Asy-Syu'ara 26:109
وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ , إِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Related Posts with Thumbnails

Jumaat, 4 Mei 2018

Mengapa SyurgaDiDunia Tidak Pilih Islam?

Saudara Muhammad telah memberi komen di laman Facebook SD;

"Saya banyak follow blog syurgadidunia ni dan banyak bersetuju dgn "back door riba" yg dibangkitkan admin..tapi saya amat hairan bila admin agak cenderung dengan kumpulan politik yg tak ikut Islam sebagai panduan..sedangkan nyata lagi jelas golongan sesat sekuler, lgbt, liberal berpihak dengan parti politik yang admin page ni cuba tonjolkan..atau adakah saya silap membuat andaian?"

Terima kasih saudara Muhammad, komen saudara amat berharga dan saya benar-benar faham akan kekeliruan yang berlaku kepada semua pembaca laman SD.



Saya ingin bertanya kepada saudara Muhammad, sebelum saudara membaca artikel-artikel laman SD,
pernah terfikirkah akan saudara betapa tidak Islamiknya perbankan Islam yang ada sekarang ini? Alhamdulillah, berkat dari penerangan, penjelasan bersama contoh-contoh dan fakta, terbuka minda saudara untuk menyokong kenyataan saya akan "back door riba' tersebut. Terus terang saya katakan bahawa pendirian saya mengenai perbankan Islam tersebut adalah melalui pemikiran yang mendalam, menganalisa berkat dari hasil pembacaan dan juga kerja-kerja terjemahan terutamanya buku-buku dan video oleh Sheikh Imran. Jadi pendirian saya adalah melalui pemikiran dan analisa, atau apa yang lebih saya suka sebutkan sebagai "fikir ikut akal dan bukan ikut rasa". Disini saya ingin memaklumkan kepada para pembaca laman SD bahawa, cenderungnya saya kepada sesebuah parti kononnya tidak Islamik tersebut adalah "ikut akal" dan bukan "ikut rasa", apa maksud saya menyatakan sedemikian? 


Otak manusia boleh dibahagikan kepada 3 bahagian yang utama dan masing-masing mempunyai peranan didalam kehidupan seseorang manusia itu. Bahagian atau lapisan yang paling luar dipanggil neurocortex, bahagian seterusnya dipanggil otak limbic dan yang terakhir sekali otak reptilian. Dibahagian neurocortexlah manusia menggunakannya untuk membuat pemikiran yang analitikal yang mana diseliakan oleh bahagian prefrontal cortex iaitu bahagian yang paling depan sekali. Diotak limbic pula terletaknya bahagian-bahagian yang mengawal emosi seperti amygdala yang membantu kita untuk lawan atau melarikan diri jika kita didalam ancaman bahaya. Bahagian yang terakhir sekali adalah otak reptilian yang mengawal degupan jantung, penrnafasan, keseimbangan dan sebagainya.

Kecenderungan manusia untuk membuat pilihan dan keputusan melalui otak limbic atau otak emosi ini amat diketahui oleh golongan-golongan yang ingin memanipulasikan manusia contohnya para pengiklan-pengiklan, sebab itu hampir semua gambar-gambar yang digunakan oleh para pengiklan akan menyertakan sekali imej-imej yang melambangkan kegembiraan, keriangan ataupun ketakutan untuk menaik perhatian para pembeli termasuklah juga gambar-gambar yang melibatkan keghairahan kerana ianya teramat mempengaruhi otak limbik atau emosi ini. Jadi apa kaitannya dengan pilihanraya?

Semua ahli-ahli politik pasti akan membawakan isu-isu yang berkaitan dengan emosi didalam kempen-kempen mereka terutamanya perkara-perkara dan isu-isu yang melibatkan kebencian kerana itu adalah cara utama bagi mereka untuk mempengaruhi pilihan para pengundi. Jadi kita sebagai bakal pengundi harus bijak menggunakan akal dengan menggabungkan kedua-dua otak analitik dan otak emosi sebelum membuat apa-apa keputusan.

Saya pasti baik penyokong PAS atau pun PH mahukan kerajaan sekarang dijatuhkan kerana telah terbukti mereka telah membawa banyak kerosakan kepada negara kita. Malaysia yang dulunya suatu negara yang hebat dan kerap kali disebut-sebutkan oleh dunia luar disebabkan oleh kemakmuran dan kemodenan kini menjadi bahan ketawa dunia akibat skandal 1MDB yang melibatkan banyak negara. Jadi motif PAS & PH sama iaitu menjatuhkan kerajaan sekarang.

Sekarang mari kita lihat apa pula isu-isu yang membawa perbalahan kepada kedua-dua pihak? PAS menyatakan bahawa menyokong PH bermakna menyokong DAP dan akan menyebabkan Malaysia akan diperintah oleh bangsa Cina, jadi emosi yang terbabit maka tentulah ini mendatangkan kebencian penyokong PAS kepada PH akan tetapi jika kita fikir secara analitik bolehkah itu berlaku?

DAP hanya bertanding sebanyak 52 kerusi parlimen dari 222 jumlah keseluruhan kerusi parlimen, itu hanyalah 23%. Jika mereka menang kesemua kerusi itu sekali pun mereka tidak boleh menjadi suara majoriti di parlimen untuk mengambil alih Malaysia. Jadi jika kita membuat penilaian melalui pemikiran dari segi analitik dan bukan dengan emosi, kita akan merasa lega dan mengurangkan kerisauan yang dibangkitkan oleh otak emosi.

Isu seterusnya yang dibangkitkan adalah PH tak akan memperjuangkan Islam malah terdapat pemimpin-pemimpin PH yang terlibat didalam aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan Islam, sesat sekular lbgt dan sebagainya seperti komen Saudara Muhamad. Mari kita selidik adakah kenyataan itu boleh diterima? PH bukanlah terdiri hanya dari golongan bukan Islam malah majoritinya juga adalah orang melayu yang beragama Islam dan ada juga yang datang dari PAS. Yang terbaru PH juga disertai oleh anak TGNA, jadi adakah pemimpin-pemimpin Islam ini akan membenarkan wakil-wakil beragama lain didalam PH membuat sesuka hati selepas mereka menang diPRU14 nanti?

Saya boleh berterusan menyenaraikan semua isu-isu yang dikaitkan seperti adakah tidak pilih PAS dikira tidak menyokong Islam sebagainya akan tetapi saya fikir lebih baik saya terus kepada faktor utama mengapa laman SD tidak "pilih Islam", faktor tersebut adalah kebarangkalian untuk menang dan menjatuhkan BN. Mari saya bawakan perkiraan "secara sempoi" siapakah yang akan berkemungkinan menang dalam PRU14 pada 9 May nanti.

Mengikut statistik pengundi untuk PRU14, orang melayu mewakili 43% dari jumlah pengundi manakala pengundi cina dan india mewakili 38%. Jika semua orang melayu dibahagi 3 antara BN, PH dan PAS, peluang untuk blok mana yang akan menang akan bergantung kepada pengundi cina dan india. Agak-agaknyalah konfiden atau yakin kah penyokong-penyokong PAS yang mereka boleh mengajak kedua-dua kaum ini untuk menyokong PAS jika agenda yang PAS bawakan adalah mendaulatkan agama Islam? Mereka juga mempunyai ketakutan yang sama dengan cara orang melayu ditakut-takutkan yang kononnya Malaysia akan dikristiankan atau dikafirkan oleh mereka.

Atas sebab inilah mengapa laman SD berpihak kepada PH dan tidak memilih PAS pada PRU kali ini. Tidak memilih PAS bukanlah bermakna laman SD tidak memilih Islam akan tetapi membuat pilihan yang paling bernas dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang korup. Sebab itu laman SD berkongsi kata-kata Prof Ungku Aziz (walaupun ada yang menyatakan itu berita palsu tetapi hingga kini Prof tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menafikannya) kerana apa yang beliau fikirkan adalah sama dengan apa yang saya fikirkan. Undi PAS hanya akan mengurangkan undi kepada PH yang membolehkan BN terus kekal menang, ditambahkan pula dengan taktik kotor SPR "gerrymandering" iaitu persempadanan semula yang mana pasti akan memberikan kemenangan kepada BN jika PH tidak mendapat sokongan padu daripada rakyat yang mahukan perubahan.

Persempadanan semula memberikan kelebihan yang besar kepada BN dan disini saya ingin menerangkannya supaya para pembaca dapat melihat dan faham mengapa kita perlu bersatu memilih hanya satu calon sahaja untuk menentang BN dalam PRU14 nanti. Cuba lihat gambarajah yang saya sertakan, katalah dalam satu negeri itu ada 50 daerah (blok kiri) dengan 5 kerusi parlimen (blok tengah), jika dalam sempadan asal kerajaan yang korup tahu yang biru akan menang disebabkan ramai penyokong-penyokong parti biru disitu, dengan persempadanan semula apa yang berlaku adalah penyokong-penyokong biru akan dialihkan yang mana membolehkan pihak merah mendapat 3 kerusi dan biru hanya 2 kerusi, jadi biru yang sepatutnya menang akan tetapi disebabkan persempadanan semula maka kerusi parlimen disitu akan bertukar kepada merah (blok kanan).

Jadi saya amat berharap agar para pembaca laman SD nampak dan faham mengapa saya menyokong PH, bukan kerana manifesto mana yang lebih baik akan tetapi kerana mahu tumbangkan kerajaan yang korup. Saya harap semua dapat faham mengapa kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh berpecah belah dalam usaha menjatuhkan BN kerana berpecahnya kita akan memberi kelebihan kepada BN. Mereka mempunyai dan perlukan pelbagai helah dan penipuan termasuklah wang ringgit sedangkan kita sebenarnya hanya perlu satu teknik sahaja untuk mengalahkan mereka iaitu bersatu membuat pilihan yang satu. Kita terpaksa lupakan buat sementara samada kita ni melayu, cina atau india, islam, budha, kristian atau hindu dan fokuskan sebagai rakyat Malaysia yang mahukan perubahan. Hanya dengan ini sahajalah matlamat kita yang sama itu akan berjaya.

Jika semua orang Islam bersetuju menyokong PAS sekalipun, persoalannya mampukah kita sebagai seorang Islam mengajak kaum cina dan india untuk menyokong PAS? Fikir ikut emosi mungkin yakin boleh tetapi jika kita fikir ikut analitik pasti tidak boleh bukan? Jadi kita tiada pilihan selain dari hanya memilih PH untuk PRU14 ini dengan niat menjatuhkan kerajaan yang korup, bukankah itu juga jihad? Jihad yang menggunakan akal analitik dan bukan jihad dengan akal emosi, jihad dengan berfikir ikut akal dan bukan berfikir ikut rasa.

Laman SD mengajak penyokong-penyokong PAS agar sedar keadaan ini dan bangun dari buaian mimpi kerana peluang PAS untuk menang agak tipis. Ini disokong oleh statistik maklum balas lebih dari 100 ribu rakyat Malaysia yang ditelefon secara rambang oleh Invoke Malaysia yang menunjukkan peratusan sokongan kaum cina dan india amat kecil kepada PAS.



Tidak menyokong PAS tidak bermakna seseorang itu menolak Islam, PAS adalah parti politik dan bukanlah agama atau mahzab. Saya dahulu juga adalah penyokong PAS malah jubah TGNA ada pada saya yang saya perolehi semasa pemimpin-pemimpin tertinggi PAS merantau keseluruh dunia dan singgah di Abu Dhabi, UAE dalam usaha mereka mengutip dana dengan melelong barang peribadi TGNA bagi menghadapi PRU13. Pada PRU14 ini saya ternanti-nanti juga kalau ada pemimpin-pemimpin PAS melakukan perkara yang sama akan tetapi nampaknya PAS sudah mempunyai banyak dana untuk bertanding. Katanya hasil dari sumbangan ahli-ahli, yang menjadi tanda tanya saya adalah mengapa dahulu penyokong PAS tidak menderma dengan banyak sehingga TGNA terpaksa melelongkan barangan-baranagn peribadi beliau?

Dalam kes 1MDB, melalui siasatan pelbagai pihak didapati wang rakyat Malaysia dari syarikat 1MDB melalui pelbagai transaksi melibatkan beberapa syarikat akhirnya sampai kepoket PM. Jadi jika wang itu juga beralih dari PM kepada penyokong UMNO, kemudiannya beralih kepada mereka yang kononnya neutral politik dan kemudiannya beralih kepada penyokong PAS dan akhir sekali masuk ke akaun parti, adakah kemungkinan itu tidak boleh berlaku? Mungkin dengan wang derma yang banyak inilah membolehkan PAS keluar dari PH dan bertanding secara solo, persoalannya siapa yang akan mendapat faedah paling besar apabila PAS berbuat demikian?

Mereka yang mahu berkuasa akan melakukan apa sahaja untuk terus kekal berkuasa termasuklah menjual agama, bangsa termasuk tanak air sendiri. Mereka akan melakukan pelbagai muslihat licik untuk memastikan mereka kekal memerintah. Kerajaan tahu bahawa secara statistiknya PAS tidak akan menang akan tetapi hanyalah untuk mengalihkan undi supaya PH kalah. Dengan persempadanan semula dan penipuan undi melalui undi pos contohnya, pasti mereka akan terus kekal berkuasa.

PRU14 ini adalah ibu kepada segala pilihanraya, jatuh bangunnnya negara kita termasuklah kedaulatan negara kita sendiri akan hilang jika BN kekal berkuasa. Sri Lanka sebagai contohnya telah terperangkap dengan hutang yang banyak kepada kerajaan China sehinggakan rakyat mereka merasakan negara mereka telah terjual kepada China. Adakah itu juga yang kita mahukan? Mungkin ada yang berkata buat KLIA dan KLCC dulu pun pinjam duit luar jugak akan tetapi mengapa boleh? Jawapan saya, dulu tiada GST, tiada IMDB, kerajaan masa tu tak sekorup hari ini maka oleh sebab itu kita perlu lebih berhati-hati supaya tidak menang sorak tetapi kampung tergadai.

Saya harap artikel ini akan memberi manafaat dan membantu para pembaca membuat keputusan yang bijak untuk memastikan kita mendapat kerajaan yang baru. Hanya PH sahaja yang berkemungkinan besar boleh menjatuhkan BN dengan bantuan pengundi cina dan india. Saya amat berharap sokongan orang melayu yang padu kepada PH agar Malaysia dapat diselamatkan dari genggaman mereka yang korup demi masa depan anak-anak kita dan generasi akan datang.

Sedangkan didalam Al Quran juga membenarkan kita memakan babi jika itulah satu-satunya jalan yang tinggal untuk hidup (Sila baca artikel ini). Makan babi bukanlah bermakna jadi kafir, hanya kerana tiada pilihan lain. Jika kita berkeras tidak mahu juga makan kerana mahu memegang teguh larangan makan babi tersebut maka kita akan mati kebuluran. Samalah juga keadaan sekarang, kebarangkalian PAS untuk menang amat tipis kerana sokongan yang sangat minima dari golongan bukan Islam. Pilih PH atau bersedia untuk hidup terus merana anak dan cucu, atau adakah itu disebabkan kita sudah tiada lagi keprihatinan didada?

Ketukan minda yang terakhir saya untuk penyokong tegar PAS yang mungkin masih tidak dapat menerima hujah saya ini adalah, cuba lihat kehidupan anda, adakah anda bernasib baik mempunyai gaji atau pekerjaan yang tetap dan masih mampu untuk meneruskan kehidupan walaupun BN kekal memerintah? Bila kita didalam keadaan senang, perasaan simpati (empathy) kita terhadap orang lain akan semakin kurang (dan sains membuktikannya) jadi kita tidak dapat merasakan kesusahan golongan-golongan yang tidak bernasib baik contohnya dibuang kerja kerana ekonomi yang merosot disebabkan oleh GST dan sebagainya dan pelbagai lagi golongan miskin yang lain. Kepedulian kita akan menjadi kurang dan lebih menjadi pentingkan diri sendiri. Mungkin memilih PAS atau PH ini adalah dugaan dari Allah SWT yang mahu melihat siapakah umatnya yang mampu melihat "air" yang sebenarnya "api" atau "api" yang sebenarnya "air" yang dingin. Dunia akhir zaman ini penuh dengan dugaan muslihat dari Dajjal. Hanya mereka yang menggunakan mata hati yang ikhlas mahu kebaikan untuk semua golongan manusia tanpa mengira bangsa dan agama sahaja yang mampu melihat muslihat tersebut. Orang kafir selagi belum mati belum tentu masuk neraka, samalah juga kita yang Islam belum tentu masuk syurga, dunia inilah ujiannya. 

Jadi respon saya kepada Saudara Muhamad, saudara boleh membuat sebarang andaian, akan tetapi biarlah andaian saudara itu berasaskan analitik dan bukan berasaskan andaian emosi. Wallahualam.

Sila Kemukakan Komen Anda

Catat Komen

"Foolish faith in authority is the worst enemy of truth"
"Kepercayaan membuta-tuli kepada mereka yang berkuasa adalah musuh yang paling utama kepada kebenaran" Albert Einstein
"They must find it difficult... Those who have taken authority as the truth, rather than truth as authority"
"Amat sukar bagi mereka... mereka yang mengambil pihak berkuasa itu yang benar sedangkan sepatutnya yang benar itulah yang sepatutnya berkuasa" - Gerald Massey.
"When POWER of LOVE exceed LOVE of POWER, world will know PEACE"
"Apabila kuasa cinta melebihi cintakan kuasa, barulah dunia akan mengenali keamanan" - Jimi Hendrix
Who links to my website?

Bagaimana Jika… Dunia Dan Syurga Adalah Tempat Yang Sama? © 2010. Template by Dicas Blogger.Optimise bySYURGADIDUNIA.

Kembali Ke Atas