Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails

Ahad, 25 April 2010

Mengapa Saya Kata Pinjaman Rumah Perbankan Islam Haram?

Katalah salah seorang dari saudara saya Mat datang kepada saya dan meminta bantuan kewangan iaitu pinjaman wang untuk membeli baju sekolah anak-anaknya (yang juga sudah semestinnya saudara saya). Jumlah yang mahu dipinjam adalah sebanyak RM100 dan Mat berjanji akan membayar balik secara ansuran. Terdetik didalam hati saya,"ni boleh buat duit ni, kalau mintak faedah/bunga/riba' haram jadinya, baik aku ubah sikit".
Saya: "Okla Mat, macam ni je lah, sebenarnya dari aku bagi kat engkau lebih baik aku letak kan tabung haji, bertambah gak duit aku nanti, tapi sebab engkau saudara aku, jadi aku pinjamkan kepada engkau tetapi dengan syarat.

Mat: "Syarat macamana pulak tu?.

Saya: "Aku belikan baju untuk anak-anak engkau dengan harga RM100 dan aku jual kepada engkau dengan RM120, lepas tu engkau bayarlah bulan-bulan RM10 selama 12 bulan, bagaimana? setuju tak? Ini cara islam yang mana aku berjual-beli dengan engkau dan bukan aku kenakan faedah, kalau ada orang lain bertanya engkau cakaplah aku memberi pembiayaan kepada engkau, jangan sebut pinjaman sebab itu nampak tak islamik".

Mat: "Baiklah, sebab aku terpaksa dan tak ada cara lain lagi dah maka aku terima sahajalah syarat engkau tu lagi pun engkau dah tolong aku maka aku pun kenalah tolong engkau jugak. Tapi eloklah kita berakad untuk memastikan proses ini dikira pembiayaan dan jual beli".
Apa pendapat anda mengenai sifat saya jika kisah diatas benar-benar berlaku? Bagaimana jika saya ubah tujuan untuk membeli baju anak kepada membeli rumah untuk diri Mat dan anak-anak berlindung dengan pinjaman RM100 ribu, saya jual balik kepada Mat dengan harga RM170 ribu (kadar riba' 6% mengikut pasaran semasa) tetapi disebabkan Mat akan bayar selama 20 tahun maka bayaran bulanan menjadi RM700.

Rujuk kepada kes pertama untuk Mat membeli baju anaknya, letakkan diri anda ditempat saya, sebagai seorang saudara darah daging kepada Mat, adakah anda sanggup melakukan begitu pada saudara sendiri, sanggup menangguk di air keruh masih mahu menyedut 20 ringgit "darah" Mat dan tidak mahu membantu dengan ikhlas? Jika Mat bukan saudara sedarah sedaging sekalipun bukankah semua orang islam itu bersaudara, sanggupkah anda mengambil untung dari kesusahan orang lain?

Jika kita rujuk kes kedua untuk membeli rumah pula, tiada bezanya bagi mereka yang melabel "bank Islam" tetapi mahu memerah keringat insan lain untuk mendapatkan keuntungan atas sebab terdesaknya manusia terpaksa meminjam untuk membeli rumah. Yang membezakan adalah dizaman sekarang ini membeli rumah bukan kerana terdesak, akan tetapi lebih kepada mentaliti "beli lebih baik dari menyewa", untuk memastikan ada harta iaitu rumah dengan nama sendiri (sedangkan S&P bank simpan) dan dicanang pulak dengan iklan-iklan menawan hati oleh pemaju serta dialunkan pula dengan lagu merdu pujukan dari pihak bank, maka membeli rumah itu adalah lebih kepada desakan nafsu dan bukan desakan hidup. Didalam kes kedua (contoh Mat membelui rumah), 70 ribu "darah" Mat akan disedut hanya dengan goyang kaki sebagai pelabur menunggu masa sahaja mendapat "keuntungan", adakah wang itu bersamaan dengan masa?, adakah risiko wujud disini? Mat tak bayar, Mat kena tendang, sanggupkah anda menendang keluar saudara sendiri? Letakkan diri anda ditempat Mat, sanggupkah anda diperlakukan sedemikian?

Apa bezanya jika kita sebagai individual dengan bank memberi pinjaman dan meminta balasan dari pinjaman tersebut. Bank tidak akan peduli kesusahan peminjam kerana mereka perlu memastikan "kebajikan" pelabur. Disebabkan bank adalah institusi diiktiraf pemerintah maka pihak berkuasa akan melakukan kerja menghalau bagi pihak pelabur. Sebab itu apabila melabur di bank, pelabur tidak rasa bersalah kerana "kerja kotor" ini dilakukan oleh pihak ketiga secara sah berdasarkan undang-undang sekular. Bagi saya pula jika saya tidak suka orang lain mengambil kesempatan atas kesusahan keatas diri saya maka saya pun tidak mahu melakukan sedemikian kepada orang lain kerana saya tahu ianya akan berbalik semula kepada diri saya sendiri satu hari nanti baik didunia mahupun diakhirat. Inilah salah satu sebab manusia terpinga-pinga kehairanan mengapa manusia lain jahat atau mengambil kesempatan keatas diri mereka sedangkan mereka sendiri melakukannya tanpa sedar keatas orang lain.

Jika kita meng"islam"kan sekalipun konsep memberi pinjaman tersebut dengan pusing sana dan pusing sini, bagi nama lain "muserakah" atau "mudah rebah", pembiayaan dan bukan pinjaman, berakadlah dan sebagainya, adakah anda sanggup menjadi lintah menyedut darah saudara seislam sendiri? Kelintahan anda tidak jelas kelihatan kerana ia berselindung disebalik nama Islam itu sendiri.

Ini jika kita lihat diri kita sebagai pelabur, bagaimana pula jika kita adalah Mat atau peminjam didalam cerita ini? Ramai yang akan berkata,
"tak mengapalah, pihak bank Islam kan berjual beli dengan kita, lagi pun bank mahu membayar gaji pekerja-pekerjanya".
Ramai yang tidak sedar sebenarnya mereka telah diper"hamba"kan oleh pihak bank untuk kepentingan korporat yang mana pelabur kaya akan makin kaya dengan menyedut darah mereka yang terpedaya. Anda boleh melihat betapa agresifnya sebuah bank islam tempatan yang dibeli sahamnya oleh pelabur dari Timur Tengah, begitu rancaknya mereka bersaing dalam arena "menyedut darah" masyarakat Islam dinegara kita untuk memastikan keuntungan korporat mereka.

Baik konvensional atau islamik, manusia tetap diperhambakan oleh golongan bank ini, disini kita boleh kategorikan dua jenis perhambaan perhambaan yang berlaku,

1) Perhambaan fizikal yang mana setiap bulan selama 20-30 tahun atau berapa tahun sekalipun tempoh pinjaman, peminjam akan menjadi pembayar yang setia kepada bank walaupun rumah yang mereka beli itu terbengkalai ataupun harganya jatuh. Jika bank itu sebuah perniagaan maka bank juga harus mengambil risiko kehilangan wang apabila projek terbengkalai atau harga rumah jatuh dengan memulangkan kembali wang lebihan bayaran selepas mengira harga rumah pada pasaran selepas tamat tempoh pinjaman. Ini tidak, terbengkalai ke, harga jatuh ke, Islam tak Islam, bayar sampai habis. Adakah ini suatu yang islamik atau sesuatu yang zalim atau menindas?

2) Perhambaan mental. Katalah anda mengambil pinjaman rumah dan kereta secara Islamik, setiap bulan anda ada komitmen untuk membayar ansuran kepada bank. Satu hari anda mendapati bos anda mengambil rasuah. Jika anda lapurkan kepada pihak atasan, bos kamceng dengan pihak atasan, nak lapur pada BPR, bos anda ini ahli politik ternama, jadi disebabkan anda takut kehilangan kerja yang mana bayaran ansuran bulanan rumah dan kereta akan tersangkut , kemungkinan besar anda hanya akan mendiamkan diri sahaja terhadap kemungkaran yang berlaku didepan mata. Tindakan anda pasti akan berbeza jika anda tiada apa-apa komitmen untuk dirisaukan. Ini hanyalah satu contoh kecil yang mana disebabkan hutang baik islamik atau tidak, ramai antara kita yang sanggup menutup mata dari menghukum kemungkaran. Bagi yang tidak beriman maka dia pun akan meneladani bosnya, bagi yang masih ada saki baki iman, maka hiduplah didalam keadaan tertekan, stress dan sebagainya.

Sistem perbankan islamik diwujudkan selepas manusia bertahun-tahun hidup didalam keadaan stress dan tertekan dengan sistem konvensional. Disebabkan sistem ekonomi ala barat ini semakin hari harga barang semakin meningkat (walaupun sebenarnya nilai wang itu sendiri yang menyusut), manusia terpaksa bersaing untuk mengumpul sebanyak wang yang mungkin untuk menampung kenaikan harga barang dan semakin hari semakin tertekan.

Apabila hidup didalam keadaan tertekan, keadaan "fight or flight", mentaliti manusia menjadi lebih kepada kepentingan atau keselesaan individu (selfish) akan menyerlah berbanding dengan kepentingan kumpulan atau masyarakat. Contoh yang paling nyata amat jelas sekali didalam kehidupan seharian kita, lihat bagaimana umat Islam kita sembahyang berjemaah hari ini, masing-masing suka kepada keselesaan sendiri dan menjarakkan antara satu sama lain sedangkan Nabi sudah berpesan agar rapat antara satu sama lain ketika solat jemaah. Ini adalah antara kesan psikologi yang manusia tidak sedari sedikit demi sedikit telah mempengaruhi kehidupan dari segi tingkah laku dan perbuatan mereka, termasuklah dalam bab mencari kekayaan. Jadi mereka yang Islam dan mahu menjadi semakin kaya akan memutarbelitkan sistem perbankan dan mengislamkannya untuk memastikan duit mereka tidak hilang (kekal selesa), sedangkan wang itu sendiri bukanlah suatu untuk diniagakan, malah pada pendapat saya bank itu sendiri tidak perlu wujud sebenarnya. Jika perlu wujud sekalipun hanyalah sebagai badan untuk mejaga kepentingan seluruh umat manusia dan bukan sebagai alat atau mekanisme untuk memastikan kekayaan kepada golongan tertentu sahaja.

Hanya selepas 1100 tahun kedatangan Islam baru lah wujud "makhluk" yang dinamakan bank, dan siapa yang mengasaskannya? Tidak lain adalah Yahudi yang mengawal ekonomi British dengan penubuhan Bank of England pada abad ke 17. Dan dunia Islam yang telah lama hidup dengan sistem riba' didikan barat ini hanya memutarbelitkan proses pinjaman dengan terma, nama, akad dan sebagainya sedangkan prinsip disebaliknya adalah sama. Jangan terkejut ada "Sheikh" British yang menentang sistem jajaan Yahudi ini, siapakah "sheikh" tersebut? Tidak lain beliau adalah William Shakespere menerusi karya klasiknya "Merchant of Venice". Ini antara bukti kristian pada awal kurun ke 17-18 juga amat menentang riba' akan tetapi sebab kawalan minda yang berkesan maka sedikit demi sedikit ianya lenyap dari kamus keagamaan mereka.

Jika kita lihat wang kertas itu sendiri, adakah nilai wang itu tersimpan didalamnya? Adakah nilainya disandarkan kepada emas dan kita sebagai rakyat boleh pergi ke bank untuk menukarkan dengan emas? Mengapa inflasi tetap didalam ekonomi? Mengapa nilai wang semakin hari semakin menurun? Jika wang didalam sistem kewangan moden itu sendiri tidak wujud sebagai suatu yang nyata iaitu punyai nilai didalamnya maka bagaimana kita boleh me"niaga"kan suatu yang tidak jelas itu?

Seperti yang telah saya ceritakan didalam artikel Cerita Wang 1, barat menakluk hampir kesemua negara didunia ini dan meninggalkan dua virus pemusnah manusia yang utama iaitu kerajaan sekular dan juga sistem perbankan barat. Kerajaan sekular adalah kerajaan yang menidakkan hukum Allah, apa yang diharamkan oleh Allah dihalalkan contohnya riba', judi dan arak. Virus kedua pula adalah sistem kewangan berasaskan riba'. Dan apabila virus ini sudah menyelinap kedalam salur darah masyarakat maka mereka hanya perlu memberi arahan jarak jauh "remote control" sahaja untuk mengawal sesuatu negara itu, tak percaya lihatlah hutang luar negara yang tak habis-habis dibayar dan sudah semestinyalah beserta dengan riba'nya sekali.

Pada pendapat saya bank tidak sepatutnya diwujudkan sebagai perniagaan kerana wang bukanlah sesuatu yang sepatutnya diniagakan lebih-lebih lagi apabila nilai wang itu tidak berada didalam wang itu sendiri. Nilai wang kita berada didalam genggaman mereka yang mengawalnya iaitu Yahudi laknatullah dan amat sedih sekali berapa ramai pemimpin kita yang sedar akan keadaan ini?

Saya perhatikan di hospital kerajaan dengan hanya membayar RM1 sahaja kita sudah boleh mendapat rawatan doktor, maka timbul persoalan difikiran saya mengapa kerajaan tidak boleh memberi pinjaman tanpa riba' atau tanpa faedah kepada rakyat dengan mewujudkan bank yang beroperasi sedemikian dan sebaliknya mengenakan jumlah sebenar kos perubatan kepada rakyat? Bukankah tekanan atau stress itu penyebab utama peyakit merbahaya dinegara kita seperti sakit jantung dan darah tinggi yang mana jika dikaji kembali puncanya adalah dari wang. Dan apabila saya berfikir lagi saya mendapat jawapannya, kerana jika manusia tidak stress atau tertekan, mereka akan lebih sihat jadi industri perubatan swasta tidak boleh mengaut darinya. Jika kekal ikut cara biasa, dari bank boleh buat duit dan begitu juga dengan dari industri perubatan swasta, maka semakin cepatlah yang kaya akan semakin kaya dan yang miskin akan semakin miskin.


Seperkara lagi yang boleh difikirkan dalam bab menghalal atau mengharamkan sistem pinjaman islamik ini, cuba perhatikan apakah faedah yang akan didapati oleh mereka yang mencanangkan untuk menghalalkannya dan faedah bagi mereka yang mengharamkannya. Jika sistem perbankan islamik ini membayar gaji atau memberi pulangan dalam bentuk pelaburan kepada seseorang itu adakah dia akan membantahnya? Bak kata pepatah barat;
"kamu tidak akan menggigit tangan yang menyuapkan makanan kepada kamu".
Cuba perhatikan pula mereka yang mencanangkan ianya haram, adakah mereka akan mendapat faedah dari pengharaman tersebut? Sheikh Imran Hossein adalah antara ulama yang keras menentang cara yang diamalkan oleh perbankan islam, apakah faedah yang akan beliau dapat dari usaha beliau? Pada pendapat saya apa yang akan diperolehinya adalah pahala yang teramat banyak dari Allah kerana beliau boleh "melihat" kemungkaran, kezaliman dan penindasan yang berlaku disebalik sistem yang kononnya Islamik itu.

Saya memohon ampun dan maaf kiranya ada rakan-rakan yang marah atau terasa hati dengan artikel-artikel saya berkenaan riba' terutamanya yang menyentuh berkenaan bank Islam. Saya banyak merantau dan apabila pergi kenegara-negara miskin terdetik dihati saya mengapa dunia jadi begini. Hasil dari pembacaan dan berfikir secara mendalam maka jawapan yang nyata kepadanya adalah sistem riba' itu sendiri yang telah menakluk seluruh dunia dan memberi kuasa kepada pihak tertentu untuk mengawal dunia dari segenap aspek kehidupan termasuklah hingga ke tahap memastikan siapa pemimpin yang dipilih dalam pilihanraya sesebuah negara yang kritikal bagi memastikan keuntungan korporat mereka. Perhambaan fizikal telah lama berlaku akan tetapi perhambaan kewangan sedang memuncak dengan hebatnya dan sistem perbankan inilah mekanismanya.

Memang idea-idea dan pemikiran baru agak sukar diterima lebih-lebih lagi jika manusia perlu melakukan banyak perubahan dalam kehidupannya yang sudah selesa untuk menerima idea baru itu. Lihatlah apa yang terjadi kepada Galileo Galilei yang menyatakan bumi yang mengelilingi matahari sedangkan pihak gereja dari rujukan kitab Bible telah mem"fatwa"kan sebaliknya. Pada tahun 1633 beliau dibicarakan dan dijatuhkan hukuman tahanan rumah atas tuduhan mendustakan agama. Begitu hebat sekali tentangan yang dihadapinya, beliau menjadi buta dan mati pada tahun 1642, hanya selepas 370 tahun kematiannya baru pihak gereja meminta maaf atas layanan yang dikenakan terhadap Galileo. Begitu jugalah dengan Islam yang ditentang hebat semasa mula disebarkan oleh Nabi SAW.

Haramnya pinjaman perbankan islam ini adalah untuk saya dan keluarga. Ini bukan "fatwa" untuk diikuti oleh rakan-rakan sekalian. Akan tetapi jika artikel-artikel saya ini mampu memberi ketukan diminda rakan-rakan agar kembali memikirkan betulkah halal seperti apa yang dicanang-canangkan oleh perbankan islam, itu sahaja sudah cukup bagi saya untuk bersyukur kepada Allah dan berpuas hati dari usaha yang tidak seberapa ini. Moga ianya menjadi titik permulaan pemikiran baru dikalangan masyarakat kita lebih-lebih lagi generasi baru iaitu adik-adik dan anak-anak yang masih belum merasai "nikmat" meminjam dan memberi pinjaman. Agak sukar untuk menerima dan berubah bagi mereka yang sudah cukup selesa dengan cara lama, kecuali jika dibuka hati mereka oleh Allah untuk menyedarinya.

Marilah bersama merenung kembali tujuan sebenar perbankan itu sendiri, adakah untuk membantu umat islam atau mengambil kesempatan keatas kejahilan umat islam itu sendiri. 
Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan) dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda. (Surah Ar Rum 30:39)
Manusia akhir zaman tidak lagi percaya bahawa rezeki mereka sebenarnya datang dari Allah, maka mereka menggunakan akal pendek mereka untuk memastikan harta mereka bertambah dengan pelaburan walaupun ianya menindas manusia hatta dengan label islamik sekalipun. Apa yang saya coretkan disini hanyalah membawa pemikiran baru, terpulang kepada anda untuk menerimanya, sekurang-kurangnya tanggungjawab saya untuk menyampaikan sudah selesai, ahamdulillah. Saya hanya ingin membina minda yang bebas dari perhambaan kewangan baik yang islamik atau tidak. Tepuk dada tanya iman dan berfikirlah samada anda akan diperhambakan atau tidak dengan sistem kewangan moden ini. Bukan hak saya untuk menghalang, apa yang saya lakukan hanyalah berpesan-pesan dengan kebenaran dan beresan-pesan dengan kesabaran.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Ahad, 11 April 2010

Rumah - Beli Atau Sewa?

Beberapa artikel saya yang lalu menyentuh mengenai riba' yang mana merupakan isu yang teramat sensitif, lebih-lebih lagi didalam kehidupan serba moden (atau akhir zaman) yang mana riba' itu sudah menjadi asam garam kehidupan, tetapi pada pendapat saya ianya lebih kepada monosodium glutamate (MSG) berbanding asam garam yang mana telah menambahkan kelazatan hidup itu sendiri kerana tanpa riba' itu mana boleh manusia merasakan nikmat materialistik seperti rumah besar dan kereta baru, padahal disebalik riba' itu terselindung dosa yang lebih buruk dari berzina. Babi tetap kekal menjadi suatu yang jijik dan dielakkan kerana ada alternatif makanan lain, riba' yang kononnya tidak boleh dielakkan lama kelamaan menjadi suatu yang biasa didalam kehidupan manusia itu sendiri, maka tidak hairanlah jika terdapat hadis yang mengatakan dari setiap 1000 jumlah manusia, 999 akan dicampakkan ke neraka di akhirat nanti.

Untuk mengelak riba' terutamanya didalam dua perkara utama didalam kehidupan, rumah dan kereta, ianya boleh dilakukan samada dengan menyewa rumah ataupun membeli kereta terpakai, akan tetapi disebabkan kita telah didodoi dengan iklan-iklan dan tawaran-tawaran hebat dari penjual rumah atau kereta dan juga pihak bank yang terlalu menarik untuk tidak diendahkan, maka tawaran syurga Allah yang memerlukan frontal lobe yang kuat untuk melihatnya dilupakan (manusia didodoi dengan hiburan melalaikan yang mana tidak menggalakkan berfikir dan ini melemahkan visi hidup jangka panjang).

Merujuk kepada kereta, mungkin ada yang berkata, nak beli kereta terpakai pun bukan seratus dua, beribu-ribu juga harganya jadi kena juga membuat pinjaman. Persoalan ini berbalik kepada sekuat mana iman kita, mereka yang benar-benar beriman akan melakukan apa sahaja untuk mendapat keredhaan Allah walau apa pun harga yang terpaksa dibayar, contohnya dengan sanggup menaiki pengangkutan awam dari membeli kereta dengan riba'.

Untuk rumah pula, kebanyakan mentaliti manusia adalah,
"buat apa menyewa, bayar tiap-tiap bulan tetapi rumah itu jadi rumah orang lain"
Disini saya ingin mengajak rakan-rakan semua melihat konsep membeli rumah itu dari sudut yang berbeza, adakah benar dengan membeli dan membayar tiap-tiap bulan selama dua-tiga puluh tahun itu kita mem"bayar" pinjaman rumah itu sebenarnya? Saya akan sediakan satu contoh perkiraan untuk membolehkan kita melihat sendiri untuk siapakan kita bekerja penat lelah untuk mencari wang membayar pinjaman terutamanya dalam 2/3 pertama tempoh pinjaman tersebut.
Jumlah pinjaman : RM300,000
Kadar riba' : 6%
Tempoh pinjaman: 30 tahun

Kadar riba' atau kadar faedah saya letakkan atas dasar anggaran purata berdasarkan sejarah turun naik kadar pinjaman asas (BLR) Bank Negara. Berikut adalah carta pinjaman dari laman web BankRate untuk menjelaskan fakta sebenar berkenaan pinjaman tersebut.


Untuk pinjaman sebanyak 300K itu, dari RM 1798.65 bayaran bulanan yang dibayar, hanya RM 298.65 digunakan untuk membayar wang yang dipinjam, sebanyak RM 1500 adalah riba' atau faedah yang dikenakan oleh pihak bank. Jumlah bayaran untuk pinjaman sebenar meningkat hanya sekitar RM 2 sahaja sebulan untuk tahun pertama. Jumlah yang dibayar pada tahun pertama untuk melangsaikan hutang hanya berjumlah RM 3684.01 hanya 1.2% dari jumlah pinjaman asal iaitu 300K, manakala jumlah riba' yang dibayar adalah sebanyak RM 17,899.80 atau 5.98% dari jumlah pinjaman

Pada tahun kedua pula, jumlah pinjaman asas yang dibayar adalah RM 3911.26 dengan peningkatan hanya sebanyak RM 227.25 dari tahun pertama. Jika dikira jumlah wang yang sudah kita depositkan kedalam akaun pinjaman selama dua tahun, jumlahnya pula adalah sebanyak RM 43.167.60 yang mana hanya RM 7595.27 untuk menolak pinjaman asas. Ini bermakna, walaupun sudah membayar lebih 40 ribu, jumlah pinjaman masih melebihi 290 ribu dan wang keringat kita sebanyak lebih 35 ribu ringgit hanyalah untuk membayar riba'.

Tidakkah jumlah ini sahaja sudah cukup untuk membuka mata untuk siapa sebenarnya kita bekerja? Adakah keadaan sehingga isteri terpaksa keluar bekerja untuk membantu membayar pinjaman hingga  pelaburan saham akhirat yang utama iaitu anak-anak yang soleh terabai, isteri bercampur gaul bebas dengan lelaki lain dan pelbagai lagi penyakit sosial itu berbaloi hanya semata-mata terpedaya dengan ungkapan beli lebih baik dari menyewa?

Keadaan diperhambakan oleh bank ini berterusan hinggalah tempoh pinjaman mencecah 2/3 dari usia tempoh pinjaman. Hanya pada tahun yang ke 19 sahaja baru jumlah bayaran untuk pinjaman melebihi jumlah riba' atau faedah, dengan jumlah riba' yang dibayar hampir memcecah harga pinjaman iaitu 279 ribu, sedangkan hutang belum pun separuh dibayar iaitu masih berbaki 178 ribu.


Jumlah keseluruhan yang akan dibayar selama 30 tahun itu adalah RM 647,514.57 yang mana riba'nya sahaja adalah sebanyak RM 347,514.57, hampir 50 ribu melebihi jumlah pinjaman asal.


Pemikiran membeli rumah dengan sistem riba' ini adalah lebih baik dari menyewa adalah pemikiran manusia yang telah terpedaya dengan dakyah dan tipu helah dunia yang sementara ini. Manusia menjadi hamba kepada bank dan menindas diri sendiri tanpa sedar. Disebabkan oleh sistem ciptaan Yahudi ini jugalah pelbagai masalah sosial masyarakat berlaku di zaman ini. Sebab itulah Allah mengishtiharkan perang terhadap riba' dan sesiapa yang terlibat dengan riba' baik yang mengambil, memberi, merekod ataupun menjadi saksi akan mendapat dosa yang sama. Mereka tidak sedar disebabkan perbuatan mereka itulah hidup mereka menjadi sedemikian rupa, penuh dengan keadaan tertekan, susah hati, duka dan sengsara akibat dari hutang berlandaskan riba itu tadi.

Bagaimana pula dengan bank yang memberikan pinjaman berlandaskan Islam? Bagi saya ianya sama sahaja dengan pinjaman kenvensional kerana ianya juga bertujuan mengaut keuntungan dengan menghisap darah umat Islam yang terpedaya, ianya tetap riba' akan tetapi riba' yang ikut pintu belakang bak kata Sheikh Imran Hossein. Bagaimana bank islam pasti rumah yang akan dibeli naik harga seperti harga jualan? Adakah mereka mempunyai ahli nujum yang boleh meramal masa depan? Jika harga rumah naik, sama-samalah untung, jika harga rumah turun atau tidak naik, maka pembeli menjadi hamba kepada bank yang berselindung atas nama atau pinjaman cara Islam. Adakah ini diterima walau dilihat dari segi kemanusiaan sekali pun dan bukan atas dasar islam?

Mengislamkan bank pada pendapat saya adalah antara usaha mereka yang mengaku islam tetapi mengikut jejak langkah yahudi seperti hadis Nabi SAW,

Abu Said Al-Khudri meriwayatkan Nabi SAW berkata: Kamu akan ikuti jejak langkah mereka sebelum kamu inci demi inci dan langkah demi langkah sehingga jika mereka masuk ke lubang cicak sekali pun kamu akan tetap mengikuti mereka. Kami bertanya; Ya Rasulullah, adakah maksud kamu Yahudi dan Kristian perkataan "mereka sebelum kamu"? Baginda bersabda lagi: Siapa lagi (jika bukan mereka) Sahim Muslim
Kerana apa? Kerana umat Islam yang kaya mahu menjadi lebih kaya lagi  dan kekal kaya dengan menggunakan sistem yang memastikan mereka tidak punyai risiko atau hanya risiko yang minimum, maka sistem perbankan ciptaan yahudi inilah alat yang terbaik, umpama menyembelih babi dengan nama Allah dan melabelnya halal untuk dimakan oleh umat Islam. Ya, artikel saya memang keras kerana saya menulis bukan untuk menyedapkan hati sesiapa, menulis kerana takutkan Allah kerana saya pasti masa ini kemarahan Allah sudah teramat besar dengan umat yang bergelumang dengan penindasan halus ini.
 
Allah menghalalkan perniagaan dan mengharamkan riba', bank bukan perniagaan tetapi adalah riba kerana didalam perniagaan yang sebenar terdapat risiko yang mana Allah boleh membuatkan seseorang itu untung atau rugi dan ini membolehkan kekayaan dibahagi dan tersebar dikalangan manusia. Bank pula bukan perniagaan kerana bank menutup pintu risiko atau meminimumkannya dan meletakkan risiko hanya pada peminjam, contohnya jika peminjam kehilangan kerja dan tidak boleh membayar ansuran bulanan, pihak bank akan menendang peminjam keluar dari rumah yang disangka miliknya itu. Sebab itulah nota perjanjian jual beli (S&P) yang asal dipegang oleh bank dan peminjam hanya mendapat salinannya sahaja.

Jadi jika dibandingkan dengan menyewa, realitinya adalah
"membeli rumah dengan bank dan membayar bulan-bulan belum tentu menjadi milik sendiri, lebih menjadi hamba kepada bank, lebih kurang sama keadaannya dengan menyewa"
Akan tetapi jika kita menyewa selama 20 tahun dengan mencari rumah sewa sekitar harga RM 1,000, selepas 20 tahun, kita akan memiliki wang tunai ditangan sebanyak RM 191,676. Jika sanggup mencari rumah sewa yang lebih murah maka lebih banyak yang akan terkumpul. Jika wang tersebut laburkan didalam perniagaan yang berlandaskan Islam maka ia akan bertambah lagi. Katalah anda menyimpan dengan pulangan purata 5% setahun, selepas 20 tahun dengan menyewa, lebihan dari sewa berbanding membeli sebanyak RM 798.65 sebulan itu akan mencecah hampir RM 300 ribu. Bukankah hidup sebegini lebih berkat dengan mengelak diri dari riba' dan masih ada wang ditangan yang mana boleh membeli rumah dengan tunai tanpa riba'?


Mengapa agaknya manusia tidak mampu berfikiran jauh dan melihat keburukan riba' itu sendiri pada jarak jangka panjang? Mungkin disebabkan terdedah dengan maksiat menyebabkan mereka gagal mempunyai visi yang jauh. Frontal lobe adalah bahagian otak yang membolehkan seseorang manusia itu membuat perancangan dan melihat jauh kesan akan datang akibat tindakan masa kini, jika ianya lemah akibat tidak dilatih (contohnya tidak khusyuk solat) atau jarang digunakan (lalai dengan hiburan dan permainan) maka budaya membeli rumah dan hidup kekal dengan riba' ini menjadi norma-norma kehidupan yang membinasakan tanpa disedari. Satu lagi penyebabnya adalah cinta, sains membuktikan bahawa cinta itu buta jadi apabila sudah jatuh cinta dengan rumah baru maka yang buruk iaitu akan diperhambakan selama 2-3 puluh tahun tidak akan kelihatan lagi, hanya selepas menduduki dan kemudiannya masaalah timbul untuk membayar barulah ternampak keburukannya.

Saudara eD dari Muslimvillage menulis perbandingan menarik antara membeli rumah atau menyewa sahaja, beliau juga memberi fakta dan angka-angka untuk perbandingan kita semua memikirkan cara terbaik untuk hidup bebas dari riba.

Artikel saya ini adalah dengan niat untuk menyedarkan rakan-rakan  termasuklah diri saya sendiri rahsia sebenar terselindung disebalik pemikiran bahawa "membeli rumah itu lebih baik" beserta janji-janji manis pihak bank dan juga penjual rumah,  terpulang lah pada diri masing-masing untuk membuat penilaian berdasarkan iman untuk kesenangan akhirat atau kesenangan dunia yang sementara ini. Untuk makluman, pihak bank dan penjual rumah sebenarnya juga telah tersangkut dengan riba',  sebab itulah mereka terpaksa berusaha untuk mengaut keuntungan membayar dividen atau pinjaman kepada pelabur, yang sedihnya kebanyakan pelabur ini adalah golongan kaya yang tamak dan sanggup melakukan apa sahaja tanpa mengira kesan buruk terhadap masyarakat hinggalah ke persekitaran.

Sama-samalah kita berfikir arah tuju hidup kita ini samada berada di landasan yang betul atau hanya jalan yang "nampak" betul tetapi membinasakan. Memang saya akui diakhir zaman ini untuk hidup berlandaskan cara Islam amat sukar ibarat menggenggam bara api, namun ianya berbaloi untuk ganjaran masa depan iaitu akhirat yang kekal abadi, Insyaallah.

Bincang di Facebook disini...


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share

Jumaat, 2 April 2010

Vaksin Kemurungan - Bersangka Baik Kepada Allah

Mencegah itu lebih baik dari mengubat, maka sebab itu lah saintis berlumba-lumba mencipta pelbagai jenis vaksin untuk membantu manusia mengelak dari dijangkiti oleh penyakit-penyakit tertentu seperti campak dan juga selsema. Apa yang dilakukan oleh saintis ini adalah dengan membiakkan virus pembawa penyakit yang lemah dan apabila virus itu dimasukkan masuk kedalam tubuh badan manusia melalui suntikan atau oral, sistem imunisasi badan manusia akan dapat mengenal pasti penyakit tersebut dan boleh mencipta antibodi secara semulajadi sebagai persediaan untuk menghadapi virus yang sebenarnya.

Dengan kemajuan yang teramat moden didalam bidang perubatan, hingga kini masih tiada lagi vaksin untuk kemurungan dicipta. Ubat untuk kemurungan itu sendiri sudah berlambak-lambak dipasaran seperti Prozac, Zoloft atau Effexor akan tetapi mengapa perlu berubat lebih diutamakan jika mencegah itu adalah yang terbaik? Hakikatnya adalah, vaksin untuk kemurungan tidak boleh dicipta oleh saintis kerana penyakit kemurungan itu bukanlah dari kuman atau virus, ianya dari pemikiran.

Menurut Persatuan Psykiatri Malaysia, menerusi artikel dilaman web mereka menyatakan bahawa
antara sebab penyakit kemurungan melanda seseorang individu itu adalah akibat tekanan daripada sesuatu situasi atau persekitaran dan kejadian tertentu, rasa rendah diri ataupun disebabkan penyakit fizikal yang kronik atau serius.
Tekanan, stress atau rendah diri ini datangnya dari cara pemikiran manusia itu sendiri yang menterjemahkan sesuatu situasi atau keadaan tersebut. Jika persepsi seseorang terhadap situasi itu adalah buruk atau menakutkan, maka sudah pasti mereka akan tertekan dan ini menjadi "anak benih" kepada kemurungan. Dengan di"bajai" oleh pemikiran yang sama secara berterusan dan di"sirami" dengan linangan air mata maka "pokok" kemurungan yang serius ini akan membesar dengan suburnya.





Vaksin atau pelindung yang paling mudah dan percuma untuk mencegah kemurungan adalah dengan mengubah persepsi atau pandangan kita terhadap sesuatu kejadian itu. Sebagai umat Islam yang beriman dan mengaku bahawa Allah itu yang maha Esa, Pencipta, Pengasih dan Penyayang maka semua yang berlaku itu adalah dariNya. Allah jualah yang esa menciptakan kejadian tersebut dan menyebabkan ianya melanda atau menimpa diri kita. Akan tetapi sudah menjadi kebiasaan manusia yang telah dicorakkan mindanya untuk menumpukan perhatian lebih kepada keburukan, oleh sebab itulah manusia lebih melihat keburukan berbanding kebaikan terhadap kejadian yang berlaku.

Jika sesuatu kejadian itu hanya ada keburukan, maka sifat Allah yang maha pengasih dan penyayang itu hanya layak dicampakkan kedalam tong sampah sahaja. Berita-berita buruk, pembunuhan, rompakan, perceraian adalah resepi utama media masa kini untuk mencipta sensasi, melariskan khidmat mereka dan mengaut keuntungan dan ini secara tidak langsung mencorak minda separuh sedar masyarakat untuk lebih fokus kepada ketakutan dan keburukan. Jika manusia boleh melatih diri menjadi pemerhati yang hebat kepada minda mereka sendiri, manusia akan lebih berupaya dan berkuasa memilih persepsi yang lebih membawa kebaikan terhadap sesuatu situasi atau kejadian itu. Ini akan memberi latihan baru kepada minda separuh sedar yang sudah terbiasa dengan melihat keburukan agar lebih melihat kepada kebaikan. Apabila kita selalu melihat kebaikan dari keburukan maka vaksin untuk kemurungan akan terbina dengan sendirinya didalam tubuh badan manusia.

Terdapat tiga prinsip yang boleh diamalkan didalam kehidupan seseorang manusia itu yang mana pada pendapat saya, ianya boleh memastikan "vaksin kemurungan" didalam tubuh badan manusia itu akan sentiasa berada pada tahap yang tinggi, semakin jauh manusia dari stress, tekanan atau kemurungan maka semakin lebih baik seseorang manusia itu boleh berfikir lantas membuat pilihan-pilihan yang lebih bijak didalam kehidupannya. Tiga prinsip tersebut adalah;

Semuanya Salah Aku.

Pada pendapat saya, kebanyakan kejadian yang berlaku didalam hidup seseorang itu adalah hasil dari perbuatan mereka sendiri. Mungkin ramai yang tidak boleh menerima kenyataan ini kerana bagi kebanyakan manusia, mereka hanyalah mangsa kejadian, semua ini adalah takdir dan tidak mampu untuk mengelak atau mengubahnya. Rata-rata manusia mereka menganggap tuhan telah mencipta "mesin gergasi" iaitu dunia ini dan mereka hanyalah salah satu dari gear yang berputar dan apabila "gear" bersebelahan berputar, mereka juga turut berputar dan tidak mampu melakukan apa-apa dan hanya menjadi mangsa.

Amat pelik dan barangkali sukar untuk menerima untuk menyalahkan diri sendiri, akan tetapi jika manusia berani mengubah persepsi mereka terhadap semua kejadian yang menimpa baik yang positif atau negatif, ianya akan memberikan dua impak yang utama, pertamanya mereka akan lebih bertanggungjawab terhadap tingkah laku dan perbuatan mereka dan keduanya mereka lebih berkuasa mencipta realiti hidup mereka sendiri. Manusia akhir zaman hanya kebanyakan mengambil Allah itu sebagai tuhan tetapi tidak percaya yang Allah itu maha adil. Jika kita melakukan kejahatan atau kerosakan dimuka bumi ini, adakah kita tidak akan dibalas atau dihukum diatas perbuatan kita itu sendiri?




Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. (Al-Isra 17:7)
Ramai akan berkata, "Mana ada aku buat jahat, seingat aku tak pernah pun aku menyakiti orang lain secara fizikal mahupun dengan kata-kata", soalan yang menyusul pula adalah; "Adakah kita ingat semua tingkahlaku dan perbuatan kita dari akil baligh sehingga sekarang", sedangkan baju apa yang kita pakai 2-3 hari lepas pun ada kalanya perlu berfikir sejenak untuk mengingatinya, ini kan pula perbuatan kita 2-3 bulan, 2-3 tahun dari sekarang, kita tidak boleh ingat akan kesemuanya. Akan tetapi ada makhluk lain yang ingat, iaitu malaikat diatas bahu yang mencatitkan dengan terperincinya setiap perbuatan dan percakapan kita. Mungkin memang kita tidak pernah melukakan manusia lain hingga berdarah akan tetapi lidah kita ini sebagai contohnya, amat bahaya malah lebih tajam dari bilah pedang.
“Telah nampak kerosakan di darat dan dilaut akibat perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Surah ar-Rum 30: 41).
Tidak semestinya jika kita tumbuk manusia lain dan kita juga menerima balasan dari manusia yang sama atau balasan yang sama. Kita semua adalah tenaga dan tenaga berubah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain dan boleh beralih dari satu medium kepada medium yang lain maka tenaga negatif yang kita lemparkan itu akan berbalik kepada diri kita sendiri satu hari nanti. Ada juga perbuatan tidak baik yang kita lakukan tanpa sedar telah menyebabkan kita menyakiti, menindas atau menyusahkan orang lain, umpamanya mengambil rasuah untuk sesuatu projek yang mana menyebabkan kontraktor yang menyiapkan projek tanpa kualiti yang baik, roboh bumbung contohnya dan kemudiannya mencederakan manusia lain. Berpakaian seksi menyebabkan lelaki terpandang dan terlanggar tiang. Ber"couple" kononnya cara islam dan berjalan dikhalayak ramai yang memberi contoh kepada adik-adik yang sedang membesar dan satu hari mereka akan mengikutnya. Menerima riba' yang mana menggalakkan perhambaan jenis baru yang menindas semua umat manusia.

Ini hanyalah contoh-contoh yang boleh dikatakan sebagai norma-norma bagi masyarakat kita, maka tiada terdetik sedikit pun dihati bahawa ia adalah antara perbuatan berdosa yang tidak kelihatan dan kita dengan sombong bercampur hairan berkata "aku tak buat jahat pun, mengapa Allah menimpa diriku dengan musibah ini?". Ini juga berbalik kepada cara pemikiran masyarakat kita diacu atau dibentuk, contohnya makan babi lebih teruk dari makan riba' padahal Allah dan Nabi memerangi mereka yang terlibat dengan riba'. Menikmati pulangan pelaburan riba', memberi, mencatatkan transaksi atau menjadi saksi kepada terlibat dengan riba' itu tidak seteruk berzina padahal dosa riba itu lebih teruk dari berzina dengan ibu sendiri.

Bersyukurlah kepada Allah jika kita dibalas didunia dengan musibah dan bala bencana kerana inilah caranya Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang lepas-lepas. Allah menyayangi kita dan tidak mahu kita dihukum dineraka yang mana siksaannya tidak dapat dijangkau oleh pemikiran manusia. Jika kita berani mengambil prinsip ini maka impak kedua yang menyusul adalah manusia itu lebih berkuasa mencipta realiti hidup mereka sendiri.

Apa yang lebih hebat diinginkan oleh seseorang manusia itu didunia ini dari kegembiraan, baik dari segi rohani ataupun jasmani. Dengan lebih berhati-hati, sedar dan sentiasa menjadi pemerhati yang hebat terhadap fikiran kita pada setiap ketika yang mana kemudiannya menjadi perbuatan dan tingkah laku, jadi sebelum kita bertindak melakukan sesuatu itu, contohnya sebelum menghina seseorang, akan terdetik dihati, "eh... jangan hina dia, suatu hari nanti aku juga akan dihina", maka dari keinginan untuk menghina, akan beralihkan keinginan untuk simpati, prihatin atau memaafkan dan ini akan berbalik atau dibalas kepada diri kita sendiri suatu hari nanti.

Mungkin akan tiba dikemudian hari contohnya bilamana kita terbuat kesilapan semasa kerja, dan bos kita akan memarahi dan menggertak untuk memberhentikan kita, maka dari perbuatan kita yang lepas ianya kembali kepada diri kita sendiri maka timbullah rasa tertekan, stress dan tersemailah benih kemurungan. Jika kita boleh terima konsep "semuanya salah aku" dan sentiasa berbuat baik sesama manusia sebelum ini, maka bos kita yang mungkin sebelum ini pemarah dan pembengis mungkin akan berlembut hati terhadap kita. Allah amat berkuasa merencanakan dunia ini untuk membantu umatnya yang bertaqwa dan perbuatan kita yang lepas-lepas akan berbalik kepada diri sendiri. Buat baik dibalas baik dan sebaliknya.
Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga? (Al-Rahman 55:60)




Allah Ingin Memberi Yang Lebih Baik Lagi.

Adakalanya kita kecewa apabila sesuatu yang kita hajati itu tidak kesampaian, sebagai contohnya apabila kekasih yang disayangi tidak berjaya dimiliki. Kesedihan akibat dari kegagalan untuk bersatu baik ditinggalkan atau halangan keluarga selalunya akan menular kepada kemurungan yang serius. Jika kita boleh ubah persepsi kita dengan menganggap bahawa Allah ingin memberi kita seorang insan yang lebih baik lagi, maka mungkin kesedihan yang melanda itu akan reda dengan segeranya. Siapa yang tidak sedih apabila putus bercinta akan tetapi jika kita percaya yang Allah itu maha pengasih dan penyayang maka kita sebaliknya akan tersenyum gembira menanti siapakah agaknya sidia yang akan digantikan oleh Allah itu.
Bukan sekadar percintaan sahaja, jika permohonan melanjutkan pelajaran ditolak, gagal temuduga kerja, tidak dinaikkan pangkat dan sebagainya, dengan mengubah persepsi kita bahawa Allah mahu memberi yang terbaik, kita akan menjadi manusia yang lebih bertakwa dan pastinya rezeki atau ganjaran yang tidak disangka-sangka akan pasti menjelma.
Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).(At-Talaq 65:2,3)

Masalah yang melanda manusia adalah lebih mudah menjadi marah, kecil hati, bersedih dan sebagainya terhadap apa yang berlaku yang mana itu sahaja sudah cukup untuk menunjukkan ketidak syukuran kita kepada Allah. Disebabkan kita bersikap negatif maka bertambah-tambah lagilah perkara-perkara negatif yang melanda dan akibatnya semakin tertekan dan menjadi murung.








Allah Ingin Mengubah Haluan Hidup Kita Agar Mencapai Apa Yang Dihajati.


Adakalanya kita berhajatkan sesuatu akan tetapi untuk Allah mengurniakannya kepada kita, sesuatu kejadian buruk harus berlaku. Jika baca pengalaman saya untuk mendapatkan anak perempuan, walaupun ianya hanya hipotesis saya sahaja, sekarang saya dan isteri sering tersenyum mengenangkan kisah lalu yang mana telah memberikan apa yang kami hajati. Lagi satu kejadian yang berlaku pada diri saya sendiri adalah bila mana terjadi satu peristiwa yang menimbulkan kekecewaan yang mendalam dan memaksa saya seolah-olah ber"judi" mencari kerja diluar negara. Alhamdulillah sekarang ini saya amat sukakan kerjaya saya ini, bukan sahaja mampu menghabiskan hutang malah boleh berkongsi ilmu dengan insan lain. Memang dari kecil lagi saya selalu memikirkan bagaimana caranya saya boleh membantu manusia, alhamdulillah salah satu caranya telah kelihatan iaitu melalui perkongsian ilmu disini. Semuanya akibat dari peristiwa buruk yang melanda.

Saya percaya jika setiap diri kita ini merenung seketika kisah masa silam pasti ada peristiwa yang sama berlaku pada setiap individu yang mana dari peristiwa yang buruk berkesudahan dengan kebaikan. Kebanyakan kita tidak perasankan ianya kerana mungkin idea ini tidak pernah timbul di pemikiran ataupun jarak masanya yang agak jauh akan tetapi jik akita ikuti rentetan-rentetan hidup, pasti kita akan berterimakasih kepada Allah yang maha penyayang. 








Allah Mahu menduga HambaNya.


Jika kita yakin yang kita tidak melakukan dosa-dosa, jika kita rasa sudah mendapat apa yang dihajati akan tetapi dugaan masih melanda, itu sudah cukup untuk memberi kita perasaan gembiran yang teramat sangat kerana Allah mahu menduga kita. Sedangkan para Nabi yang punyai tahap keimanan yang tinggi juga, inikan pula kita manusia biasa.
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (AlBaqarah 2:214)
Jadi, walau dari segi dan sudut mana sekalipun kita lihat musibah yang terjadi itu, ada hikmah disebaliknya yang kita tidak boleh nampak, maka tiada sebab sebenarnya untuk manusia itu mengidap kemurungan yang serius.
“Sesungguhnya Kami akan menimpakan cubaan ke atas kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang jika ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innâ lillâhi wa innâ ilaihi râji‘ûn.” (Surah al-Baqarah 2:155-156).

Masaalahnya umat manusia kini, oleh kerana dilahirkan Islam, walau tidak berpegang pada ajaran Islam secara keseluruhannya tetap melabelkan setiap kejadian itu sebagai dugaan dan bukan salah silap mereka sendiri. Pada pendapat saya jika kita punyai iman hanya sekadar bin atau binti pada kad pengenalan, perkara buruk yang melanda itu bukan dugaan, akan tetapi "penangan" nipisnya iman kita itu.








Keempat-empat prinsip ini terutamanya prinsip "semuanya salah aku" akan menjadikan seseorang manusia itu menjadi lebih bertanggungjawab terhadap kehidupan mereka sendiri dan bukanlah hanya menganggap diri hanya mangsa keadaan. Perubahan pasti akan timbul jika kita berani mengambil pendirian ini, akan tetapi kesabaran amat perlu kerana dari mula kita mengubah pendirian untuk bersabar dan bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi, walaupun kita sudah berhati-hati keatas tindakan dan tingkah laku, kesan dari dosa-dosa yang terdahulu iaitu apa yng digelar "backlash" akan masih melanda diri. Akan tetapi jika kita bersabar sehingga "backlash" itu habis maka perubahan ketara didalam hiudp kita akan terasa. Ianyanya juga menjadikan diri seseorang manusia itu lebih berkuasa mencipta realiti kehidupan yang diingininya atau setidak-tidaknya meramalkan suasana kehidupan mereka dimasa akan datang baik didunia mahu pun diakhirat kelak, hasil dari tingkah laku dan perbuatan mereka sendiri.

Berdasar pada konsep ini jugalah minat saya kepada fizik kuantum amat mendalam kerana jika semua manusia faham akan cerita disebalik perilaku zarah sub-atomic itu sendiri, semua manusia akan meletakkan semua perkara yang berlaku didalam hidup mereka adalah kerana mereka sendiri yang mahu melihatnya baik secara sedar atau tidak.

Konsep yang sama juga terselindung disebalik puasa selama sebulan yang mana bila mana kita boleh bersabar dan mengubah tingkah tingkah laku kita, puasa yang sebulan itu mampu mengubah diri kita baik dari segi fizikal dan mental agar menjadi manusia yang lebih mulia. Akan tetapi rata-rata muslim akhir zaman ini hanya mendapat lapar dan dahaga kerana sikap buruk masih berleluasa, contohnya pembaziran makanan, lahap ketika berbuka, masih maki hamun ketika puasa dan yang paling teruk lagi tidak langsung bersolat. Keimanan kita juga akan berlipatkali ganda kerana pertamanya kita tahu Allah amat menyayangi diri kita dan mahu membalas dan mengampunkan dosanya semasa masih didunia ini lagi dan keduanya Allah senantiasa mahu memberi kita yang terbaik. Begitu juga dengan dugaan terhadap mereka yang beriman.

Kita tidak tahu akan takdir kita akan tetapi jika hanya berserah kepada takdir dan menganggap diri tidak bersalah hanyalah satu cara untuk lari dari tanggungjawab dan merendahkan nilai diri manusia itu sendiri. Mereka yang berani bertanggungjawab terhadap apa yang terjadi kepada diri mereka adalah mereka yang akan lebih berjaya didalam hidup dan insyaallah di akhirat kerana tidak semestinya berjaya didunia akan disusuli diakhirat.

Falsafah barat menganggap dunia ini ibarat mesin gergasi dan kita hanyalah salah satu gear didalamnya yang berputar dan apabila gear sebelah berputar, kita hanya menjadi mangsa menerima sahaja arah putaran yang diberikan oleh gear bersebelahan. Akan tetapi Allah mengurniakan kita dengan frontal lobe yang membezakan manusia dan haiwan yang mana memberi kelebihan kita untuk membuat pilihan, pilihan untuk berputar kearah mana dan inilah yang amanah Allah sebagai khalifah dimuka bumi ini. Pilihan terletak pada diri sendiri, menjadi sedih dan murung atau gembira dan bersyukur.

Manusia amat berkuasa untuk mencipta realiti hidupnya sendiri jadi terpulanglah samada ingin menjadi peneraju atau sekadar mangsa didalam kehidupan. Akan tetapi tiada yang percuma didalam hidup ini, harga yang terpaksa dibayar adalah berani bertanggungjawab dan juga beriman sepenuhnya dengan mengikut landasan yang Allah dan Nabi berikan dan bukan ambil sedikit dan tinggalkan banyak. Sebab itulah umat islam dahulu menerajui dunia dan umat islam akhir zaman ini hanya menjadi "makanan" lahap kafirun. Perubahan bermula dari dalam diri sendiri, dari fikiran yang mana akan menjadi perbuatan dan realiti hidup kita ini. Maka bersangka-baiklah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi penyayang dan tidak akan mensia-siakan hambanya, dari Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita akan dikembalikan.

Laman diskusi di Facebook.


Baca selanjutnya/sila beri ulasan anda disini...
Bookmark and Share
"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas