Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails
Memaparkan catatan dengan label Hukum Dunia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hukum Dunia. Papar semua catatan

Selasa, 23 September 2014

Encik Ni Nak Saman Laaa…

Kisah ini berlaku kepada saya beberapa tahun yang lepas dan disini saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan untuk manafaat bersama. Saya yang memandu kereta telah membuat pusingan U ditempat yang tidak dbenarkan dan telah ditahan oleh pihak berkuasa sejurus selepas itu.

Pegawai: Encik tahu mengapa Encik ditahan kan? Tadi Encik membuat pusingan u dikawasan yang tidak dibenarkan.

Saya: Ya Encik, saya tahu dan saya minta maaf. Nak cepat tadi.

Pegawai: Jadi macamana nak selesaikan kan ni?

Saya: Maksud Encik?

Pegawai: Ye la kan kalau kes macam ni sepatutnya kena saman.

Saya: Saman? Takpe Encik, bagi saya saman.

Pegawai: Nak saman?

Saya: Ya Encik, tolong saman saya.

Pegawai: Kejap ya.

Pegawai tersebut beredar seketika dan kedengaran dia memberitahu pegawai atasannya, "Sarjan… Encik ni nak saman laa…"

Tidak lama kemudian pegawai atasan tersebut menghampiri saya dan memberitahu kepada saya, "Encik, kali ini saya lepaskan tetapi lain kali jangan buat lagi ya"


Saya pun beredar dari situ dengan syukur yang teramat sangat kepada Allah SW, kerana apa? Pertamanya kerana saya tidak disaman dan kedua kerana saya tidak bersubahat didalam melakukan perkara yang dikeji perosak umat dan masyarakat iaitu rasuah.

Prinsip saya amat mudah, jika wang yang ada ditangan kita itu benar-benar milik kita, maka saya percaya wang tersebut akan kekal bersama kita selagi kita menunaikan hak insan lain iaitu penerima zakat (zakat juga selari dengan hukum alam iaitu prinsip entropi fizik). Jika wang kita itu hilang dijalanan atau dirompak sekalipun atau didalam cerita saya diatas saya terpaksa membayar saman, oleh kerana Maha Adilnya Allah SW itu maka wang yang "hilang" tersebut pasti akan kembali semula ketangan kita. Jika tidak dalam bentuk wang ringgit mungkin dari bentuk lain umpamanya tubuh badan yang sihat ataupun anak-anak dan isteri mithali penyejuk hati penenang jiwa. Akan tetapi jika wang yang berada didalam tangan kita itu bukan hak milik kita, samada diperolehi dari kerja yang tidak amanah (contohnya sila rujuk artikel Kerja Halal, Gaji Tidak), mengambil rasuah, menipu, mencuri, rasuah dan sebagainya maka ianya akan "lari" daripada kita dengan pelbagai cara, salah satunya caranya mungkin disaman seperti cerita saya diatas.

Wang adalah balasan yang kita terima dari "tenaga" yang kita berikan samada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan, jadi wang adalah bersamaan dengan tenaga dan tenaga tidak dapat dimusnahkan, hanya boleh berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain. Kita mungkin boleh menyimpan wang kita tersebut samada didalam akaun bank atau dibawah bantal, akan tetapi wang sebenarnya hanyalah mewakili "tenaga" yang disimpan dan kita adalah pemegang amanahnya. Dunia fizikal nampaknya didalam genggaman kita umpamanya wang tersebut. Kita ada bank yang dikawal oleh pengawal dengan senjata api, begitu juga dengan kediaman kita yang sudah dipagar dan dipintu masuknya ada warga Nepal atau Bangla yang taat memeriksa setiap orang yang keluar masuk kekawasan rumah kita itu untuk "menjaga" keselamatan kita dan juga harta benda (wang ringgit) kita itu tadi.

Akan tetapi misterinya dunia zarah-zarah sub-atomik, kita tidak boleh mengawal secara langsung akan zarah-zarah tersebut, hanya kemungkinan dan kebarangkalian sahaja. Ini bermakna kita tidak mampu untuk mengawal dunia sub-atomik tersebut. Contohnya, tidak kira secanggih mana sekalipun bekas/botol (flask) penyimpan air panas, pasti selepas beberapa hari kesemua tenaga yang ada pada air yang disimpan didalam bekas tersebut akan hilang dan air tersebut akan sama dengan suhu keadaaan persekitarannya. Adakah kita boleh pasti selepas beberapa hari atau jam air tersebut akan hilang kepanasannya? Mungkin boleh akan tetapi amat mustahil untuk benar-benar mengira contohnya sekarang ini air tersebut bersuhu 80 darjah celcius maka selepas 6 jam 10 minit dan 5 saat suhunya akan menjadi 75.3 darjah celcius. Konsep ini samalah juga dengan bahan radioaktif yang mana kita hanya mengagak sahaja "half life" atau separuh hayatnya kerana radiasi zarah-zarahnya tidak dapat dikira oleh kita sebagai manusia.

Jadi siapa yang mengawal dunia sub-atomik ini? Jawapannya adalah Allah SW. Dialah yang Maha Adil dan lagi Maha Penyayang, yang akan merencanakan dunia ini untuk memastikan rezeki kepada semua umat manusia tidak kira yang menyembahNya ataupun tidak. Mungkin ada yang bertanya, "Jika Allah SW Maha Adil, mengapa yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin?". Jawapannya adalah kerana sistem ekonomi dan kehidupan yang kita amalkan masa kini berasaskan riba' dan rasuah yang telah memastikan kekayaan hanya bergerak kesatu arah sahaja iaitu samada yang kaya, yang berkuasa atau kedua-duanya iaitu yang kaya dan berkuasa.

Jadi apa yang boleh kita lakukan untuk menghentikan aktiviti "menggali kubur sendiri" umat manusia masa kini? Jawapannya adalah dengan menolak sistem ekonomi riba' dan juga menolak, mengeji dan tidak terlibat sama didalam memberi rasuah. Ini termasuklah menolak pemimpin-pemimpin yang mengamalkan budaya tersebut. Masaalahnya zaman sekarang ini (jika diambil dalam kes memberi rasuah), kebanyakan kita lebih sanggup untuk memberi rasuah kerana wang yang "hilang" adalah kecil berbanding dengan nilai saman yang sebenar, maka oleh sebab itu walaupun tahu berdosa memberi rasuah tersebut kebanyakan kita tetap meneruskannya. Kita semua telah terlupa akan ayat seribu dinar yang mana jika kita bertaqwa, Allah SW akan memberikan kita rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka. Mungkin dengan berkat taqwanya kita itu dengan menolak memberi rasuah dan meminta disaman (dan saman selalunya ada tempoh masa tertentu untuk dibayar), mungkin Allah SW akan memberikan kita rezeki berganda-ganda dari sumber yang tidak disangka-sangka untuk membayar saman tersebut, akan tetapi taqwa sahaja bukan sahaja itu syaratnya, perlu juga pasti adakah duit yang ada pada tangan kita itu benar hak milik kita.

Dan bagaimana untuk memastikan wang yang ada ditangan atau didalam simpanan kita itu benar-benar milik kita? Jawapannya adalah dengan menjadi "pemerhati yang hebat" kepada setiap pemikiran yang akan menjadi tindak tanduk dan perbuatan kita. Saya percaya apa yang kita alami didunia ini adalah hasil dari perbuatan dan tindak tanduk kita sebelum ini. Jika akar lalang yang kita tanam, tidak akan dapat kita menuai padi. Jika ingin dunia yang aman, harmoni dan penuh dengan kasih sayang, kita perlulah menjadi ajen-ajen kepada perubahan tersebut dengan sendiri melakukannya iaitu menabur "benih-benih kasih sayang" tersebut kepada seluruh umat manusia.

Kita semua mungkin boleh lari dari peraturan yang dicipta oleh manusia (seperti kes saya ini tidak disaman) akan tetapi kita tidak akan dapat lari dari hukum-hukum Allah SW. Dosa yang memberi, mengambil, menulis dan saksi kepada riba' adalah sama malah mungkin rasuah juga adalah salah satu dari 70 jenis riba' yang disebut oleh Nabi SAW. Bagi yang kaya dan semakin kaya dengan riba' dan rasuah, teramatlah saya kasihan kepada mereka kerana jika tidak dilihat dari hukum Allah SW sekalipun, dari sudut fizik dunia kuantum mereka adalah terdiri dari golongan yang rugi, cuma masa sahaja yang menentukan balasannya samada didunia ataupun diakhirat. Moga menjadi manafaat bersama, peringatan dan ketukan minda untuk saya dan mereka yang mahu berfikir. Wallahualam.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Rabu, 13 Oktober 2010

Kuliah Ringkas Pada Budak Kurier

Saya sering membeli buku secara online dan menggunakan perkhidmatan sebuah syarikat kurier yang memberi perkhidmatan yang mana bayaran untuk penghantaran tersebut dijelaskan semasa barang diterima. Seringkali wang lebihan bayaran saya hadiahkan sahaja kepada budak kurier, contohnya apabila bayarannya berjumlah 69, saya berikan 70 dirham maka dapatlah dia 1 dirham, adakala bayarannya 135, saya berikan wang 100 dan 50 maka lebihan 15 dirham dapatlah untuk dirinya.

Setelah beberapa bulan saya tidak membeli buku baru, kelmarin saya menerima tempahan yang saya buat beberapa hari sebelumnya. Seperti biasa budak kurier yang sama melakukan penghantaran kerumah, akan tetapi kali ini berlaku kejadian yang mana membuatkan saya menulis artikel ini untuk dikongsi dengan rakan-rakan sekalian.



Budak kurier: Assalamualaikum Encik, ini pesanan untuk encik dan kosnya 120 dirham.

Saya membuka dompet dan mendapati ada sekeping wang 20 dirham dan selebihnya beberapa keping wang kertas 100 dirham, terdetik didalam hati saya, "alamak tiada pulak lebihan nak bagi kat dia ni, tak mengapalah, lain kali". 

Saya: Waalaikumsalam, ini wangnya 120, terimakasih ya.

BK: Sila tandatangan disini, errr... tiada tip ke untuk saya hari ini?

Saya tersentak seketika kerana lebihan wang yang sebelum ini kerapkali saya sedekahkan kepadanya seolah-olah dianggap sebagai suatu kemestian.

Saya: Mengapa saya mesti beri tip kepada kamu? Bukankah kamu sudah diberi gaji?

BK: Errr... tak mengapalah, terimakasih, saya pergi dulu.

Saya: Saudara... rezeki sebenar datangnya dari Allah SW dan bukan dari manusia lain, manusia lain itu hanyalah sebagai perantaraan sahaja. 

BK: Baiklah encik, saya pergi dulu, banyak lagi kurier yang perlu saya hantar. 

Budak kurier itu terus berlalu walaupun ada lagi yang ingin saya sampaikan kepadanya. Mungkin terkejut agaknya dengan "kuliah" saya dan membuat keputusan untuk berlalu dengan segera. Apakah sebenarnya yang saya maksudkan rezeki sebenarnya datang dari Allah SW dan manusia lain itu hanyalah sebagai perantaraannya sahaja?

1. Bayaran untuk kos penghantaran tersebut bergantung kepada jumlah berat buku yang saya tempah secara online itu, saya tidak tahu berapa berat buku yang ditempah, maka kos penghantaran tersebut selalunya hanya diketahui semasa pesanan tersebut tiba. 

2. Saya tidak tahu dominasi duit kertas apa yang akan tinggal didalam dompet saya sebelum budak kurier itu sampai. Mungkin saya ada wang kecil dan mungkin tidak. Dalam kejadian diatas, agak tidak arif untuk "bersedekah" 80 dirham (dengan memberi kepadanya 2 keping wang 100 dirham) kepada seseorang yang punyai pekerjaan tetap. Bagi saya lebih baik saya sedekahkan kepada mereka yang fakir miskin. 

Siapa yang sebenarnya yang mampu menentukan 2 faktor diatas yang mana akan menjamin yang budak kurier tersebut dapat rezeki lebih pada masa tersebut? Tidak lain tidak bukan hanyalah Allah SW. Dia (Allah SW) jualah yang menentukan jumlah berat buku yang saya tempah yang mana ianya diluar kawalan saya dan begitu jugalah dengan wang kecil yang akan tersimpan didalam dompet saya. Jika pagi tersebut saya terfikir ingin membeli sarapan diluar, maka jumlah wang tentu akan berbeza jika saya memilih untuk masak sendiri sarapan dirumah.

Pada pendapat saya jika budak kurier tersebut melakukan kerjanya dengan ikhlas, bersyukur kepada Allah dengan gaji yang sudah terjamin akan diterimanya setiap akhir bulan, rezeki lebih insyaallah akan diberikan oleh Allah SW (kerana takwa). Jika kita ingat rezeki datangnya dari insan lain yang mana dalam kejadian diatas, budak kurier tersebut tanpa segan silu meminta dari saya seolah-olah ianya satu kemestian, syarat atau undang-undang, beliau hanya membuatkan rezekinya bertambah sempit, contohnya saya menjadi tawar hati untuk menghadiahkan kepadanya lebihan wang pada penghantaran yang akan datang.

Budak kurier tersebut tidak punyai kuasa untuk memastikan saya senantiasa memberinya "tip", akan tetapi bagaimana pula dengan manusia yang mengambil "tip" secara paksa dari insan lain hanya kerana mereka punyai sistem atau kuasa untuk melakukannya?, contohnya;

1. Apa? kamu berminat nak beli barang ni? tak mengapa, disebabkan kamu tak mampu nak beli secara tunai, aku belikan untuk kamu dan aku beri kamu masa untuk membayarnya tetapi aku jual kepada kamu  berganda dari harga asal, tetapi jika kamu tidak mampu bayar, harta kamu akan dirampas dan akan dilelong (macam biasa dengar je cerita ni...). Ini untuk memastikan kebajikan pemegang saham kami, kebajikan kamu kami tak peduli. Risiko hanya kepada kamu, risiko kami tiada atau kami minimumkan.

2. Apa, nak aku tauliahkan projek ini kepada kamu? tak mengapa, pastikan 10% dari jumlah kontrak itu nanti masuk ke akaun aku ya. Aku yang punya kuasa untuk meluluskan suatu projek ini, tak setuju  ramai lagi kontraktor yang sedang menunggu. 

Allah SW menghalalkan perniagaan, mengharamkan riba', penipuan dan penindasan kerana apa? Kerana melalui riba', penipuan dan penindasan, manusia menutup pintu risiko, yang mana melalui risiko itulah Allah SW akan membuatkan sesetengah insan akan untung dan sesetengah insan lain akan rugi dan dari situ nanti kekayaan akan tersebar secara adil sesama manusia. Rezeki yang halal bukannya datang dari "sistem perniagaan" yang meminjam wang (berselindung disebalik jual beli) dan dengan peminjam yang di"pukau" bahawa sistem mereka itu halal, terpaksa membayar balik pinjaman yang diberikan berganda dari jumlah asal. Dan jika perniagaan tersebut tidak punyai risiko, (peminjam gagal bayar, harta akan dilelong) maka itu bukan perniagaan akan tetapi penindasan.

Apabila manusia dengan bongkaknya menyalah gunakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka dengan memastikan rezeki lebih mereka didalam genggaman mereka sendiri, mereka menolak Allah SW sebagai pemberi rezeki dan menganggap kuasa ditangan mereka itulah pemberi rezeki. Tiada risiko bagi mereka kerana mereka sentiasa untung dan yang rugi hanyalah rakyat jelata yang menjadi "keldai" bekerja keras membayar cukai yang mana disebabkan kuasa mereka itu, duit rakyat akan masuk ke kocek mereka. Sebab itulah mereka yang korup senantiasa mahu kekal berkuasa dan melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka kekal berkuasa baik dari kawalan media, undi hantu, undi pos, politik wang dan sebagainya. 

Apabila rezeki ditentukan oleh sistem dan kuasa, maka berlakulah ketidak adilan dan pelbagai masaalah sosial akan timbul. Manusia tidak lahir sebagai pencuri, persekitaran yang membentuk manusia tersebut menjadi pencuri dan manusia kebanyakan tanpa menyedarinya secara tidak langsung membantu melahirkan generasi pencuri tersebut, bagaimana? mereka menjadi penyokong kepada sistem atau kuasa yang menyebabkan ketidak-adilan penyebaran rezeki itu semakin berleluasa. Buka mata dan lihatlah keadaan sekeliling, dari rumah yang dahulunya tingkap dua bilah yang boleh dibuka begitu sahaja semasa tidur dimalam hari, bertukar kepada tingkap bergril dan yang terbaru pula warga nepal atau bangla menjadi jaga mengawal kawasan perumahan. Mengapa ini terjadi? Tiada yang percuma didunia ini dan ini lah harga yang terpaksa kita bayar apabila ekonomi tidak lagi manusia serahkan kepada Allah SW untuk menentukannya, sebaliknya melalui kuasa dan sistem ciptaan manusia itu sendiri.

Apa yang ingin saya sampaikan disini adalah rezeki yang sebenar datangnya dari Allah SW, pekerjaan yang kita lakukan hanyalah sebagai mekanisma untuk rezeki tersebut sampai kepada kita. Hanya pekerjaan yang dilakukan dengan ikhlas, memberi nilai, memberi kebaikan kepada insan lain sahajalah yang boleh dianggap rezeki yang halal, bukan dari sistem atau kuasa yang menindas insan lain. Bekerjalah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, Allah SW itu tahu apa yang tersimpan dihati dan akan senantiasa memberi kelimpahan rezeki kepada mereka yang benar-benar bertakwa. Banyak faktor yang mempengaruhi bagaimana rezeki akan sampai atau pergi dari kita dan siapalah kita manusia yang kerdil ini yang mampu mengawalnya. Serahkan kepada Allah SW, nescaya akan perolehi ketenangan hidup didunia dan kegembiraan sejati diakhirat kelak, insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Jumaat, 30 Julai 2010

Tiada Yang Percuma DiDunia Ini.

Udara yang kita semua sedut dengan kadar purata 12 sedutan seminit ini, adakah ianya percuma? Jika dilihat pada perspektif kasar, ya, memang ianya seolah-olah percuma kerana kita tidak perlukan wang atau duit membayarnya. Akan tetapi adakah segala yang kita nikmati didunia ini semestinya berurusan dengan wang atau duit? Bagaimana jika saya katakan udara yang kita sedut ini tidak percuma? Mungkin ada yang setuju dan mungkin ada yang kata tidak.

Bagaimana pula dengan mereka yang mengambil hak insan lain secara sedar atau tidak, contohnya dengan mengambil rasuah, mencuri, makan harta anak yatim, menipu dan mana ini adalah secara langsung. Yang terselindung pula adalah riba' samada faedah dari bank ataupun saham tidak halal yang mana manusia mengambil hak insan lain samada secara paksa (riba' dengan Along) ataupun secara sukarela (riba' atau pembiayaan jual beli dengan bank).

Bagaimana pula dengan skim cepat kaya atau yang berselindung disebalik MLM dengan menjual produk sambil memperdayakan ahli mencari ahli yang lain dan kemudiannya yang menjadi mangsa selalunya adalah mereka yang berada dibawah sekali dalam tingkat piramid? Malah ada syarikat yang menggunakan konsep ini sambil menjual barangan berunsurkan Islam.

Tiada yang percuma didunia ini dan apa yang dinikmati dan nampak seolah-olah percuma itu sebenarnya ada harga yang mesti dibayar. Disini saya akan membawa rakan-rakan sekalian untuk kembali merenung dan berfikir dari asas kehidupan itu sendiri hinggalah kepada mengapa Allah melarang kita mengambil hak orang lain samada mencuri, mengambil rasuah, makan harta anak yatim dan terutamanya riba' yang mana Allah dan rasul mengishtihar perang terhadap mereka yang berbuat demikian.



Sebelum wujudnya wang samada kepingan emas, perak ataupun wang kertas, bagaimanakah caranya manusia mendapatkan barang keperluan contohnya makanan? Manusia harus berusaha mencarinya kerana ianya tidak datang bergolek didepan mata. Ada yang mencarinya dihutan dengan memetik buah-buahan ataupun memburu. Makin lama muncul pula pengkhususan dimana manusia mengusahakan sawah atau ladang. Bagaimana pula jika manusia inginkan barangan lain selain dari apa yang diusahakannya? Maka muncul pula situasi dimana manusia mula bertukar-tukar barangan (barter).

Ini bermakna, jika saya ada mahukan sesuatu contohnya beras, maka saya perlu berusaha menanamnya atau mencari sesuatu yang berguna, punyai nilai dan dikehendaki oleh manusia lain contohnya seberkas kayu api, dan saya juga perlu berusaha mencari sesiapa yang punyai beras dan mahukan kayu api. Apabila bertemu maka saya harus berbincang dan bersetuju mengenai kadar pertukaran, mungkin seberkas kayu api saya itu boleh saya tukarkan dengan secawan beras. Saya juga harus berakad untuk menyempurnakan urusan seumpama jual beli ini. Jika tidak dengan bertukar barangan, saya boleh juga menukar beras itu dengan skil yang ada pada diri saya, contohnya menuai padi untuk pemunya sawah dan kemudiannya dia mengupah saya dengan sejumlah beras.

Ini bermakna, jika saya tidak punyai apa-apa iaitu suatu yang bernilai atau skil berguna yang memberi perkhidmatan kepada manusia lain, maka tidak mungkin saya akan memperolehi sesuatu barangan lain kecualilah jika saya menjadi peminta sedekah ataupun mencuri. Semua harus didahulukan dengan usaha dan usaha memerlukan tenaga, saya mesti punyai suatu yang bernilai dahulu sebelum boleh ditukarkan dengan suatu yang bernilai dan tukaran itu juga mestilah setanding dengan barang yang mahu ditukar dan disusuli pula dengan persetujuan (akad) untuk proses tersebut.

Sekarang saya cuba kaitkan pula proses ini dengan fizik, usaha memerlukan tenaga dan ini bermakna tanpa melibatkan tenaga, sesuatu hasil (barang atau perkhidmatan) tidak akan diperolehi. Menurut teori relativiti Einstein, berdasarkan formula E=MC2, tenaga dan jirim (mass) adalah dua benda yang sama tetapi dalam bentuk yang berbeza dan kedua-duanya saling bertukar. Ini bermakna dari tenaga yang kita keluarkan, ia berubah manjadi suatu yang nyata, jelas dan fizikal (jirim). Menurut hukum pengekalan tenaga (Law of conservation of energy) pula, tenaga didalam suatu sistem tertutup itu tidak boleh dihasilkan atau dimusnahkan, ia hanya boleh berubah dari satu bentuk kepada satu bentuk yang lain samada melalui kinetik, induksi, konveksi ataupun radiasi.

Allah menjadikan matahari sebagai punca utama tenaga didunia ini dan dari tumbuh-tumbuhan, tenaga mathari tersebut bertukar menjadi sesuatu yang berguna untuk umat manusia, baik untuk makanan mahupun barang diguna pakai, dari makanan ruji seperti gandum dan beras hinggalah kepada minyak yang mana ianya adalah hasil dari reputan tumbuh-tumbuhan dan dinasour beribu-ribu tahun dahulu yang juga mendapat tenaga dari matahari. Tenaga tersimpan dalam bentuk suatu yang wujud (jirim) ataupun gelombang seperti gelombang bunyi ataupun gelombang haba. Tenaga berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain dan pertukaran ini nampak seperti suatu yang boleh dikawalsecara mutlak sedangkan pada hakikatnya itu tidak dapat dicapai sama sekali dimana jika dilihat dari sudut sub-atomik, ianya hanyalah kemungkinan dan kebarangkalian sahaja. Einstein sehingga akhir hayatnya tidak dapat menerima hakikat bahawa dunia sub-zarah memang terbukti suatu yang tidak boleh ditentukan hingga ungkapan beliau "Tuhan tidak bermain dadu" masih diungkapkan didalam kebanyakan buku falsafah fizik. Jadi adakah Allah SW "bermain dadu" dan membiarkan dunia tenaga atau sub-zarah ini dengan ketidak tentuan?

Sejak lebih 300 tahun dahulu kebanyakan kita diasuh dengan fizik klasik yang dikemukakan oleh Newton berdasarkan asas yang diberikan oleh Descartes, Galileo, Kepler dan Copernicus, dan melaluinya konsep sesuatu yang berlaku ada penyebabnya (causality), dengan menggunakan hukum gerakan Newton, kehidupan didunia ini boleh dikira baik dari perlanggaran biji guli hinggalah kepada menerbangkan roket keangkasa. Manusia percaya kepada suatu yang jelas, yang nampak, yang boleh diuji dan dikaji, maka dalam bab mengambil rasuah, makan riba', mencuri dan sebagainya ini, manusia percaya dengan kuasa, kebijaksaaan, kelicikan dan sebagainya yang ada pada diri mereka, mereka dapat mengira, mengagak dan mengawal harta atau wang ringgit yang didapati dengan cara tidak sah itu. Akan tetapi dunia yang jelas memang boleh dikawal, diagak dan sebagainya, tidak didalam dunia zarah sub-atomik.

Pada pendapat saya menerusi pengamatan dan penelitian, Allah tidak membiarkan dunia zarah sub-atomik ini dengan ketidak tentuan, Allah telah pun meletakkan undang-undang tertentu tetapi tidak disebut secara langsung kepada umat manusia. Ini kerana Allah SW mahu menguji hambanya dan mahukan hambaNya yang berfikir akan tetapi diakhir zaman ini amat kurang sekali umatnya yang berbuat demikian kerana telah tenggelam dengan hiburan, kesenangan dan kemewahan. Cuma mereka yang benar-benar beriman sahaja yang tidak perlu tahu mengapa Allah SW memerintahkan sedemikian kerana mereka yakin dan percaya apa yang diperintahkan Allah itu ada hikmahnya. Manusia akhir zaman dengan punyai ilmu yang sedikit bongkak bangun menentang apa yang diperintahkan Allah dengan alasan sudah jumud, menindas dan menyalahi hak kebebasan memilih, hak individu dan sebagainya. 

Allah maha adil, itulah undang-undang atau hukum yang menidakkan ketidaktentuan dunia sub-zarah atau dunia tenaga. Setiap apa yang kita nikmati baik dari udara yang disedut, wang dan kekayaan yang diperolehi mestilah secara adil. Jika kita tidak menjaga alam sekitar (tumbuh-tumbuhan) bahananya adalah perubahan cuaca dunia. Jika kita mendapat kekayaan dengan mengambil hak insan lain, terjadilah pelbagai penyakit sosial masyarakat terutamanya kecurian, penipuan, rasuah dan sebagainya dan ia akan berbalik kepada diri kita sendiri. Semua yang kita nikmati ini ada tanggungjawab dan harga yang terpaksa dan perlu dibayar.

Bermula dengan pertukaran barang, kemudiannya emas atau komoditi sebagai wang hinggalah kepada penggunaan kertas yang mewakili wang, jika difikirkan secara mendalam, wang sebenarnya hanyalah mewakili sebanyak mana tenaga yang kita usahakan dan tenaga ini bertukar bentuk dari usaha atau kerja kepada wang dan kemudiannya dari wang itu kita mendapat sesuatu yang lain. Contohnya kita bekerja dan hasil dari kerja itu kita mendapat gaji dalam bentuk wang, dan dengan wang itu kita boleh mendapatkan khidmat usaha manusia lain ataupun barangan yang diusahakan oleh orang lain. Semuanya berbalik kepada usaha dan usaha itu asalnya dari tenaga. Dan melalui interaksi sesama manusia inilah (jualbeli dan perkhidmatan), tenaga berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain. Persoalannya, adakah tenaga yang kita perolehi (yang diwakili oleh wang itu) benar-benar milik kita?

Apabila kita hanya mengambil tenaga dari insan lain contohnya dengan riba' iaitu memberi pinjaman dan mengambil faedah lebih dari yang dipinjamkan, insan yang meminjam itu terpaksa memberikan tenaga yang diperolehinya (dari usahanya sendiri) kepada kita tanpa timbal balas yang adil, perumpamaan yang saya boleh berikan adalah ibaratkan diri kita secawan air yang mana dari tenaga insan lain (yang kita paksa mereka berikan kepada kita) maka suhu kita (air) tersebut akan meningkat. Maknanya tenaga dari insan lain beralih kepada diri kita dan diri kita mempunyai lebih tenaga (suhu tinggi dari persekitaran). Ini boleh dilihat dengan mereka yang kaya raya dimana mereka lebih bertenaga dan berkuasa sedangkan yang miskin lemah dan tidak punyai tenaga hatta untuk menanggung diri sendiri sekalipun.

Dan ini yang dapat kita lihat keadaan didunia ini sekarang dimana perbezaan yang ketara antara yang kaya dan yang miskin. Akan tetapi Allah itu maha adil dan zarah sub-atomik yang mana ianya merupakan gumpalan tenaga (quanta) ini akur kepada perintah Allah. Tenaga ini akan keluar dan kembali semula kepada pemunya asal tenaga tersebut. Rujuk kembali kepada perumpaman secawan air itu tadi, jika suhu persekitaran rendah berbanding suhu air tersebut, lama kelamaan suhu air didalam cawan itu akan kembali kepada suhu persekitaran. Jika kita letak air tersebut didalam thermos sekalipun lama kelamaan suhunya tetap akan turun juga menyamai persekitaran dan ini yang cuba dilakukan oleh mereka yang kaya dengan hasil usaha insan lain (riba', rasuah, menipu dan sebagainya).

Perumpamaan memasukkan air tersebut kedalam thermos adalah dengan memasang grill pada rumah, meletakkan pengawal keselamatan ataupun alat penggera yang mana manusia cuba menghalang tenaga (wang ringgit) tersebut kembali kepada pemunya asal, akan tetapi tenaga itu tetap akan lari dengan cara lain samada hilang ketenangan dan kegembiraan, dan manusia perlu mengeluarkan wang (tenaga yang disimpan) untuk mencarinya (ketenangan) ataupun hilang kesihatan yang mana akan hilang juga wang (tenaga yang disimpan) untuk mengubatinya. Apabila ekonomi masyarakat berasaskan riba', rasuah ataupun penipuan, maka ketidak adilan akan berlaku maka suhu yang kaya akan semakin meningkat dan suhu yang miskin akan semakin rendah. Bagi miskin yang tidak beriman mereka akan merompak, dan bagi kaya yang tidak beriman mereka akan cuba menghalang wang yang mereka perolehi secara tidak adil itu dengan pelbagai sistem dan alat keselamatan.

Kekayaan atau kemewahan yang sebenarnya adalah apabila seseorang manusia itu memberi sesuatu yang memberi lebih nilai kepada insan lain, yang akan menaikkan suhu atau tenaga insan lain. Contohnya jika saya bukukan artikel blog ini dan menjualnya dengan harga sepuluh ringgit dan hasil dari pembacaan artikel saya itu pembeli buku saya itu menjadi lebih positif hidupnya dan lebih beriman (insyaallah) maka tenaga (wang) yang saya perolehi dari pembeli itu akan menaikkan suhu diri saya (makin kaya) dan pada masa yang sama suhu pembeli juga akan meningkat hasil dari perubahan cara berfikir dan juga cara hidup yang lebih baik. Barulah keadilan wujud disini dan kedua-dua pihak iaitu saya dan pembeli buku saya mendapat kebaikan dari urusniaga tersebut. Wang yang saya perolehi akan kekal pada diri saya kerana jumlah tenaga saya dan masyarakat sekitar menjadi sama.

Bagaimana pula jika saya mendapat kekayaan dengan mengambil rasuah? Apakah nilai yang telah saya berikan kepada insan lain? Tenaga didalam diri saya akan meningkat akan tetapi persekitaran semakin rendah. Bagaimana pula dengan cara menipu? Bagaimana pula dengan cara memanipulasikan harga barangan contohnya menyorok gula atau beras dengan harapan harga akan naik dan kemudian baru menjualnya? Bagaimana pula dengan mengumpul kekayaan dengan riba'? Tenaga (wang ringgit) yang saya dapati itu tidak akan kekal dan akan mengalir keluar dengan pelbagai cara dan sudah semestinya dengan kepayahan dan kesusahan. Dan inilah janji Allah bagi mereka yang hanya mahu mengambil tetapi tidak mahu memberi (rujuk Surah Al-Lail 92:8-10).

Semua larangan Allah itu adalah kerana Allah itu maha penyayang dan tidak mahu hambaNya mendapat kesusahan baik didunia mahupun diakhirat, akan tetapi manusia semakin hari tidak percayakan Allah dan apatah lagi tamadun manusia itu sendiri tidak pernah meminta manusia untuk bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku keatas diri mereka dan menganggap apa yang terjadi keatas diri mereka hanyalah kerana mereka adalah mangsa dan manusia lain itu penyebabnya. Fizik kuantum telah melenyapkan tanggapan ini dan meletakkan apa yang terjadi didalam hidup manusia itu adalah hasil dari perbuatan mereka sendiri (rujuk Surah Ar-Rum 30:41).

Hasil dari urusan sehari-harian samada kerja ataupun urusan jualbeli, amat sukar untuk mempastikan apa yang kita perolehi itu benar-benar milik dan hak kita. Contohnya masa kerja yang kita sepatutnya berikan adakah benar-benar kita telah berikan kepada majikan kita dengan sepenuhnya? Begitu juga dalam urus niaga jual beli, mungkin ada terkurang timbangan yang mana mungkin tanpa sedar kita telah menganiaya insan lain. Maka disinilah pada pendapat saya kelebihan zakat yang mana zakat itu yang kita berikan akan menaikkan kembali suhu persekitaran dan kekayaan yang kita perolehi itu akan benar-benar dirahmati Allah SW dan zarah sub-atomik (tenaga) yang kita perolehi itu akan kekal bersama kita dan tidak lari mengalir keluar.

Begitu jugalah dengan bersedekah yang mana apabila kita memberi kepada insan lain, ini juga akan memberi tenaga (melalui sedekah itu tadi) kepada insan lain lantas menaikkan "suhu" tenaga mereka, maka barulah kita akan mendapat masyarakat yang hidup aman dan harmoni. Hidup sebenarnya adalah untuk memberi dan apabila kita memberi itu balasan itu hanyalah dari Allah (Surah Al Lail 92:5-7) maka akan Allah permudah jalan bagi kita. Allah SW telah memberi perumpaan bahawa mereka yang bersedekah dan mengharapkan balasan hanya dari Allah itu pula adalah umpama biji benih yang kemudiannya menumbuhkan tujuh tangkai (Surah Al Baqarah 2:261), bagaimana tenaga ini akan kembali kepada kita? Jika anda telah membaca artikel Fizik Dosa dan Pahala, anda pasti akan memahaminya. Seluruh makhluk, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan gunung-ganang berzikir dan akur kepada perintah Allah dan melalui mereka jugalah tenaga yang kita berikan kepada insan lain akan kembali semula kepada kita.

Udara yang kita sedut ini tidak percuma, sebaliknya ianya adalah proses pertukaran antara kita manusia dan juga tumbuh-tumbuhan yang mengambil karbon dioksida dan memberikan kita oksigen untuk hidup. Semua ini telah berlaku secara adil dengan ketentuan Allah dan apabila manusia tidak sayangkan alam sekitar dan memusnahkannya, maka kesan buruk itu jugalah yang menimpa manusia itu kembali. Begitulah juga dengan hubungan antara manusia dengan manusia yang lain, mestilah dilakukan dengan seadil-adilnya, jika tidak penyakit masyarakat akan berlaku dan dunia secara sendirinya berubah menjadi neraka. Tiada yang percuma didunia ini, semuanya ada harga yang terpaksa dibayar. Celakalah mereka yang mengambil hak insan lain dan tidak menyumbang untuk menaikkan taraf hidup (suhu dan tenaga) insan lain. Moga artikel ini dapat menerbitkan pemikiran baru bagaimana kita semua melihat dunia ini, insyaallah.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Isnin, 31 Mei 2010

Fizik Kuantum Dan Falsafahnya Dalam Kehidupan.

Seringkali saya mengaitkan fizik kuantum didalam artikel-artikel saya yang lepas, mungkin ramai dikalangan rakan-rakan yang pernah mendengar perkataan Fizik kuantum ataupun Quantum physic akan tetapi mungkin tidak ramai yang mengetahui apakah sebenarnya yang dikatakan fizik kuantum itu.

Pada awal abad ke 19, seorang saintis German bernama Max Plank melalui kajiannya mengenai struktur atom dan juga "black body radiation" mendapati tenaga (energy) secara semulajadinya adalah dalam bentuk gumpalan (lump) atau ketulan (chunk) dan bukanlah dalam bentuk gelombang radiasi berterusan seperti yang difahami sebelum itu, ianya dinamakan "quanta" iaitu bermaksud kuantiti, dari situ wujudlah bidang fizik baru yang dinamakan Quantum Fizik atau Quantum Mekanik.

Quantum Fizik (QF) adalah fizik mengenai atom, apa yang membentuk atom itu dan juga bagaimana perilaku "sub-atomic particle" atau zarah-zarah yang membentuk atom itu sendiri. QF juga digelar sebagai fizik baru atau moden dan amat berbeza daripada fizik klasik (sebelum 1900) yang diasaskan oleh Aristotle hinggalah oleh Newton. Menerusi quantum fizik juga, falsafah barat yang dikemukakan oleh ahli falsafah Peranchis pada kurun ke 17 Rene Descarte iaitu jasad atau material dan minda adalah dua unsur yang berbeza atau tiada kaitan antara satu sama lain menjadi goyah oleh penemuan-penemuan baru oleh fizik moden ini. Melalui ujikaji QF, terbukti minda mempengaruhi dunia materialistik yang manusia anggap selama ini diluar kawalan mereka.

Bagaimana pula sifat dan perilaku atom itu mempengaruhi manusia? Kita semua terbentuk dari jutaan-jutaan sel yang bergabung membentuk jasad, dan sel-sel terbina dari molekul, dan molekul pula terbentuk dari atom, jadi jika kita ingin mengkaji kehidupan, bukankah kajian mengenai atom itu sendiri yang merupakan asas binaan tubuh manusia itu amat penting? Hampir kesemua alat elektronik kegunaan manusia moden masa kini amat berkait dengan QF, dari pemain CD, DVD, TV, telefon bimbit, komputer, tenaga nuklear dan sebagainya, semua ini dicipta dengan prinsip QF itu sendiri. Walaupun rata-rata manusia menggunakan alat yang dicipta dengan bantuan fizik moden ini didalam kehidupan manusia seharian, pemikiran manusia itu sendiri masih lagi menggunakan prinsip klasik dalam hampir setiap detik kehidupan yang dilalui.

Disini saya akan cuba untuk berkongsi dengan rakan-rakan sekalian beberapa idea-idea baru dan falsafah disebalik QF yang mana pada pendapat saya amat penting untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Ada sesetengahnya sudah kita gunakan atau alami sehari-harian akan tetapi tidak tahu mengapa ianya sebegitu, contohnya apabila kita tersedak kononnya ada orang menyebut-nyebut nama kita, bagaimana jika saya katakan eksperimen untuk menunjukkan kejadian itu memang boleh berlaku dan terbukti didalam ujikaji yang dijalankan?, dan ini adalah satu konsep didalam QF yang dipanggil "entanglement" yang mana menyatakan zarah, objek mahupun manusia didunia ini berkait dan berhubungan sesama sendiri tanpa perantaraan yang jelas. Saya akan berkongsi beberapa konsep didalam fizik kuantum dan cuba mengaitkan dengan kehidupan kita sehari-harian.

1. Kedudukan Zarah - Hanya Kemungkinan dan Kebarangkalian.

Atom yang kita belajar disekolah adalah seperti planet-planet mengelilingi matahari dimana elektron berputar mengelilingi nukleus yang terdiri daripada neutron dan proton. Walaupun konsep ini diterima pakai untuk menjelaskan kelakuan atom dan bagaimana ia boleh berinteraksi dengan atom-atom lain untuk membentuk molekul dan seterusnya membentuk semua benda disekeliling termasuklah tubuh badan manusia itu sendiri, hasil dari kajian dan eksperimen terbaru atom tidak terbentuk sebegitu rupa, lebih kepada abstrak, suatu yang tidak boleh dijelas atau digambarkan, malah untuk menentukan kedudukan dan perilaku zarah-zarah didalamnya atom itu sendiri hanyalah dapat dilakukan dengan bahasa metematik dan formula yang didalam perkiraannya juga hanyalah memberikan kemungkinan dan kebarangkalian sahaja dimana zarah-zarah itu berada. Antara dua formula yang masyur adalah "Wave Function Equation" oleh Erwin Schrodinger dan "Matrices Mechanic" oleh Werner Heisenberg.

Pada tahun 1927, berlaku satu perjumpaan ahli fizik di Brussel (Solvay Conference) yang mana mereka membincangkan penjelasan mengenai zarah-zarah dunia sub-atomik. Terdapat dua pihak yang bertelagah, iaitu satu pihak yang diwakili oleh Albert Einstein yang menyatakan tidak mungkin zarah ber"kemungkinan" sahaja berada disuatu tempat, Neils Bohr yang mewakili sebelah pihak lagi mengemukakan pendapatnya bahawa secara matematiknya itulah sifat atau kelakuan zarah-zarah didalam atom. Satu ungkapan Einstein yang amat popular dalam perdebatan mereka adalah "Tuhan tidak bermain dadu", Bohr pula membalas "Einstein, berhenti memberitahu tuhan apa yang patut dilakukan".

Berbeza dengan falsafah fizik klasik yang mana semua kehidupan didunia ini adalah berlandaskan 3 hukum gerakan Newton (Newton Law Of Motion) yang mana semua kejadian boleh diramalkan, ini tidak berlaku didalam dunia sub-atomik yang mana hanya kemungkinan dan kebarangkalian sahaja yang boleh dikira. Jika kita kaitkan konsep ini didalam kehidupan sehari-harian, tiada apa yang pasti, semua hanyalah kemungkinan dan kebarangkalian sahaja yang ianya boleh dan akan berlaku. Malah jika kedudukan zarah diketahui, kita tidak boleh mengira momentum zarah tersebut, begitu juga sebaliknya.

Lihat kehidupan yang kita lalui ini, nampaknya seolah-olah ianya juga sebegitu jika kita samakan ianya dengan dunia sub-atomik, dunia seolah-olah tiada kepastian, hanya kebarangkalian dan kemungkinan sahaja, jadi jika tiada kepastian, dari mana pula datangnya takdir? Sebab itu Albert Einstein tidak dapat menerima kenyataan Neils Bohr kerana baginya tuhan tidak menjadikan dunia ini seperti suatu perjudian. Saya juga bersependapat dengan Einstein, akan tetapi apa yang akan menjadikan dunia ini suatu kepastian atau takdir adalah dengan undang-undang kehidupan seperti yang Allah berikan didalam Al Quran. Akan saya jelaskan selepas ini.

2. Dua sifat Elektron - Zarah (Particle) Atau Gelombang?

Cahaya amat berkait rapat dengan atom, cahaya terbina dari unit kecil yang dipanggil photon manakala atom diwakili oleh unsur sub-atomik lebih kecil yang dipanggil zarah samada elektron, neutron atau proton. Atom boleh mengeluarkan tenaga darinya dalam bentuk photon. Sejarah awal kajian mengenai cahaya adalah oleh Christian Huygens dalam abad ke 16, dia mengemukakan pendapat bahawa cahaya berfungsi sebagai gelombang, umpama gelombang apabila seketul batu dijatuhkan didalam kolam. Pada kurun ke 17 pula Sir Isaac Newton meramalkan bahawa cahaya terbina dari zarah-zarah kecil yang dinamakan "corpuscular". Dalam abad ke 18 pula, Thomas Young melakukan ujikaji yang amat mashyur didalam dunia fizik iaitu apa yang dinamakan "Double Slit Experiment" membuktikan bahawa cahaya berkelakuan sebagai gelombang dan bukan zarah. Pada tahun 1905 pula, Albert Einstein yang pada masa itu bekerja sebagai kerani di Zurich mengeluarkan kertas saintifik mengenai "Photoelectric Effect" yang mana menyatakan bahawa cahaya terdiri dari zarah-zarah kecil yang dinamakan photon melalui konsep bagaimana tenaga diserap dan disebarkan. Ini selari dengan penemuan Max Plank yang mana asal nama QF itu bermula iaitu "quanta". Persoalannya mana satu yang betul, adakah cahaya atau sub-atomic bersifat gelombang atau zarah, atau mungkinkah kedua-duanya sekali?

Atom dan cahaya amat penting didalam kehidupan manusia, tanpa atom tiada jasad atau benda yang terbentuk dan tanpa cahaya pula tiada apa yang boleh dilihat oleh manusia. Akan tetapi hasil dari kajian fizik kuantum ini, ahli fizik membuat kesimpulan bahawa keputusan suatu ujikaji yang menentukan samada hasilnya adalah gelombang atau zarah adalah berdasarkan untuk tujuan apa ujikaji itu dijalankan, jika ia untuk mengkaji cahaya atau zarah sebagai gelombang, maka gelombang yang akan dilihat dan begitu juga sebaliknya. Ini apa yang dipanggil sebagai "complimentary principle" sub-atomik yang mana ia boleh bersifat sebagai zarah atau gelombang bergantung kepada niat dan tujuan sesuatu ujikaji itu dijalankan.

Berbalik kepada kisah perjumpaan ahli fizik di Brussel, hasil dari perbincangan mereka terhasilah interpretasi mengenai fizik kuantum, apa yang disebut "Conpenhagen Interpetation of Quantum Mechanic". Ia secara amnya menyatakan kita tidak boleh mengukur atau memeriksa kedudukan sesuatu zarah itu sebelum kita melihat zarah itu sendiri, hanya kemungkinan dan kebarangkalian sahaja zarah itu berada pada suatu lokasi sehinggalah kita melihat atau mengukurnya. Hanya apabila kita mengukur atau melihatnya, apa yang dinamakan "Collapse of Wave Function" berlaku menyebabkan zarah yang sebelum ini berada pada semua lokasi (superposition) pada satu-satu masa itu menjadi suatu yang nyata.


Dari penerangan video diatas, atom berada dalam keadaan "superposition" iaitu semuanya adalah hanya kebarangkalian dan kemungkinan sahaja. Hanya apabila kita membuat pengukuran atau melihat maka ia menjadi suatu yang nyata dan bukan sekadar gelombang (collapse of wave function). Ini yang dikatakan kita mencipta realiti kehidupan, melalui cara kita melihat dunia itu sendiri dari pemikiran. Ini juga rahsia disebalik hukum tarikan (Law of Attraction). Pada pendapat saya, disinilah kita sebagai manusia perlu menumpukan terhadap apa yang kita ingin kan dan sebagai seorang muslim kita sudah ada latihan untuk fokus dan tumpukan perhatian iaitu solat. Akan tetapi berapa ramai manusia yang mampu melakukannya?, maka untuk mencipta realiti hidup amat sukar dan rata-rata manusia akan hidup didalam ketakutan, risaukan perkara buruk akan berlaku kerana mereka adalah lemah dan hanya menjadi mangsa keadaan.

Fahaman baru ini juga amat bercanggah dengan fizik klasik yang mana dunia ini sudah dijadikan oleh tuhan seolah-olah sebuah "Great Machine" dan kita adalah salah satu gear-gear yang berputar didalamnya dan apa yang berlaku pada diri kita adalah disebabkan gear bersebelahan yang berputar, baik atau buruk yang berlaku didalam kehidupan, kita hanyalah sebagai mangsa dan tiada kena mengena langsung dengan sebab terjadinya sesuatu kejadian itu. Akan tetapi hasil dari kajian QF ini mendapati dari pemikiran kita sendiri, iaitu bagaimana kita mahu melihat kehidupan itu sendiri akan mempengaruhi kehidupan sebenar yang akan kita alami.

Adakah bercanggah dengan Islam? Bagi saya tidak kerana Allah itu Maha Pemurah dan apa sahaja yang kita kehendaki pasti akan dikurniakannya.
Dan Tuhan kamu berfirman: berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. (Surah Ghafir 40:60)
Akan tetapi mengapa hidup kita penuh dengan duka? Jika dari cara kita melihat atau mengukur dunia ini menentukan baik atau buruk "collapse of wave function" didalam kehidupan kita, cuba selidik rata-rata manusia hari ini hidup dengan pemikiran yang lebih negatif dari positif, manusia sentiasa berada didalam keadaan ketakutan, lihatlah apa paparan utama didalam berita, apa tajuk perbualan utama antara rakan-rakan, maka itu jugalah makin lama makin nampak didalam kehidupan. Sebab itu kita digalakkan sentiasa solat tanda bersyukur, jiwa yang tenang dan bersyukur akan memberikan pemikiran yang gembira lantas akan memberikan lebih kegembiraan didalam kehidupan.

Jika pemikiran kita mempengaruhi kehidupan dan Allah SW itu maha pemurah, mengapa apa yang kita pohon, kita pinta, kita mahukan tak kunjung tiba?
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. Surah (Albaqarah 2:186).
Kerana kebanyakan kita hanya berdoa apabila susah dan lupakan Allah dikala senang. Kita beriman kepada Allah tetapi tidak percaya Allah itu Maha Melihat dan Maha Mengetahui dan kita melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah dengan mudahnya, kemudian merungut Allah tidak perkenankan doa. Allah mahukan "full time" muslim dan bukannya "part time" muslim seperti maksud ayat surah AlBaqarah diatas.

Minda manusia memengaruhi kehidupan sebenarnya dan ujikaji dari bidang fizik kuantum ini telah membuktikannya, kita bukanlah hanya sekadar "mesin ciptaan Allah" dan hidup atas takdir yang kita sendiri tidak tahu samada ianya benar-benar takdir Allah. Manusia yang selalu menyalahkan takdir adalah manusia yang tidak mahu bertanggungjawab, samada mahu lepas tangan, hanya menyalahkan manusia lain atau tidak tahu bahawa apa yang terjadi sebenarnya adalah disebabkan samada dari pemikiran atau perbuatan yang mereka lakukan sendiri, apa yang saya panggil "takdir ciptaan sendiri". Apa? Takdir yang kita sendiri ciptakan? Ya, kita hidup didunia ini bukanlah bebas, ada "certain set of law" iaitu undang-undang yang harus diikuti dan ianya termaktub didalam Al-Quran dan jika kita menyimpang darinya, akan ada "takdir" yang tidak diundang dari sebab menyimpangnya kita itu.

3. Bell Theoram - Aku, Engkau, Kita Dan Mereka Adalah Berkait.

Salah satu fenomena pelik didalam QF adalah dimana prinsip fizik klasik iaitu "locality" menjadi goyah. "Locality" maksudnya sesuatu kejadian itu hanya boleh terjadi apabila ada penyebab secara langsung dan berdekatan. Contohnya sesuatu kejadian itu tidak mungkin berlaku hanya kerana orang lain yang letaknya beribu-ribu kilometer melakukan sesuatu. Telah saya berikan contoh pada dalam perenggan yang kelima mengenai gurauan kita terhadap fenomena tersedak, bagaimana pula dengan fenomena siibu yang berasa tak sedap hati atau resah gelisah apabila sesuatu kejadian buruk berlaku terhadap anaknya dirumah sedangkan dia tidak diberitahu pun apa yang terjadi?

Pada tahun 1964, seorang ahli fizik Irish bernama John Bell membuktikan secara matematik bahawa teori kuantum hubungan "non-local" yang digelar "spooky action at a distance" iaitu suatu unsur boleh memberi kaitan kepada sesuatu unsur yang lain walaupun tiada ada hubungan baik maklumat atau kominikasi sesama mereka. Teori beliau dinamakan Bell Theorem yang mana dianggap penemuan paling bermakna didalam abad ke 20 ini. Pada tahun 1972, dua ahli fizik Amerika bernama Stuart Freedman dan John Clauser telah berjaya melakukan ujikaji untuk membuktikan Bell Theoram dan pada tahun 1979 pula ahli fizik Peranchis bernama Alain Aspect berjaya melakukan ujikaji yang diterima secara meluas dalam pembuktian Bell Theoram, kaitan sesama unsur sub-atomik bukanlah lagi hanya menerusi matematik akan tetapi dengan bukti ujikaji yang kukuh.


Jika kita lihat asal kejadian dunia ini dari teori big bang (Surah Al-Anbiya 21:30) hinggalah kepada penciptaan Adam, dari penciptaan atom hinggalah kepada penciptaan manusia, kita semua sebenarnya mempunyai kaitan antara satu sama lain, terdapat perhubungan antara semua benda dan kehidupan ciptaan Allah ini melalui ruang tenaga yang tidaj kelihatan. Masaalah umat manusia hari terjadi kerana kita dibesarkan dengan pendekatan yang salah terutama dengan pemikiran Darwinian yang mementingkan perlunya menjadi yang terkuat, terhebat, terpandai, terkaya dan sebagainya untuk terus hidup, diri manusia itu menjadi semakin terasing. Kita tidak lagi melihat insan dan hidupan lain sebagai sebahagian dari diri kita sendiri ataupun sebagai salah satu dari ciptaan Allah yang perlu dijaga, dihormati, dididik, dikasihi dan sebagainya, sebaliknya manusia lebih mementingkan diri sendiri dan juga keluarga terdekat. Perpecahan dikalangan manusia makin jelas ketara hari ini apabila sianak dan ibubapa ada yang turun naik mahkamah bertelagah.

Apa yang kita lakukan akan menyebabkan sesuatu yang sama juga akan berlaku ditempat lain dan akhirnya akan kembali kepada diri kita semula, inilah janji Allah seperti ayat berikut,
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Surah Al-Isra 17:7.
Pengasihnya Allah itu melarang manusia melakukan sesuatu kejahatan adalah kerana ianya akan berbalik kepada manusia itu sendiri. Inilah antara undang-undang kehidupan yang Allah telah tetapkan. Ambil contoh larangan riba', didalam riba' kita menghisap darah manusia lain dengan memaksa mereka membayar lebih dari apa yang dipinjam, jadi kita hanya goyang kaki tanpa perlu peluh menitik setitis pun menantikan pulangan, kita menjadi perompak terhormat sebenarnya, dan apabila kita merompak orang lain, dari konsep "non-locality" fizik kuantum, kita membentuk diri insan lain menjadi perompak juga yang mana suatu hari nanti mereka ini akan merompak diri kita pula.

Cuba lihat kawasan perumahan masa kini, mengapa kecurian pecah rumah kerap terjadi hingga terpaksa mengupah pengawal untuk menjaga rumah? Mengapa setiap rumah harus dipasang grill? Manusia terpaksa hidup didalam penjara buatan sendiri. Boleh dikatakan hampir 99.99% rumah yang dibeli adalah dengan pinjaman riba' baik riba' ikut pintu depan (konvensional) mahupun riba' ikut pintu belakang (islamik), maka sebab itulah rompakan pecah rumah dan sebagainya semakin menjadi-jadi. Disebabkan kita merompak manusia lain tanpa sedar iaitu dengan menggalakkan inflasi (melalui lambakan wang pinjaman), menurunkan nilai wang dan menganiaya insan lain terutama yang miskin maka siapa harus dipersalahkan jika tidak diri sendiri? Manusia sendiri yang mencipta perompak yang akhirnya merompak diri mereka sendiri.

4. Tiada Yang Percuma Didunia Ini.

Dunia zarah sub-atomik sebenarnya amatlah sibuk, zarah tidak kekal didalam satu bentuk dan berubah menjadi unsur berlainan dan kemudiannya kembali kepada keadaan asal. terdapat hampir seratus sub-zarah baru dijumpai hasil dari ujikaji mengenai dunia subatomik ini, ahli fizik Kenneth Ford menggelar keadaan ini sebagai "particle zoo". Elektron contohnya tidak hanya kekal sebagai elektron tetapi sepanjang masa mengeluar dan menyerap photon. Keadaannya sebegini, mulanya ada elektron, kemudian elektron dan photon, kemudiannya hanya elektron. Proton boleh berubah menjadi dua unsur iaitu proton dan neutral pion (salah satu unsur sub-atomik), dan kemudiannya kembali kepada proton asal. Lihat photo disebelah yang menunjukkankan diagram untuk fenomena tersebut, diagram sebegini dinamakan Feynman diagram yang di kemukakan oleh ahli fizik Richard Feynman untuk menggambarkan fenomena dunia subatomik ini.

Akan tetapi kewujudan zarah lain ini tidak kekal dan hanya wujud dalam masa yang teramat singkat. Situasi ini amat bercanggah dengan hukum pengekalan tenaga (Conservation Law Of Mass-Energy, ingat e=mc2?) yang menyatakan kita tidak boleh mendapat sesuatu dari tanpa penambahan tenaga atau jisim (energy or mass), tetapi menurut teori kuantum ini, kita boleh mendapatkan sesuatu dari tanpa penambahan tenaga atau jisim, akan tetapi ia hanyalah untuk jangka masa yang teramat singkat iaitu kira-kira satu per trillion saat.

Apabila saya membaca kenyataan ini, terfikir akan saya tentang mereka yang mengambil hak orang lain seperti makan riba', mencuri, makan rasuah dan sebagainya dan menyangkakan bahawa mereka mendapatkan ianya secara percuma dan tidak ada apa yang akan berlaku kepada diri mereka. Apa yang diambil itu tadi hanya wujud dalam masa yang singkat sahaja berdasarkan cerita "particle zoo" itu tadi, hukum pengekalan tenaga itu juga menyatakan tiada yang datang secara percuma, perlu ada suntikan tenaga E atau M untuk mendapatkan sesuatu dan jika diperolehi pun hanya akan kekal dalam masa yang singkat. Jadi ambil contoh mereka yang makan harta riba', mereka yang mencuri, makan rasuah dan sebagainya, jika apa yang mereka ambil itu tidak hilang sebagai wang dalam bentuk kecurian, akan ada cara lain ianya akan hilang samada hilang kegembiraan, hilang kesihatan dan sebagainya. Kerana apa? Kerana Allah itu maha adil dan inilah dia salah satu undang-undang kehidupan tersedia dari awal dunia dicipta hinggalah kehari kiamat. Apa yang dinikmati dengan percuma akan kembali kepada keadaan asalnya.

Bergembiralah mereka yang ditimpa musibah kerana dalam hidup kita hari ini yang penuh dengan riba' baik dari penggunaan wang kertas yang tidak punyai nilai didalamnya hinggalah kepada rumah dan kereta yang kita beli dengan riba' kerana Allah mahu mengembalikan semula tenaga yang bukan hak kita itu. Akan tetapi buat mereka yang mencari perlindungan selain dari Allah, dengan mempunyai pengawal peribadi keliling pinggang, punyai kroni dan pengikut yang memastikan mereka senantiasa di tangga atas menggunakan pangkat dan jawatan untuk menindas, balasan Allah diakhirat nanti amatlah pedih dan tidak mampu terbayang oleh pandangan mata dan jiwa.

Buktinya sudah ada, lihat beza bom kimia dan bom nuklear, bom kimia adalah dari manipulasi kimia dan atom, bom nuklear adalah manipulasi nukleus yang berjuta-juta kali lebih kecil dari atom itu sendiri akan tetapi tenaga yang dikeluarkan amatlah hebat. Bayangkanlah jika ada sebezar zarah sekalipun dosa yang akan dibalas oleh Allah diakhirat, harap gambaran bom nuklear sudah cukup untuk memberi khabar buruk bagi mereka yang tidak percayakan Allah dan meninggalkan segala larangannya itu.
--------------------------------------------------------------------------------

Rujuk kembali kepada sifat atom, walaupun asas kehidupan dan benda didunia itu bersifat penuh ketidaktentuan, manusia tidak mengambil pandangan sebegitu didalam kehidupan. Ambil contoh cara kita mendidik generasi masa kini terutama anak-anak, kita terlalu taksub dengan pencapaian anak kita disekolah dengan catitan markah berdasarkan apa yang boleh dilihat didalam sijil, kerana apa? kerana dari berapa banyak A didalam sijil itulah nanti seolah-olah menentukan baik atau tidak kehidupan mereka dimasa akan datang. Kita semakin hilang pertimbangan untuk menilai sasuatu yang tidak nampak iaitu "ukuran iman" anak kita sendiri. Akan tetapi bagaimana perkiraan iman itu akan diambil kira jika kita sendiri beriman hanya mengikut masa, samada pada hari jumaat sahaja atau pada masa nak nikah kahwin atau cerai, malah lebih teruk lagi hanya apabila nak mati.

Kita semakin hari semakin menolak Allah dengan iman yang semakin nipis, contohnya lari dari hukum-hukum Allah contohnya membenarkan arak dan perjudian didalam sebuah negara yang kononnya negara Islam, jika ditanya pada pemimpin-pemimpin, rata-rata menyatakan kerana mengambil kira kaum lain, walaupun arak dan judi itu sendiri adalah salah satu penyebab utama penyakit sosial didalam kaum tersebut, akan tetapi kerana arak dan judi itu adalah salah satu punca utama pendapatan negara melalui cukai dan juga menggalakkan pelancong asing yang mahukan hiburan, maka "apabila aku membenarkan arak dan judi, pendapatan untuk negara aku akan terjamin, itu sudah pasti dari pengiraan yang aku lakukan", pendapatan dari suatu yang nyata lebih dipercayai sedangkan sepatutnya pendapatan atau rezeki itu hanyalah dari Allah, dari suatu yang tidak nampak, dari suatu yang tidak boleh dibayangkan.

Amat sukar untuk mempercayai suatu yang tidak kelihatan dan tiada kepastian (ganjaran Allah), maka sebab itu manusia hari ini rata-rata hidup dengan kepastian yang ada didalam gengaman mereka, contohnya mengambil rasuah apabila peluang ada, menaikkan harga atau ubah kualiti/kuantiti barang yang dijual untuk keuntungan maksimum, minta gaji yang lebih besar hanya kerana punyai ijazah kelas 1 dan bukan mutu kerja yang dimiliki dan sebagainya. Hidup sebenarnya penuh dengan kemungkinan dan kebarangkalian, dan gembira, duka, baik atau buruk kehidupan itu sebenarnya datang dari diri kita sendiri (dengan izin Allah), kita harus mencuba untuk mendapatkannya (nikmat dunia) akan tetapi disebabkan asas binaan alam ini iaitu atom penuh dengan ketidaktentuan, kemungkinan dan kebarangkalian, nikmat dunia yang sebenarnya hanyalah dengan mengikut landasan-landasan undang-undang yang dibenarkan Allah.

Bagi saya sesuatu yang tidak nampak, iaitu iman (fizik kuantum) itu lebih utama dari ukuran sijil (fizik klasik) kerana hidup ini penuh dengan kemungkinan dan kebarangkalian sahaja. Sedangkan ada kalanya perbezaan beratnya amal walau sebesar zarah itu pun sudah cukup untuk menentukan samada kita kesyurga atau neraka. Ambil contoh perbezaan raksa atau merkuri dengan emas, kedua-duanya adalah logam tetapi raksa dalam bentuk cecair, kurang bernilai malah beracun. Emas pula suatu yang keras dan amat bernilai. Perbezaan antara keduanya hanyalah satu elektron sahaja (raksa emas 79 dan emas raksa 80) akan tetapi keduanya memberi perbezaan yang amat nyata umpama syurga dan neraka.

Kebanyakan manusia beriman tetapi tidak percaya, tidak percaya yang Allah itu maha pemberi, sebab itu kita lebih pasti rezeki dengan menghambakan orang lain walaupun kononnya dengan niat untuk menolong (pembiayaan jual beli), tidak percaya Allah itu maha adil, sebab itu dengan selambanya menghabiskan duit rakyat untuk kepentingan sendiri dan kroni, rasuah dan sebagainya. Sebab itu didalam Al-Quran apabila Allah SW menyeru manusia Allah menyebutnya "O people who beleive", iaitu wahai manusia yang percaya dan bukan manusia yang sembahyang, puasa dan sebagainya, kerana percaya itu sendiri amat penting. Lepas percaya dengan sepercayanya barulah rukun islam secara automatiknya akan dilakukan oleh manusia dengan ikhlas dan bukan kerana terpaksa.

Tetapi disebabkan Allah itu tidak kelihatan, maka amat sukar untuk manusia mempercayai Allah itu wujud walaupun Allah SW itu lebih hampir dari urat leher mereka sendiri. Sebab itu kafirun membuat patung berhala, kerana apa? kerana bila nampak tuhan baru percaya, sedangkan fizik kuantum telah membuktikan bahawa sesuatu yang tidak kelihatan itu (nukleus) punyai kuasa yang teramat hebat, jadi jika kita percayakan Allah dengan sepenuhnya maka mencipta sesuatu yang hebat dan mendapat bantuan Allah itu amatlah mudah. Sebab itu para Nabi mampu melakukan mukjizat kerana percaya mereka seratus-peratus dan sepanjang masa dan bukan manusia akhir zaman ini yang percayanya adalah bermusim sahaja.

Inilah sebenarnya janji Allah, semakin kita percaya kepada Allah, semakin hebat sebenarnya kehidupan kita, ambil contoh zaman kegemilangan islam dahulu yang hebat baik dari segi ekonomi hinggalah kepada tamadun ilmu, akan tetapi sedikit demi sedikit ianya lenyap hingga umat islam hari ini seolah-olah diratah oleh kafirun.
Thawban meriwayatkan, Nabi (SAW) bersabda: Orang-orang kafir akan memanggil satu sama lain untuk menyerang kamu sebagaimana orang yang makan menjemput orang lain untuk berkongsi hidangan. Seorang bertanya: Adakah itu kerana jumlah kami yang kecil? Baginda menjawab: Tidak, jumlah kamu banyak umpama sampah2 yg dihanyutkan oleh arus banjir, akan tetapi telah Allah hilangkan rasa takut dari dada orang kafir keatas kamu dan meletakkan "wahn" didada kamu. Seorang bertanya: Apakah itu "wahn". Baginda menjawab: Cintakan dunia dan takutkan mati. Abu Dawud Hadis 4284
Manusia cintakan dunia kerana apa? Kerana dunia inilah bagi mereka suatu yang nyata berbanding dengan syurga yang janji Allah yang tidak kelihatan. Maka dunia materialistik hari ini menjadi mantra kehidupan dan semuanya boleh dicapai dengan ekonomi berasaskan riba', pinjam dan bayar bulan-bulan menjadi hamba kepada bank hinggalah sampai keliang lahat pun hutang tak habis dibayar. Dan apabila cintakan dunia, manusia semakin sibuk dan tidak punya masa lagi untuk mendekati Allah apatah lagi mempercayai dengan sepenuhnya keesaan Allah itu.

Fizik kuantum amat pelik dan sukar diterima oleh minda manusia yang sudah terbiasa dengan fizik klasik malah Albert Einstein sehingga dia meninggal dunia, beliau menganggap fizik kuantum tidak lengkap walaupun kajian dan ujikaji terbaru semakin mengesahkan kepelikannya. Banyak perkara kehidupan yang dapat dijelaskan dengan fizik kuantum, malah hukum tarikan yang menjadi corak pemikiran baru untuk memberi motivasi kepada manusia hari ini juga berasaskan kepada fizik kuantum, akan tetapi ianya juga mengesahkan beberapa hukum yang perlu diikuti. Fizik kuantum juga membuktikan bahawa minda dan pemikiran kita juga adalah suatu yang nyata dan mempengaruhi persekitaran, sebab itu menjaga minda itu amat penting didalam islam baik dengan solat yang khusyuk hinggalah kepada larangan mengambil sesuatu yang memabukkan.

Satu fakta terakhir disini yang saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan adalah struktur atom itu sendiri, selain kedudukan zarah tidak dapat ditentukan, kebanyakan ruang didalam atom adalah kosong, jika saiz atom sebesar Stadium Merdeka, saiz nukleus hanyalah sebesar seekor lalat ditengah-tengah padang stadium itu sahaja. Jika semua ruang kosong dari dalam atom tubuh badan manusia dikeluarkan, manusia itu sendiri lebih kecil dari sebutir garam. Dan jika semua manusia didalam dunia ini dikumpulkan dengan ruang kosong atom didalam badan mereka dikeluarkan, kita semua hanyalah sebesar sebiji epal sahaja, inilah bukti bahawa kita semua seolah-olah berada didalam "genggaman" Allah SW. Harap sedikit perkongsian ilmu ini dapat membantu rakan-rakan agar dapat melihat dunia ini dari sudut yang berbeza, iaitu sudut dunia teramat halus akan tetapi punyai kuasa yang luar biasa, insyaallah.

Rujukan;
1. Zukav, Gary. (1979) The Dancing Wu Li Masters: An Overview Of The New Physics. New York, HarperOne
2. Al-Khalili, Jim. (2003) Quantum; A Guide For Perplexed. UK, Weidenfield & Nicholson.
3. Radin, Dean. (2006) Entangled Mind: Extrasensory Experiences In A Quantum Reality. New York, Paraview Pocket Book.
4. William Arntz, Betsy Chasse, Mark Vicente (2006). What The Bleep: Down The Rabbit Hole. USA: Lord Of The Wind Film.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Jumaat, 2 April 2010

Vaksin Kemurungan - Bersangka Baik Kepada Allah

Mencegah itu lebih baik dari mengubat, maka sebab itu lah saintis berlumba-lumba mencipta pelbagai jenis vaksin untuk membantu manusia mengelak dari dijangkiti oleh penyakit-penyakit tertentu seperti campak dan juga selsema. Apa yang dilakukan oleh saintis ini adalah dengan membiakkan virus pembawa penyakit yang lemah dan apabila virus itu dimasukkan masuk kedalam tubuh badan manusia melalui suntikan atau oral, sistem imunisasi badan manusia akan dapat mengenal pasti penyakit tersebut dan boleh mencipta antibodi secara semulajadi sebagai persediaan untuk menghadapi virus yang sebenarnya.

Dengan kemajuan yang teramat moden didalam bidang perubatan, hingga kini masih tiada lagi vaksin untuk kemurungan dicipta. Ubat untuk kemurungan itu sendiri sudah berlambak-lambak dipasaran seperti Prozac, Zoloft atau Effexor akan tetapi mengapa perlu berubat lebih diutamakan jika mencegah itu adalah yang terbaik? Hakikatnya adalah, vaksin untuk kemurungan tidak boleh dicipta oleh saintis kerana penyakit kemurungan itu bukanlah dari kuman atau virus, ianya dari pemikiran.

Menurut Persatuan Psykiatri Malaysia, menerusi artikel dilaman web mereka menyatakan bahawa
antara sebab penyakit kemurungan melanda seseorang individu itu adalah akibat tekanan daripada sesuatu situasi atau persekitaran dan kejadian tertentu, rasa rendah diri ataupun disebabkan penyakit fizikal yang kronik atau serius.
Tekanan, stress atau rendah diri ini datangnya dari cara pemikiran manusia itu sendiri yang menterjemahkan sesuatu situasi atau keadaan tersebut. Jika persepsi seseorang terhadap situasi itu adalah buruk atau menakutkan, maka sudah pasti mereka akan tertekan dan ini menjadi "anak benih" kepada kemurungan. Dengan di"bajai" oleh pemikiran yang sama secara berterusan dan di"sirami" dengan linangan air mata maka "pokok" kemurungan yang serius ini akan membesar dengan suburnya.





Vaksin atau pelindung yang paling mudah dan percuma untuk mencegah kemurungan adalah dengan mengubah persepsi atau pandangan kita terhadap sesuatu kejadian itu. Sebagai umat Islam yang beriman dan mengaku bahawa Allah itu yang maha Esa, Pencipta, Pengasih dan Penyayang maka semua yang berlaku itu adalah dariNya. Allah jualah yang esa menciptakan kejadian tersebut dan menyebabkan ianya melanda atau menimpa diri kita. Akan tetapi sudah menjadi kebiasaan manusia yang telah dicorakkan mindanya untuk menumpukan perhatian lebih kepada keburukan, oleh sebab itulah manusia lebih melihat keburukan berbanding kebaikan terhadap kejadian yang berlaku.

Jika sesuatu kejadian itu hanya ada keburukan, maka sifat Allah yang maha pengasih dan penyayang itu hanya layak dicampakkan kedalam tong sampah sahaja. Berita-berita buruk, pembunuhan, rompakan, perceraian adalah resepi utama media masa kini untuk mencipta sensasi, melariskan khidmat mereka dan mengaut keuntungan dan ini secara tidak langsung mencorak minda separuh sedar masyarakat untuk lebih fokus kepada ketakutan dan keburukan. Jika manusia boleh melatih diri menjadi pemerhati yang hebat kepada minda mereka sendiri, manusia akan lebih berupaya dan berkuasa memilih persepsi yang lebih membawa kebaikan terhadap sesuatu situasi atau kejadian itu. Ini akan memberi latihan baru kepada minda separuh sedar yang sudah terbiasa dengan melihat keburukan agar lebih melihat kepada kebaikan. Apabila kita selalu melihat kebaikan dari keburukan maka vaksin untuk kemurungan akan terbina dengan sendirinya didalam tubuh badan manusia.

Terdapat tiga prinsip yang boleh diamalkan didalam kehidupan seseorang manusia itu yang mana pada pendapat saya, ianya boleh memastikan "vaksin kemurungan" didalam tubuh badan manusia itu akan sentiasa berada pada tahap yang tinggi, semakin jauh manusia dari stress, tekanan atau kemurungan maka semakin lebih baik seseorang manusia itu boleh berfikir lantas membuat pilihan-pilihan yang lebih bijak didalam kehidupannya. Tiga prinsip tersebut adalah;

Semuanya Salah Aku.

Pada pendapat saya, kebanyakan kejadian yang berlaku didalam hidup seseorang itu adalah hasil dari perbuatan mereka sendiri. Mungkin ramai yang tidak boleh menerima kenyataan ini kerana bagi kebanyakan manusia, mereka hanyalah mangsa kejadian, semua ini adalah takdir dan tidak mampu untuk mengelak atau mengubahnya. Rata-rata manusia mereka menganggap tuhan telah mencipta "mesin gergasi" iaitu dunia ini dan mereka hanyalah salah satu dari gear yang berputar dan apabila "gear" bersebelahan berputar, mereka juga turut berputar dan tidak mampu melakukan apa-apa dan hanya menjadi mangsa.

Amat pelik dan barangkali sukar untuk menerima untuk menyalahkan diri sendiri, akan tetapi jika manusia berani mengubah persepsi mereka terhadap semua kejadian yang menimpa baik yang positif atau negatif, ianya akan memberikan dua impak yang utama, pertamanya mereka akan lebih bertanggungjawab terhadap tingkah laku dan perbuatan mereka dan keduanya mereka lebih berkuasa mencipta realiti hidup mereka sendiri. Manusia akhir zaman hanya kebanyakan mengambil Allah itu sebagai tuhan tetapi tidak percaya yang Allah itu maha adil. Jika kita melakukan kejahatan atau kerosakan dimuka bumi ini, adakah kita tidak akan dibalas atau dihukum diatas perbuatan kita itu sendiri?




Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. (Al-Isra 17:7)
Ramai akan berkata, "Mana ada aku buat jahat, seingat aku tak pernah pun aku menyakiti orang lain secara fizikal mahupun dengan kata-kata", soalan yang menyusul pula adalah; "Adakah kita ingat semua tingkahlaku dan perbuatan kita dari akil baligh sehingga sekarang", sedangkan baju apa yang kita pakai 2-3 hari lepas pun ada kalanya perlu berfikir sejenak untuk mengingatinya, ini kan pula perbuatan kita 2-3 bulan, 2-3 tahun dari sekarang, kita tidak boleh ingat akan kesemuanya. Akan tetapi ada makhluk lain yang ingat, iaitu malaikat diatas bahu yang mencatitkan dengan terperincinya setiap perbuatan dan percakapan kita. Mungkin memang kita tidak pernah melukakan manusia lain hingga berdarah akan tetapi lidah kita ini sebagai contohnya, amat bahaya malah lebih tajam dari bilah pedang.
“Telah nampak kerosakan di darat dan dilaut akibat perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Surah ar-Rum 30: 41).
Tidak semestinya jika kita tumbuk manusia lain dan kita juga menerima balasan dari manusia yang sama atau balasan yang sama. Kita semua adalah tenaga dan tenaga berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain dan boleh beralih dari satu medium kepada medium yang lain maka tenaga negatif yang kita lemparkan itu akan berbalik kepada diri kita sendiri satu hari nanti. Ada juga perbuatan tidak baik yang kita lakukan tanpa sedar telah menyebabkan kita menyakiti, menindas atau menyusahkan orang lain, umpamanya mengambil rasuah untuk sesuatu projek yang mana menyebabkan kontraktor yang menyiapkan projek tanpa kualiti yang baik, roboh bumbung contohnya dan kemudiannya mencederakan manusia lain. Berpakaian seksi menyebabkan lelaki terpandang dan terlanggar tiang. Ber"couple" kononnya cara islam dan berjalan dikhalayak ramai yang memberi contoh kepada adik-adik yang sedang membesar dan satu hari mereka akan mengikutnya. Menerima riba' yang mana menggalakkan perhambaan jenis baru yang menindas semua umat manusia.

Ini hanyalah contoh-contoh yang boleh dikatakan sebagai norma-norma bagi masyarakat kita, maka tiada terdetik sedikit pun dihati bahawa ia adalah antara perbuatan berdosa yang tidak kelihatan dan kita dengan sombong bercampur hairan berkata "aku tak buat jahat pun, mengapa Allah menimpa diriku dengan musibah ini?". Ini juga berbalik kepada cara pemikiran masyarakat kita diacu atau dibentuk, contohnya makan babi lebih teruk dari makan riba' padahal Allah dan Nabi memerangi mereka yang terlibat dengan riba'. Menikmati pulangan pelaburan riba', memberi, mencatatkan transaksi atau menjadi saksi kepada terlibat dengan riba' itu tidak seteruk berzina padahal dosa riba itu lebih teruk dari berzina dengan ibu sendiri.

Bersyukurlah kepada Allah jika kita dibalas didunia dengan musibah dan bala bencana kerana inilah caranya Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang lepas-lepas. Allah menyayangi kita dan tidak mahu kita dihukum dineraka yang mana siksaannya tidak dapat dijangkau oleh pemikiran manusia. Jika kita berani mengambil prinsip ini maka impak kedua yang menyusul adalah manusia itu lebih berkuasa mencipta realiti hidup mereka sendiri.

Apa yang lebih hebat diinginkan oleh seseorang manusia itu didunia ini dari kegembiraan, baik dari segi rohani ataupun jasmani. Dengan lebih berhati-hati, sedar dan sentiasa menjadi pemerhati yang hebat terhadap fikiran kita pada setiap ketika yang mana kemudiannya menjadi perbuatan dan tingkah laku, jadi sebelum kita bertindak melakukan sesuatu itu, contohnya sebelum menghina seseorang, akan terdetik dihati, "eh... jangan hina dia, suatu hari nanti aku juga akan dihina", maka dari keinginan untuk menghina, akan beralihkan keinginan untuk simpati, prihatin atau memaafkan dan ini akan berbalik atau dibalas kepada diri kita sendiri suatu hari nanti.

Mungkin akan tiba dikemudian hari contohnya bilamana kita terbuat kesilapan semasa kerja, dan bos kita akan memarahi dan menggertak untuk memberhentikan kita, maka dari perbuatan kita yang lepas ianya kembali kepada diri kita sendiri maka timbullah rasa tertekan, stress dan tersemailah benih kemurungan. Jika kita boleh terima konsep "semuanya salah aku" dan sentiasa berbuat baik sesama manusia sebelum ini, maka bos kita yang mungkin sebelum ini pemarah dan pembengis mungkin akan berlembut hati terhadap kita. Allah amat berkuasa merencanakan dunia ini untuk membantu umatnya yang bertaqwa dan perbuatan kita yang lepas-lepas akan berbalik kepada diri sendiri. Buat baik dibalas baik dan sebaliknya.
Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga? (Al-Rahman 55:60)




Allah Ingin Memberi Yang Lebih Baik Lagi.

Adakalanya kita kecewa apabila sesuatu yang kita hajati itu tidak kesampaian, sebagai contohnya apabila kekasih yang disayangi tidak berjaya dimiliki. Kesedihan akibat dari kegagalan untuk bersatu baik ditinggalkan atau halangan keluarga selalunya akan menular kepada kemurungan yang serius. Jika kita boleh ubah persepsi kita dengan menganggap bahawa Allah ingin memberi kita seorang insan yang lebih baik lagi, maka mungkin kesedihan yang melanda itu akan reda dengan segeranya. Siapa yang tidak sedih apabila putus bercinta akan tetapi jika kita percaya yang Allah itu maha pengasih dan penyayang maka kita sebaliknya akan tersenyum gembira menanti siapakah agaknya sidia yang akan digantikan oleh Allah itu.
Bukan sekadar percintaan sahaja, jika permohonan melanjutkan pelajaran ditolak, gagal temuduga kerja, tidak dinaikkan pangkat dan sebagainya, dengan mengubah persepsi kita bahawa Allah mahu memberi yang terbaik, kita akan menjadi manusia yang lebih bertakwa dan pastinya rezeki atau ganjaran yang tidak disangka-sangka akan pasti menjelma.
Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).(At-Talaq 65:2,3)

Masalah yang melanda manusia adalah lebih mudah menjadi marah, kecil hati, bersedih dan sebagainya terhadap apa yang berlaku yang mana itu sahaja sudah cukup untuk menunjukkan ketidak syukuran kita kepada Allah. Disebabkan kita bersikap negatif maka bertambah-tambah lagilah perkara-perkara negatif yang melanda dan akibatnya semakin tertekan dan menjadi murung.








Allah Ingin Mengubah Haluan Hidup Kita Agar Mencapai Apa Yang Dihajati.


Adakalanya kita berhajatkan sesuatu akan tetapi untuk Allah mengurniakannya kepada kita, sesuatu kejadian buruk harus berlaku. Jika baca pengalaman saya untuk mendapatkan anak perempuan, walaupun ianya hanya hipotesis saya sahaja, sekarang saya dan isteri sering tersenyum mengenangkan kisah lalu yang mana telah memberikan apa yang kami hajati. Lagi satu kejadian yang berlaku pada diri saya sendiri adalah bila mana terjadi satu peristiwa yang menimbulkan kekecewaan yang mendalam dan memaksa saya seolah-olah ber"judi" mencari kerja diluar negara. Alhamdulillah sekarang ini saya amat sukakan kerjaya saya ini, bukan sahaja mampu menghabiskan hutang malah boleh berkongsi ilmu dengan insan lain. Memang dari kecil lagi saya selalu memikirkan bagaimana caranya saya boleh membantu manusia, alhamdulillah salah satu caranya telah kelihatan iaitu melalui perkongsian ilmu disini. Semuanya akibat dari peristiwa buruk yang melanda.

Saya percaya jika setiap diri kita ini merenung seketika kisah masa silam pasti ada peristiwa yang sama berlaku pada setiap individu yang mana dari peristiwa yang buruk berkesudahan dengan kebaikan. Kebanyakan kita tidak perasankan ianya kerana mungkin idea ini tidak pernah timbul di pemikiran ataupun jarak masanya yang agak jauh akan tetapi jik akita ikuti rentetan-rentetan hidup, pasti kita akan berterimakasih kepada Allah yang maha penyayang. 








Allah Mahu menduga HambaNya.


Jika kita yakin yang kita tidak melakukan dosa-dosa, jika kita rasa sudah mendapat apa yang dihajati akan tetapi dugaan masih melanda, itu sudah cukup untuk memberi kita perasaan gembiran yang teramat sangat kerana Allah mahu menduga kita. Sedangkan para Nabi yang punyai tahap keimanan yang tinggi juga, inikan pula kita manusia biasa.
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (AlBaqarah 2:214)
Jadi, walau dari segi dan sudut mana sekalipun kita lihat musibah yang terjadi itu, ada hikmah disebaliknya yang kita tidak boleh nampak, maka tiada sebab sebenarnya untuk manusia itu mengidap kemurungan yang serius.
“Sesungguhnya Kami akan menimpakan cubaan ke atas kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang jika ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innâ lillâhi wa innâ ilaihi râji‘ûn.” (Surah al-Baqarah 2:155-156).

Masaalahnya umat manusia kini, oleh kerana dilahirkan Islam, walau tidak berpegang pada ajaran Islam secara keseluruhannya tetap melabelkan setiap kejadian itu sebagai dugaan dan bukan salah silap mereka sendiri. Pada pendapat saya jika kita punyai iman hanya sekadar bin atau binti pada kad pengenalan, perkara buruk yang melanda itu bukan dugaan, akan tetapi "penangan" nipisnya iman kita itu.








Keempat-empat prinsip ini terutamanya prinsip "semuanya salah aku" akan menjadikan seseorang manusia itu menjadi lebih bertanggungjawab terhadap kehidupan mereka sendiri dan bukanlah hanya menganggap diri hanya mangsa keadaan. Perubahan pasti akan timbul jika kita berani mengambil pendirian ini, akan tetapi kesabaran amat perlu kerana dari mula kita mengubah pendirian untuk bersabar dan bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi, walaupun kita sudah berhati-hati keatas tindakan dan tingkah laku, kesan dari dosa-dosa yang terdahulu iaitu apa yng digelar "backlash" akan masih melanda diri. Akan tetapi jika kita bersabar sehingga "backlash" itu habis maka perubahan ketara didalam hiudp kita akan terasa. Ianyanya juga menjadikan diri seseorang manusia itu lebih berkuasa mencipta realiti kehidupan yang diingininya atau setidak-tidaknya meramalkan suasana kehidupan mereka dimasa akan datang baik didunia mahu pun diakhirat kelak, hasil dari tingkah laku dan perbuatan mereka sendiri.

Berdasar pada konsep ini jugalah minat saya kepada fizik kuantum amat mendalam kerana jika semua manusia faham akan cerita disebalik perilaku zarah sub-atomic itu sendiri, semua manusia akan meletakkan semua perkara yang berlaku didalam hidup mereka adalah kerana mereka sendiri yang mahu melihatnya baik secara sedar atau tidak.

Konsep yang sama juga terselindung disebalik puasa selama sebulan yang mana bila mana kita boleh bersabar dan mengubah tingkah tingkah laku kita, puasa yang sebulan itu mampu mengubah diri kita baik dari segi fizikal dan mental agar menjadi manusia yang lebih mulia. Akan tetapi rata-rata muslim akhir zaman ini hanya mendapat lapar dan dahaga kerana sikap buruk masih berleluasa, contohnya pembaziran makanan, lahap ketika berbuka, masih maki hamun ketika puasa dan yang paling teruk lagi tidak langsung bersolat. Keimanan kita juga akan berlipatkali ganda kerana pertamanya kita tahu Allah amat menyayangi diri kita dan mahu membalas dan mengampunkan dosanya semasa masih didunia ini lagi dan keduanya Allah senantiasa mahu memberi kita yang terbaik. Begitu juga dengan dugaan terhadap mereka yang beriman.

Kita tidak tahu akan takdir kita akan tetapi jika hanya berserah kepada takdir dan menganggap diri tidak bersalah hanyalah satu cara untuk lari dari tanggungjawab dan merendahkan nilai diri manusia itu sendiri. Mereka yang berani bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi kepada diri mereka adalah mereka yang akan lebih berjaya didalam hidup dan insyaallah di akhirat kerana tidak semestinya berjaya didunia akan disusuli diakhirat.

Falsafah barat menganggap dunia ini ibarat mesin gergasi dan kita hanyalah salah satu gear didalamnya yang berputar dan apabila gear sebelah berputar, kita hanya menjadi mangsa menerima sahaja arah putaran yang diberikan oleh gear bersebelahan. Akan tetapi Allah mengurniakan kita dengan frontal lobe yang membezakan manusia dan haiwan yang mana memberi kelebihan kita untuk membuat pilihan, pilihan untuk berputar kearah mana dan inilah yang amanah Allah sebagai khalifah dimuka bumi ini. Pilihan terletak pada diri sendiri, menjadi sedih dan murung atau gembira dan bersyukur.

Manusia amat berkuasa untuk mencipta realiti hidupnya sendiri jadi terpulanglah samada ingin menjadi peneraju atau sekadar mangsa didalam kehidupan. Akan tetapi tiada yang percuma didalam hidup ini, harga yang terpaksa dibayar adalah berani bertanggungjawab dan juga beriman sepenuhnya dengan mengikut landasan yang Allah dan Nabi berikan dan bukan ambil sedikit dan tinggalkan banyak. Sebab itulah umat islam dahulu menerajui dunia dan umat islam akhir zaman ini hanya menjadi "makanan" lahap kafirun. Perubahan bermula dari dalam diri sendiri, dari fikiran yang mana akan menjadi perbuatan dan realiti hidup kita ini. Maka bersangka-baiklah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi penyayang dan tidak akan mensia-siakan hambanya, dari Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita akan dikembalikan.

Laman diskusi di Facebook.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share
"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas