Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails

Sabtu, 23 Mei 2026

Wang Bukan Segalanya — Sesuatu Yang Sudah Dilupakan

Kita hidup dalam zaman di mana wang telah disalah ertikan. Wang, yang pada asalnya, adalah satu alat. Ia
dicipta untuk memudahkan pertukaran, menyimpan nilai, dan mengukur kekayaan yang sebenar. Ia bukan kekayaan itu sendiri. 

Kekayaan yang sebenar ada pada petani yang menghasilkan padi, sayuran dan juga buah-buahan. Pada nelayan yang mencari rezeki di laut. Pada guru yang mendidik anak-anak kita. Pada tukang yang menghasilkan perabot dengan tangannya sendiri. Mereka inilah yang menambah nilai yang nyata kepada masyarakat. 

Wang hanyalah simbol kepada nilai itu. Tetapi apabila wang itu sendiri menjadi komoditi — apabila ia boleh dicipta dari suatu yang tidak wujud iaitu melalui hutang — maka simbol itu mula menguasai realiti yang sepatutnya ia wakili. Dan inilah yang sedang berlaku sekarang. 

Bank bukan lagi sekadar orang tengah antara penyimpan dan peminjam. Mereka mencipta wang, mencipta kuasa beli dari suatu yang tidak wujud, hanya melalui "accounting entry" atau "fractional reserve banking", dan kemudiannya mengenakan riba’ ke atasnya. 

Kerajaan pula galak berhutang, membelanjakan wang yang belum ada ditangan. Dan siapa yang akan membayarnya balik? Anak, cucu dan cicit kita. 

Harga rumah melambung bukan kerana nilai sebenar rumah itu bertambah — tetapi kerana penciptaan mudah wang baru yang melimpah mengejar rumah-rumah yang sama. Rumah sudah bukan lagi tempat untuk didiami. Ia menjadi instrumen pelaburan. Sebab itu rumah pada masa kini bukan mampu milik, hanya mampu tengok! 

Pendidikan sudah bukan lagi tentang ilmu dan pembentukan watak. Ianya menjadi landasan kepada pendapatan yang lebih tinggi. 

Perubatan sudah bukan lagi tentang penyembuhan. Ia menjadi industri. Sebab itu hospital kerajaan dianak tirikan supaya bakal pesakit dan pesakit beralih kepada insuran dan hospital swasta yang pastinya akan merancakkan BSKL dan mengenyangkan pelabur-pelabur sedangkan rakyat marhaen menderita.

Politik sudah bukan lagi tentang kepimpinan, keadilan dan amanah. Ia menjadi persaingan untuk mengawal jentera penciptaan dan pengagihan wang. Jentera sakau! 
 
Bahkan manusia sendiri mula memandang diri mereka dalam terma kewangan. Manusia menjadi "modal insan." Masa menjadi "produktiviti." Hubungan sesama manusia menjadi "net-working" Kejayaan pula diukur dengan "net-worth".

Apabila makna wang itu rosak, kerosakan itu tidak berhenti di dinding bank. Ia meresap masuk ke dalam budaya, politik, keluarga, pendidikan — bahkan agama. Kita mula berfikir: jika sesuatu itu menguntungkan, maka ia mesti baik. Jika ia menaikkan GDP, ia mesti bermanfaat. Jika ia memacu pertumbuhan, ia semestinya lah kemajuan. Tetapi itu semua tidak semestinya benar.

Pertumbuhan ekonomi boleh wujud serentak dengan kemurungan, keruntuhan institusi keluarga, perhambaan hutang, dan kehancuran alam sekitar. GDP boleh naik sementara rakyat kebanyakan menjadi semakin miskin, semakin stress, semakin sakit dan semakin terperangkap dan semakin tertekan. Sebuah masyarakat boleh menjadi lebih kaya dari segi material, tetapi semakin miskin dari segi moral dan rohani.
 
Di sinilah larangan riba perlu difahami pada tahap yang lebih dalam. Ia bukan sekadar larangan dalam berjual beli. Ia adalah perlindungan terhadap sesuatu yang jauh lebih bahaya — iaitu apabila wang dibiarkan membiak tanpa melalui aktiviti ekonomi yang nyata, tanpa usaha, tanpa perkongsian risiko, tanpa penciptaan nilai yang sebenar.

Bayangkan, day trader beli saham pada waktu pagi dan sebelah petang dijualnya dengan keuntungan seribu ringgit, apakah nilai sebenar yang telah disumbang kepada masyarakat yang mewajarkan dia mendapat keuntungan seribu ringgit tersebut?

Apabila dengan wang kita boleh membiak banyak lagi wang, tanpa sebarang sumbangan kepada kehidupan sebenar, maka ianya mula berkelakuan seperti tuhan — tidak kelihatan, tetapi berkuasa. Menuntut pengorbanan yang tidak pernah cukup. Membentuk politik, pendidikan, kerjaya, dan akhlak manusia.

Wang kini menjadi berhala baru sembahan manusia. Mungkin sebab itulah sekarang ini masjid rata-ratanya kosong apabila iqamat dibacakan, kerana Allah bukan lagi “Yang Maha Besar”. Kerjaya ku, bisnesku, urusan duniaku lebih “Maha Besar”. Manusia moden kini menjadi begitu resah dan gelisah. Sibuk melayan dunia, menjadi hamba kepada tuan yang tidak pernah puas.

Cabaran kita hari ini bukan sekadar mahu mereformasikan sistem ekonomi dan kewangan kepada yang lebih Islamik, cabaran yang lebih besar adalah untuk mengembalikan kefahaman mengenai apa itu wang dan fungsi sebenarnya didalam kehidupan. Wang sepatutnya berkhidmat kepada kehidupan. Bukan kehidupan yang berkhidmat kepada wang.

Wang sepatutnya tunduk kepada agama, pada etika, pada ilmu, keluarga dan masyarakat. Bukan sebaliknya. Hanya apabila kita memahami semula apa itu wang yang sebenarnya — dan apa yang bukan — barulah kita dapat membezakan antara simbol dan realiti. Antara kekayaan dan gambaran kekayaan.

Antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat dan juga antara yang dihalalkan oleh sistem dan apa yang adil didalam hubungan kita sesama manusia.

Ketukan minda buat mereka yang mahu berfikir.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share
"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas