Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails
Memaparkan catatan dengan label Kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kehidupan. Papar semua catatan

Sabtu, 23 Mei 2026

Wang Bukan Segalanya — Sesuatu Yang Sudah Dilupakan

Kita hidup dalam zaman di mana wang telah disalah ertikan. Wang, yang pada asalnya, adalah satu alat. Ia
dicipta untuk memudahkan pertukaran, menyimpan nilai, dan mengukur kekayaan yang sebenar. Ia bukan kekayaan itu sendiri. 

Kekayaan yang sebenar ada pada petani yang menghasilkan padi, sayuran dan juga buah-buahan. Pada nelayan yang mencari rezeki di laut. Pada guru yang mendidik anak-anak kita. Pada tukang yang menghasilkan perabot dengan tangannya sendiri. Mereka inilah yang menambah nilai yang nyata kepada masyarakat. 

Wang hanyalah simbol kepada nilai itu. Tetapi apabila wang itu sendiri menjadi komoditi — apabila ia boleh dicipta dari suatu yang tidak wujud iaitu melalui hutang — maka simbol itu mula menguasai realiti yang sepatutnya ia wakili. Dan inilah yang sedang berlaku sekarang. 

Bank bukan lagi sekadar orang tengah antara penyimpan dan peminjam. Mereka mencipta wang, mencipta kuasa beli dari suatu yang tidak wujud, hanya melalui "accounting entry" atau "fractional reserve banking", dan kemudiannya mengenakan riba’ ke atasnya. 

Kerajaan pula galak berhutang, membelanjakan wang yang belum ada ditangan. Dan siapa yang akan membayarnya balik? Anak, cucu dan cicit kita. 

Harga rumah melambung bukan kerana nilai sebenar rumah itu bertambah — tetapi kerana penciptaan mudah wang baru yang melimpah mengejar rumah-rumah yang sama. Rumah sudah bukan lagi tempat untuk didiami. Ia menjadi instrumen pelaburan. Sebab itu rumah pada masa kini bukan mampu milik, hanya mampu tengok! 

Pendidikan sudah bukan lagi tentang ilmu dan pembentukan watak. Ianya menjadi landasan kepada pendapatan yang lebih tinggi. 

Perubatan sudah bukan lagi tentang penyembuhan. Ia menjadi industri. Sebab itu hospital kerajaan dianak tirikan supaya bakal pesakit dan pesakit beralih kepada insuran dan hospital swasta yang pastinya akan merancakkan BSKL dan mengenyangkan pelabur-pelabur sedangkan rakyat marhaen menderita.

Politik sudah bukan lagi tentang kepimpinan, keadilan dan amanah. Ia menjadi persaingan untuk mengawal jentera penciptaan dan pengagihan wang. Jentera sakau! 
 
Bahkan manusia sendiri mula memandang diri mereka dalam terma kewangan. Manusia menjadi "modal insan." Masa menjadi "produktiviti." Hubungan sesama manusia menjadi "net-working" Kejayaan pula diukur dengan "net-worth".

Apabila makna wang itu rosak, kerosakan itu tidak berhenti di dinding bank. Ia meresap masuk ke dalam budaya, politik, keluarga, pendidikan — bahkan agama. Kita mula berfikir: jika sesuatu itu menguntungkan, maka ia mesti baik. Jika ia menaikkan GDP, ia mesti bermanfaat. Jika ia memacu pertumbuhan, ia semestinya lah kemajuan. Tetapi itu semua tidak semestinya benar.

Pertumbuhan ekonomi boleh wujud serentak dengan kemurungan, keruntuhan institusi keluarga, perhambaan hutang, dan kehancuran alam sekitar. GDP boleh naik sementara rakyat kebanyakan menjadi semakin miskin, semakin stress, semakin sakit dan semakin terperangkap dan semakin tertekan. Sebuah masyarakat boleh menjadi lebih kaya dari segi material, tetapi semakin miskin dari segi moral dan rohani.
 
Di sinilah larangan riba perlu difahami pada tahap yang lebih dalam. Ia bukan sekadar larangan dalam berjual beli. Ia adalah perlindungan terhadap sesuatu yang jauh lebih bahaya — iaitu apabila wang dibiarkan membiak tanpa melalui aktiviti ekonomi yang nyata, tanpa usaha, tanpa perkongsian risiko, tanpa penciptaan nilai yang sebenar.

Bayangkan, day trader beli saham pada waktu pagi dan sebelah petang dijualnya dengan keuntungan seribu ringgit, apakah nilai sebenar yang telah disumbang kepada masyarakat yang mewajarkan dia mendapat keuntungan seribu ringgit tersebut?

Apabila dengan wang kita boleh membiak banyak lagi wang, tanpa sebarang sumbangan kepada kehidupan sebenar, maka ianya mula berkelakuan seperti tuhan — tidak kelihatan, tetapi berkuasa. Menuntut pengorbanan yang tidak pernah cukup. Membentuk politik, pendidikan, kerjaya, dan akhlak manusia.

Wang kini menjadi berhala baru sembahan manusia. Mungkin sebab itulah sekarang ini masjid rata-ratanya kosong apabila iqamat dibacakan, kerana Allah bukan lagi “Yang Maha Besar”. Kerjaya ku, bisnesku, urusan duniaku lebih “Maha Besar”. Manusia moden kini menjadi begitu resah dan gelisah. Sibuk melayan dunia, menjadi hamba kepada tuan yang tidak pernah puas.

Cabaran kita hari ini bukan sekadar mahu mereformasikan sistem ekonomi dan kewangan kepada yang lebih Islamik, cabaran yang lebih besar adalah untuk mengembalikan kefahaman mengenai apa itu wang dan fungsi sebenarnya didalam kehidupan. Wang sepatutnya berkhidmat kepada kehidupan. Bukan kehidupan yang berkhidmat kepada wang.

Wang sepatutnya tunduk kepada agama, pada etika, pada ilmu, keluarga dan masyarakat. Bukan sebaliknya. Hanya apabila kita memahami semula apa itu wang yang sebenarnya — dan apa yang bukan — barulah kita dapat membezakan antara simbol dan realiti. Antara kekayaan dan gambaran kekayaan.

Antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat dan juga antara yang dihalalkan oleh sistem dan apa yang adil didalam hubungan kita sesama manusia.

Ketukan minda buat mereka yang mahu berfikir.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Selasa, 23 September 2014

Encik Ni Nak Saman Laaa…

Kisah ini berlaku kepada saya beberapa tahun yang lepas dan disini saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan untuk manafaat bersama. Saya yang memandu kereta telah membuat pusingan U ditempat yang tidak dbenarkan dan telah ditahan oleh pihak berkuasa sejurus selepas itu.

Pegawai: Encik tahu mengapa Encik ditahan kan? Tadi Encik membuat pusingan u dikawasan yang tidak dibenarkan.

Saya: Ya Encik, saya tahu dan saya minta maaf. Nak cepat tadi.

Pegawai: Jadi macamana nak selesaikan kan ni?

Saya: Maksud Encik?

Pegawai: Ye la kan kalau kes macam ni sepatutnya kena saman.

Saya: Saman? Takpe Encik, bagi saya saman.

Pegawai: Nak saman?

Saya: Ya Encik, tolong saman saya.

Pegawai: Kejap ya.

Pegawai tersebut beredar seketika dan kedengaran dia memberitahu pegawai atasannya, "Sarjan… Encik ni nak saman laa…"

Tidak lama kemudian pegawai atasan tersebut menghampiri saya dan memberitahu kepada saya, "Encik, kali ini saya lepaskan tetapi lain kali jangan buat lagi ya"


Saya pun beredar dari situ dengan syukur yang teramat sangat kepada Allah SW, kerana apa? Pertamanya kerana saya tidak disaman dan kedua kerana saya tidak bersubahat didalam melakukan perkara yang dikeji perosak umat dan masyarakat iaitu rasuah.

Prinsip saya amat mudah, jika wang yang ada ditangan kita itu benar-benar milik kita, maka saya percaya wang tersebut akan kekal bersama kita selagi kita menunaikan hak insan lain iaitu penerima zakat (zakat juga selari dengan hukum alam iaitu prinsip entropi fizik). Jika wang kita itu hilang dijalanan atau dirompak sekalipun atau didalam cerita saya diatas saya terpaksa membayar saman, oleh kerana Maha Adilnya Allah SW itu maka wang yang "hilang" tersebut pasti akan kembali semula ketangan kita. Jika tidak dalam bentuk wang ringgit mungkin dari bentuk lain umpamanya tubuh badan yang sihat ataupun anak-anak dan isteri mithali penyejuk hati penenang jiwa. Akan tetapi jika wang yang berada didalam tangan kita itu bukan hak milik kita, samada diperolehi dari kerja yang tidak amanah (contohnya sila rujuk artikel Kerja Halal, Gaji Tidak), mengambil rasuah, menipu, mencuri, rasuah dan sebagainya maka ianya akan "lari" daripada kita dengan pelbagai cara, salah satunya caranya mungkin disaman seperti cerita saya diatas.

Wang adalah balasan yang kita terima dari "tenaga" yang kita berikan samada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan, jadi wang adalah bersamaan dengan tenaga dan tenaga tidak dapat dimusnahkan, hanya boleh berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain. Kita mungkin boleh menyimpan wang kita tersebut samada didalam akaun bank atau dibawah bantal, akan tetapi wang sebenarnya hanyalah mewakili "tenaga" yang disimpan dan kita adalah pemegang amanahnya. Dunia fizikal nampaknya didalam genggaman kita umpamanya wang tersebut. Kita ada bank yang dikawal oleh pengawal dengan senjata api, begitu juga dengan kediaman kita yang sudah dipagar dan dipintu masuknya ada warga Nepal atau Bangla yang taat memeriksa setiap orang yang keluar masuk kekawasan rumah kita itu untuk "menjaga" keselamatan kita dan juga harta benda (wang ringgit) kita itu tadi.

Akan tetapi misterinya dunia zarah-zarah sub-atomik, kita tidak boleh mengawal secara langsung akan zarah-zarah tersebut, hanya kemungkinan dan kebarangkalian sahaja. Ini bermakna kita tidak mampu untuk mengawal dunia sub-atomik tersebut. Contohnya, tidak kira secanggih mana sekalipun bekas/botol (flask) penyimpan air panas, pasti selepas beberapa hari kesemua tenaga yang ada pada air yang disimpan didalam bekas tersebut akan hilang dan air tersebut akan sama dengan suhu keadaaan persekitarannya. Adakah kita boleh pasti selepas beberapa hari atau jam air tersebut akan hilang kepanasannya? Mungkin boleh akan tetapi amat mustahil untuk benar-benar mengira contohnya sekarang ini air tersebut bersuhu 80 darjah celcius maka selepas 6 jam 10 minit dan 5 saat suhunya akan menjadi 75.3 darjah celcius. Konsep ini samalah juga dengan bahan radioaktif yang mana kita hanya mengagak sahaja "half life" atau separuh hayatnya kerana radiasi zarah-zarahnya tidak dapat dikira oleh kita sebagai manusia.

Jadi siapa yang mengawal dunia sub-atomik ini? Jawapannya adalah Allah SW. Dialah yang Maha Adil dan lagi Maha Penyayang, yang akan merencanakan dunia ini untuk memastikan rezeki kepada semua umat manusia tidak kira yang menyembahNya ataupun tidak. Mungkin ada yang bertanya, "Jika Allah SW Maha Adil, mengapa yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin?". Jawapannya adalah kerana sistem ekonomi dan kehidupan yang kita amalkan masa kini berasaskan riba' dan rasuah yang telah memastikan kekayaan hanya bergerak kesatu arah sahaja iaitu samada yang kaya, yang berkuasa atau kedua-duanya iaitu yang kaya dan berkuasa.

Jadi apa yang boleh kita lakukan untuk menghentikan aktiviti "menggali kubur sendiri" umat manusia masa kini? Jawapannya adalah dengan menolak sistem ekonomi riba' dan juga menolak, mengeji dan tidak terlibat sama didalam memberi rasuah. Ini termasuklah menolak pemimpin-pemimpin yang mengamalkan budaya tersebut. Masaalahnya zaman sekarang ini (jika diambil dalam kes memberi rasuah), kebanyakan kita lebih sanggup untuk memberi rasuah kerana wang yang "hilang" adalah kecil berbanding dengan nilai saman yang sebenar, maka oleh sebab itu walaupun tahu berdosa memberi rasuah tersebut kebanyakan kita tetap meneruskannya. Kita semua telah terlupa akan ayat seribu dinar yang mana jika kita bertaqwa, Allah SW akan memberikan kita rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka. Mungkin dengan berkat taqwanya kita itu dengan menolak memberi rasuah dan meminta disaman (dan saman selalunya ada tempoh masa tertentu untuk dibayar), mungkin Allah SW akan memberikan kita rezeki berganda-ganda dari sumber yang tidak disangka-sangka untuk membayar saman tersebut, akan tetapi taqwa sahaja bukan sahaja itu syaratnya, perlu juga pasti adakah duit yang ada pada tangan kita itu benar hak milik kita.

Dan bagaimana untuk memastikan wang yang ada ditangan atau didalam simpanan kita itu benar-benar milik kita? Jawapannya adalah dengan menjadi "pemerhati yang hebat" kepada setiap pemikiran yang akan menjadi tindak tanduk dan perbuatan kita. Saya percaya apa yang kita alami didunia ini adalah hasil dari perbuatan dan tindak tanduk kita sebelum ini. Jika akar lalang yang kita tanam, tidak akan dapat kita menuai padi. Jika ingin dunia yang aman, harmoni dan penuh dengan kasih sayang, kita perlulah menjadi ajen-ajen kepada perubahan tersebut dengan sendiri melakukannya iaitu menabur "benih-benih kasih sayang" tersebut kepada seluruh umat manusia.

Kita semua mungkin boleh lari dari peraturan yang dicipta oleh manusia (seperti kes saya ini tidak disaman) akan tetapi kita tidak akan dapat lari dari hukum-hukum Allah SW. Dosa yang memberi, mengambil, menulis dan saksi kepada riba' adalah sama malah mungkin rasuah juga adalah salah satu dari 70 jenis riba' yang disebut oleh Nabi SAW. Bagi yang kaya dan semakin kaya dengan riba' dan rasuah, teramatlah saya kasihan kepada mereka kerana jika tidak dilihat dari hukum Allah SW sekalipun, dari sudut fizik dunia kuantum mereka adalah terdiri dari golongan yang rugi, cuma masa sahaja yang menentukan balasannya samada didunia ataupun diakhirat. Moga menjadi manafaat bersama, peringatan dan ketukan minda untuk saya dan mereka yang mahu berfikir. Wallahualam.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Rabu, 5 Februari 2014

Semakin Kaya Semakin Semakin Tidak Bertimbangrasa!

Adakah dengan semakin kayanya seseorang itu akan membuatkan dia menjadi lebih bertimbang rasa dan simpati kepada golongan yang miskin. Dan adakah disebabkan kekayaan mereka itu (baik disebabkan kerja yang baik, perniagaan yang menguntungkan atau pun lahir dialam keluarga bangsawan yang kaya) mereka akan kurang cenderung untuk menzalimi, menipu atau mencuri dari manusia lain. Kita boleh andaikan mungkin disebabkan seseorang yang kaya itu mempunyai wang yang banyak dan juga kuasa untuk membantu yang lemah, itu sepatutnya membuatkan mereka lebih bertimbang rasa, prihatin dan lebih mempunyai sifat-sifat kemanusiaan.

Kebanyakan kita pasti menganggap orang miskin dan susah lah yang sepatutnya lebih cenderung untuk lebih tidak bertimbang rasa, menipu ataupun mencuri akan tetapi kajian oleh pakar psikolgi di Amerika menerusi ujikaji-ujikaji mereka membuktikan sebaliknya. Pakar psikologi Paul Piff dan Dacher Keltner telah melakukan beberapa ujikaji dengan melihat samada status sosial (diukur melalui kekayaan, kehebatan jawatan dan pendidikan) mempengaruhi sejauh mana keprihatinan atau bertimbang rasa seseorang itu terhadap insan yang lain.


Didalam salah satu ujikaji mereka, mereka memperhatikan secara rahsia memperhatikan kelakuan pemandu-pemandu disatu simpang empat yang sibuk. Mereka mendapati mereka yang memandu kereta mewah lebih cenderung untuk memotong kenderaan yang lain yang berbaris menunggu giliran untuk melepasi persimpangan tersebut. Pemandu kenderaan mewah ini (pemandu kenderaan tersebut dari golongan mereka yang berstatus tinggi) baik lelaki atau wanita, tanpa mengira masa atau kesibukan trafik sama sahaja memotong pemandu-pemandu lain. Didalam ujikaji yang lain pula, mereka mendapati pemandu kereta mewah lebih cenderung untuk melajukan kereta mereka di lintasan pejalan kaki walaupun mereka sudah bertentang mata dengan pejalan kaki yang mahu melintas jalan.




Adakah mereka yang kaya lebih cenderung untuk menipu? Dalam ujikaji seterusnya para peserta diminta untuk bermain permainan komputer yang mana pada skrin komputer tersebut akan menayangkan salah satu dari muka buah dadu hasil "lontaran" mereka yang kononnya terhasil secara rawak. Mereka diminta untuk merekodkan jumlah mata yang diperolehi dan jika lebih banyak mata diperolehi, lebih besar kemungkinan untuk mereka memenangi hadiah wang tunai. Lima lontaran dibenarkan dan mereka diminta untuk merekodkan bacaan mereka itu. Apa yang tidak diketahui oleh mereka adalah jumlah mata dari lima balingan dadu tersebut telah ditetapkan oleh komputer sebanyak 12 mata sahaja untuk setiap peserta. Golongan yang berstatus tinggi didapati lebih cenderung untuk menipu dan merekodkan jumlah mata yang lebih berbanding apa yang dipaparkan di komputer.

Adakah mementingkan diri sendiri membuatkan seseorang itu menjadi kaya? Ujikaji seterusnya oleh Paul Piff dan rakannya pula adalah dengan meminta para peserta membuat perbandingan mengenai kedudukan mereka berbanding orang lain dari sudut ekonomi. Pada masa yang sama juga mereka diberitahu bahawa setelah selesai menjawab soalan-soalan tersebut mereka boleh mengambil sebanyak mana gula-gula yang terdapat didalam balang dihadapan mereka. Pada masa yang sama juga mereka diberitahu bahawa baki gula-gula yang tinggal akan diberikan kepada kanak-kanak di pusat penjagaan berhampiran. Para peserta yang melabelkan diri mereka lebih baik dari segi ekonomi berbanding orang lain didapati telah mengambi lebih banyak gula-gula berbanding golongan yang kurang baik.

Tetapi mengapakah semakin kaya dan tinggi status sosial seseorang itu mengurangkan perasaan simpati dan timbang rasa seseorang itu terhadap insan lain? Paul Piff mengesyaki kemungkinannya adalah
 disebabkan kekayaan dan status tinggi seseorang itu, mereka tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk hidup, dan semakin tidak bergantungnya seseorang itu kepada orang lain, semakin kurang kepedulian mereka terhadap kebajikan dan perasaan orang lain. Ini membawa kepada sikap pentingkan diri sendiri. Persoalan seterusnya adalah, adakah mereka golongan diatas ini sedar akan sikap buruk mereka ini? Malangnya didalam satu kajian yang lain, semakin tinggi pangkat seseorang itu, semakin dia tidak sedar akan sikap-sikap buruk mereka yang dapat dilihat oleh orang lain.



Didalam ujikaji yang lain pula, para peserta ujikaji diminta untuk menonton dua tayangan video dimana pada masa yang sama denyutan jantung mereka diukur. Satu video menunjukkan seorang memberi penjelasan bagaimana untuk membina patio dan satu lagi video berkenaan kanak-kanak yang mengidap kanser. Selepas menonton video tersebut, para peserta akan menjelaskan sejauh mana perasaan mereka apabila menonton video-video tersebut. Status sosial para peserta diketahui dengan menyoal selidik pendapatan dan tahap pendidikan mereka. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa para peserta yang rendah status sosialnya iaitu dengan pendapatan dan juga pendidikan yang rendah lebih menunjukkan rasa simpati apabila menonton video pesakit kanser, malah denyutan jantung mereka juga menjadi perlahan semasa menonton video tersebut yang mana menunjukkan tindak balas penumpuan mereka terhadap perasaan orang lain. Hasil kajian ini juga selari dengan penyelidikan sebelumnya yang mana golongan atasan lemah dalam mengenal pasti perasaan orang lain dan kurang menumpukan perhatian dengan orang-orang yang berinteraksi dengan mereka dengan cara membelek telefon bimbit mereka ataupun menconteng-conteng kertas.





Daripada penyelidikan-penyelidikan diatas, berapa ramai dikalangan pembaca yang dapat mengaitkannya dengan keadaan sebenar masyarakat kita hari ini? Adakah pemimpin-pemimpin kita yang semakin kaya dan tinggi taraf sosialnya itu benar-benar dapat memahami, bertimbang rasa, prihatin dan benar-benar berjiwa rakyat? Adakah mereka jujur dan tidak menipu rakyat dalamana mereka meneraju negara kita ini?

Melihat kepada jurang pendapatan yang semakin besar dinegara kita, hubungan antara kekayaan dan keprihatinan atau bertimbangrasa ini mempunyai implikasi yang teramat penting. Mereka yang berkuasa dinegara kita ini kebanyakan datangnya dari golongan yang berada, oleh itu jika status sosial ini mempengaruhi keprihatinan seseorang itu terhadap insan lain, nampaknya besar kemungkinan keputusan-keputusan atau polisi-polisi yang dianjurkan oleh mereka bukanlah sebenarnya membantu golongan yang miskin dan kurang bernasib baik malah lebih untuk mengenyangkan perut mereka.


Jika pemimpin yang dari kecil hidup didalam kemewahan dan tidak pernah kenal erti susah, wujudkah jaringan-jaringan neuron yang pernah terbentuk didalam otak mereka yang akan kembali aktif apabila melihat atau mendengar kesusahan rakyat dan kemudiannya merembeskan "peptid-peptid molekul emosi" yang akan menyelinap kesalur darah mereka memberikan perasaan sebenar erti kepayahan dan kesusahan? Jawapannya tentulah tidak. Buktinya teramat jelas kerana apabila negara mengalami masaalah ekonomi, rakyatlah dahulukan dalam usaha mencari wang untuk membayar hutang. Setelah gula, minyak, tol dan sebagainya akibat virus BN (Barang Naik), ditambah pula dengan GST untuk memaksa rakyat membayar beban hutang yang dibuat oleh kerajaan, barulah akhir sekali gaji menteri-menteri nak dipotong? Mengapa ianya tidak mula-mula sekali dilakukan jika mereka benar-benar berjiwa rakyat?



Jawapannya adalah, semakin kaya, semakin tinggi pangkat dan status sosial, semakin mereka tidak bertimbang rasa terhadap insan lain terutama sekali rakyat. Apa yang penting bagi mereka adalah untuk memastikan mereka terus kekal berkuasa dan rakyat semua perlu membayar harga untuk memastikan mereka terus kekal berkuasa. Barangkali jaringan neuron kesusahan yang ada didalam otak mereka adalah susahnya bagaimana nak mendapatkan undi. Selagi pemimpin sebegini memerintah, semakin hari semakin kehidupan rakyat menjadi susah.

 Malah saranan-saranan bodoh juga dikemukakan oleh mereka kepada rakyat contohnya berhijrah kenegara lain jika tidak setuju dengan kepimpinan mereka. Nampaknya ketidak prihatinan, kesombongan dan kebodohan sudah berjalan berpimpin tangan dengan mereka.

Ini dilihat dari segi pemimpin, bagaimana dengan diri kita sendiri? Jika kita mengetahui bahawa dengan membuat pinjaman-pinjaman di bank ini akan menyebabkan meningkatnya inflasi disebabkan bertambahnya jumlah wang didalam kitaran berbanding dengan kekayaan sebenar, dan inflasi ini pula akan menyebabkan harga barangan meningkat yang mana pasti akan membebankan golongan berpendapatan rendah, adakah kita yang berkedudukan baik dengan pangkat tinggi dan gaji tetap setiap tahun naik ini akan berhenti membuat pinjaman-pinjaman baru, mengambil sifat zuhud dengan rumah kecil, kereta lama, berusaha membeli barangan baru secara tunai dan sebagainya?
 Adakah kita yang bernasib baik ini mempunyai perasaan simpati terhadap golongan yang susah ini?

Adakah kita juga akan tetap memilih pemimpin yang sama dipilihanraya akan datang nanti walaupun kita tahu hasil kepimpinan mereka lebih banyak menyusahkan rakyat dan mengkayakan golongan segelintir hanya kerana kita takutkan perubahan yang akan menggugat kesenangan kehidupan kita? Pedulikah akan kita kepada nasib malang golongan kurang bernasib baik ini?

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.          (Al Imran 3:92)



Sesungguhnya Allah SW itu Maha Adil, semakin kaya dan berpangkat seseorang itu semakin kurang sifat timbang rasa dan simpati mereka kepada orang lain dan inilah cabarannya kepada kita sebagai manusia untuk senantiasa sedar bahawa segalanya ada "harga" yang perlu dibayar, tiada apa yang percuma didunia ini termasuklah untuk kekayaan dan pangkat kita itu. Ini memerlukan kita untuk menjadi "Pemerhati Yang Hebat", memerhatikan pemikiran kita yang kemudiannya akan menjadi tindak tanduk perbuatan yang akan mempengaruhi manusia-manusia lain. Sebab itulah disyurga lebih ramai orang miskin berbanding yang kaya seperti yang diberitahu oleh Nabi. Adakah kita pasti kita sudah mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian jika kita tidak mahu melepaskan sebahagian dari kesenangan kita itu?

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak… dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Al-Hadid 57:20)

Kita semua berkait, baik jika kita lihat dari kejadian Adam AS, Teori Big Bang mahupun ujikaji fizik kuantum, apa yang kita lakukan dan segala tindak tanduk kita ini akan mempengaruhi kehidupan kita. Marilah hidup dengan lebih matlamat kepada "kita" daripada "aku", kerana kita semua adalah satu, hidup didalam dunia yang satu dan menyembah Tuhan yang satu. Lebihkan memberi dan fikir-fikirkanlah sedalam-dalamnya sebelum mengambil. Allah SW tidak akan menghukum mereka yang memberi lebih, sebaliknya yang mengambil lebih dari apa yang sebenarnya hak diri manusia itu. Keputusannya ditangan anda, harap artikel ini dapat memberikan ketukan minda buat mereka yang mahu berfikir.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Sabtu, 3 Ogos 2013

Wang Fiat dan Kemunduran Ekonomi Masyarakat Melayu

Wang Fiat dan Kemunduran Ekonomi Masyarakat Melayu
Ahamed Kameel Mydin Meera

Abstrak

Artikel ini berhujah bahawa kekayaan masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia telah secara sistematiknya di rompak dari mereka melalui sistem perbankan wang fiat (wang yang tidak disandarkan dengan sesuatu yang mempunyai nilai nyata) yang berasaskan faedah (bunga, riba'). Begitu juga kepada bumiputra-bumiputra yang lain temasuklah penduduk peribumi semenanjung dan juga Malaysia Timur, dan juga kepada pendatang awal golongan pedagang-pedagang Arab dan juga India Muslim. Proses ini telah berlaku sejak bank persendirian pertama ditubuhkan di Pulau Pinang pada 1860 hinggalah kehari ini. Ini telah memberikan kesan yang serius kepada sosio-ekonomi orang-orang Melayu, Islam dan negara Malaysia secara keseluruhannya. Maka oleh itu, artikel ini juga menyeru kerajaan, kumpulan-kumpulan NGO dan orang awam yang prihatin untuk menghentikan proses rompakan ini dan mengambil langkah-langkah proaktif dan tegas untuk menerbalikan proses ini untuk membolehkan keadilan sosio-ekonomi tercapai dengan menggalakkan kekayaan dan keamanan di nagara melalui pembahagian kekayaan negara yang adil dikalangan semua kaum. 

1.0 - Pengenalan

Artikel ini menunjukkan satu aspek dari pelbagai aspek wang fiat, iaitu bagaimana masyarakat pribumi sesuatu negara itu akan mengalami kerugian besar didalam sistem wang fiat. Beberapa buah negara boleh diambil sebagai contoh untuk menunjukkannya. Kami mengambil contoh Malaysia untuk artikel ini.

Jika kita perhatikan setelah beberapa tahun, Malaysia telah berubah dengan pesatnya dari segi sosio-ekonomi-politik. Masyarakat Melayu yang secara asasnya memiliki kebanyakan, jika pun tidak keseluruhan Semenanjung, kini sudah terlalu ketinggalan dari sudut ekonomi. Sebaliknya, masyarakat Cina terutamanya, pengaruh ekonomi mereka telah meningkat berbanding kaum-kaum lain. Statistik jutawan-jutawan telah mengesahkan hakikat ini. Jurang ekonomi ini pula telah menyebabkan pelbagai masalah sosio-ekonomi muncul dikalangan masyarakat Melayu - tekanan ekonomi, kemiskinan, rendah diri, prestasi akademik yang rendah, penagihan dadah, mat rempit, masaalah remaja dan sebagainya.

Pihak kerajaan telah mengambil beberapa langkah tegas termasuklah Dasar Ekonomi Baru untuk menangani isu-isu ini. Ini telah membawa beberapa kelebihan yang terhad akan tetapi masaalah-masaalah tersebut tetap wujud dan nampaknya semakin meningkat. Bagi masyarakat Cina walaubagaimanapun, pengaruh ekonomi mereka beransur-ansur menjulang pengaruh politik mereka. 
Artikel ini berpendapat, kesan sosio-ekonomi-politik diatas yang diperhatikan di Malaysia adalah berpunca dari sistem wang fiat yang berasaskan faedah. Ia berpendapat bahawa sistem wang dan perbankan di Malaysia telah berlaku tidak adil kepada masyarakat Melayu dan telah membantu merompak kekayaan orang-orang Melayu, yang telah berlaku selama 15 abad ini. Secara asasnya ia berpendapat bahawa sistem perbankan di Malaysia lah yang telah menyebabkan kekurangan dari segi sosio-ekonomi kepada masyarakat Melayu selama ini bermula dari penubuhan bank persendirian yang pertama di Pulau Pinang pada tahun 1860an.


1.1 - Objektif

Artikel ini adalah berdasarkan fakta sejarah dan pemerhatian keatas Malaysia selama berabad. Ianya bertujuan untuk menggalakkan beberapa proses pemikiran, dengan tanpa ada niat yang tidak baik seperti menimbulkan perselisihan diantara kaum. Sebaliknya, adalah diharapkan agar artikel ini menyumbang kearah pencapaian keharmonian diantara kaum, pembahagian kekayaan secara adil dan saksama, merendahkan kadar kekorupan dan menurunkan masalah-masalah yang berkaitan dengan sosio-ekonomi.


Didalam bahagian 2, artikel ini memberikan sebab-sebab negapa sistem perbankan di Malaysia telah membawakan kekurangan yang nyata kepada masyarakat Melayu. Bahagian 3 membincangkan mengenai kesan-kesan sistem wang fiat terhadap sosio-ekonomi dan politik. Bahagian 4 menyediakan beberapa langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk menghentikan rompakan ini dan menerbalikan proses tersebut. Bahagian akhir merumuskan kertas kerja ini.

2.0 - Perbankan Wang Fiat Berasaskan Faedah Dan Masyarakat Melayu - Sejarahnya

Tanah Melayu asalnya telah dihuni oleh orang Asli sebagai masyarakat asal dan juga oleh bangsa Melayu. Dengan kesultanan yang berteraburan diseluruh Tanah melayu, merekalah yang pada mulanya 'memiliki' Tanah Melayu. Orang Asli secara asasnya hidup dihutan-hutan tropika sementara masyarakat Melayu hidup di kampung-kampung. Mereka hidup dengan cara yang sederhana dengan kehidupan bermasyarakat yang pemurah dengan pertanian dan perikanan sebagai sumber kehidupan mereka. 
Tanah Melayu adalah tanah "susu dan madu" (kiasan dari bahasa Inggeris yang bermaksud penuh dengan rahmat dan kekayaan). Ia telah menarik pedagang-pedagan awal Arab dan India Muslim kenegara ini. Pedagang-pedagang Arab diketahui telah datang kekepulauan Melayu sejak dari awal abad ke7. Mereka diketahui telah sampai ke Sumatera pada tahun 674 Masehi, iaitu hanya selepas beberapa abad selepas kedatangan Nabi Muhammad SAW di Tanah Arab. Pedagang-pedagang India Muslim pula diketahui telah datang ke Semenanjung Tanah Melayu terutamanya ke Kedah sejak abad ke12. Pengaruh mereka keatas kesultanan Melaka juga telah dicatat dengan baiknya. Parameswara, pengasas Melaka telah memeluk Islam pada tahun 1411. Kehidupan masyarakat Melayu tempatan adalah berasaskan pertanian dengan kebijaksanaan pedagang-pedagang Arab dan India Muslim menyumbang kepadanya. Jesteru itu, kemeriahan perdagangan di Tanah Melayu oleh pedagang-pedagang awal India Muslim dan Arab amat dialu-alukan oleh masyarakat tempatan disebabkan kesamaan agama iaitu Islam.


Agama Islam oleh itu adalah faktor pedoman dan yang menyatu mereka. Menurut prinsip-prinsip Islam, wang yang digunakan didalam perdagangan dan perniagaan adalah wang-wang yang nyata (wang yang nilai wang itu sendiri tersimpan didalamnya) - terutamanya ketulan timah, emas dan syiling-syiling perak. Dibawah sistem wang yang nyata sedemikian, setiap pertukaran barangan melibatkan pertukaran barang yang nyata dengan barang nyata yang lain, iaitu barangan atau perkhidmatan, dengan nilai yang sama. Oleh sebab itu ianya merupakan sistem pertukaran yang adil dan saksama. Logam-logam berharga telah memainkan peranan yang penting sebagai pengukur nilai didalam perdagangan dan kontrak-kontrak.


Tanah Melayu yang kaya dengan sumber-sumber asli juga telah menarik pihak-pihak kolonis dan kemudiannya pendatang-pendatang Cina dan India. Orang-orang Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris telah berada disini untuk jangka masa yang tertentu didalam sejarah, walaubagaimanapun pengaruh yang paling besar adalah Inggeris. Syarikat British India Timur (East India Company) mula-mula telah menubuhkan penempatan British di Pulau Pinang pada tahun 1786. Kemudiannya, Pulau Pinang, SIngapura dan Melaka telah disatukan sebagai negeri-negeri Selat pada tahun 1826 dengan Pulau Pinang sebagai ibu negerinya. Mereka telah membawa orang-orang India untuk bekerja di ladang-ladang getah dan sementara itu orang-orang Cina terutamanya untuk perlombongan bijih timah, dua aktiviti ekonomi yang utama pada masa tersebut. Penghijrahan ke Tanah Melayu pada masa itu amat mudah kerana masyarakat Melayu yang sederhana, bertolak-ansur, masyarakat beragama dengan nilai-nilai moral yang tinggi. Didalam ekonomi yang sebenar, kedatangan semua pendatang-pendatang ini termasuklah pedagang-pedagang Arab dan India Muslim itu adalah baik kerana penghijrahan mereka meningkatkan aktiviti ekonomi dan juga pengagihan "pie" ekonomi, kesemua yang mana meningkatkan taraf ekonomi semua pihak.


Walaubagaimanapun, keadaan mula berubah dengan kemunculan bank persendirian pertama di Pulau Pinang. The Mercantile Bank, yang kemudiannya menjadi anak syarikat kepada Hong Kong Bank (sekarang ini HSBC), telah memulakan perniagaan pada tahun 1860an dan Chartered Bank (sekarang Standard Chartered) pada tahun 1875. Bank-bank persendirian ini telah mengeluarkan wang-wang kertas mereka sendiri. Pihak kerajaan masih belum lagi mempunyai wang-wang kertas rasmi. Hanya pada tahun 1897, apabila Board of Commisssioners of Currency telah ditubuhkan, kerajaan negeri-negeri Selat telah dibenarkan untuk mengeluarkan matawang-matawang kertas. Akan tetapi wang-wang kertas keluaran dua bank persendirian iaitu Chartered Bank dan Hong Kong Bank juga berkitar bersama-sama matawang kertas keluaran kerajaan. Walaubagaimanapun, hak untuk mengeluarkan mawatang kertas oleh bank-bank ini telah dimansuhkan pada tahun 1921. Pada tahun 1938, Board of Commissioners of Currency telah ditubuhkan dengan satu-satunya kuasa yang boleh mengeluarkan matawang bagi keseluruhan jajahan. Pada tahun 1952, badan tersebut menjadi Board of Commissioners of Malaya and British Borneo yang mana berterusan mengeluarkan matawang walaupun selepas Malaysia mendapat kemerdekaan pada tahun 1957. Badan tersebut ditutup secara rasminya pada lewat tahun 1979. Sejak dari itu matawang hanya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, akan tetapi sebenarnya kesemua wang telah dicipta oleh bank-bank komersial melalui perbankan sistem pecahan simpanan (Fractional Reserve Banking). 


Kesemua diatas, iaitu pengeluaran, wang-wang kertas oleh bank-bank persendirian, oleh Board of Currency dan Bank Negara Malaysia dengan sistem perbankan pecahan simpanan adalah kesemuanya berdasarkan sistem wang fiat yang berlandaskan faedah, kesemuanya amat merbahaya kepada ekonomi masyarakat Melayu. Kami akan membahaskan perihal ini didalam bahagian seterusnya.

2.1 - Prinsip Wang Fiat - Kerugian Melalui Seigniorage

Satu daripada prinsip wang fiat adalah bahawa seigniorage (perbezaan antara nilai wang dengan kos untuk mengeluar dan mengedarkannya) wang fiat memberikan faedah-faedah kepada pengguna pertama wang tersebut. Oleh kerana wang fiat tidak bersandarkan kepada emas, atau apa juga yang mempunyai nilai, ianya amat mudah untuk dihasilkan akan tetapi membawa bersamanya kuasa membeli yang dicipta diatas angin (tanpa sandaran dengan sesuatu yang bernilai). Ianya kuasa membeli yang murah untuk dihasilkan ini yang amat dicari-cari oleh pemalsu-pemalsu wang. 

Walaubagaimanapun apabila bank-bank mengeluarkan matawang-matawang mereka sendiri, mereka mendapat seigniorage ini. Wang fiat yang dikeluarkan oleh mereka membawa bersamanya kuasa ekonomi dengan mencukai keseluruhan ekonomi melalui inflasi. Hakikat yang mana tidak diketahui ramai ini iaitu yang mana hak untuk mencipta wang fiat secara efektifnya telah meletakkan pemilikan hasil-hasil semulajadi dan aset-aset kepada bank-bank. Kami telah menghujahkannya didalam Meera (2005) bahawa penciptaan wang fiat itu sendiri adalah riba' dan ianya bertentangan dengan Maqasid Al-Shari'ah. Oleh sebab itu negara-negara akan kerugian melalui seigniorage jika mereka membenarkan wang fiat negara lain atau wang-wang kertas yang dikeluarkan oleh institusi-institusi persendirian dibenarkan untuk digunakan dinegara meraka. Keduanya, bank-bank memberikan wang fiat yang dicipta secara percuma ini sebagai pinjaman - kepada individu-individu, perniagaan-perniagaan dan juga kerajaan - berserta dengan bayaran faedah berganda. Dan faedah adalah suatu yang dikutuk didalam Islam.

Oleh itu, apabila bank-bank pertama ditubuhkan di Semenanjung dan telah mengeluarkan matawang kertas persendirian mereka yang disertakan faedah, kebanyakan jika tidak kesemua masyarakat Melayu, pedagang Arab dan India Musim tidak mahu terbabit langsung dengannya. Walaubagaimanapun, tidak mereka ataupun pemimpin Islam mereka menghentikan aktiviti ini di negara mereka. Pada pendapat kami, ini adalah kesalahan paling besar yang telah dilakukan oleh pemimpin Islam pada masa tersebut dari segi prinsip kewangan Islamik, kesan yang amat jelas pada keadaan sosio-ekonomi dan politik semasa masyarakat Melayu masa kini.

2.2 - Pengasingan Ekonomi dan Penyisihan Berterusan Penglibatan Ekonomi Relatif

Pengeluaran wang fiat dengan faedah oleh bank-bank terawal dan pihak-pihak berkuasa secara keseluruhannya telah mengasingkan golongan Muslim awal - orang-orang Melayu, India dan pedagang-pedagang Arab - dari berurusan dengan bank-bank. Ini adalah pengasingan sistemik secara ekonomi kepada golongan Muslim. Pada masa yang sama, kami juga mendapati iaitu pada akhir abad ke19 dan awal abad ke20 telah menyaksikan kebanjiran pendatang-pendatang Cina ke Tanah Melayu yang mana mereka selesa dengan perbankan wang fiat yang berlandaskan faedah ini. Oleh sebab itu, kebanyakan wang fiat yang baru dicipta ini pergi ke golongan ini. Fenomena ini secara sistematiknya berterusan meningkatkan penglibatan ekonomi pedagang-pedagang Cina sementara pada masa yang sama mengurangkan penglibatan relatif ekonomi akan golongan-golongan Muslim. Fenomena ini kemudiannya diserlah lagi dengan hakikat yang mana masyarakat Cina lebih cenderung untuk mengkitarkan wang fiat ini dikalangan komuniti mereka. 

Oleh itu, sistem wang fiat yang berlandaskan faedah ini, selama berabad ini telah mengurangkan penglibatan ekonomi masyarakat Melayu, pedagang-pedagang India Muslim dan Arab sementara pada masa yang sama telah meningkatkannya kepada masyarakat Cina. Fenomena ini telah berlaku secara eksponen (berganda-ganda) kerana wang fiat berlandaskan faedah ini juga berkembang secara eksponen. Oleh itu, hanya dengan struktur sistem kewangan, wang dan kekayaan relatif masyarakat Melayu, pedagang-pedagang India Muslim dan Arab telah berkurangan secara eksponen, sementara bagi kalangan masyarakat Cina pula ianya semakin meningkat. Sudah tentulah dengan peningkatan kekayaan dan wang, masyarakat Cina semakin mampu mengembangkan perniagaan mereka, meneroka peluang-peluang baru, menghantar anak-anak mereka kepusat pengajian tinggi diluar negara dan sebagainya. Malahan, kebanyakan orang-orang Melayu tidak mempunyai akaun simpanan bank sehinggalah pada tahun 1970an. Ini menunjukkan jangka masa yang lama pengasingan relatif ekonomi yang dialami oleh masyarakat Melayu, pedagang-pedagang India Muslim dan Arab.


3.0 - Kesan-kesan Sosio-Ekonomi-Politik Akan Pengasingan Ekonomi Yang Lama

Wang fiat telah mengambil kekayaan dari penduduk-penduduk asal, dalam contoh kami kekayaan orang-orang Melayu, dengan penciptaan inflasi didalam sistem. Jesteru itu, sekarang ini selepas kira-kira 150 tahun sejak penubuhan pertama bank-bank di Tanah Melayu, sebahagian besar kekayaan, terutamanya tanah, telah berpindah dari orang-orang Melayu. Orang-orang Melayu sekarang ini agak ketinggalan dari segi ekonomi, dengan kebanyakan dari mereka berada ditahap paling rendah didalam ekonomi, malah ramai yang jatuh dibawah paras kemiskinan. Jesteru itu, seperti yang dijangka dari keadaan ini, masaalah-masaalah sosio-ekonomi seperti pengangguran, kadar jenayah, penagihan dadah, mat rempit, pencapaian akademik yang rendah dan masaalah-masaalah sosial yang lain secara relatifnya adalah tinggi dikalangan kumpulan ini. Terdapat jurang pengagihan yang besar akan pendapatan dan kekayaan diantara masyarakat Melayu, Cina dan lain-lain, dengan masyarakat Cina menikmati jumlah yang besar dan tidak berpatutan akan 'pie' ekonomi. Tidak dinafikan bahawa masyarakat Cina adalah masyarakat perniagaan yang kuat bekerja akan tetapi dominasi perniagaan dan perdagangan amatlah dibantu oleh struktur perbankan dan kewangan dengan sedikit sahaja disebabkan oleh skil, produktiviti kerja ataupun kebijaksanaan dalam perniagaan. Secara asasnya, perpindahan kekayaan yang besar telah berlaku sehinggalah kehari ini, hanya dengan dibiayai oleh inflasi.
Rajah 1 dibawah memberikan anggaran jumlah bekalan wang di Malaysia yang telah dicipta oleh bank-bank komersial di Malaysia dalam bentuk pinjaman-pinjaman, untuk tempoh dari tahun 1973 hinggalah ketahun 2011. Perhatikan peningkatan secara eksponen seperti yang digambarkan oleh graf.




Data Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa jumlah wang Broad, M3, pada tahun 2011 adalah sebanyak RM1.24 trillion. Dari jumlah ini RM53.49 billion adalah matawang didalam kitaran. Perbezaan sebanyak RM1.19 trillion ini dianggarkan adalah jumlah wang sekarang ini yang telah dicipta atas angin oleh bank-bank komersial, melalui perbankan pecahan simpanan. Pada tahun 1973, jumlah ini hanyalah RM6.6 billion, memberikan kadar nisbah penambahan wang yang dicipta oleh bank-bank komersial ini sebanyak 14.7% setahun. Isunya disini adalah siapakah penerima-penerima faedah kesemua jumlah besar wang yang telah dicipta oleh bank-bank komersial ini? Adakah jumlah tersebut secara adilnya telah terbahagi kepada semua kaum? Cara bagaimana keseluruhan bekalan wang ini diedarkan dikalangan semua kaum mampu menunjukkan kepada kita tahap pengasingan ekonomi setiap kaum. Bank Negara Malaysia barangkali mampu memberikan jawapan berkenaan perkara ini. Dominasi masyarakat Cina didalam ekonomi juga telah membawa kepada peningkatan beransur-ansur penglibatan mereka didalam politik negara ini.


3.1 - Penglibatan Masyarakat Melayu dan Muslim didalam Transaksi Kewangan Yang Berlandaskan Faedah.

Kekurangan berterusan sistem wang fiat berlandaskan faedah kepada masyarakat Melayu, pedagang-pedagang India Muslim dan Arab ini telah menyebabkan golongan ini akhirnya terlibat didalam transaksi kewangan yang berlandaskan faedah ini. Untuk terus melibatkan diri didalam perniagaan, sebagai contohnya, ahli perniagaan Muslim masih perlu mendeposit wang dan mengekalkan akaun-akaun mereka dengan bank-bank. Dibawah sistem perbankan pecahan simpanan, ini membolehkan bank-bank untuk memberikan pinjaman yang berasaskan faedah berganda-ganda dari deposit asal kepada pihak lain.
Disebabkan ketidak Islamiknya bank-bank, pemilikan dan pengurusan bank-bank secara semulajadinya didominasi oleh bukan Muslim. Maka Muslim secara amnya, peniaga-peniaga atau sebaliknya, hanya menjadi "mangsa" kepada sistem berkenaan. Penciptaan wang fiat telah menyebabkan inflasi didalam ekonomi, itu ditanggung oleh setiap orang tanpa mengambil kira samada mereka mempunyai apa-apa perasaan terhadap bank-bank atau tidak. Oleh itu, masyarakat Melayu dan pedagang-pedagang Muslim, sambil berdepan dengan pengasingan beransur-ansur dari segi ekonomi, pada masa yang sama juga menanggung akan beban inflasi. Dengan pengasingan dalam jangka masa yang lama dari segi ekonomi ini, untuk terus hidup, secara beransur-ansur memaksa orang-orang Melayu dan juga pedagang-pedagang Muslim yang lain untuk turut terlibat didalam transaksi kewangan yang berlandaskan faedah ini. Ramai yang telah mula mengambil pinjaman untuk membeli rumah, membeli kenderaan dan pembiayaan perniagaan. Ramai juga yang mula bekerja dibank-bank. Didalam sistem perbankan masa kini, sesetengah pengerusi atau ketua pengarah operasi bank-bank konvensional ini adalah orang-orang Melayu. Mereka mula untuk tidak mengendahkan sesuatu yang amat dilarang didalam agama mereka. 
Seperti yang telah dijangkakan, golongan Muslim amat teruja apabila perbankan Islamik pertama iaitu Bank Islam telah ditubuhkan pada tahun 1983. Walaubagaimanapun, ramai yang tidak memahami mekanisme sistem perbankan pecahan simpanan yang dilakukan oleh perbankan Islamik dan bagaimana ia masih berterusan menjadi tiang seri kepada penglibatan ekonomi relatif yang rendah akan golongan Melayu, Muslim dan juga penduduk pribumi.

3.2 - Pejabat Pinjaman - Dalang Kepada Sistem Perbankan Pecahan Simpanan

Sementara bank pusat mengawal syarat-syarat pecahan simpanan bank-bank komersial, ianya adalah pejabat-pejabat pinjaman banklah yang mana wang yang dicipta diatas angin itu diagihkan kepada golongan yang dirasakan sesuai. Oleh itu, seseorang dapat memerhatikan politik-politik di bank-bank untuk kawalan keatas pejabat pinjaman ini. Kuasa untuk mencipta wang dari atas angin ini adalah kuasa agung yang dinikmati oleh pegawai-pegawai pinjaman; satu kuasa yang malah tidak dikurniakan kepada Perdana Menteri.


Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, beberapa posisi pengurusan teratas didalam bank-bank konvensional adalah dipegang oleh orang-orang Melayu. Walaubagaimanapun, ini ataupun hakmilik bank bukanlah suatu yang penting. Apa yang paling penting adalah siapa yang mendapat wang yang baru dicipta ini dan ini dibawah kawalan langsung pegawai-pegawai pinjaman. Merekalah sebenarnya dalang kepada sistem perbankan pecahan simpanan. Dari itu, oleh kerana kesan-kesan besar wang fiat keatas sosio-ekonomi dan politik, komposisi pegawai-pegawai yang meluluskan pinjaman itulah yang paling penting, walaupun kita boleh menganggap mereka bertindak secara profesional didalam kerja mereka. Walaubagaimanapun, dari sedari awal lagi, jumlah pegawai-pegawai Melayu adalah amat rendah dari kalangan Melayu dan Muslim disebabkan sifat perbankan yang berlandaskan faedah ini. Oleh itu, penguasaan pejabat pinjaman, kecenderungan untuk mengkitarkan wang didalam komuniti dan undang-undang tanggungan yang terhad, kami berpendapat bahawa masyarakat Cina lah yang mendapat jumlah yang paling besar wang yang dicipta secara percuma ini dan oleh sebab itu meningkatkan penglibatan relatif mereka didalam ekonomi. Inilah kuasa sebenar dibelakang kebangkitan dominasi masyarakar Cina berbanding masyarakat lain dan juga dominasi terbesar mereka ekonomi didalam negara. Walaubagaimanapun, perhatikan mereka mendapatkan semua ini melalui cara yang sah.

3.3 - Pengecilan "Pie" Ekonomi Masyarakat Melayu dan Bangsa Lain.

Sambil kekayaan masyarakat Cina meningkat terutamanya kerana dibantu oleh sistem kewangan, "pie" ekonomi orang-orang Melayu dan bangsa lain pula semakin mengecil. Graf pada Rajah 1 menunjukkan bahawa kadar ini adalah bersifat eksponen. Ketidakadilan jelas dalam pembahagian kekayaan diantara kaum ini pula telah menyebabkan pelbagai masaalah-masaalah sosio-ekonomi mula timbul. Kami kaitkan jurang ini dengan kejadian rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Walaupun orang-orang Melayu mengekalkan pegangan politik mereka selepas kejadian tersebut, ketidakadilan pembahagian kekayaan terus meningkat dibawah "status quo" sistem perbankan yang dikekalkan. Malah kebanyakan bandar-bandar dan kawasan sekitarnya sekarang telah "dimiliki" oleh masyarakat Cina. Ambil Pulau Pinang sebagai contohnya, suatu ketika dulu yang mana kepunyaan orang Melayu spenuhnya, sekarang hampir kesemua pulau tersebut telah hilang daripada mereka. Malahan kebanyakan pekerja kerajaan sebagai contohnya guru-guru telah meminta untuk ditukarkan ke tanah besar kerana mereka tidak lagi mampu untuk mendapatkan walau rumah yang sederhana di pulau tersebut. Sesungguhnya ini adalah satu penolakan sistematik yang telah berlaku melalui sistem kewangan dan perbankan. Cerita yang sama juga di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Ipoh, dan bandar-bandar yang lain. Perhatikan harga hartanah yang melonjak tinggi di kawasan-kawasan bandar ini. Fenomena ini bukan sahaja menyisih orang-orang Melayu dan penduduk pribumi dari kawasan-kawasan bandar ini malah ianya juga telah membina tembok halus yang menghalang kemasukan, dan begitu juga dengan kesemua implikasi-implikasi politiknya.

3.4 - Peningkatan Korupsi Dikalangan Pegawai Kerajaan Berbangsa Melayu.

Dalam tempoh beberapa dekad kita juga dapat melihat rungutan-rungutan mengenai peningkatan korupsi dikalangan kakitangan-kakitangan kerajaan yang mana kebanyakannya adalah Melayu. Kami mengaitkan ini juga dengan ketidakseimbangan didalam pengagihan kekayaan diantara kaum. Ini adalah kerana walaupun orang Melayu memegang dan berkuasa dari segi politik, bangsa-bangsa lain pula berada diatas dari segi perniagaan dan kekayaan - satu resepi yang baik untuk memberi dan mengambil rasuah. Pegawai Melayu yang berkuasa dari segi politik tetapi tidak dari segi ekonomi akan teruja untuk mengambil rasuah untuk menyamakan diri dengan rakan mereka berbangsa lain yang kaya. Kami bukanlah menyokong rasuah disini. Malahan rasuah adalah pengkhianatan terhadap negara, dimana apabila ada penerima rasuah, akan ada juga sipemberi, kedua-duanya bersalah. Ianya amat sedih untuk melihat apabila jurang pemilikan kekayaan ini telah mengubah sifat orang-orang Melayu yang satu ketika dulu amat tinggi agama dan nilai-nilai etikanya.

3.5 - Tindakan-tindakan Tegas untuk Menangani Ketidakseimbangan Kekayaan Dan Pendapatan

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad diketahui telah mengambil beberapa langkah-langkah tegas untuk menangani ketidaksamaan ekonomi diantara kaum-kaum terutamanya kepada Bumiputra. Yang mana antaranya, beliau telah menghantar sejumlah besar pelajar-pelajar Melayu keluar negara dibawah Dasar Ekonomi Baru, dibawah panji-panji untuk menaikkan status sosio-ekonomi Bumiputra, dengan harapan mereka akan kembali dengan pendidikan dan skil sosio-ekonomi yang lebih baik. Benarlah polisi ini berbaloi dan telah dan telah melahirkan sekumpulan bumiputra-bumiputra yang berpendapatan tinggi dan pertengahan. Juga, beliau telah menswastakan beberapa badan kerajaan tertentu dengan harapan melahirkan beberapa ahli perniagaan ternama Melayu yang setaraf dan boleh menyamai rakan-rakan dari bangsa lain terutamanya bangsa Cina walaupun tidak dapat menyamai dari segi jumlah bilangannya. Walaubagaimanapun, pengecilan "pie" ekonomi untuk bansa Melayu dan juga bumiputra-bumiputra yang lain menyebabkan kerajaan tidak dapat mengekalkan polisi-polisi tegas tersebut. Sesetengah orang Melayu dan Bumiputra yang lain terpaksa diketepikan. Ini juga nampaknya telah mewujudkan beberapa ahli-ahli politik Melayu dan ahli perniagaan kaya yang mementingkan diri sendiri dan seolah-olah telah melupakan bangsa sendiri mengumpul kekayaan dan kuasa ekonomi untuk diri sendiri.

3.7 - Kesan-kesan Politikal

Kesemua kesan-kesan sosio ekonomi diatas kemudiannya telah memberikan kesan kepada politik. Kami menegaskan disini bahawa disebabkan rampasan ekonomi yang berterusan keatas orang-orang Melayu inilah telah menyebabkan ramai yang telah mengambil langkah untuk berpihak kepada parti-parti politik pembangkang, ianya amat jelas didalam pilihanraya yang lalu, dengan harapan bahawa parti-parti ini akan membantu mereka menangani masalah-masaalah ekonomi mereka. Akan tetapi dengan keadaan struktur perbankan masa kini, parti-parti pembangkang ini tidak mampu untuk menyelesaikan masaalah-masaalah mereka. Bangsa Cina walaubagaimanapun juga menyokong penuh parti pembangkang, bukan kerana keciciran ekonomi akan tetapi ianya adalah peluang sekali didalam hidup untuk mendapatkan lebih kawalan politik yang mampu membuka jalan yang baik dalam usaha mereka untuk mencapai penguasaan politik didalam negara.

4.0 - Menangani Punca Utama Dengan Polisi-polisi Tegas Dan Proaktif
Dari kesemua pemerhatian diatas, terutamanya kejatuhan sosio-ekonomi orang-orang Melayu di Malaysia, kami akan menuding jari kami kepada sektor perbankan sebagai punca utamanya dalam membina jurang yang amat besar dari segi pendapatan dan pembahagian kekayaan diantara kaum melalui pembahagian tidak sama rata jumlah besar wang fiat yang dicipta tanpa sebarang kawalan. Wang fiat ciptaan sektor perbankan sebenarnya adalah "subsidi" besar-besaran, terutamanya apabila diberikan dibawah undang-undang tanggungan terhad (limited liability law)(Sila baca artikel kami "Fiat Money and Interest Groups" yang tersiar di The Edge, 1 April 2013, ms56), berbanding dengan waran subsidi kerajaan yang diberikan kepada bumiputra-bumiputra yang bermaksud untuk membantu mereka berdepan dengan penderitaan dan tekanan yang telah disebabkan oleh kepapaan ekonomi. Ianya sudah tiba masa untuk pihak kerajaan memberhenti dan menerbalikkan aliran ketidakadilan yang besar dalam pembahagian kekayaan negara diantara kaum-kaum yang telah disebabkan oleh sektor perbankan selama seabad setengah sekarang ini. Kerajaan perlu mengkaji ketidakadilan ini dengan menggunakan data yang diperolehi dari Bank Negara Malaysia dan sebagainya dan kemudiannya mengambil langkah-langkah proaktif.
Antara polisi-polisi segera yang kami selalu sarankan adalah untuk menasionalkan (memindahkan dari milik persendirian kepada milik awam) bank-bank komersial untuk memberhentikan segera budaya yang memusnahkan ini. Menasionalkan bank-bank juga mampu membantu mengatasi defisit perbelanjaan kerajaan kerana wang yang dicipta tanpa sandaran itu sekarang ini akan menjadi kepunyaan awam dan bukannya milik persendirian didalam struktur perbankan masa kini. Ini adalah keutamaan yang paling utama dan yang teramat penting sekali. Ini juga adalah resolusi utama Persidangan Dunia Mengenai Riba ke 3, 2012. Di Amerika Syarikat, usaha ini telah diperjuangkan oleh Public Banking Institute dibawah kepimpinan Ellen Brown. North Dakota mempunyai perbankan awam dan oleh sebab itu ia adalah salah satunya negeri di Amerika Syarikat yang tidak mengalami masaalah kewangan didalam krisis ekonomi semasa di Amerika Syarikat.


Untuk menerbalikan proses, antara polisi-polisinya adalah termasuk, sebagai contohnya, dengan secara rasminya mewartakan penggunaan pendapatan minyak dan gas kerajaan untuk membantu kaum-kaum yang ketinggalan dari segi ekonomi. Ini diharapkan termasuklah sejumlah besar orang-orang Melayu, Bumiputra-bumiputra, orang-orang India dan juga segelintir orang-orang Cina yang ketinggalan.
Kami percaya bahawa melalui polisi-polisi tersebut, kekayaan negara akan lebih dapat dibahagikan dengan sama rata diantara semua kaum. Ini kemudiannya akan menggalakkan ekonomi yang lebih stabil dan rancak, menyatu padukan kembali orang-orang Melayu, mengukuhkan keharmonian antara kaum, dapat mengurangkan rasuah dengan berkesan, kadar jenayah dan yang mana menggalakkan kesejahteraan dan kemewahan untuk semua. Hanya selepas kita selesaikan perkara-perkara ini dan menyamaratakan taraf ekonomi, barulah kemudiannya kita bercakap mengenai meritokrasi dan sebagainya, sebaliknya dengan keadaan semasa, orang-orang Melayu dan penduduk asal akan hanya menjadi "hamba" tanah air mereka sendiri.
Orang-orang Melayu telah membenarkan mereka dikuasai dari segi ekonomi walaupun mereka mempunyai kuasa politik kerana mereka orang-orang yang bertoleransi, dibentuk oleh kepercayaan agama mereka. Bagaimana jika kita terbalikkan kedudukan mereka, iaitu katakanlah negara ini asalnya didiami oleh kaum lain dan orang-orang Melayu menjadi golongan pendatang dan kemudiannya menguasai ekonomi, adakah kaum-kaum lain itu boleh bertolak ansur sebagaimana orang-orang Melayu?
Oleh itu secara ringkasnya, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan bahawa kekayaan tanah 'susu dan madu' ini lebih dapat dibahagikan dengan lebih adil dengan menambah penglibatan ekonomi orang-orang Melayu dan juga kaum-kaum lain untuk membawa negara ini kearah mencapai taraf negara maju pada tahun 2020

5.0 - Kesimpulan
Secara ringkasnya, penubuhan bank-bank persendirian pada awal 1860an, dan kemudiannya Board of Commissioners of Currency Malaya, dan kemudiannya Bank Negara Malaysia dengan perbankan komersial yang berasaskan pecahan-simpanan (fractional reserve), semuanya yang mana boleh mengeluarkan wang diatas angin (tanpa sandaran), telah memulakan proses yang mana merosakkan ekonomi orang-orang Melayu, penduduk pribumi dan juga pedagang-pedagang Muslim. Pengenalan wang kertas fiat oleh bank-bank terawal dibawah sistem yang berdasarkan faedah tidak memihak kepada orang-orang Melayu ataupun pedagang-pedagang Muslim. Ini adalah kerana memberi dan mengambil faedah adalah dilarang didalam agama Islam. Pada awalnya para Muslim tidak langsung mahu bekerja di bank-bank. Oleh itu, strukur perbankan itu lebih memihak kepada bukan Islam terutamanya orang-orang Cina yang terdiri dari komuniti ahli perniagaan yang besar. Ini seterusnya telah meningkatkan kekayaan ekonomi dan tahap pendidikan orang-orang Cina jauh meninggalkan orang-orang Melayu dan kaum-kaum lain. Oleh itu, dengan hanya penciptaan wang fiat ini oleh entiti diatas telah menyebabkan pengecilan secara sistematik penyisihan ekonomi orang-orang Melayu, penduduk pribumi dan juga pedagang-pedagang Muslim. Pinjaman yang berlandaskan faedah menyebabkan bertambahkan akan penyisihan ini lagi. Ini telah menyebabkan peralihan kekayaan yang besar dari orang-orang Melayu yang dibiayai melalui inflasi, dan juga kesempitan ekonomi mereka hingga kini. Itu juga telah membawa kepada kesan-kesan sosio-ekonomi-politikal seperti yang kita lihat pada hari ini. Sekarang ini ianya terserah kepada kerajaan, kumpulan-kumpulan NGO dan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah perlu untuk memperbetulkan keadaan ini.

Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera
Dekan
Institut Perbankan dan Kewangan Islam
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sila rujuk laman web Dr. Ahamed Kameel untuk artikel asal didalam bahasa Inggeris. Kredit buat Prof. Zahid dan Saudara Mohd Zamzuri yang telah memperkenalkan artikel ini kepada laman SD.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Isnin, 21 November 2011

Mengapa Saya Berkongsi Ilmu?

Semasa saya masih kecil dahulu, mungkin semasa saya masih disekolah rendah, saya selalu berangan-angan dan membayangkan, pada satu hari nanti apabila saya menjadi dewasa, saya mahu menjadi seorang yang kaya raya dan dengan kekayaan saya itu saya akan membantu orang lain terutama golongan miskin. Apabila saya tamat belajar dan mula bekerja, saya cuba berusaha untuk menjadi kaya, untuk berniaga saya tidak mempunyai modal jadi saya mula berjinak-jinak dengan kegiatan seperti MLM, ajen unit amanah, pemasaran internet dan sebagainya akan tetapi semuanya itu tidak dapat saya lakukan dengan baik (akan saya jelaskan kemudian mengapa) dan tidak pun membuat saya menjadi kaya raya.

Semasa kecil dahulu juga saya amat berminat dengan kapal terbang. Kereta mainan yang Abah saya belikan habis saya "baraikan" dan melakukan ubahsuaian untuk menjadikan ianya seperti kapal terbang, contohnya saya akan keluarkan enjinnya dan saya pasangkan diatas bumbung kereta, kemudiannya saya ukir dari batang aiskrim untuk menjadikannya kipas pesawat (propeller) dan hasilnya kereta yang bergerak dengan tujahan angin dan bukannya dengan pusingan roda.


Apa pula kena mengena antara angan-angan mahu menjadi kaya dan aktiviti semasa kecil semasa kecil saya dengan tajuk artikel ini iaitu mengapa saya berkongsi ilmu?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya mula mengenali riba', memahami konsep riba' dari asalnya datang riba' itu sendiri kepada kesannya pada individu dan juga kepada masyarakat secara keseluruhannya. Didalam dunia perniagaan hari ini, mungkin tidak kesemuanya bagi perniagaan kecil-kecilan akan tetapi bagi perniagaan besar-besaran yang mana tuan punya perniagaan tersebut boleh menjadi kaya raya dengan keuntungan besar yang diperolehi, tidak ada perniagaan yang tidak melibatkan diri dengan riba'. Dari pinjaman untuk membesarkan perniagaan kepada kemudahan "overdraft", semua itu adalah riba', jadi mana mungkin kita boleh mengatakan sesuatu perniagaan itu halal secara keseluruhannya. Halal dari aktiviti perniagaan tersebut contohnya mereka yang membuka pasaraya besar, menjual barang-barang runcit dan sebagainya tetapi pada masa yang sama ber"perang" dengan Allah SW dengan menggunakan landasan riba'.

Kebanyakan manusia pada hari ini lebih melihat kepada sesuatu yang fizikal, suatu yang nyata untuk membuat penilaian akan tetapi tidak mahu melihat apa yang terselindung disebaliknya iaitu suatu yang halus, yang ghaib dan tidak kelihatan. Kerana apa? Kerana kita tidak pernah dilatih untuk berbuat sedemikian. Contohnya dari sekolah lagi kita dibasuh minda dengan teori evolusi bahawa manusia berasal dari monyet sedangkan teori evolusi itu sebenarnya adalah salah dan tidak boleh diterima akal. Tuhan iaitu suatu yang ghaib, yang tidak kelihatan tidak pernah diambil kira didalam pembinaan minda masyarakat jadi apabila generasi ini membesar meninggalkan sekolah dan bekerja, di"dodoi"kan pula dengan budaya hiburan, musik, sukan dan facebook, maka ilmu dan pendekatan terhadap Pencipta itu tidak lagi diambil kira. Ini apa yang dipanggil pemikiran sekular. Lihatlah masyarakat kita hari ini yang rata-ratanya adalah "part-time" Muslim, lebih menyedihkan lagi kerana golongan ini juga yang menjadi pemimpin.

Didalam artikel saya sebelum ini saya telah membicarakan perihal "getaran", contohnya didalam bab mencari pasangan, hanya mereka yang mempunyai getaran yang sama dengan kita sahaja yang akan menjadi serasi dan mampu menjadi pasangan kita yang baik (dan ini sudah tentu jugalah dengan keizinan Allah SW). Dari pemikiran saya, unsur-unsur getaran ini juga bukan sahaja boleh digunakan untuk menjelaskan konsep mencari pasangan, ianya boleh menjelaskan mengapa kita tidak mempunyai minat atau semangat untuk melakukan atau melibatkan diri dalam perkara-perkara lain. 

Sekarang ini saya sudahpun memahami akan mengapa saya tidak berjaya didalam usaha mencari kekayaan wang ringgit dengan perniagaan, MLM, unit amanah dan sebagainya, kerana apa? Kerana kesemuanya itu melibatkan riba' dari skala kecil hingga yang sebesar-besarnya. Dan riba' itu adalah satu penindasan dan ianya bercanggah dengan keinginan saya untuk membantu insan-insan lain. Getaran yang ada pada diri saya ini tidak serasi dengan dunia "orang kaya" yang mana pasti melibatkan diri dengan riba'. Cukuplah setakat "debu" riba' sahaja yang terkena pada saya iaitu melalui penggunaan wang kertas sehari-hari, tidak perlulah saya menambahkan riba' itu lagi dengan aktiviti-aktiviti untuk menjadi kaya-raya yang jika dilihat dengan "satu mata" amat menarik dan menggoda akan tetapi jika dilihat dengan "dua mata" ianya penuh dengan penindasan, penipuan, penganiayaan dan perhambaan. Akan tetapi jika saya tidak bergiat didalam aktiviti mencari kekayaan ini, mana mungkin saya boleh merealisasikan impian masa kecil saya untuk membantu manusia seramai mungkin terutama golongan miskin?

"Imaginasi lebih penting dari ilmu pengetahuan"
Albert Einstein
Saya amat percaya bahawa dengan keizinan Allah SW, kita mampu mencipta realiti hidup kita sendiri. Dari pemikiran ianya akan menjadi kenyataan. Apa yang saya imaginasikan semasa kecil dahulu menjadi kenyataan, dari bermain dengan kapalterbang, saya sekarang ini bekerja dengan kapalterbang. Dan alhamdulillah melalui kerjaya saya sekarang ini juga ianya memberi kesempatan kepada saya untuk menambahkan ilmu, merantau, berfikir dan melihat keadaan dunia yang sebenarnya.
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. Surah Al-Haj 22-46
Takdir Allah SW telah membuatkan saya berani merantau keluar dari tanah air dan mencari rezeki di luar negara 8 tahun yang lalu. Dan alhamdulillah saya dapat merasakan bahawa jika saya masih kekal ditanah air, pasti saya masih kekal sebagai seorang yang jahil, buta dan tidak dapat melihat kebesaran Allah SW melalui pembacaan ilmu-ilmu baru dan juga pengalaman merantau keseluruh dunia. Dan dari ilmu-ilmu yang saya dapati ini juga, saya berkongsi dengan rakan-rakan sekalian dengan harapan ianya mampu mengubah kehidupan seseorang itu kearah yang lebih baik, semakin hampir kepada Allah SW dan juga moga bersama dapat mengubah dunia agar ianya menjadi bertambah baik buat insan-insan lain juga.

Jika ditangan saya ada wang seringgit dan saya berikan ianya kepada insan lain, tiada lagi wang yang tinggal untuk diberikan kepada insan lain. Akan tetapi jika saya mempunyai ilmu dan ilmu itu saya berikan kepada insan lain, ilmu itu tetap berada pada diri saya dan saya masih boleh memberikan ianya kepada insan lain. Dan insan itu juga boleh menyampaikannya pula kepada insan yang lain. Inilah MLM yang diberkati Allah iaitu menerusi perkongsian ilmu. Dan inilah juga apa yang saya lihat sebagai realisasi kepada impian saya semasa kecil iaitu untuk membantu insan-insan lain bukan dengan wang ringgit akan tetapi melalui perkongsian ilmu. Umpama mengajar insan lain untuk memancing dan bukan terus memberikan kepadanya seekor ikan. Dengan ilmu tersebut seseorang itu perlu berusaha untuk mendapatkan sejoran pancing dan kemudiannya boleh mendapatkan ikan sebagai rezeki dan kemudiannya mampu mengubah keadaan hidupnya.

Jika saya renungkan kembali liku-liku kehidupan saya ini, semua yang berlaku baik kejadian baik ataupun yang buruk, ianya membawa saya kearah mencapai realisasi impian dan keinginan saya semasa kecil. Berminat dengan pesawat, saya bekerja dengan pesawat, ingin membantu manusia lain, saya berkongsi ilmu, akan tetapi dapat saya rasakan yang perjalanan saya ini masih jauh dalam usaha membantu umat manusia. Saya tidak tahu keadaan mendatang, akan tetapi ianya sudah pun saya imaginasikan dan insyaallah ianya akan tercapai. Dan jika tidak sekalipun saya tidak akan berduka cita kerana Allah SW itu tahu keikhlasan hati kita dan tidak sekali-kali membebankan dengan sesuatu yang diluar kemampuan. Moga artikel ini dapat memberi ketukan minda dan inspirasi kepada rakan-rakan yang lain agar turut serta menjadi seorang yang lebih memberi dan bukan hanya menerima, insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Jumaat, 11 Februari 2011

Alat Pemurtad Ada DiSetiap Rumah

Pasti ramai diantara rakan-rakan pernah terbaca beberapa kisah murtad yang semakin berleluasa
dikalangan bangsa melayu kita. Bangsa melayu yang pada awal sejarahnya bergelar muslim seawal abad ke 10, hari ini semakin hari peratus yang tinggal Islamnya menjadi semakin berkurangan, bagi yang masih mengaku Islam sekalipun, Islamnya pula hanya tinggal pada nama sahaja. Hanya untuk nikah kahwin, cerai berai dan juga menyambut raya, tak lupa juga apabila ada kematian. Alhamdulillah, dari pembacaan dan penelitian banyak buku ilmiah barat, sedikit sebanyak saya telah dapat membuat rumusan mengapa bangsa Melayu kita yang dahulunya megah dengan Islamnya, kini semakin hari semakin nipis imannya malah hingga ketahap murtad. Amatlah tidak menghairankan sebenarnya kerana sebab utamanya kejadian ini berlaku adalah kerana alat atau mekanisme pemurtad itu sendiri ada disetiap rumah, dan apakah alat permurtad yang saya maksudkan itu?


Anugerah terbesar yang diberikan oleh Allah SW kepada manusia adalah otak (frontal lobe) yang mampu berfikir, merancang, menganalisa dan melihat kesan dimasa depan akibat dari tindakan hari ini. Akan tetapi proses menganalisa dan berfikir itu terhasil secara amnya dari proses elektrokimia yang melibatkan pelbagai jaringan sel-sel otak iaitu neuron yang telah terbentuk hasil dari pembelajaran, pemerhatian dan juga pengalaman. Dari jaringan-jaringan neuron itu tadi manusia akan membuat pilihan didalam hidupnya untuk melakukan sesuatu, samada baik atau buruk. Akan tetapi buruk dan baik itu pula adalah suatu yang subjektif, perlu ada rujukan untuk membuat penilaian dan kemudian membuat pilihan. Melihat budaya cintakan ilmu agama yang semakin menghilang, titik rujukan tidak lagi berdasarkan apa yang Allah SW dan Rasul SAW perintahkan, sebaliknya banyak beralih kepada ilmu dunia dan juga pengalaman. Sebab itu terdapat contoh umat Islam sendiri sudah tidak mempercayai agama, menganggap dunia ini tiada penciptanya, manusia semua berasal dari monyet (evolusi) dan sebagainya. Bagaimana pula rujukan yang berdasarkan pengalaman?

Hidup manusia sehari-hari banyak dikendalikan oleh minda separuh sedar (subconscious mind), dari degupan bernafas, berjalan, berlari hinggalah memandu kereta, manusia tidak perlu minda sedar untuk mengawalnya. Sebab itulah kita boleh berbual sambil memandu dan tidak sedar pun sudah tiba didestinasi, hanya perlu niat sahaja dan secara automatik ianya akan dilakukan oleh minda separuh sedar itu tadi. Contoh yang paling baik adalah solat, kerana sudah dilakukan berulang-ulang kali, manusia tidak perlu lagi "sedar" yang mereka sedang solat, sebab itu fikiran boleh melayang memikirkan pelbagai hal lain, sedar sahaja sudah pun memberi salam. Begitu hebatnya keupayaan minda separuh sedar untuk membantu manusia menjalankan kehidupan sehari-hari, jadi apa pula kesannya jika minda separuh sedar itu tadi boleh diprogramkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti atau tindakan-tindakan tertentu? Bukankah ia akan mencorak tingkahlaku dan perbuatan manusia itu sendiri dalam menangani hidup?

Terdapat dua cara utama bagaimana minda separuh sedar boleh diprogramkan, pertamanya adalah dengan melakukan sesuatu itu berulang-ulang, contohnya belajar, membaca, solat, memandu, berjalan dan sebagainya. Begitu juga dengan bahasa yang mana apabila diulang-ulang menyebutnya maka lama kelamaan kita boleh menghafalnya walaupun tidak memahami apa yang disebutkan, contohnya bacaan solat. Keduanya adalah dengan hipnosis atau apa yang dipanggil pukau oleh masyarakat melayu kita. Tetapi hipnosis yang saya maksudkan ini bukanlah yang biasa kita dengar contohnya seseorang itu dipukau untuk menyerahkan wang yang ada pada dirinya, hipnosis yang saya maksudkan disini adalah yang dilakukan secara halus dan dalam jangka masa yang lama dan berterusan. Saya telah mendalami ilmu hipnosis ini dari pembacaan hinggalah kepada mengikuti kursus hipnosis itu sendiri dan apa yang dapati adalah ianya berkait rapat dengan frekuensi otak yang mana ia mewakili keadaan minda seseorang itu pada satu-satu masa. Frekuensi otak ini boleh diukur dengan menggunakan alat EEG (electroechepelograph). 

Terdapat 4 jenis frekuensi otak, iaitu delta, thetha, alpha dan beta. Masing-masing menunjukkan julat bacaan yang mewakili keadaan minda itu sendiri. Contohnya thetha adalah ketika manusia sedang tidur nyenyak, delta semasa keadaan bermimpi. Beta pula adalah apabila manusia itu dalam keadaan penuh sedar dan berfikir. Alpha adalah dimana manusia itu didalam keadaan tenang, dimana otak tidak melakukan proses berfikir yang kritis, ini juga adalah keadaan dimana manusia itu mudah menerima apa jua arahan atau cadangan yang diberikan oleh manusia lain baik secara langsung (percakapan) mahupun secara tidak langsung (gambar, video musik dll.) Semasa proses hipnosis, orang yang akan dihipnosis akan di ajar untuk bertenang dan kosongkan minda dari berfikir dan ketika itulah apa jua perintah akan diturut tanpa dibantah dan ianya akan kekal hinggalah selepas sedar dari keadaan hipnosis itu tadi. Semakin tenang dan santai (frekuensi otak turun dari beta kepada alpha) orang yang dihipnosis, maka lebih berkesankan proses hipnosis itu tadi.

Berbeza dengan manusia dewasa yang otaknya mengalami pelbagai frekuensi dari yang paling rendah (delta) hingga yang paling tinggi (beta), otak anak-anak yang sedang membesar pula punyai frekuensi-frekuensi rendah berdasarkan umur mereka ketika itu, dari lahir hinggalah keumur 2 tahun, kebanyakan frekuensi otak mereka adalah delta, dari 2 hingga 6 tahun frekuensi thetha akan muncul dan dari 6 hingga 12 tahun pula adalah frekuensi alpha. Ini menunjukkan anak-anak yang sedang membesar sebenarnya seolah-olah berada didalam keadaan hipnosis, adakah ini suatu yang buruk untuk anak-anak yang sedang membesar ini? 

Tentu ramai yang ingat kepada hadis Nabi yang mengatakan anak yang lahir ibarat kain putih dan ibu bapa yang mencorakkan mereka? Otak anak-anak yang sedang membesar membuat jaringan-jaringan neuron baru dengan kadar yang amat tinggi, ini sebagai persedian kepada mereka untuk menghadapi kehidupan dimasa akan datang, otak mereka yang tidak punyai frekuensi beta iaitu punyai kemampuan berfikir secara kritis, menganalisa dan sebagainya ini membolehkan maklumat diserap dan jaringan neuron terbentuk dengan mudah. Agak sukar jika kita mahu mengajar mereka sesuatu tetapi diikuti dengan pelbagai pertanyaan mengapa itu dan mengapa begini. Apa yang mereka perhatikan terutamanya dari tingkah laku ibu dan bapa akan diserap sepenuhnya tanpa sebarang penilaian baik atau buruk. Mereka berada didalam keadaan hipnosis dan apa yang diperhatikan akan kekal didalam minda separuh sedar mereka sebagai panduan untuk masa depan.

Akan tetapi dizaman moden ini yang mana selalunya kedua ibu dan bapa keluar bekerja, siapa yang akan memberi rujukan kepada mereka? Otak mereka tidak berhenti membuat jaringan neuron baru setiap masa, mereka tidak "pause" proses tersebut ketika ibu bapa keluar bekerja dan menyambung kembali proses tersebut apabila ibu bapa balik kerumah. Maka nilai-nilai hidup generasi baru hari ini lebih dicorakkan oleh pengasuh, taman didikan dan orang gaji berbanding ibubapa sendiri. Ini tidak bermakna kelakuan ibu bapa tidak akan diikuti, perlu ingat bahawa selama 9 bulan didalam kandungan, anak itu juga mendapat maklumat dari tali pusat ibunya, apa yang dialami, dilakukan dan juga pengalaman ibu dan termasuk juga layanan dari ayah akan turut juga dirasai oleh anak dan juga akan tersimpan didalam minda separuh sedarnya. 

Selain dari pengasuh, taman didikan dan orang gaji, terdapat satu lagi sumber rujukan oleh anak-anak yang sedang membesar untuk menyerap kedalam minda separuh sedar mereka nilai-nilai kehidupan, tidak lain tidak bukan ianya adalah dari alat pemurtad yang saya maksudkan iaitu televisyen. Hampir setiap rumah diMalaysia mahupun diseluruh dunia memilikinya, dan kebanyakan pada kita termasuklah diri saya sendiri dizaman jahil dahulu menganggap bahawa TV adalah suatu kemestian untuk mendapatkan maklumat dari berita ataupun rencana dan yang paling utama sekali hiburan samada siri tv, filem dan juga musik. Merujuk kepada maklumat berita, sekarang saya telah sedar bahawa pihak media kawalan pemerintah ini hanya akan menyiarkan berita yang kita patut tahu, patut atau tidak itu sudah tentulah bergantung kepada agenda mereka pula.

Apa jua yang dipaparkan oleh tv, kita sebagai manusia yang berakal merasakan kita mampu untuk menilai baik dan buruk dan punyai keupayaan untuk mengikutinya jika ianya baik dan menolaknya jika ianya buruk atau tidak baik. Akan tetapi jika minda separuh sedar yang memainkan peranan penting dalam kehidupan ini dan hampir keseluruhannya menerajui hidup kita sehari-hari, pastikah akan kita bahawa adakah benar diri kita sendiri yang membuat pilihan atau minda separuh sedar? Contohnya untuk memilih pakaian menjolok mata menyembulkan dada, atau tiba-tiba ingin menikmati makanan segera yang tertentu, adakah pasti itu adalah "free will" atau kebebasan memilih yang unik dimiliki oleh kita sebagai manusia?

Kajian yang dilakukan oleh Herbert Krugman pada tahun 1969, seorang penyelidik pengiklanan mendapati, apabila seseorang itu menonton tv, dalam masa kurang dari satu minit sahaja frekuensi otak mereka turun dari lingkungan beta kepada alpha, aktiviti otak juga beralih dari otak kiri kepada otak kanan. Otak kiri adalah dimana letaknya pemikiran logikal, dibahagian ini informasi yang diterima dari deria di analisa secara kritis, otak kanan pula tidak mengambil kristis akan informasi yang diterima, hanya mengambil informasi tersebut secara menyeluruh dan lebih kepada beremosi. Penukaran aktiviti otak dari hemisfere kiri ke kanan ini juga menyebabkan rembesan endorphin (endogenous morphin) iaitu dadah morfin semulajadi didalam tubuh badan manusia itu sendiri, sebab itulah manusia boleh menjadi ketagih untuk menonton tv dan ada yang tidak boleh hidup tanpa tv.

Apabila semakin kurang atau tiada pemikiran kritis semasa menonton tv, bahagian emosi otak (sistem limbic) menjadi semakin bertambah, bahagian limbic ini juga dikenali sebagai otak reptilia yang selalunya dikaitkan dengan fungsi mind primitif seperti reaksi "fight or flght" (lawan atau lari), dan bahagian ini juga tidak dapat membezakan apa yang sedang ditonton itu adalah realiti sebenar atau hanya simulasi dari tv, bagi bahagian otak ini apa yang dilihat (contohnya lakonan) itu adalah suatu yang benar, sebab itulah degupan jantung kita akan bertambah pantas semasa menonton filem suspens walaupun minda sedar kita tahu itu hanyalah lakonan filem. 


Fenomena ini menyebabkan manusia terpengaruh dengan budaya hidup yang disogokan secara tidak langsung, contohnya melihat pelakon yang romantik berdua-duaan memadu kasih, otak emosi manusia yang juga merupakan sebahagian besar dari minda separuh sedar akan membawa kehidupan manusia kearah itu juga, iaitu untuk turut juga merasai perasaan romantik itu tadi, bayangkan apa akan terjadi jika yang ditonton adalah filem lucah? Fenomena ini juga diambil kesempatan oleh para pengiklan untuk menanam perasaan hidup tidak sempurna atau tidak gembira jika tidak memiliki sesuatu barangan, ini adalah penjelasan kepada budaya mengejar harta dan kebendaan dikalangan umat manusia dimasa kini, tidak boleh beli secara riba' pintu depan, pintu belakang pun boleh. Mengapa masih ramai yang tidak boleh melihat riba' ikut pintu belakang ini? Untuk menjawabnya anda lihatlah ulamak jenis apa yang selalu menegakkan benang basah sistem perbankan riba' pintu belakang ini dikaca-kaca tv?

Bagaimana pula dengan politik? Kempen anti Gore oleh Bush didalam video yang saya sertakan didalam artikel ini pasti akan menyedarkan anda, bukan setakat mesej secara langsung, mesej subliminal yang tidak terlihat oleh minda sedar akan tetap diterima oleh minda separuh sedar dan akan mempengaruhi rakyat semasa mengundi nanti. Saya dapat rasakan rakan-rakan sekalian sudah boleh memikirkan mengapa pemerintah begitu mengawal media ini disamping media lain seperti radio dan akhbar? Baru-baru ini terdengar pula mahu mengawal internet, nampak sangat hipokritnya, porno boleh, bebas bersuara tidak. Sebab itu pada diri saya, diakhir zaman ini sudah tiada lagi demokrasi, yang ada hanyalah manipulasi. Artikel mengenai politik di Itali ini barangkali akan lebih membuka minda anda untuk nampak realiti sebenar kehidupan ini.


Jika anda menganggap dan percaya seratus peratus bahawa anda memiliki kebebasan memilih (freewill) untuk membuat apa jua keputusan didalam hidup, kajian oleh pakar otak Dr Benjamin Libbet pasti akan memeranjatkan anda untuk menilainya semula pendapat anda itu. Didalam buku beliau berjudul Mind Time, beliau mendapati sebelum manusia itu bertindak untuk melakukan sesuatu, aktiviti didalam otak sudah pun bermula seawal 500 milisaat sebelum tindakan itu dilakukan, manusia hanya sedar yang dia akan melakukan sesuatu itu 400 ms selepas aktiviti didalam otak bermula. Jadi, jika aktiviti didalam otak bermula terlebih dahulu sebelum manusia itu menyedarinya, siapakah sebenarnya yang membuat pilihan untuk melakukan sesuatu tindakan, perbuatan, fikiran, emosi dan pelbagai lagi sifat dan keupayaan yang dimiliki oleh manusia?

Dr Michael Gazzaniga, Profesor Psikologi dari Universiti California, didalam siri Brain Story keluaran BBC menyatakan kebanyakan perkara yang kita lakukan dikawal oleh proses yang tidak disedari, pada pendapat saya ini merujuk kepada minda separuh sedar, dan jika minda separuh sedar boleh diprogramkan menerusi tv, mungkinkah budaya kehidupan manusia masa kini adalah refleksi dari apa yang telah dan sering dipaparkan oleh tv? Saya pasti anda semua bersetuju jika saya katakan bahawa memang itulah hakikat kehidupan akhir zaman ini. Jadi jika seseorang manusia itu berkata contohnya Suka Hati Akulah Nak Pakai Apa, mereka sebenarnya menurut sahaja apa yang disarankan oleh minda separuh sedar dan bukan sebenarnya apa yang mereka sangkakan "suka hati mereka" iaitu kebebasan memilih atau "freewill". Mereka ini sebenarnya menjadi hamba kepada minda separuh sedar mereka sendiri yang telah korup akibat dari perbuatan diri sendiri iaitu membiarkan minda separuh sedar mereka dibentuk dan dicorakkan oleh pihak luar.

Akan tetapi adakah ini bermakna kita hanya pak turut sahaja apa yang disarankan oleh minda separuh sedar? Jika bukan kita yang membuat pilihan, bukankah tidak adil jika kita dihukum oleh Allah SW? Tiadakah ruang untuk kita mempraktikkan apa yang kita anggap kebebasan memilih atau "freewill" itu tadi? Dari kajian Dr Libbet juga mendapati, kita sebagai manusia masih punyai kuasa untuk mem"veto"kan saranan atau keinginan tersebut sebelum ianya berlaku. Terdapat jarak masa lebih kurang 100 ms yang mana seseorang manusia itu boleh bertindak untuk menjalankan antiviti mem"veto" itu. Akan tetapi mengapa ramai dikalangan kita yang selalu hanya sedar melakukan kesilapan hanya apabila ianya sudah terjadi? Pada pendapat saya, frontal lobe lah yang akan membantu seseorang itu menerusi minda sedar untuk membantu membuat penilaian dengan rujukan kepada pelbagai maklumat yang tersimpan didalam otak sebelum ini, samada ia boleh atau tidak dilakukan contohnya dari sudut agama, sudut kemanusian dan juga kesannya pada masa hadapan.

Masaalahnya kebanyakan manusia akhir zaman ini tidak lagi mengagungkan budaya ilmu baik ilmu agama mahupun akhirat. Ilmu yang dipelajari hanyalah untuk kemajuan kerjaya yang dimiliki jadi frontal lobe manusia itu tidak punyai rujukan yang lebih luas untuk punyai alasan yang kukuh untuk mem"veto" minda separuh sedar itu tadi. Begitu juga dengan budaya mengagungkan hiburan yang mana tidak menggalakkan budaya berfikir yang mana melemahkan frontal lobe. Menonton TV itu sendiri adalah salah satu penyebab penyakit otak ADD (Attention Deficit Disorder) yang mana menerusi imbasan SPECT jelas menunjukkan frontal lobe yang tidak aktif. Begitu juga dengan pencemaran kimia seperti rokok, alkohol dan juga kafein yang mana itu juga me"nidur"kan frontal lobe. Jadi tidak hairanlah mengapa apa jua budaya yang dipaparkan oleh tv baik fesyen, kelakuan, hubungan lelaki dan wanita (bercinta sebelum kahwin), tabiat seks dan sebagainya menjadi ikutan masyarakat hari ini. Ini belum termasuk hipnosis oleh iklan-iklan yang menjadi pendorong sebenar kearah agama baru dizaman ini, agama materialistik yang mana dosa dan pahala adalah kredit atau debit akaun bank, mubalighnya adalah pengiklan, masjidnya adalah bank dan tuhannya adalah pemegang saham bank tersebut.

Namun agama baru ini tidaklah begitu berbeza dengan pendekatan Islam yang diambil oleh sesetengah ulamak perbankan tersohor akhir zaman ini, perbankan Islam itu sendiri ditubuhkan untuk menyokong agama baru ini iaitu kearah mendapatkan nikmat dunia baik dari beli rumah, kereta dan juga barangan lain, kesannya sama sahaja kepada masyarakat baik pinjam atau jual beli, tetap diperhambakan, mungkin satu hari nanti akan ada mak ayah pengganut kuat agama baru ini akan menamakan anak mereka dengan nama baru, dari Abdullah iaitu hamba Allah kepada AbdulBank, nak nampak Islamik lagi bolehlah letak AbdulIslamikBank.

Jika kita kaji kes murtad dikalangan melayu, bagi perempuan yang murtad, kebanyakannya adalah kerana ingin berkahwin dengan lelaki bukan muslim. Jadi jika ibu bapa menonton filem cinta contohnya filem bollywood yang rata-rata menyarankan bahawa cinta mesti bersatu, biarlah buang mak ayah, sanggup bergaduh sampai pecah-pecah dinding, pecah tembok dan sebagainya demi cinta, maka ini yang diterima bulat-bulat oleh anak-anak yang menonton bersama-sama ibu bapa, jadi apabila anak ini dewasa akan terjadi konflik didalam hidup mereka, sudah tentulah ibu bapa akan menentang dan ini akan menimbulkan stress dan apa stress akan lakukan kepada manusia? Salah satunya melemahkan frontal lobe maka desakan minda separuh sedar atau emosi yang akan membuat pilihan didalam kehidupan. Jadi jika dulu buang mak buang saudara kerana kasih saya turutkan, pada hari ini buang agama sudah boleh dimasukkan kedalam ungkapan tersebut.

Jika tidak murtad sekalipun umat Islam hari ini semakin jauh meninggalkan Islam dan rata-rata menjadi pak turut akan budaya barat yang dipaparkan. Contohnya perlunya bercinta sebelum kahwin itu adalah kerana minda separuh sedar manusia sudah di"basuh" dengan serbuk pencuci filem cinta ditv itu sendiri. Semasa menonton filem cinta atau pun mendengar lagu-lagu cinta, sel-sel tubuh badan manusia tidak tahu samada adakah apa yang di lihat itu adalah sebenarnya yang dialami atau hanya lakonan tv. Otak tetap merembes kimia emosi tertentu yang memberikan perasaan cinta itu sendiri kedalam tubuh manusia, apabila acapkali dihujani oleh kimia emosi cinta tersebut, lama kelamaan sel-sel tubuh badan manusia itu akan senantiasa memerlukan kimia emosi cinta tersebut untuk mengekalkan apa yang digelar keseimbangan atau "homeostasis" didalam sel-sel itu sendiri, maka apabila kimia emosi itu tidak kunjung tiba maka sel-sel akan bergabung menghantar signal keotak, memberi stimulasi kepada otak emosi (limbic) dan mula meminta kimia emosi tersebut, kes ini sama juga bagaimana rasa lapar itu bermula. Jadi apabila tidak di"veto" oleh minda sedar manusia itu sendiri maka manusia sebenarnya hanyalah hamba kepada sel-sel tubuh badan mereka sendiri.

Dan ini telah pun saya kaitkan dengan manusia itu sebagai khalifah dimuka bumi ini, pemimpin dunia luar dan juga dunia dalaman (sel-sel) yang mana mereka secara kolektifnya menjadi minda separuh sedar. Puasa adalah latihan manusia itu sendiri untuk menjadi khalifah dalaman dengan berupaya menangkis bertrillion-trillion sel-sel didalam tubuh badan kita yang mahukan makanan ataupun nafsu. Pemimpin akhir zaman hari ini juga jelas kalah dengan nafsu mereka apabila membuat keputusan didalam pemerintahan hanya untuk kepentingan diri sendiri dan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan kuasa mereka, kerana apa? Kerana dengan kuasa yang mereka perolehi itu mereka dengan mudah melayan kerenah sel-sel mereka yang sentiasa dahagakan nikmat dari luar, samada makan minum mahupun tidak perlu bekerja keras untuk mendapatkan apa yang dihajati iaitu nikmat dunia seperti harta dan kesenangan.

Contohnya bagi simiskin, mereka perlu membanting tulang iaitu sel-sel mereka perlu melakukan kerja untuk mendapatkan makanan, jika dengan hanya melakukan usaha yang sedikit contohnya korup dan makan duit rakyat, mereka tetap boleh makan, malah boleh makan dengan lebih mewah lagi, maka sel-sel mereka yang membentuk minda separuh sedar akan senantiasa meminta mereka untuk kekal korup agar tidak perlu bersusah payah seperti sel-sel kepunyaan simiskin. Pemimpin sebegini sebenarnya adalah hamba kepada sel-sel mereka sendiri, lebih teruk lagi menggunakan kuasa mereka untuk menindas rakyat. Ambil contoh pemimpin kafir yang mengutamakan budaya arak yang terbukti melemahkan frontal lobe, mana mampu mereka mem"veto"kan kemahuan nafsu mereka untuk menahan diri untuk lebih korup?

Bagaimana pula dengan pemimpin kita yang kita "assume" tidak minum arak? Jika rujukan agama yang sepatutnya diambil kira oleh frontal lobe dalam usaha mem"veto"kan kelakuan yang telah terjana didalam otak tidak dimilki, atas dasar apakah penilaian yang akan mereka gunakan? Dan jika pemimpin ini rata-rata mendapat pendididikan barat yang tidak langsung berlapikkan Islam, membesar pula dengan makan bersuapkan sudu perak (anak orang kaya), mana mungkin mereka akan mengambil kira prinsip Islam didalam pemerintahan apatah lagi mengerti erti sebenar kesusahan kerana sel-sel tubuh badan mereka tidak pernah membanting tulang untuk mencari sesuap makanan? Minda separuh sedar mereka akan senantiasa menghantar signal keotak agar mereka kekal korup dan lebih korup dan menggunakan pelbagai cara untuk mngekalkan kuasa mereka "by hook or by crook".

Sebab itu pada pendapat saya dalam bab memilih pemimpin ini juga kita mesti ikut saranan Nabi dalam bab mencari pasangan, untuk selamat dunia akhirat pilihlah yang punyai kuat pegangan agama dan bukannya yang boleh bagi kita kontrak untuk projek, bukan yang membangunkan negara dengan pinjaman luar yang sudah semestinya perlu dibayar balik dengan riba'. Akan tetapi oleh kerana kebanyakan kita sendiri sudah kalah dengan sel-sel kita sendiri, hanya jadi pak turut sahaja dan lantas diperhambakan oleh mereka yang berkuasa (melalui pinjaman atau pembiayaan bank) kerana takut tidak mampu mendapatkan nikmat dunia yang akan menyebabkan sel-sel terpaksa berusaha keras untuk mendapatkannya.

Dan apa yang dipaparkan oleh pihak media contohnya tv juga adalah refleksi dari corak pemikiran pemimpin kita sendiri, jika mereka senang, gembira dan bersetuju dengan budaya hiburan, maka itu jugalah yang akan diutamakan dan dipaparkan didalam media itu sendiri. Begitulah juga penerimaan kita terhadap budaya hiburan tersebut, ianya juga adalah refleksi terhadap apa yang dominan didalam minda kita sendiri. Terus-terang saya katakan, kemampuan saya untuk menulis artikel, membaca buku-buku ilmiah dan berkongsi dengan rakan-rakan ini tidak mampu saya lakukan jika saya terus kekal mengutamakan budaya hiburan. Saya telah lama meninggalkan budaya menonton filem sampah baik filem cinta, fiksyen, hantu dan sebagainya. Apa yang saya tonton hanyalah ceramah, kuliah, debat ataupun dokumentari. Ya, memang ianya juga masuk keminda separuh sedar saya akan tetapi saya punyai pilihan maklumat apa yang saya ingin "hipnosis" diri saya sendiri, iaitu sudah tentulah ilmu-ilmu yang membantu saya, contohnya untuk menulis artikel sebegini.


TV ternyata lebih memberikan kesan buruk dari kebaikan, hanya membawa manusia kealam fantasi dan kemudiannya menjadi "carbon copy" kafirun sebagaimana yang diinginkan oleh musuh-musuh Islam. Musuh-musuh Islam tahu bahawa jika mereka mengishtiharkan perang secara terbuka mereka akan kalah kerana umat Islam (full time muslim) tidak takut mati, begitu juga jika masuk kampung dengan kepit bible dan membawa salib untuk mengajak umat Islam memasuki agama mereka, sudah pasti akan diparang dan dipedangkan oleh orang Islam jadi cara yang paling mudah adalah dengan manipulasi minda separuh sedar yang mengawal dan menjalankan hampir keseluruhan kehidupan manusia itu sendiri. Dengan secara perlahan-lahan menarik manusia untuk mengikut cara hidup masyarakat barat iaitu menjadi "carbon copy" mereka menerusi apa yang dipaparkan di tv, budaya cinta sebelum kahwin, cinta harus bersatu, pakai baju dedah sana dedah sini, fesyen, mengagungkan kebendaan dan sebagainya, semua ini adalah tali-tali halimunan yang menarik umat Islam secara perlahan-lahan untuk meninggalkan Islam. Dan buktinya sudah jelas, menurut mufti Perak yang membuat kenyataan bahawa seramai 250,000 umat Islam sudah murtad dinegara kita ini.

Jadi fikir-fikirkanlah wahai rakan-rakan sekalian, jika anda yang menganggap anda punyai kebebasan memilih atau "freewill" didalam kehidupan, jika TV, filem dan lagu-lagu hiburan adalah budaya anda maka ketahuilah anda hanya bermimpi disiang hari. TV adalah antara penyebab utama mendorong budaya murtad, begitulah juga dengan filem wayang dan juga musik baik hanya lagu ataupun secara video, ianya juga bertindak sebagai mubaligh agama baru bernama "materialisme" yang ustaz-ustaznya adalah pengiklan-pengiklan yang senantiasa memanipulasikan minda manusia. Sesuatu yang memberi keburukan lebih dari kebaikan sepatutnya ditinggalkan, ini tidak bermaksud anda perlu buang tv anda dengan serta merta akan tetapi secara perlahan-lahan kurangkanlah masa anda terutamanya anak-anak dari menontonnya, begitu juga harus lebih bertanggungjawab untuk menapis apa yang akan ditonton terutamanya oleh anak-anak. Pada pendapat saya kita sebagai umat Islam punyai banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan untuk mengisi ruang masa yang selama ini dicuri oleh TV, contohnya kemasjid untuk solat berjemaah dan juga mengajar anak membaca Al Quran dan juga terjemahan. Jika rasakan boleh hidup tanpa tv ada dirumah, itu lebih baik lagi.

Disini saya ingin merumuskan kembali tiga kesan utama akibat dari penyembahan tv ini kepada kehidupan manusia dan amat berharap rakan-rakan sekalian memikirkan sedalam-dalamnya rumusan ini, TV;



  1. Mencorak minda manusia untuk lari dari nilai moral dan kehidupan sebenar berlandaskan Quran dan sunnah (contohnya murtad, batas hubungan lelaki wanita, cara berpakaian dan sebagainya).
  2. Membawa ajaran agama materialisme, hidup mengejar kebendaan dengan anggapan kebendaan itu membawa kebahagiaan hingga sanggup meminjam untuk mendapatnya secara cepat malah hingga sanggup memanipulasikan cara untuk mendapatkannya (bukan pinjam tapi dibiayai).
  3. Manipulasi pemikiran rakyat untuk memastikan pemimpin yang korup akan kekal berkuasa melalui kawalan minda baik mesej subliminal ataupun berita yang berat sebelah.
Ia menjelaskan mengapa ramai semakin murtad, ia menjelaskan mengapa ramai yang mengejar dunia kebendaan dan ia juga menjelaskan mengapa pemimpin yang korup kekal berkuasa. Memang ada lagi beberapa faktor yang boleh dikaitkan akan tetapi tv inilah penyebab utamanya.

Semakin kurang kita mengadap TV, semakin banyak kita meninggalkan budaya hiburan maka semakin ter"jaga"lah frontal lobe dari lena yang panjang, dengan mengkayakan budaya ilmu pula makin luaslah pilihan-pilihan jaringan neuron didalam otak yang akan membantu frontal lobe untuk membantu manusia mem"veto" kemungkaran dan menggalakkan kebaikan dan kasih sayang sesama insan, dengan solat yang khusuk, fokus dan memahami ayat yang dibaca pula akan menguatkan frontal lobe dan juga akan menghujani sel-sel didalam tubuh badan kita dengan kalimah-kalimah Allah, maka barulah solat benar-benar dapat mencegah kemungkaran apatah lagi untuk murtad, insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share
"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas