Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails

Jumaat, 2 April 2010

Vaksin Kemurungan - Bersangka Baik Kepada Allah

Mencegah itu lebih baik dari mengubat, maka sebab itu lah saintis berlumba-lumba mencipta pelbagai jenis vaksin untuk membantu manusia mengelak dari dijangkiti oleh penyakit-penyakit tertentu seperti campak dan juga selsema. Apa yang dilakukan oleh saintis ini adalah dengan membiakkan virus pembawa penyakit yang lemah dan apabila virus itu dimasukkan masuk kedalam tubuh badan manusia melalui suntikan atau oral, sistem imunisasi badan manusia akan dapat mengenal pasti penyakit tersebut dan boleh mencipta antibodi secara semulajadi sebagai persediaan untuk menghadapi virus yang sebenarnya.

Dengan kemajuan yang teramat moden didalam bidang perubatan, hingga kini masih tiada lagi vaksin untuk kemurungan dicipta. Ubat untuk kemurungan itu sendiri sudah berlambak-lambak dipasaran seperti Prozac, Zoloft atau Effexor akan tetapi mengapa perlu berubat lebih diutamakan jika mencegah itu adalah yang terbaik? Hakikatnya adalah, vaksin untuk kemurungan tidak boleh dicipta oleh saintis kerana penyakit kemurungan itu bukanlah dari kuman atau virus, ianya dari pemikiran.

Menurut Persatuan Psykiatri Malaysia, menerusi artikel dilaman web mereka menyatakan bahawa
antara sebab penyakit kemurungan melanda seseorang individu itu adalah akibat tekanan daripada sesuatu situasi atau persekitaran dan kejadian tertentu, rasa rendah diri ataupun disebabkan penyakit fizikal yang kronik atau serius.
Tekanan, stress atau rendah diri ini datangnya dari cara pemikiran manusia itu sendiri yang menterjemahkan sesuatu situasi atau keadaan tersebut. Jika persepsi seseorang terhadap situasi itu adalah buruk atau menakutkan, maka sudah pasti mereka akan tertekan dan ini menjadi "anak benih" kepada kemurungan. Dengan di"bajai" oleh pemikiran yang sama secara berterusan dan di"sirami" dengan linangan air mata maka "pokok" kemurungan yang serius ini akan membesar dengan suburnya.





Vaksin atau pelindung yang paling mudah dan percuma untuk mencegah kemurungan adalah dengan mengubah persepsi atau pandangan kita terhadap sesuatu kejadian itu. Sebagai umat Islam yang beriman dan mengaku bahawa Allah itu yang maha Esa, Pencipta, Pengasih dan Penyayang maka semua yang berlaku itu adalah dariNya. Allah jualah yang esa menciptakan kejadian tersebut dan menyebabkan ianya melanda atau menimpa diri kita. Akan tetapi sudah menjadi kebiasaan manusia yang telah dicorakkan mindanya untuk menumpukan perhatian lebih kepada keburukan, oleh sebab itulah manusia lebih melihat keburukan berbanding kebaikan terhadap kejadian yang berlaku.

Jika sesuatu kejadian itu hanya ada keburukan, maka sifat Allah yang maha pengasih dan penyayang itu hanya layak dicampakkan kedalam tong sampah sahaja. Berita-berita buruk, pembunuhan, rompakan, perceraian adalah resepi utama media masa kini untuk mencipta sensasi, melariskan khidmat mereka dan mengaut keuntungan dan ini secara tidak langsung mencorak minda separuh sedar masyarakat untuk lebih fokus kepada ketakutan dan keburukan. Jika manusia boleh melatih diri menjadi pemerhati yang hebat kepada minda mereka sendiri, manusia akan lebih berupaya dan berkuasa memilih persepsi yang lebih membawa kebaikan terhadap sesuatu situasi atau kejadian itu. Ini akan memberi latihan baru kepada minda separuh sedar yang sudah terbiasa dengan melihat keburukan agar lebih melihat kepada kebaikan. Apabila kita selalu melihat kebaikan dari keburukan maka vaksin untuk kemurungan akan terbina dengan sendirinya didalam tubuh badan manusia.

Terdapat tiga prinsip yang boleh diamalkan didalam kehidupan seseorang manusia itu yang mana pada pendapat saya, ianya boleh memastikan "vaksin kemurungan" didalam tubuh badan manusia itu akan sentiasa berada pada tahap yang tinggi, semakin jauh manusia dari stress, tekanan atau kemurungan maka semakin lebih baik seseorang manusia itu boleh berfikir lantas membuat pilihan-pilihan yang lebih bijak didalam kehidupannya. Tiga prinsip tersebut adalah;

Semuanya Salah Aku.

Pada pendapat saya, kebanyakan kejadian yang berlaku didalam hidup seseorang itu adalah hasil dari perbuatan mereka sendiri. Mungkin ramai yang tidak boleh menerima kenyataan ini kerana bagi kebanyakan manusia, mereka hanyalah mangsa kejadian, semua ini adalah takdir dan tidak mampu untuk mengelak atau mengubahnya. Rata-rata manusia mereka menganggap tuhan telah mencipta "mesin gergasi" iaitu dunia ini dan mereka hanyalah salah satu dari gear yang berputar dan apabila "gear" bersebelahan berputar, mereka juga turut berputar dan tidak mampu melakukan apa-apa dan hanya menjadi mangsa.

Amat pelik dan barangkali sukar untuk menerima untuk menyalahkan diri sendiri, akan tetapi jika manusia berani mengubah persepsi mereka terhadap semua kejadian yang menimpa baik yang positif atau negatif, ianya akan memberikan dua impak yang utama, pertamanya mereka akan lebih bertanggungjawab terhadap tingkah laku dan perbuatan mereka dan keduanya mereka lebih berkuasa mencipta realiti hidup mereka sendiri. Manusia akhir zaman hanya kebanyakan mengambil Allah itu sebagai tuhan tetapi tidak percaya yang Allah itu maha adil. Jika kita melakukan kejahatan atau kerosakan dimuka bumi ini, adakah kita tidak akan dibalas atau dihukum diatas perbuatan kita itu sendiri?




Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. (Al-Isra 17:7)
Ramai akan berkata, "Mana ada aku buat jahat, seingat aku tak pernah pun aku menyakiti orang lain secara fizikal mahupun dengan kata-kata", soalan yang menyusul pula adalah; "Adakah kita ingat semua tingkahlaku dan perbuatan kita dari akil baligh sehingga sekarang", sedangkan baju apa yang kita pakai 2-3 hari lepas pun ada kalanya perlu berfikir sejenak untuk mengingatinya, ini kan pula perbuatan kita 2-3 bulan, 2-3 tahun dari sekarang, kita tidak boleh ingat akan kesemuanya. Akan tetapi ada makhluk lain yang ingat, iaitu malaikat diatas bahu yang mencatitkan dengan terperincinya setiap perbuatan dan percakapan kita. Mungkin memang kita tidak pernah melukakan manusia lain hingga berdarah akan tetapi lidah kita ini sebagai contohnya, amat bahaya malah lebih tajam dari bilah pedang.
“Telah nampak kerosakan di darat dan dilaut akibat perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Surah ar-Rum 30: 41).
Tidak semestinya jika kita tumbuk manusia lain dan kita juga menerima balasan dari manusia yang sama atau balasan yang sama. Kita semua adalah tenaga dan tenaga berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain dan boleh beralih dari satu medium kepada medium yang lain maka tenaga negatif yang kita lemparkan itu akan berbalik kepada diri kita sendiri satu hari nanti. Ada juga perbuatan tidak baik yang kita lakukan tanpa sedar telah menyebabkan kita menyakiti, menindas atau menyusahkan orang lain, umpamanya mengambil rasuah untuk sesuatu projek yang mana menyebabkan kontraktor yang menyiapkan projek tanpa kualiti yang baik, roboh bumbung contohnya dan kemudiannya mencederakan manusia lain. Berpakaian seksi menyebabkan lelaki terpandang dan terlanggar tiang. Ber"couple" kononnya cara islam dan berjalan dikhalayak ramai yang memberi contoh kepada adik-adik yang sedang membesar dan satu hari mereka akan mengikutnya. Menerima riba' yang mana menggalakkan perhambaan jenis baru yang menindas semua umat manusia.

Ini hanyalah contoh-contoh yang boleh dikatakan sebagai norma-norma bagi masyarakat kita, maka tiada terdetik sedikit pun dihati bahawa ia adalah antara perbuatan berdosa yang tidak kelihatan dan kita dengan sombong bercampur hairan berkata "aku tak buat jahat pun, mengapa Allah menimpa diriku dengan musibah ini?". Ini juga berbalik kepada cara pemikiran masyarakat kita diacu atau dibentuk, contohnya makan babi lebih teruk dari makan riba' padahal Allah dan Nabi memerangi mereka yang terlibat dengan riba'. Menikmati pulangan pelaburan riba', memberi, mencatatkan transaksi atau menjadi saksi kepada terlibat dengan riba' itu tidak seteruk berzina padahal dosa riba itu lebih teruk dari berzina dengan ibu sendiri.

Bersyukurlah kepada Allah jika kita dibalas didunia dengan musibah dan bala bencana kerana inilah caranya Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang lepas-lepas. Allah menyayangi kita dan tidak mahu kita dihukum dineraka yang mana siksaannya tidak dapat dijangkau oleh pemikiran manusia. Jika kita berani mengambil prinsip ini maka impak kedua yang menyusul adalah manusia itu lebih berkuasa mencipta realiti hidup mereka sendiri.

Apa yang lebih hebat diinginkan oleh seseorang manusia itu didunia ini dari kegembiraan, baik dari segi rohani ataupun jasmani. Dengan lebih berhati-hati, sedar dan sentiasa menjadi pemerhati yang hebat terhadap fikiran kita pada setiap ketika yang mana kemudiannya menjadi perbuatan dan tingkah laku, jadi sebelum kita bertindak melakukan sesuatu itu, contohnya sebelum menghina seseorang, akan terdetik dihati, "eh... jangan hina dia, suatu hari nanti aku juga akan dihina", maka dari keinginan untuk menghina, akan beralihkan keinginan untuk simpati, prihatin atau memaafkan dan ini akan berbalik atau dibalas kepada diri kita sendiri suatu hari nanti.

Mungkin akan tiba dikemudian hari contohnya bilamana kita terbuat kesilapan semasa kerja, dan bos kita akan memarahi dan menggertak untuk memberhentikan kita, maka dari perbuatan kita yang lepas ianya kembali kepada diri kita sendiri maka timbullah rasa tertekan, stress dan tersemailah benih kemurungan. Jika kita boleh terima konsep "semuanya salah aku" dan sentiasa berbuat baik sesama manusia sebelum ini, maka bos kita yang mungkin sebelum ini pemarah dan pembengis mungkin akan berlembut hati terhadap kita. Allah amat berkuasa merencanakan dunia ini untuk membantu umatnya yang bertaqwa dan perbuatan kita yang lepas-lepas akan berbalik kepada diri sendiri. Buat baik dibalas baik dan sebaliknya.
Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga? (Al-Rahman 55:60)




Allah Ingin Memberi Yang Lebih Baik Lagi.

Adakalanya kita kecewa apabila sesuatu yang kita hajati itu tidak kesampaian, sebagai contohnya apabila kekasih yang disayangi tidak berjaya dimiliki. Kesedihan akibat dari kegagalan untuk bersatu baik ditinggalkan atau halangan keluarga selalunya akan menular kepada kemurungan yang serius. Jika kita boleh ubah persepsi kita dengan menganggap bahawa Allah ingin memberi kita seorang insan yang lebih baik lagi, maka mungkin kesedihan yang melanda itu akan reda dengan segeranya. Siapa yang tidak sedih apabila putus bercinta akan tetapi jika kita percaya yang Allah itu maha pengasih dan penyayang maka kita sebaliknya akan tersenyum gembira menanti siapakah agaknya sidia yang akan digantikan oleh Allah itu.
Bukan sekadar percintaan sahaja, jika permohonan melanjutkan pelajaran ditolak, gagal temuduga kerja, tidak dinaikkan pangkat dan sebagainya, dengan mengubah persepsi kita bahawa Allah mahu memberi yang terbaik, kita akan menjadi manusia yang lebih bertakwa dan pastinya rezeki atau ganjaran yang tidak disangka-sangka akan pasti menjelma.
Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).(At-Talaq 65:2,3)

Masalah yang melanda manusia adalah lebih mudah menjadi marah, kecil hati, bersedih dan sebagainya terhadap apa yang berlaku yang mana itu sahaja sudah cukup untuk menunjukkan ketidak syukuran kita kepada Allah. Disebabkan kita bersikap negatif maka bertambah-tambah lagilah perkara-perkara negatif yang melanda dan akibatnya semakin tertekan dan menjadi murung.








Allah Ingin Mengubah Haluan Hidup Kita Agar Mencapai Apa Yang Dihajati.


Adakalanya kita berhajatkan sesuatu akan tetapi untuk Allah mengurniakannya kepada kita, sesuatu kejadian buruk harus berlaku. Jika baca pengalaman saya untuk mendapatkan anak perempuan, walaupun ianya hanya hipotesis saya sahaja, sekarang saya dan isteri sering tersenyum mengenangkan kisah lalu yang mana telah memberikan apa yang kami hajati. Lagi satu kejadian yang berlaku pada diri saya sendiri adalah bila mana terjadi satu peristiwa yang menimbulkan kekecewaan yang mendalam dan memaksa saya seolah-olah ber"judi" mencari kerja diluar negara. Alhamdulillah sekarang ini saya amat sukakan kerjaya saya ini, bukan sahaja mampu menghabiskan hutang malah boleh berkongsi ilmu dengan insan lain. Memang dari kecil lagi saya selalu memikirkan bagaimana caranya saya boleh membantu manusia, alhamdulillah salah satu caranya telah kelihatan iaitu melalui perkongsian ilmu disini. Semuanya akibat dari peristiwa buruk yang melanda.

Saya percaya jika setiap diri kita ini merenung seketika kisah masa silam pasti ada peristiwa yang sama berlaku pada setiap individu yang mana dari peristiwa yang buruk berkesudahan dengan kebaikan. Kebanyakan kita tidak perasankan ianya kerana mungkin idea ini tidak pernah timbul di pemikiran ataupun jarak masanya yang agak jauh akan tetapi jik akita ikuti rentetan-rentetan hidup, pasti kita akan berterimakasih kepada Allah yang maha penyayang. 








Allah Mahu menduga HambaNya.


Jika kita yakin yang kita tidak melakukan dosa-dosa, jika kita rasa sudah mendapat apa yang dihajati akan tetapi dugaan masih melanda, itu sudah cukup untuk memberi kita perasaan gembiran yang teramat sangat kerana Allah mahu menduga kita. Sedangkan para Nabi yang punyai tahap keimanan yang tinggi juga, inikan pula kita manusia biasa.
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (AlBaqarah 2:214)
Jadi, walau dari segi dan sudut mana sekalipun kita lihat musibah yang terjadi itu, ada hikmah disebaliknya yang kita tidak boleh nampak, maka tiada sebab sebenarnya untuk manusia itu mengidap kemurungan yang serius.
“Sesungguhnya Kami akan menimpakan cubaan ke atas kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang jika ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innâ lillâhi wa innâ ilaihi râji‘ûn.” (Surah al-Baqarah 2:155-156).

Masaalahnya umat manusia kini, oleh kerana dilahirkan Islam, walau tidak berpegang pada ajaran Islam secara keseluruhannya tetap melabelkan setiap kejadian itu sebagai dugaan dan bukan salah silap mereka sendiri. Pada pendapat saya jika kita punyai iman hanya sekadar bin atau binti pada kad pengenalan, perkara buruk yang melanda itu bukan dugaan, akan tetapi "penangan" nipisnya iman kita itu.








Keempat-empat prinsip ini terutamanya prinsip "semuanya salah aku" akan menjadikan seseorang manusia itu menjadi lebih bertanggungjawab terhadap kehidupan mereka sendiri dan bukanlah hanya menganggap diri hanya mangsa keadaan. Perubahan pasti akan timbul jika kita berani mengambil pendirian ini, akan tetapi kesabaran amat perlu kerana dari mula kita mengubah pendirian untuk bersabar dan bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi, walaupun kita sudah berhati-hati keatas tindakan dan tingkah laku, kesan dari dosa-dosa yang terdahulu iaitu apa yng digelar "backlash" akan masih melanda diri. Akan tetapi jika kita bersabar sehingga "backlash" itu habis maka perubahan ketara didalam hiudp kita akan terasa. Ianyanya juga menjadikan diri seseorang manusia itu lebih berkuasa mencipta realiti kehidupan yang diingininya atau setidak-tidaknya meramalkan suasana kehidupan mereka dimasa akan datang baik didunia mahu pun diakhirat kelak, hasil dari tingkah laku dan perbuatan mereka sendiri.

Berdasar pada konsep ini jugalah minat saya kepada fizik kuantum amat mendalam kerana jika semua manusia faham akan cerita disebalik perilaku zarah sub-atomic itu sendiri, semua manusia akan meletakkan semua perkara yang berlaku didalam hidup mereka adalah kerana mereka sendiri yang mahu melihatnya baik secara sedar atau tidak.

Konsep yang sama juga terselindung disebalik puasa selama sebulan yang mana bila mana kita boleh bersabar dan mengubah tingkah tingkah laku kita, puasa yang sebulan itu mampu mengubah diri kita baik dari segi fizikal dan mental agar menjadi manusia yang lebih mulia. Akan tetapi rata-rata muslim akhir zaman ini hanya mendapat lapar dan dahaga kerana sikap buruk masih berleluasa, contohnya pembaziran makanan, lahap ketika berbuka, masih maki hamun ketika puasa dan yang paling teruk lagi tidak langsung bersolat. Keimanan kita juga akan berlipatkali ganda kerana pertamanya kita tahu Allah amat menyayangi diri kita dan mahu membalas dan mengampunkan dosanya semasa masih didunia ini lagi dan keduanya Allah senantiasa mahu memberi kita yang terbaik. Begitu juga dengan dugaan terhadap mereka yang beriman.

Kita tidak tahu akan takdir kita akan tetapi jika hanya berserah kepada takdir dan menganggap diri tidak bersalah hanyalah satu cara untuk lari dari tanggungjawab dan merendahkan nilai diri manusia itu sendiri. Mereka yang berani bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi kepada diri mereka adalah mereka yang akan lebih berjaya didalam hidup dan insyaallah di akhirat kerana tidak semestinya berjaya didunia akan disusuli diakhirat.

Falsafah barat menganggap dunia ini ibarat mesin gergasi dan kita hanyalah salah satu gear didalamnya yang berputar dan apabila gear sebelah berputar, kita hanya menjadi mangsa menerima sahaja arah putaran yang diberikan oleh gear bersebelahan. Akan tetapi Allah mengurniakan kita dengan frontal lobe yang membezakan manusia dan haiwan yang mana memberi kelebihan kita untuk membuat pilihan, pilihan untuk berputar kearah mana dan inilah yang amanah Allah sebagai khalifah dimuka bumi ini. Pilihan terletak pada diri sendiri, menjadi sedih dan murung atau gembira dan bersyukur.

Manusia amat berkuasa untuk mencipta realiti hidupnya sendiri jadi terpulanglah samada ingin menjadi peneraju atau sekadar mangsa didalam kehidupan. Akan tetapi tiada yang percuma didalam hidup ini, harga yang terpaksa dibayar adalah berani bertanggungjawab dan juga beriman sepenuhnya dengan mengikut landasan yang Allah dan Nabi berikan dan bukan ambil sedikit dan tinggalkan banyak. Sebab itulah umat islam dahulu menerajui dunia dan umat islam akhir zaman ini hanya menjadi "makanan" lahap kafirun. Perubahan bermula dari dalam diri sendiri, dari fikiran yang mana akan menjadi perbuatan dan realiti hidup kita ini. Maka bersangka-baiklah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi penyayang dan tidak akan mensia-siakan hambanya, dari Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita akan dikembalikan.

Laman diskusi di Facebook.

4 Komen:

Awanama berkata...

Salam,

Agak lama juga saya mengikuti blog anda, tetapi melalui pengamatan saya yg lemah ini anda selalu mengunakan falsafah barat mahupun logik untuk berkarya. Persoalan saya didalam tajuk ini," Jika seorang budak yg mengalami trauma disebabkan ibubapanya yg kerap memukulnya ketika masih kecil, maka siapa yg salah sebenarnya?". Kadangkala logik akal amat terhad didalam memahami ketentuan Ilahi...

Helmis berkata...

Bagi saya tiada masalah menggunakan falsafah barat, yang penting sekali adalah niat, apa tujuan kita menggunakannya. Banyak ciptaan barat memberi kebaikan kepada manusia, terpulang pada cara kita menggunakannya, ambil contoh elektrik, saya boleh memasak dengan nasi atau membunuh manusia dengannya.

Soalan saudara tidak jelas, harap kemukakan dengan lebih terperinci melalui laman soaljawab, terimakasih.

Awanama berkata...

tahniah, atas cetusan ilham yang penuh ilmiah, teruskan ketukan minda-minda yang telah lama bersarang dengan sikap negetif dan tidak yakin kekuasaan allah yang mencipta.

Awanama berkata...

Allah Rahman Allah Rahim.. Alhamdulillah.. trima ksh saudaraku..

Catat Komen

"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas