nak makan lagi. Itu adalah sifat biasa bagi mereka yang lemah frontal lobenya. Dan siapakah pula yang membentuk suasana kehidupan menyebabkan rakyat menjadi sedemikian jika bukan "ayah" sebagai ketua keluarga (Malaysia) iaitu pemimpin itu sendiri?

2. Pinjaman
Hutang luar negara semasa sudah mencecah 456.1 billion ringgit dan jika kita bahagikan dengan jumlah rakyat Malaysia hari ini yang berjumlah hampir 28.9 juta orang, bermakna setiap seorang dari kita secara automatiknya berhutang sebanyak 15 ribu ringgit. Mungkin ada yang berkata "Bukan aku yang berhutang tetapi kerajaan, mengapa aku pulak yang terbabit". Akan tetapi bukankah kerajaan sebenarnya mewakili rakyat iaitu diri kita sendiri, dan kerajaan mendapatkan wangnya dari cukai yang diambil daripada rakyat. Oleh kerana pendapatan kerajaan majoritinya didapati daripada cukai, hutang yang semakin besar bermakna kadar cukai juga perlu dinaikkan untuk menampung hutang tersebut. 

Perlu diingatkan hampir kesemua hutang-hutang luar tersebut perlu dibayar balik dengan faedahnya, jadi siapakah yang akan menanggung beban membayar balik balik pinjaman beserta faedah tersebut jika bukan kita rakyat kebanyakan? Maka tidak hairanlah mengapa tidak lama sebelum ini VAT atau GST sudah pun diperkenalkan kepada rakyat. Kesan pemberian "gula-gula" menggunakan duit cukai ini tidak kelihatan serta merta kerana pemimpin yang memerintah sekarang ini begitu cilik lagi teramat bijak akan memendam beban hutang ini sehinggalah selesai pilihanraya. Jika mereka menang, ekonomi dunia akan dipersalahkan sebagai alasan menaikkan cukai, dan jika mereka kalah pula, akan ada alasan untuk menyerang pihak yang menang jika mereka terpaksa menaikkan cukai jika ianya teramat perlu untuk "mencuci najis" yang ditinggalkan oleh diri mereka sendiri sebelum itu. 

3. Bon Kerajaan/Saham
Bon-bon yang dikeluarkan oleh kerajaan sebenarnya adalah simpanan tetap yang telah dijanjikan pulangannya oleh kerajaan kepada pembeli-pembeli bon-bon tersebut. Ia sebenarnya adalah "pinjaman" oleh kerajaan dari pihak yang mempunyai wang tetapi di"agung"kan dengan nama bon. Bon akan memberikan pulangan terjamin kepada pembelinya (pemberi pinjam) dengan kadar faedah tertentu untuk jangka masa yang tertentu. Perlu diingatkan bahawa pulangan tersebut sudah semestinya disertakan sekali dengan faedahnya. Jadi siapa sebenarnya yang akan dibebankan jika bukan rakyat itu sendiri?

Menerusi konsep penjualan bon ini jugalah bagaimana yang kaya akan menjadi kaya kerana pulangan lebih memihak kepada mereka. Walaupun pelanggan utama kebanyakan bon kerajaan adalah KWSP, akan tetapi jumlah dividen yang kerajaan bayar kepada KWSP lebih berpihak kepada yang bergaji besar (lebih besar peratus caruman) berbanding kepada yang miskin, inflasi semasa sahaja sudah cukup untuk melenyapkan pulangan dividen mereka yang mempunyai caruman yang kecil itu. Akan tetapi ada cara lain yang lebih cepat untuk kerajaan mendapatkan wang dengan jumlah yang besar, contoh terbaru adalah penyenaraian Felda ke bursa saham (menjadi syarikat korporat) dengan harapan sejumlah wang yang besar dapat dikumpulkan dengan meng"gadai"kan tanah peneroka seluas 300 ribu hektar itu.

Dalamana peneroka diberikan "lolli-pop" yang nampaknya besar, jumlah yang lebih besar tersedia untuk mereka yang kaya-raya, lihat sahajalah kepada pengagihan saham-saham Felda yang disenaraikan oleh kerajaan, sedangkan yang bekerja berhempas pulas membanting keringat adalah peneroka, yang mendapat manafaat, keuntungan dan pulangan juga adalah terdiri dari mereka yang berpeluh, tetapi berpeluh samada kerana menghayun kayu golf ataupun sedang bersauna di spa-spa istirehat. Lihatlah peruntukan 11.5% untuk bumiputera yang diluluskan MITI, adakah ianya kita sebagai rakyat kebanyakan? Tidak, hanya mereka yang mmepunyai aset sekurang-kurangnya 3 juta baru boleh melabur, siapa lagi jika bukan golongan yang sudah kaya-raya dan golongan kroni-kroni yang mahu mendapatkan pulangan hasil dari penat lelah peneroka.

Ingin saya nyatakan disini bahawasanya pengkorporatan adalah peng"KEPARAT"an kepada rakyat baik syarikat api, air, telekomunikasi dan sebagainya. Ianya adalah cara bagaimana yang kaya akan menjadi kaya dengan memerah keringat rakyat kebanyakan secara halus dalamana rakyat kebanyakan yang mendapat 2-3 saham sudah terkinja-kinja keseronokan sedangkan habuan yang amat besar untuk yang kaya-raya, dan golongan sebeginilah yang rata-rata "buta" dengan keseronokan ini lantas kekal memilih pemimpin yang korup (sudah tentu tidak dimata mereka). Sebab itu lah ketika negara nak bankrap yang kaya semakin kaya kerana menerusi sistem ekonomi barat (yang adakalanya ditiraikan dengan nama Islamik) membuatkan yang kaya menjadi semakin kaya.


Tetapi didalam kes Felda ini mungkin pihak peneroka tidak peduli sangat akan masaalah kepimpinan ini kerana "lolli-pop" 15 ribu ringgit telah pun dijanjikan, mungkin dengan jumlah itu para peneroka juga kemudiannya boleh bergoyang kaki pula dikedai-kedai kopi kerana pekerja dari negara asing juga akan dibawa masuk untuk bekerja diladang-ladang Felda. Ini sudah pasti akan membawa kesan buruk kepada sosio-ekonomi warga Felda itu sendiri, akan tetapi kesannya lambat dan halus maka berapa orang sahaja yang celik mata untuk dapat melihatnya. Mungkin apabila anak dara peneroka dibawa lari oleh "Abang Ladesh","Abang Yono" atau "Abang Nepal" barulah masa itu nak bising masuk akhbar tabloid merayu anak pulang dan sebagainya.

4. Inflasi
Inflasi adalah cara termudah kerajaan mendapatkan wang untuk memberikan "gula-gula" tersebut, dan inflasi sebenarnya adalah cukai terlindung atau tersembunyi kepada semua rakyat. Yang kaya raya dan punyai daya saing yang kuat didalam ekonomi akan terselamat malah menjadi semakin kaya manakala yang miskin dan lemah pula saban hari akan dihimpit oleh penangan inflasi tersebut. Ini terbukti apabila disaat kerajaan menyatakan yang mereka akan bankrap jika tidak mengurangkan subsidi kepada rakyat, golongan kaya menjadi bertambah kaya. Sistem ekonomi kapitalis dan sistem kewangan berlandaskan riba' yang diterima pakai hari inilah yang menyebabkan inflasi dan melaluinya jugalah pembahagiaan kekayaan tidak berlaku dengan secara adil.

Inflasi berlaku apabila kerajaan dengan mudahnya mencetak wang baik secara langsung ataupun tidak. Tiada apa yang boleh menghalang kerajaan memerintahkan Bank Negara dari mencetak wang sewenang-wenangnya atau pun melalui kemasukan kira-kira kepada bank-bank tempatan dan kemudian memberikannya kepada rakyat. Mereka yang terdesak akan melakukan apa sahaja untuk mencapai keinginan mereka (mempertahankan Putrajaya). Rakyat yang bodoh pula akan terkinja-kinja keseronokan menerima "gula-gula" tersebut tanpa menyedari akibat yang akan timbul. Mencetak wang tanpa bersandarkan sesuatu yang bernilai ini adalah resepi mudah untuk inflasi, amat merbahaya jika dilakukan seperti apa yang berlaku di Zimbabwe yang mana mahu membeli 3 biji telur pun kena dibayar berbillion-billion matawangnya. Kerajaan Argentina juga pada tahun 1989 mencetak wang untuk membayar balik hutangnya menyebabkan kadar inflasi yang teramat teruk hinggakan harga barangan dikedai terpaksa dinaikkan 3 kali sehari untuk menyamakannya dengan nilai wang kertas mereka. Akan tetapi apabila pemimpin sudah bertegas untuk mempertahankan Putrajaya walau apa jua harga yang perlu dibayar, kalau sudah terdesak, kebarangkalian ianya untuk dilakukan adalah lebih besar. Apabila pemimpin mahu melakukan sesuatu "biar apa pun harga yang perlu dibayar", dia sebenarnya sudah lupa bahawa bukan dia sebenarnya yang perlu membayar "harga" tersebut akan tetapi rakyat, rakyat yang terpaksa menanggung beban membayar "harga" tersebut

Kerajaan juga boleh "mencetak" wang secara tidak langsung dengan berselindung disebalik memberikan pinjaman seperti skim amanah rakyat (Sara1M) yang dilancarkan tidak lama dulu. Jika rakyat yang layak mempunyai wang simpanan dan menyertai skim tersebut, kerajaan akan mendapat wang serta merta untuk pilihanraya dan juga untuk memberikan "gula-gula" yang lain pula. Akan kerajaan pula hanya perlu membayar balik selepas 5 tahun secara beransur-ansur. Dan pulangan yang dijanjikan itu samada cukai daripada rakyat sendiri (cukai dan harga barang kawalan dinaikkan) dan mungkin juga wang yang dicetak tanpa bersandarkan nilai atau pun melalui kemasukan kira-kira kedalam sistem perbankan. Akibatnya wang yang baru dicipta ini akan men"curi" nilai dari wang yang sedia ada, mencairkan nilainya dan menyebabkan inflasi dan menyebabkan kenaikan harga barangan dipasaran.

Jika rakyat meminjam daripada bank pula untuk melabur didalam skim tersebut, bank melalui kemasukan kira-kira juga akan mencipta wang baru melalui perbankan pecahan simpanan (fractional reserve banking). Akibatnya wang baru juga akan tercipta dan inflasi akan meningkat secara automatiknya. Lebih menarik lagi adalah bank juga akan menerima pendapatan tambahan daripada kerajaan daripada faedah yang diperolehi, bank umpama menangguk diair keruh mendapat keuntungan dari kesusahan orang lain. Bukan sahaja kesusahan malah penipuan yang dilakukan kerajaan itu sendiri. Akan tetapi apalah bank jika ianya bukan untuk menindas kerana itulah sebab utama mengapa bank ditubuhkan.

Melihat daripada kebarangkalian dari mana sumber wang diperolehi oleh kerajaan untuk diberikan sebagai gula-gula, perlu diingatkan sekeras-kerasnya bahawa ianya pasti akan kembali kepada diri kita sendiri sebagai rakyat. Tiada yang percuma didunia ini, baik dari sudut agama mahupun dari sudut hukum alam itu sendiri, ada harga yang perlu dibayar.

Pemimpin disokong kerana kepimpinannya yang ikhlas, adil dan telus dan bukannya kerana pemberian "gula-gula" beracun yang mana akan merosakkan diri rakyat itu sendiri. Bukan pemberian fizikal tetapi pemberian rohani, kerana apa? Kerana yang fizikal (wang ringgit, keuntungan, manafaat) itu semua adalah dari duit rakyat itu sendiri, hanya kepimpinan yang adil, telus dan iklhas itu sahaja sebenarnya yang benar-benar dari mereka. Agak sukar untuk menentukan ketelusan, keihklasan pemimpin dalam usaha menolong rakyat, walau banyak mana sekali pun cakap-cakap manis atau "gula-gula" yang diberikan, lihatlah kepada hasil dari kepimpinan mereka itu sendiri. Akan tetapi "melihat" itu sendiri perlulah dari sudut keseluruhan kehidupan masyarakat itu sendiri. Masaalahnya kebanyakan dari kita sudah teramat selesa didalam penjara masing-masing hingga terlupa yang mereka sebenarnya telah terkurung. Umpama dikurung oleh riba' didalam rumah besar tetapi tanpa sedar menjadi hamba kepada bank hingga ke liang lahad.

Kita perlu kaji kesan kepimpinan tersebut kepada seluruh masyarakat baik dari segi ekonomi mahu pun dari segi akhlak keseluruhan masyarakat itu sendiri. Ingatlah, manusia tidak dilahirkan sebagai seorang pencuri, penyangak, pemakan rasuah, penipu, pengampu dan sebagainya. Setiap anak yang lahir fitrahnya adalah Muslim yang tunduk kepada Maha Pencipta dengan penuh sifat-sifat kemanusiaan, akan tetapi mengapa akhir-akhir ini semakin ramai ramai yang bersikap kebinatangan dan lari dari sifat kemanusiaan itu sendiri?.

Ambil contoh buah tembikai yang dibiarkan membesar didalam keadaan semulajadinya akan menjadi bulat, letakkan buahnya yang masih kecil didalam kotak maka ia akan membesar menjadi bersegi mengambil rupa kotak tersebut. Begitulah juga dengan umat manusia, siapakah yang menyediakan persekitaran untuk rakyat membesar jika bukan pemimpin-pemimpin? Sebab itulah pemimpin-pemimpin terdahulu seperti Nabi Muhammad SAW dan juga khalifah penggantinya yang amat menjaga rakyat kerana mereka tahu bahawa ianya adalah amanah yang teramat besar, lihatlah Saidina Umar yang tidak mahu memakan daging dan juga lemak haiwan sehinggalah rakyat kebanyakan dapat memakannya, adakah pemimpin sebegitu yang kita miliki atau yang lebih tepat kita pilih pada hari ini? Melihat pada pengagihan saham Felda itu sendiri nampaknya pemimpin dan kroni dapatkan daging dan lemak, peneroka yang bertungkus lumus dapat tulangnya sahaja.

Masaalahnya kebanyakan manusia hari ini adalah mereka lebih suka memilih pemimpin yang paling banyak memberikan kesenangan dunia kepada mereka dan disebabkan kesenangan dunia itulah mereka telah menjadi buta dan tenggelam didalam alunan janji-janji manis pemimpin tersebut. Pemberian "gula-gula" menjadi ukuran tanpa memikirkan akibat yang akan menimpa diri mereka sendiri nanti. Bukankah kerosakan didunia itu angkara perbuatan manusia itu sendiri. Adakah kita sebagai rakyat sudah menjadi terlalu bodoh dengan akal umpama keldai masih berpegang kepada kepimpinan yang sama?

Didalam fizik kuantum, kita tidak boleh melihat dunia ini tanpa kita sendiri memberi kesan kepadanya, jika dunia hari ini semakin rosak, ini adalah kerana kita sendiri terbabit merosakkannya. Contohnya, jika cuaca semakin panas kerana "global warming", ini kerana kita saban hari menggunakan minyak fossil jadi secara tidak langsung kita juga terbabit. Jadi apabila kita merasakan kehidupan tidak lagi seaman dahulu dengan perlu menoleh kiri-kanan senantiasa kerana takut diragut, tidur malam tidak lena kerana takut rumah dipecah, ini adalah kerana kita bersama dengan pihak bank (melalui pinjaman yang kita ambil) membenarkan wang dicipta tanpa sandaran dan menyebabkan mereka yang kalah didalam persaingan terpaksa mengambil langkah meragut, mencuri, menipu, makan rasuah dan sebagainya untuk terus bersaing. Dan siapa yang membuat dan membenarkan keadaan tersebut berlaku jika bukan kerajaan sebagai "bapak didalam keluarga Malaysia" ini.

Sekali lagi saya cuba mengingatkan bahawa tiada yang percuma didunia ini, semua ada harga yang perlu dibayar. Didalam dunia fizik kuantum sekalipun, walaupun ada ketikanya sesuatu yang percuma itu boleh diperolehi akan tetapi ianya hanyalah bersifat sementara. Wang mewakili usaha yang diberikan dan jika ianya diperolehi tanpa sebarang usaha, ianya akan lari daripada diri kita, malah bukan itu sahaja kesan buruknya akan berbalik kepada diri kita sendiri yang mana dalam contoh diatas didalam bentuk inflasi dan juga kenaikan harga barang akibat cukai yang semakin meningkat. Dan ingatlah, inflasi adalah penindasan yang paling buruk buat manusia di akhir zaman ini. Disebabkan inflasilah rakyat terpaksa bersaing merebut wang yang tidak pernah cukup dipasaran kerana wang yang perlu dibayar balik lebih daripada jumlah yang mula-mula tercipta. Akibatnya ada yang teraniaya dan ketinggalan lantas bertindak diluar batasan norma-norma manusia seperti mencuri, menipu, rasuah dan sebagainya untuk memastikan terus hidup. Sebab itu Nabi SAW bersabda kemiskinan menyebabkan kekufuran, akan tetapi cara dan sistem pemerintahan kerajaan itu sendiri yang menyebabkan rakyat menjadi miskin lantas kufur, bukankah tiba masanya memilih pemimpin yang baru dan yang berjuang untuk rakyat.

Bolehkah seorang pemimpin itu dikatakan benar-benar berjiwa rakyat jika dia sendiri tidak pernah menjadi rakyat biasa dan tidak pernah kenal erti kesusahan? Jika dari kecil hidup senang, makan bersudukan perak, sekolah berjemput hantar dengan pemandu persendirian, dijalanan tidak pernah tersangkut didalam kesesakan kerana senantiasa jalan dilancarkan maka tidak pernah terbentuk jaringan-jaringan neuron didalam otak mereka dan merembeskan kimia-kimia emosi tertentu untuk memberitahu kepada seluruh sel-sel ditubuh mereka erti sebenar kesusahan. Jadi orang yang senang dan menyatakan mereka berjiwa rakyat itu hanyalah omong kosong semata-mata. 

Anak kecil mana yang tidak sukakan gula-gula, selagi tidak diperhatikan, dikawal dan dilarang, biar habis giginya buruk tidak menjadi masaalah asalkan dapat menikmati gula-gula. Mengapa mereka berkelakuan begitu? Ini adalah kerana mereka masih tidak berakal, frontal lobenya masih tidak terbentuk dengan sepenuhnya untuk membolehkan mereka memikirkan akan akibatnya.

Mengapa rakyat sukakan dengan pemimpin yang selalu memberikan "gula-gula"? Tidak boleh menyalahkan mereka sukakan gula-gula tersebut kerana desakan hidup. Dan atas desakan hidup itu jugalah frontal lobe mereka menjadi semakin lemah tambahan pula dengan budaya hiburan baik musik, tv, filem video dan sukan yang rata-ratanya membantu mengurangkan daya berfikir kritis. Akibatnya mereka tidak mampu lagi berfikir sedalam-dalamnya kesan hari esok atas perbuatan hari ini, dan kemudiannya lupa akan akibat yang menimpa mereka diesok hari sedangkan itu adalah perbuatan mereka dihari semalam lantas menyalahkan orang lain atas keburukan yang menimpa mereka.

"Hey... Engkau peduli apa, suka hati akulah nak pilih siapa!"

Manusia bercakap seolah-olah mereka mempunyai kebebasan untuk memilih iaitu free will, akan tetapi free will itu sendiri sebenarnya adalah ilusi. Minda separuh sedar kita sendiri yang lebih berkuasa menentukan apa yang akan kita pilih dan lakukan, hanya boleh di"veto" jika seseorang itu mempunyai frontal lobe yang kuat dan disertaikan dengan cabang-cabang neuron maklumat yang luas. Pastikah kita membuat penilaian yang tepat jika corak kehidupan itu sendiri melemahkan frontal lobe apatah lagi dihambur pula dengan media yang berat sebelah lantas memberi basuhan minda yang membentuk minda separuh sedar.

Penyelesaiannya adalah kembalilah kepada Islam, khusyuklah didalam solat dan berpuasalah dengan ikhlas agar frontal lobe menjadi kuat dan diri juga mampu menahan desakan-desakan dari minda separuh sedar untuk memilih dan membuat pilihan yang lebih mengenyangkan nafsu dan mendapat habuan dunia. Pelajarilah pelbagai ilmu agar lebih banyak lagi jaringan neuron tersedia untuk frontal lobe membantu kita berfikir, menganalisa semua kebarangkalian dan kemungkinan lantas membuat keputusan lebih tepat mem"veto" "suka hati akulah nak pilih siapa" itu tadi. Pilihlah pemimpin yang mampu memberikan kita kejayaan didunia dan juga diakhirat. Ingatlah jika pemimpin hanya memberikan kejayaan dunia dengan segala perhiasan dan kesenangan, ianya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mereka yang terpedaya (Surah Al-Imran 3:185). Pilihan di frontal lobe kita semua.

9 Komen:

Unknown berkata...

Kekdg bila share kan dgn prg sekeliling, mula lah kita dikatakan berpolitik, berat sebelah dll.

Masih x nampak byk sgt perkara2 yg berlaku yg kita sbg manusia biasa, pon dah boleh rasa kepincangan. Dengan Ilmu mampu mencelikkan hati dan minda... Insyallah...

aishah berkata...

Saya anak Felda dan saya sangat sedih dengan apa yang telah terjadi itu..Last 3 weeks peneroka diminta menandatangai surat persetujuan berkaitan penyenaraian Felda kat bursa saham tu.just a piece of paper.just like that! sehelai kertas utk ditandatangani tanpa apa2 details etc. (Mentaliti mereka terhadap peneroka ialah -diorang ni bukan tahu apa2.)Peneroka ni tandatangan sajalah sebab dah terpedaya dgn ayat2 manis dan selamat dari pencacai kerajaan(sebenarnya ramai yang tak setuju pon). Suka diingatkan peneroka yang menandatangani perjanjian tu ialah geng2 veteren yang dah tak larat nak bawa motor ppergi ke kebun. yg masih ingat jasa kerajaan dulu kala yg tak nampak masalah atau realiti politik sekarang...Di dalam kawasan pedalaman tu kerajaan masih 'bersih'. Mak saya tetap menandatangani kertas tu walaupun dihalang oleh abang saya. 2nd generation mostly didn't like this.this is shit...Kami tak 'sangap' rm15k tu...banyak hal yg berlaku disebalik pengagihan tu pon..sampai sekarang pon tak dapat!!!! tu bukan durian runtuh, tu tempoyak masam!!!!
saya amat benci situasi ini...sungguh saya benci!!..please jangan bodoh2kan peneroka...

Tanpa Nama berkata...

Pemimpin yg sesuai sudah dikenal pasti...alangkah gembira sekiranya tidak bergabung dgn parti yg lain....

Tanpa Nama berkata...

Kepada Allahlah kita serahkan segala urusan....

zur_ish berkata...

saya sokong...btul tu....sedar lah..

ana berkata...

en Hermis...
Saya diminta oleh ahli keluarga untuk menjadi penjamin kepada pinjaman yang dibuat (keluarga ayah) dengan felda untuk membaiki rumah pusaka (kami duduki skrng)...
apakah wajar saya menjadi penjamin?

**Antara keluarga vs Dosa** :'''(

mohon pencerahan dan nasihat....trima kaseh...

PELANGI HOLIDAY PADANG berkata...

dimana manapun sama, politik para pemimpin...

Unknown berkata...

Rasulullah saw melaknat orang-orang yang memakan riba, orang yang mewakilkannya, juru tulisnya dan dua orang yang menjadi saksi. Dan Baginda bersabda: “Mereka itu semua adalah sama.” (H.R.Muslim).....jurutulis bermaksud org yg bekerja di bank (juru akaun)...

diharap hadis di atas dapat memberi pencerahan kepada ana...berpegang pada al quran dan hadis in sya allah takkan tersesat selamnya..jangan jadikan alasan dunia untuk mengenepikan agama dan akhirat...wallahualam..

makmur S berkata...

adapun pemimpin seperti itu, karena siapa yang memilih. mending nga usah milih, jadi bagaimanapun keadaan kita tetap nga peduli...

Catat Ulasan

"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas