Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails

Isnin, 8 November 2010

Nota Dari Persidangan Riba'

Alhamdulillah, selesai sudah persidangan yang amat bermakna bagi diri saya, ianya juga sepatutnya menjadi satu persidangan yang amat penting bagi seluruh umat Islam, akan tetapi melihat pada berita utama di TV pada malam harinya dan begitu juga dengan akhbar tempatan pada keesokan hari, mereka yang mengawal media dinegara kita ini nampaknya menganggap ianya suatu yang tidak penting. Disini saya ingin berkongsi serba sedikit isi kandungan perbincangan di persidangan tersebut agar usaha kearah hidup yang tidak lagi diperangi oleh Allah SW ini (akibat riba') akan dapat dicapai walau tanpa sokongan media massa kebanyakan.

Dr Mahathir Mohammad telah memberikan ucapan pembukaan, beliau membangkitkan isu mengenai ekonomi dunia hari ini yang seolah-olah tiada kawalan dan disebabkan bebasnya ahli ekonomi seperti bank, syarikat pelaburan dan sebagainya untuk melakukan urusniaga sesuka hati seperti memberi pinjaman tanpa mengambil kira risiko dan sebagainya, maka kegawatan ekonomi terutama dibarat hari ini terjadi. Terdapat satu fakta yang dikemukakan oleh beliau yang amat menarik perhatian saya iaitu mengenai urusniaga tukaran wang asing (forex). Menurut beliau urusniaga forex pada masa kini bernilai sebanyak 4 trillion USD sehari, lebih banyak berbanding semasa krisis matawang pada tahun 1997. Jumlah itu bersamaan dengan nilai pengeluaran produk dan perkhidmatan bagi negara Jerman dalam jangka masa setahun, akan tetapi jumlah tersebut telah memberi manafaat kepada negara dan masyarakat negara Jerman itu sendiri dari segi ekonomi sedangkan apakah sumbangan urusniaga forex? Selain dari mengkayakan pengurus forex dan juga pelabur kaya, sumbangan kepada sektor pekerjaan, perniagaan dan ekonomi negara secara amnya hampir tiada.

Bagi kebanyakan penceramah yang lain pula hampir kesemuanya bersetuju bahawa pergolakan ekonomi dunia hari ini adalah kerana sistem kewangan yang diguna pakai itu sendiri adalah suatu penipuan. Terdapat 3 isu utama yang dibincangkan didalam persidangan ini iaitu:
  1. Wang kertas yang diguna pakai hari ini yang tidak disandarkan dengan nilai sebenar samada emas atau perak.
  2. Keistimewaan yang telah diberikan kepada bank baik konvensional atau pun islamik untuk "mencipta" wang mengikut sistem pecahan simpanan (fractional reserve) menerusi kaedah perakaunan mereka.
  3. Riba', bunga atau kadar faedah yang terbina didalam sistem ekonomi moden itu sendiri yang merupakan bisa yang tersembunyi dan melumpuhkan hampir seluruh golongan masyarakat akan tetapi mengkayakan segolongan kecil yang lain. 
 Berapa ramaikah dikalangan kita yang sedar bahawa wang kertas yang kita gunakan setiap hari ini adalah satu penipuan? Mengapa satu penipuan? Kerana wang kertas sebenarnya tidak mempunyai nilai. Wang kertas hari ini dicipta dengan hutang dan bukan berdasarkan kepada komoditi seperti emas dan perak. Akan tetapi mengapa ianya diterima pakai? Kerana ianya termaktub didalam undang-undang negara apa yang dipanggil "legal tender law", dan siapa yang menciptanya? Tidak lain tidak bukan British laknatullah yang telah menjajah negara kita dan hanya setelah dua benih syaitan disemai kedalam sistem pemerintahan negara, baru itulah kemerdekaan diberikan. Dan benih syaitan itu adalah undang-undang "legal tender" yang menjadikan wang kertas sebagai medium pertukaran dan juga pemerintahan sekular yang meletakkan undang-undang ciptaan manusia lebih agung dari undang-undang Allah SW.

Kebanyakan ulamak perbankan tersohor menggunakan fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa pada 1986 yang mana telah membenarkan penggunaan wang kertas. Akan tetapi jika 14 tahun dahulu kita boleh membeli teh tarik dengan hanya 50 sen akan tetapi pada hari ini lebih dari seringgit, maka tibalah masanya ulamak hari ini perlu mengishtiharkan wang kertas adalah haram. Apabila diishtiharkan haram, pasti akan ada usaha yang lebih serius dan bersungguh-sungguh untuk menghentikan penggunaannya atau paling tidak pun menyandarkan ianya kepada suatu komoditi yang mempunyai nilai. Allah SW tidak akan mengubah sesuatu kaum itu jika mereka sendiri tidak mahu berubah, maka sudah sampai masanya untuk fatwa baru dikeluarkan mengenai wang kertas ini.

Antara saranan lain didalam persidangan tersebut adalah membenarkan wang secara bebasnya dicipta oleh semua manusia (free money), ini bukan bermaksud sesiapa sahaja boleh mencipta wang kertas dan mengedarkannya akan tetapi menarik keistimewaan bank atau tidak bergantung lagi kepada mereka untuk mencipta wang (menerusi sistem pecahan simpanan). Setiap individu yang mengusahakan suatu barangan, komoditi atau perkhidmatan, menerusi sistem dan prasarana sedia ada dizaman ini, beliau boleh "mencipta wang" didalam sistem melalui aliran kredit atau debit didalam sistem tersebut. Sistem ini kemukakan oleh Prof. Ahamed Kameel Mydin Meera menerusi sistem yang dipanggil Multilateral Payment System yang mana nilai untuk barangan dan perkhidmatan itu berasaskan nilai emas dan perak. Sistem sebegini bukanlah suatu yang baru, nama lain untuk sistem ini adalah LETS (Local Exchange Trading System) yang telah banyak digunakan dinegara luar seperti di Australia, Kanada dan Switzerland. WIR Bank di Switzerland telah menggunakan sistem ini dari tahun 1934 hingga kehari ini.

Disebabkan dua unsur iaitu wang kertas dan penciptaan mudahnya oleh bank maka dapat riba' berkembang biak. Apabila nilai wang tidak lagi berada didalam wang, nilai wang boleh dimanipulasi, dan bank pula dengan mudahnya mencipta wang menerusi pinjaman dan kemudiannya mengenakan riba' atas wang yang sebenarnya tidak wujud, bank ibarat lintah yang menyedut darah semua umat manusia baik secara langsung atau tidak, baik bank konvensional atau pun islamik. Secara langsung adalah dengan memaksa peminjam membayar balik dengan jumlah yang berganda, secara tidak langsung pula adalah dengan menurunkan nilai wang itu sendiri atau mencairkannya melalui penciptaan wang baru, maka teh tarik yang dahulunya 50 sen dah naik lebih seringgit. Kebanyakan masyarakat mengeluh mengenai harga barang yang semakin meningkat, ini tanggapan yang salah, sebenarnya bukan barang yang semakin mahal, nilai wang yang semakin menurun. Harga emas yang semakin meningkat dipasaran dunia hari ini adalah petunjuk untuk nilai sebenar dollar US yang semakin hilang nilainya akibat dicetak tanpa bersandarkan apa-apa nilai yang nyata.

Riba' adalah punca utama masalah sosial, dari tamaknya manusia menipu, makan rasuah, rompakan, pecah rumah dan ragut, kerosakan akhlak muda-mudi disebabkan ibu bapa sibuk bekerja hinggalah kepada kemusnahan alam sekitar baik dari perlancongan atau mengkomoditikan segala sumber alam yang boleh diperolehi untuk membayar balik riba' yang berganda akibat pinjaman bank ataupun bersaing untuk mengaut lebih wang akibat turunnya nilai wang (lebih banyak wang diperlukan untuk membayar barang yang sama, rujuk teh tarik), sebab itu lah Allah SW mengishtiharkan perang terhadap mereka yang terlibat dengan riba' malah dosanya lebih teruk dari berzina. Ketika Nabi SWA dinaikkan kelangit ketika Israk dan Mikraj, baginda melihat manusia yang perutnya dipenuhi ular dan apabila baginda bertanya kepada Jibrail AS siapa mereka lantas Jibrael menjawab, mereka adalah golongan yang memakan riba' (Ahmad, Ibn Majah). 

Benih syaitan yang disemai oleh penjajah telah tumbuh subur menjadi pokok besar yang sukar ditebang, bertambah malang lagi apabila kapak penebang hanya berada ditangan kerajaan (dengan menggubal undang-undang), maka rakyat semua perlulah terlebih dahulu sedar dan bersama meminta pemerintah menebang pokok syaitan tersebut. Hampir semua manusia diakhir zaman ini telah bergelumang dengan riba' terutamanya pinjaman rumah dan kereta. Baik islamik atau tidak, keduanya sama sahaja, cuma bezanya satu ikut pintu depan dan satu lagi ikut pintu belakang. Saya sendiri sudah terjebak didalam kancah riba' dan sedang berusaha sedaya upaya untuk keluar darinya. Atas kesedaran ini jugalah saya berusaha untuk menyedarkan rakan-rakan yang lain akan bahaya dan besarnya dosa akibat riba' ini. 

Salah seorang penceramah dipersidangan itu adalah Prof. Aziuddin Ahmad dari KUIS, apa yang memeranjatkan saya beliau adalah seorang ahli fizik, sempat saya berbual seketika dengan beliau dan berkongsi pandangan bagaimana melihat kehidupan didunia ini dari sudut fizik kuantum, alhamdulillah kami mempunyai pandangan yang serupa. Dari sudut fizik kuantum, kita semua berkait melalui ruang tenaga yang tidak kelihatan, apa yang kita lakukan mempengaruhi insan lain dan ianya akan berbalik kepada diri kita sendiri. Semua larangan Allah SW adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri, malangnya akibat bisikan syaitan dan percayakan dunia yang sementara ini, manusia beralih dari fitrah yang dilahirkan sebagai muslim kepada sayangkan dunia dan bencikan akhirat. Insyaallah usaha saya memerangi riba' ini akan berterusan hinggalah ke akhir hayat. Walau pun hanya seorang sahaja insan yang akan sedar dari penulisan saya ini, ianya sudah memadai, harapan saya agar peringatan ini berterusan kepada rakan-rakan yang lain agar dunia yang sementara ini boleh menjadi aman dan sentosa.

20 Komen:

MZ berkata...

Salam. Saya bersetuju apa yang saudara tulis di atas.

Saya berpendapat bahawa satu langkah perlu dilaksanakan secara berhikmah supaya masyarakat Islam tidak panik.

[ a D D y ] berkata...

Terima Kasih Bro Kerana Berkongsi Isi2 Dalam Konferens Tu..Harap Konferens Ni Mengubah Persepsi Masyarakat Tentang Riba..

Lepas Ni Mungkin Bro Boleh Cerita Apa Langkah2 Untuk Menghapuskan Riba Ni Selain Memberitahu Dan Menyedarkan Orang Ramai..

Sebab Bagi Mereka Macam Dah Xde Cara Lain Selain Pinjam Dengan Bank. Nak Taknak Diorang Cakap Kita Ikut Jelah Sistem Ni Sebab Kita Xboleh Ubah..

Naz berkata...

terima kasih berkongsi pendapat dan pengetahuan. membuka minda saya untuk lebih memahami sistem jual beli dan matawang..

rosfazila berkata...

salam
saya berminat dengan persidangan ini namun tidak dapat beri komitmen pada tarikh program. terima kasih atas perkongsian maklumat tentang persidangan. saya amat berterima kasih jika anda dapat berkongsi prosiding (terutama tentang socio-economic consequences--oleh prof. Aziudin)-syukran
rosfazila@gmail.com
http://fizarose.blogspot.com/

Pintu taubat berkata...

Kempen 'Say La to Riba', tampal pd kereta

Ihya-Ulumiddin berkata...

Salam ,

terima kasih byk2 kerana review persidangan ini.

saya teringi sgt nk pergi tetapi ada masalah kewangan yang xdapat dielak.

terima kasih sekali lagi.

Ihya-Ulumiddin berkata...

saya akan ulas kembali ulasan saudara di blog saya. insyaAllah.

Tanpa Nama berkata...

Salam

saya amat bersetuju segala apa yg saudara utarakan. Semoga Allah dapat membalas usaha saudara berkaitan penerangan isu riba ini. Marilah semua yg membaca sama-sama kita berdoa agar sistem yang dibawa oleh barat ini dapat dihapuskan dan digantikan dengan yg lebih baik dari Allah.

Joe's Babe berkata...

terdetik dalam hati....maknanya selama kita hidup, memang akan sentiasa bergelumang dengan riba antara kita sedar atau tidak. astagfirullah

Tanpa Nama berkata...

salam,

artikel yang bagus, dahulu saya galakkan kawan2 saya membeli kereta atau rumah, tapi sekrang saya tidak mengalakkan malah menasihati jika tiada duit jangan beli, biarla tiada harta jangan ada hutang kerana hutang sekarang ini adalah berdasarkan "riba".

Banyak umat Islam hari ini telah sedar jika ada 50 peratus orang melayu tidak membuat pinjaman ini sudah mencukupi untuk memusnahkan sistem riba kerana mereka tidak dapat bertahandgn jumlah pelanggan yang kecil.. ayuh, kita tegakkan syiar Islam, menuju kepada pemerintahan khalifah

Tanpa Nama berkata...

mohon share

Tanpa Nama berkata...

Salam. Terimakasih untuk posting ini. Saya ada menulis satu artikel di blog saya berkenaan pengamal riba terbesar di Malaysia. Dan saya ada juga menulis tentang penipuan perbankan Islam. Hujah saya mudah. Apabila BNM mengamalkan sistem perbankan berasaskan riba, apa-apa yg lahir darinya adalah riba jua. Tak peduli jika ada panel syariah di BNM atau tidak. Dan telah tiba masanya jua, kita menolak kata-kata ulamak yang menyuruh kita terus meminjam produk PI dan biarlah Allah Taala yg menentukan halal atau haramnya kerana mereka ada panel syariah. Perlu diingat panel syariah ini menerima upah dari pihak bank. Senario yg berlaku sekarang hanya mengesahkan betapa lemahnya penguasa dan cendikiawan Islam walaupun berada didalam negara sendiri kerana mereka tidak dapat menafikan sistem "fractional reserve banking" ini. Dan, perhatikan betapa sistem insurans diperkasakan sementara sistem zakat diperlekehkan. Dan juga, betapa sistem percukaian kita amat membebankan. Apabila sistem perbankan menyedut wang kertas keluar dari pasaran melalui kaedah riba, semua pihak termasuk kerajaan pasti mengalami masalah cashflow. Krisis kewangan dunia akan melanda lagi sehingga nilai wang kertas utama dunia menjadi tidak berharga akibat inflasi dan ketika itulah semua negara dalam dunia akan berdepan dengan huru-hara. Semua ini sudah termaktub. Maaf kerna komen saya agak panjang. Terimakasih.

hakikatinsanmakrifat.blogspot.com

Tanpa Nama berkata...

dulu saya beli gula2 Hacks, RM 0.20 dapat 4 biji.. sekarang saya beli RM 0.20 dapat 3 biji..
akan datang saya beli RM 0.20 dapat separuh biji jer kot...

Tanpa Nama berkata...

ya.. memang betul lah itu semua... tapi kenapa semasa ex-PM tu dulu berkuasa tak buat apa2 yang nampak menyokong ke arah itu? Bank Negara kenapa masih kekalkan akta lapuk sebelum merdeka gubahan british? dan guna akta itu juga utk dakwa org yg cuba bangunkan sistem perbankan dan kewangan yang benar2 Islamik. klu kita pinjam duit atau pinjam perumahan atau kenderaan dan sebagainya dari bank, sampai nak masuk kubur baru hutang tu habis. klu kita simpan wang kenapa hanya dapat 0.08 sen sebulan?

acinetobaxter berkata...

saya mendapati bank kuwait finance house yang berada di kuwait, tidak mengenakan apa-apa caj tambahan dalam penggunaan kad kredit disana. kalau pakai 2000 bayar 2000. bagaimana mereka boleh beroperasi sedemikian rupa dan bolehkah kita mencontohinya?

ed berkata...

Penyelesaian Masalah Riba Menurut Al-Quran: Hentikan bayaran kepada bank serta-merta, Allah SWT akan menguruskan ekonomi Malaysia, InsyaAllah:

“…Dan JIKA KAMU BERTAUBAT, maka hak kamu (iaitu bank) ialah POKOK ASAL HARTA KAMU. (Dengan yang demikian) kamu TIDAK BERLAKU ZALIM kepada sesiapa dan kamu juga TIDAK DIZALIMI OLEH SESIAPA…”; al-Quran: Al-Baqarah:279

Tanpa Nama berkata...

riba perlu diperangi
alhamdulillah

kyr berkata...

Assalamualaikum,

Saya telah terikat dengan pinjaman riba' konvensional dan saya yakin, ramai lagi juga terlibat sama memandangkan disekitar saya lihat 'harta-harta pinjaman bank' ini dimana-mana sahaja seolah-olah menjadi suatu kemestian dalam hidup. Pelbagai sebab yang menyumbang kepada kebergantungan keatas urusniaga riba' ini. Malangnya saya terlewat untuk mendapat tahu berkenaan riba' ini memandangkan disaat ini saya telah pun membuat pinjaman tersebut. Justeru saya berjanji kepada diri saya sendiri untuk tidak akan mengulanginya lagi. Persoalan dan dilema yang saya hadapi; seandainya ditakdirkan ketika saya hidup, kiamat tiba atau seruan bersama-sama panji hitam tiba, sudah tentu tidak dapat saya lepas dari cengkaman bebanan riba ini. Hanyalah doa dan keampunan yang dapat dipanjatkan kepada Allah SWT agar mengampunkan hamba-hambanya yang lalai dan jahil atas tindakan mengabaikan perintahNya yang sedangkan itu terbaik untuk mereka.

Saya sangat berterima kasih kepada ulama-ulama, saudara pemilik blog, dan mereka yang bekerja keras secara ikhlas demi mengharapkan keredhaan Allah SWT dan berjuang demi mencerahkan keadaan disaatnya umat dalam kegelapan dikala riba yang menghantui, yang sangat dahsyat buruknya apatah lagi melibatkan kehidupan kita selepas mati.

Sayu mengenangkan kealpaan diri. Semoga ummah terus terbela dan mendapat ampunan Allah yang Maha Mengampuni..

Tanpa Nama berkata...

Saya dan suami tidak memgambil sebarang pinjaman walaupun dua dua kerja sebagai pegawai kerajaan. Kami terpaksa menyewa dan menunggu hingga 20 tahun untuk membeli rumah sendiri secara tunai. Itu pun tak dapat beli rumah bungalow atau semi D seperti kawan seangkatan yang membuat pinjaman. Kami memakai kereta terpakai kerana itu je yang mampu dibeli secara tunai. Keempat anak kami masuk universiti ditanggung sendiri tanpa PTPTN kerana nak mengelak anak dari berhutang dan riba apabila keluar dari universiti. Alhamdullillah Allah membantu memurahkan rezeki kami dan walaupun kami berdua sekarang berjawatan dengan gaji JUSA C, kami masih tinggal di rumah teres lama dan memakai kereta lama. Alhamdullillah Allah beri kekuatan untuk tidak terpedaya dengan godaan nafsu sehingga terpaksa berhutang dan terlibat dengan riba. Biarlah kami dikatakan rugi kerana tidak dapat bermewah didunia ini asalkan tidak rugi di akhirat nanti.

Muhammad berkata...

Kepada komentor 9 Feb dan 14 ogos..menarik komen anda.

Saya sendiri sebagaimana sdr kyr juga terpalit dengan 'harta harta bank' ini. leka dengan kehendak duniawi.. tak fikir panjang.. terlalu ikutkan nafsu selagi mampu bayar. Dari zaman sekolah lagi tahu akan riba ni tapi dimanipulasikan dengan istilah faedah.. interest..pembiayaan.. akal dan iman jadi kabur. sukar untuk menilai. maklumlah zaman persekolahan.sekarang pun jika dilihat berapa ramai yang sedar, walaupun dah tahu dan banyak juga berpura pura tak tahu

Tahniah pada tn 14 ogos, sepatutnya cara hidap mcm tu yang harus dipraktikkan. kalo separuh umat islam di Malaysia ni praktikkan macam sdr.lingkup lah bank rasanya. Sy akan cuba melangsaikan semampu dan secepat yang mungkin. beruntung tuan suami isteri faham dan sama2 mengambil pendekatan dari awal. Sy sentiasa berdoa agar pasangan saya juga satu hari nanti kearah ini. Pasangan pun kadang kadang faham tetapi sukar untuk berubah dengan cara hidup yang telah kita lalui berkurun-kurun ni sebab sudah dianggap 'normal' dalam masyarakat. Semoga Allah beri kekuatan untuk berubah. Sebagaimana tuan tidak terpedaya dengan godaan nafsu kedendaan...biar hidup sedarhana..tapi jiwa tenang.

T.kasih kepada tn blog. Sy sentiasa mengikuti atikel tn. Makin hari makin sedar dan tahu akan bahana riba ni.

Catat Ulasan

"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas